Tanggungjawab semua pihak untuk daulatkan Islam
Sebagai umat Islam kita wajib percaya bahawa Islam adalah agama yang syumul, mencakupi segenap bidang dalam kehidupan, tanpa kecuali.
Umat Islam yang berpegang kepada akidah Islam yang sebenar wajib berpegang kepada enam rukun iman dan lima rukun Islam.
Rukun iman mencakupi keimanan terhadap Allah, para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, hari akhirat serta qada' dan qadar.
Manakala rukun Islam pula mewajibkan seseorang itu mengucapkan syahadah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan ibadah haji.
Inilah tunjang keimanan dan takwa yang seharus wujud, diamal dan dilaksanakan oleh manusia-manusia yang bergelar Islam.
Sebagai sebuah parti politik yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangannya, sudah tentu PAS tidak boleh lari, malah bertanggungjawab untuk menegakkan Islam dari segenap aspek yang termampu.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku ketua sebuah kerajaan negeri, setakat bidang kuasa yang ada padanya, beliau mahu Islam dipraktikkan dari segala aspek.
Ianya bukan kehendak Tok Guru, tetapi ianya adalah arahan daripada Allah. Dan selaku ketua kerajaan yang beriman kepada Allah dan Kitab-Nya, Tok Guru amat bimbang jika sekiranya beliau tidak melaksanakan Islam yang sepenuhnya, nescaya beliau akan diheret dan dihukum oleh Allah di akhirat kelak.
Maka sebagai umat Islam yang taat, Tok Guru amat akur dengan arahan dan peringatan daripada Allah, sebagaimana firman-Nya pada ayat 44, 45 dan 47 Surah al-Maidah, yang dengan tegas menyatakan bahawa barangsiapa yang tidak menjalankan hukum sebagaimana yang diturunkan Allah, maka mereka termasuk di kalangan orang-orang kafir, zalim dan fasik.
Keadaan yang sama berlaku di Terengganu sewaktu PAS berjaya mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Di Kelantan dan Terengganu, kedua-dua Tok Guru berusaha melaksanakan Islam sebagaimana tuntutan Allah dalam segenap bidang termasuk politik, ekonomi, mualamat, syariat dan sosial.
Malangnya ketika PAS yang ditunjangi oleh orang-orang Melayu yang beragama Islam, mahu mengamalkan Islam dengan sepenuhnya, Umno menentang sekeras-kerasnya.
Direkodkan beratus-ratus ungkapan, kecaman dan penghinaan terhadap Islam dan PAS, yang terhambur dari mulut kepimpinan tertinggi Umno.
Jika Umno benar-benar Islam, mengapa Umno menentang dasar dan perlaksanaan Islam di Kelantan dan Terengganu?
Umno hanyalah sebuah parti politik orang-orang Melayu, yang majoritinya beragama Islam, tetapi tidak pernah meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan. Umno adalah sebuah parti nasionalis yang rasis. Itupun tahap rasisnya amat-amat dipertikaikan.
Umno yang pada pemimpinnya terlalu banyak mengeluarkan kata-kata penentangan dan penolakan terhadap Islam, tidak layak untuk mempertikaikan Islam yang diamal dan yang dibawa oleh PAS.
Umno tidak layak untuk mengecam PAS yang berkawan dengan DAP yang sudah jelas dianggotai bukan Islam yang menolak Islam. PAS tahu dengan siapa PAS berkawan dan pada tahap mana persefahaman harus dimeterai.
Jika Umno benar-benar Islam, jangan menyibukkan diri menghentam DAP yang sudah jelas bukan Islam, Umno harus muhasabah diri, mengapa mereka sebagai orang Islam mengenepikan Islam dari segenap aspek sejak sekian lama memerintah negara?
Rentetan daripada penolakan Umno terhadap Islam ini, maka memang benarlah kata-kata Tok Guru Nik Aziz bahawa:
"Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam, Islam yang dibawa oleh Umno ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa oleh Umno.
"Islam ini tidak boleh bawa ke akhirat, tidak boleh bawa ke syurga, dia boleh bawa dekat pintu kubur."
Justeru, jika Umno benar-benar anak jantan dan mahu berdebat soal siapa benar dan siapa salah, jangan hanya tahu berkokok dengan menggunakan media pengampu sahaja.
Sila kumpulkan segala alim ulama sama ada anggota majlis fatwa atau mufti-mufti untuk berhadapan dengan ulama-ulama daripada PAS.
Kita boleh ketepikan aspek politik, marilah kita berdebat dan muzakarah dengan cara yang ilmiah, Islam cara mana yang mampu membawa umatnya ke syurga.
No comments:
Post a Comment