Suasana politik negara sejak beberapa bulan lepas begitu sejuk, perlahan dan tidak bermaya. Walaupun begitu banyak isu yang menjejaskan rakyat seperti isu kenaikan harga minyak, namun parti-parti pembangkang dilihat kekurangan tenaga untuk melonjakkan amarah rakyat.
Jika rakyat hendak mengharapkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, kelihatannya beliau tidak banyak memberikan penumpuan kepada politik dalam negara lantaran kesibukan melayani acara yang bersifat internasional.
Dalam kedinginan iklim politik yang semakin membeku, tiba-tiba bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad memecahkan kesunyian dengan serangan yang bertalu-talu terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Serangan Mahathir terhadap Kerajaan Malaysia bukan sekadar soal isu, bukan setakat soal projek pembangunan, ekonomi, dasar luar dan kepimpinan sahaja, ianya telah mencalarkan peribadi Abdullah dan anggota keluarganya.
Namun, masih banyak orang yang alergi apabila diajukan nama Mahathir, sehingga ada yang berpendapat apa sahaja yang berkaitan dengan beliau tidak harus diterima dan mesti ditolak bulat-bulat.
Malah, kehadiran PAS di pentas terbuka, dengan menghadiri majlis syarahan anjuran NGO di Taman Melawati, 24 Jun lepas turut menjadi sasaran hanya kerana Mahathir.
Rupanya selepas meninggalkan takhta yang diterajuinya selama 22 tahun menjadi PM, masih begitu ramai rakyat yang amat membenci, malah memandangnya begitu jijik sehingga orang yang mendekati Mahathir turut menerima tempiasnya.
Sebenarnya sebelum Mahathir mencetuskan isu, pemimpin PAS secara terbuka menyarankan supaya Mahathir, Abdullah dan Anwar 'duduk semeja' untuk sama-sama membantu menyelesaikan permasalahan orang-orang Melayu dari segi politik, ekonomi dan sebagainya.
Malangnya mereka yang dijulang rakyat sebelum ini sebagai pemimpin berwibawa danberpengaruh enggan melayan saranan PAS itu.
Selama ini PAS begitu komited mempertingkatkan engagement dengan semua sektor masyarakat dan sedia berunding dengan siapa sahaja demi kepentingan negara.
Engagement politik PAS begitu jelas, walaupun terbuka, PAS tidak akan lari daripada prinsip perjuangan dan syariat Islam. Ini yang PAS pegang sama ada berurusan dengan Abdullah, Anwar apatah lagi dengan Mahathir!
Sejak tahun lepas PAS mengutus surat kepada Abdullah mencadangkan suatu pertemuan dan dialog diadakan untuk tujuan kepentingan Islam, perpaduan Melayu dan kestabilan masyarakat, namun Abdullah terus membisu.
Hubungan terbuka PAS dengan Anwar sudah sekian lama terjalin. Namun sehingga kini, Anwar masih belum dapat membebaskan diri daripada dakwaan bahawa beliau akan kembali ke dalam Umno, walaupun secara terbuka menafikannya berkali-kali.
Pilihan raya umum dilihat sudah semakin hampir. Pembangkang masih gagal disatukan. Ramai kalangan penyokong pembangkang dan reformis mengharapkan selepas Anwar bebas tahun 2004, beliau menerajui Barisan Alternatif untuk bertembung dengan BN.
Namun selepas hampir dua tahun, Anwar masih belum menunjukkan komitmennya untuk menjadi penerajui utama gerakan pembangkang menentang kezaliman BN seperti yang dialaminya sejak September tahun 1998 yang lalu.
Politik harus disuburkan, gerakan rakyat menuntut ke arah pendemokrasian yang sejati mesti terus digerakkan, namun segala-galanya dilihat tidak lancar apabila pemimpin yang banyak bercakap soal keadilan dan demokrasi belum betul-betul komited.
PAS tiada hubungan dengan Mahathir. Selama lebih 22 tahun PAS bertembung dengan Mahathir.
Pemimpin PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ketika itu Timbalan Presiden PAS) pernah duduk sepentas dengan Mahathir dan Abdullah pada 2002, itupun menemani al-Marhum Dato' Fadzil Noor (meninggal 23 Jun 2002) dalam isu Palestin di di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Selepas empat tahun pemergian Ustaz Fadzil, hanya pada 24 Jun 2006, pemimpin PAS bertemu kembali dengan Mahathir, bukan bersama di atas pentas terbuka, tetapi pada majlis anjuran NGO, untuk mendengar pandangan bekas PM terhadap isu-isu kritikal dalam negara.
Ianya adalah majlis terbuka. Tiada apa yang hendak disembunyikan dan tiada langsung perundingan sulit dengan Mahathir.
Mahathir tahu bahawa kehadiran pemimpin PAS bukan hendak menyokongnya, Mahathir juga tahu bahawa PAS begitu konsisten mengkritiknya.
Mahathir tahu bahawa kehadiran pemimpin PAS hanyalah untuk mendengar segala kritikannya ke atas Abdullah dan sebagai orang lama dalam politik, Mahathir begitu cerdik dan faham bahawa PAS akan mengeksploitasi segala isu yang dibangkitkannya untuk tujuan politik PAS.
Mahathir pula sama sekali tidak akan bekerjasama dengan PAS kerana beliau komited dengan Umno.
PAS juga tetap berpegang kepada prinsip bahawa ketika Mahathir menjadi PM beliau adalah diktator.
PAS sama sekali tidak akan mengubah tanggapan terhadap Mahathir. PAS tahu bahawa Mahathir tidak hipokrit dalam menyerang PAS sebelum ini. Melainkan beliau benar-benar bertaubat dan kembali ke jalan Allah, Islam mewajibkan kita menerimanya.
Lebih 22 tahun Mahathir memerintah, walaupun 22 soalan salah laku diajukan kepada beliau sepanjang pemerintahannya, apakah rasional kita hendak menyalahkan Mahathir seorang sahaja?
Jika kita hendak babitkan kesalahan pemerintahan BN di bawah Mahathir, secara jujurnya ia harus membabitkan semua pihak sama ada mereka berada di dalam atau di luar Umno.
Inilah prinsip keadilan sebenar iaitu pemimpin yang menerajui kerajaan mempunyai collective responsibility, harus dipertanggungjawabkan di atas segala semua kemungkaran yang dilakukan semasa duduk ditampuk kuasa.
PAS berada dilandasan politik yang betul. Kematangan pemimpin PAS tidak harus dipertikaikan. Fikirkan sendiri, mana lebih mudarat di antara 'menghadiri ceramah Mahathir yang tidak berkuasa dipentas terbuka yang boleh dilihat sesiapa sahaja' dibandingkan dengan, misalnya 'berunding secara sulit dengan elit berkuasa, tanpa diketahui sekutu politik lainnya?
(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 13 Julai 2006)
No comments:
Post a Comment