Thursday, July 13, 2006

Anwar setuju beri ruang pada Mahathir

Dato' Seri Anwar Ibrahim bersetuju Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan ruang dalam media massa untuk mengkritik Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi namun ini tidak bermakna bekas PM tersebut bersih dan berprinsip.

"Sebagai seorang muslim, saya tidak mahu mengambil sikap yang keterlaluan. Dr Mahathir sekarang dia hendak tegur kerajaan, dia hendak kata tindakan Abdullah Badawi dan kerajaan tidak betul. Kita mesti bagi jalan," kata Anwar.

Berucap dalam majlis pidato sempena perayaan 50 tahun PAS Terengganu baru-baru ini beliau berkata, walaupun Mahathir menjadi pemimpin utama dan penggubal dasar lebih 22 tahun, beliau tidak dapat mengelak daripada tuduhan perompak harta rakyat, pelindung perasuah, perogol dan pencuri permit import (AP)

Katanya semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, Peguam Negara (AG) ketika itu memberikan kepada beliau dua fail yang membabitkan kes rasuah serta salahlaku Dato' Seri Rafidah Aziz dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Menurut Anwar, AG memberitahu beliau kertas pendakwaan hasil siasatan dengan cukup bukti untuk dibawa ke mahkamah tetapi Perdana Menteri (Dr Mahathir) tidak mahu ambil tindakan.

"Saya ambil fail itu dan esoknya, saya pergi jumpa Dr Mahathir. Belum habis saya cakap, Dr Mahathir kata kepada saya: Anwar, ini masalah politik, saya yang buat keputusan, serah kepada saya, jangan dicampur," tegas beliau.

ANwar menyatakan kekesalannya apabila AP yang diperuntukkan untuk rayat 'dirompak' oleh pemimpin Barisan Nasional.

Katanya, " Zaman Dr Mahathir naikkan pangkat, mari Pak Lah Badawi naikkan juga pangkat. Pangkat apa? Pangkat perompak.

"Maknanya, kita menjadi khianat dan kita menipu dan kita menggunakan kuasa yang ada pada kita untuk ‘merompak’ harta negeri dan harta rakyat. Cari pemimpin Umno sekarang ini, mana ada pemimpin Umno, mana ada menteri, mana ada Ketua Pemuda Umno yang hidup serba sederhana. Semuanya ada ratus juta ringgit, ambil wang rakyat, ambil saham rakyat, ambil AP, ambil tanah, ambil kontrak," tegasnya kesal.

Mengulas mengenai perbalahan Mahathir-Abdullah, Anwar mempersoalkan apakah sebenarnya yang direbutkan oleh kedua-dua pemimpin tersebut.

Menurutnya beliau yakin apa yang direbut tersebut bukan bertujuan memperjuangkan pembaharuan untuk rakyat.

"Apakah ada keinginan Perdana Menteri dahulu dan Perdana Menteri sekarang betul-betul bersih kerajaan daripada rasuah? "Soal beliau.

Bagaimanapun kata Anwar beliau masih teringat kata-kata al-marhum Ustaz Fadzil Noor semasa menziarahi beliau di mahkamah, memintanya bersabar dan mendoakan agar Mahathir panjang umur untuk merasai seksanya melihat hasil kezaliman yang dilakukan semasa memerintah

"Sekarang kita tengok bibit-bibit itu dan apa yang disebut oleh almarhum Ustaz Fadzil itu ada kebenarannya," ujar beliau.

(Berita ini disiarkan dalam Akhbar Harakah bilangan 1315 edisi 16-31 Julai 2006)

No comments: