Tuesday, July 11, 2006

Mencari pihak ketiga jadi punca krisis Mahathir-Abdullah

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bermusuhan dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi masalah itu berlaku kerana ada pihak ketiga cuba mengawal kerajaan sekarang kata, Dato' Seri Abdul Aziz Shamsuddin.

Aziz barangkali cuba untuk menepis soalan wartawan, namun secara tidak sedar beliau telah memberi 'clue' tentang apa yang tersirat di sebalik pertelingkahan Mahathir-Abdullah. Setidak-tidaknya Aziz jujur mengakui bahawa pertelingkahan memang wujud dan berpunca daripada orang ketiga.

Aziz Shamsuddin, nama yang tidak asing lagi dalam arena politik negara. Dikenali ramai sebagai Setiausaha Politik Mahathir, beliau dilabel sebagai salah seorang konspirator utama yang menjadi dalang di sebalik kejatuhan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Jika Aziz memberikan alasan, Abdullah merupakan orang pilihan Mahathir untuk menjadi PM, itu tidak menjadi pelik kerana beliau adalah rakan rapat Abdullah sejak dalam GPMS lagi.

Walaupun selepas Anwar dijatuhkan, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak merupakan calon utama untuk dilantik sebagai TPM, namun ada orang Umno berpendapat, Aziz lah yang mendorong Mahathir melantik Abdullah.

Sebagai 'reward' kepada jasa besarnya kepada Abdullah, beliau yang beberapa kali tewas dalam pemilihan bahagian Umno di Gopeng, ditarik bertanding di Shah Alam dan dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dalam Kabinet Abdullah.

Aziz barangkali lebih mengetahuinya dengan tepat siapakah pihak ketiga itu. Siapakah pihak ketiga yang hendak mengawal kerajaan? Adakah dia dari kalangan anggota MT ataupun dari kalangan anggota keluarga Abdullah?

Persoalan ini harus dijawab oleh orang-orang Umno sendiri kerana mereka sendiri yang terbabit mencaturkan masa depan negara.

Teguran Utusan

Manakala Utusan Malaysia hari ini memaparkan rencana pengarang di muka hadapan. Suatu tindakan yang jarang dilakukan kecuali tujuan yang besar sahaja. Sekaligus membayangkan betapa pertelagahan yang timbul akan mewujudkan krisis baru dalam negara.

Jelas ia bertujuan untuk memberitahu Dr Mahathir, bekas PM itu harus faham bahawa 'serangan' beliau terhadap Abdullah, harus dihentikan kerana ia boleh membawa kepada perpecahan sebagaimana yang dilalui Umno dalam krisis tahun 1987 dan 1998.

Mahathir harus memahami apa mesej tersirat yang hendak disampaikan apabila seluruh kepimpinan Barisan Nasional dan MT Umno, teguh bersama-sama dengan Abdullah sebagai PM dan Presiden parti.

Secara tidak langsung boleh membawa maksud bahawa 'Mahathir, anda terlalu beruntung kerana memerintah dan menerajui parti lebih 22 tahun, anda berjaya melalui banyak krisis, sedangkan Abdullah 2 tahun lebih, tolong jangan ganggu dia, biarkan dia memerintah dengan caranya sendiri.'

Sebenarnya, mesej itu amat difahami Mahathir, bahawa, selama ini pemimpin-pemimpin Umno menyuruhnya diam. 'Anda sudah bersara, lebih baik anda duduk diam-diam'!

Keputusan MT

Abdullah membuat keputusan supaya semua jawapan kepada Mahathir hendaklah dibuat secara bertulis, dengan harapan bekas PM itu juga akan berhujah secara tulisan. Barangkali ini bertujuan untuk mengelakkan ketegangan.

Kalau semua serangan Mahathir dijawab secara lisan, mereka bimbang Mahathir akan membalas dengan jawapan yang lebih keras.

Memang sudah dijangkakan, MT Umno tidak akan berani untuk memecat Mahathir. Tidak ada seorangpun dalam MT yang berani membawa usul tersebut. Anggota MT bimbang apa yang dibincangkan akan diketahui Mahathir.

Beberapa tahun lepas sewaktu mengiringi al-marhum Dato' Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS ketika itu mengunjungi Anwar di mahkamah, Anwar ada menyebutkan kepada beliau beberapa perkara yang berbangkit dalam mesyuarat MT.

Sedangkan beliau ketika itu di penjara di Sungai Buloh, sesekali dibawa keluar ke mahkamah, jadi ini bermakna Anwar yang terpenjara pun dapat mengetahui butiran mesyuarat MT, Anwar pun ada 'kaki' dalam MT, inikan pula Mahathir!

Mahathir mendapat maklumat penuh apa yang dibincangkan dalam Kabinet, sama ada sewaktu krisis atau sebelumnya. Mahathir mengetahui dalam mesyuarat dua minggu lepas, hanya menteri junior seperti Dato' Khaled Nordin yang berani mengajak anggota Kabinet 'lawan' dengan Mahathir. Yang lain, seperti Dato' Seri Rafidah Aziz, Dato' Seri S Samy Vellu, Dato' Seri Dr Lim Kheng Yaik dan beberapa veteran, terpaksa mengelakkan ketegangan dengan bekas PM itu.

Mahathir juga mengetahui semua yang dibincangkan dalam MT Umno. Begitu ramai 'kaki-kaki' Mahathir dalam Kabinet dan Umno. Justeru, walaupun semuanya tabik kepada Abdullah, Mahathir amat mengetahui skala kekuatannya, siapa yang betul-betul terpaksa, siapa yang beriya-iya hendak melawan.

Oleh kerana itu, Utusan atau mana-mana pemimpin Umno, tidak perlu menyampai mesej kepada Mahathir bahawa seluruh anggota Kabinet dan MT mendukung Abdullah. Mahathir lebih tahu kerana 'informer'nya terlalu ramai.

Kebimbangan Abdullah

Sebenarnya inilah dilema yang dibimbangkan oleh Abdullah. Betul, beliau dapat mandat dan sokongan penuh. Betul, semua menteri besar dan ahli Parlimen BN/Umno menyokong beliau.

Betul, begitu banyak sepanduk menyokongnya. Hakikat yang tidak dapat lari daripada pemikiran Abdullah ialah, apakah mereka semua ini boleh dipercayai?

Persoalannya ialah kepercayaan. Ikrar taat setia bukan melambangkan kepatuhan, banyak yang terpaksa. Soalnya apakah Abdullah sekarang ini boleh mempercayai timbalannya?

Ataupun apakah Najib boleh selesa dan merasakan selepas begitu banyak kenyataan menyokong Abdullah, apakah Abdullah akan mempercayai beliau?

Yang menjadi masalah kepada Abdullah sekarang, siapakah antara anggota Kabinet dan anggota MTnya yang benar-benar boleh dipercayai?

Apakah jaminan semua keputusan Kabinet, mahpun MT tidak disampaikan kepada Mahathir? Jawapannya, Abdullah tidak akan dapat pastikan!

Rakyat Malaysia mengetahui bahawa Abdullah mengambil masa yang lama untuk mengumumkan Najib sebagai timbalannya. Malah Mahathir sendiri yang menggesa Abdullah melantik Najib sebagai TPM!

Dalam beberapa kenyataannya di dalam dan di luar negeri, Mahathir mengulangi desakan supaya Abdullah melantik Najib sebagai timbalannya! Fakta ini tidak harus dilupakan!

Malah orang-orang Umno pun tahu betapa tidak 'ngamnya' allahyarham Datin Seri Endon Mahmood (semasa hayatnya) dengan Datin Seri Rosmah Mansor.

Abdullah lebih rapat dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Malah sewaktu sebelum TPM dilantik, ada rakan yang rapat dengan Muhyiddin memberitahu, dia (Muhyiddin) yakin Abdullah akan melantiknya. Namun nasib tidak menyebelahi Muhyiddin kerana bapanya tidak seperti Tun Razak.

Abdullah mengambil masa yang lama untuk berfikir, namun Abdullah tidak tahan juga dengan desakan Mahathir. Dalam masa yang sama, ada pihak yang menggunakan veteran Umno, khabarnya sehingga dikaitkan dengan institusi Raja, guna untuk melobi Abdullah memilih Najib.
Pengaruh Najib dan orang-orang Najib semasa beliau mengetuai Pergerakan Pemuda Umno dalam MT dan Kabinet tidak dapat dielakkan oleh Abdullah.

Malah sebelum Mahathir menyerang Abdullah pun, sudah timbul saranan dari pihak tertentu untuk menghadkan tempoh Abdullah hanya satu penggal kerana terlalu lemah mentadbir.

Ini belum lagi dengan betapa 'bengang'nya orang-orang Umno kepada 'pengaruh tumpangan' menantu Abdullah, Khairy Jamaludin yang amat hebat dan terpaksa digeruni mereka. Khairy juga menjadi antara punca ketegangan Mahathir-Abdullah.

Justeru Abdullah sedang melalui zaman yang sukar sekarang. Abdullah mengetahui pengaruhnya masih terlalu rapuh, kebencian orang-orang Umno terhadap Khairy juga harus diambil kira, jika Abdullah tersilap langkah, kekuatannya masih belum cukup untuk menongkah arus.

Jawapan balas kerajaan

Setakat ini Mahathir memandang sepi terhadap penegasan sokongan dan jawapan kerajaan mahu pun badan milik kerajaan terhadap kritikan pedasnya.

Mahathir tidak melayan langsung ucapan berapi-api Dato' Seri Idris Jusoh yang menyokong Abdullah di konvensyen Umno Terengganu. Mahathir juga tidak peduli ucapan Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali di Perak.

Bekas Perdana Menteri juga dikatakan tidak berpuashati dengan kenyataan yang diberikan oleh Pengerusi Proton, Dato' Azman Hashim.

Malah beliau memandang sepi jawapan Tan Sri Shamsudin Osman mengenai pembangunan Putrajaya yang didakwanya tidak dibangun mengikuti apa yang beliau rancangkan.

Dato' Seri Syed Hamid Albar masih belum membuka mulut mengenai jambatan bengkok, Rafidah Aziz sahaja yang enggan memberikan jawapan tambahan daripada apa yang telah disebutkan mengenai AP.

Walaupun beberapa agensi dan individu sudah 'membuka mulut' menjawab Mahathir, namun bekas PM itu masih belum berpuashati. Yang amat dibimbangi adalah jawapan balas beliau.

Jika serangan Mahathir hendak dibalas, Abdullah dan anggota Kabinetnya harus mempersiapkan diri dengan perisai. Bak kata Dato' Shahrir Samad, Mahathir mempunyai jawapan di atas semua jawapan .

Kalaupun ada usaha pihak pendokong Abdullah untuk menghentam Mahathir dan mengorek kembali pelbagai kesalahannya selama 22 tahun memerintah. Harus juga diambil kira bahawa Mahathir juga mempunyai banyak 'peluru' yang masih belum dilepaskan.

Mahathir diibaratkan seperti 'wounded tiger', Abdullah masih belum mampu untuk berhadapan dengannya.

(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 22 Jun 2006)

No comments: