Cuti 15 hari Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berakhir, namun kekusutan untuk berhadapan dengan bekas mentornya Tun Dr Mahathir Mohamad sukar terlerai.
Selepas Mahathir melemparkan kritikan bertalu-talu terhadapnya, namun Abdullah Ahmad Badawi masih diam membisu. Cuti dua minggunya amat menyeksakan. Dato' Seri Najib Tun Razak ternyata tidak boleh diharapkan untuk mengemudi, para Menteri dan media nampaknya gagal membantu.
Kenyataannya, kebimbangan dan keraguan Abdullah terhadap kewibawaan anak-anak buahnya semakin terserlah.
Jika ada pun menteri yang lantang mengecam Mahathir, ahli-ahli Umno di seluruh negara bangkit menempelak.
Taklimat Menteri Luar, Dato' Seri Syed Hamid Albar kepada Umno Selangor baru-baru ini dilaporkan begitu negatif. Hinggakan beberapa orang Ketua Umno Bahagian menyatakan kecaman terbuka dalam majlis tertutup tersebut terhadap Syed Hamid.
Malah taklimat Menteri Pertanian, Tan Sri Muhyidin Yassin kepada Umno Perak disambut dengan begitu hambar sehingga ramai yang 'angkat kaki' meninggalkan majlis.
Timbalan Menteri Penerangan, Dato' Zahid Hamidi juga dilaporkan ditempelak pelajar semasa membangkitkan isu Mahathir di minggu orientasi sebuah universiti tempatan.
Itu pun kalau ada, hanya Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz sahaja yang berani bersuara secara terbuka, sudah menerima tempelak yang maha hebat dari orang-orang Umno seluruh negara.
Nazri dikecam dan digesa bersopan bila bercakap terhadap Mahathir. Bukan setakat itu, Nazri digesa dipecat kerana elemen 'kurang ajar'nya keterlaluan. Itulah lain kali dengar pesan orang tua-tua, 'kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga'.
Sehingga ada juga sumber dalaman Umno yang menyatakan menantu Abdullah sendiri, Khairy Jamaludin turut digesa berundur sebagai Naib Ketua Pemuda Umno.
Natijahnya Umno sudah terpecah dua! Bukan sahaja di peringkat cawangan, bahagian, malah Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri turut terbahagi dua.
Ahli-ahli Umno semakin pening. Siapa yang mereka hendak ikut, siapa yang mereka hendak percaya.
Ibaratnya lari ke hulu punah, lari ke hilir musnah. Umno sudah semakin caca marba, tetapi media cuba menutup pekungnya, supaya rakyat tidak tercium bau.
Siapa yang berkuasa sebenarnya?
Inilah persoalan yang sebenar bermain difikiran orang-orang Umno. Sukarnya memilih, antara Mahathir dengan Abdullah.
Mahathir sudah bersara, namun dalam pertembungan ini, beliau dilihat seolah-olahnya berada di pihak yang menang. VCD syarahannya bersepah menjadi bahan tontonan hangat rakyat di seluruh negara.
Buruk bagaimanapun serangannya terhadap Abdullah, di hati orang-orang Umno, Mahathir adalah arkitek pembangunan Malaysia moden yang amat dikagumi dan disanjungi mereka.
Biarpun Abdullah sebagai PM, namun mudah-mudah sahaja diperlekehkan Mahathir, seolah-olah dia tiada kuasa. Abdullah adalah Presiden Umno, namun beliau gagal menyatupadukan Umno sehingga terpecah dua.
Abdullah hanya memberikan signal bahawa beliau adalah pemimpin yang tidak 'berkuku' dalam Umno.
Rakyat yang menyokong Abdullah juga semakin goyah. Apakah diamnya Abdullah seperti 'tanda setuju' dan mengiyakan semua tuduhan Mahathir? Apa yang Abdullah tunggupun rakyat termanggu-manggu tidak mengetahui.
Kata mereka, kalau anda PM kami buat lah cara PM yang berkuasa dan menutup semua kelemahan seberapa segera. Kata orang Umno, kalau anda presiden kami jangan biarkan Umno terus berpecah.
Ternyata Abdullah sudah semakin terhimpit sekarang. Masa depannya sudah semakin dipersoalkan.
Jika dia bacul bertindak, masanya ditampuk kuasa tidak lama, bila-bila masa akan dilucutkan oleh kuncu-kuncu Mahathir.
Apakah langkah yang wajar dibuat? Jika mahu maruah terpelihara, jika tidak mahu namanya tercemar, Abdullah harus berani ambil risiko, lakukan pembersihan segera dalam kerajaan dan Umno, bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk kepentingan negara.
Kegagalan orang tengah
Ramai yang beriya-iya hendak menjadi orang tengah, kononnya boleh menjadi perantara untuk mendamaikan antara Mahathir dan Abdullah.
Tun Khalil Yaakub tidak mampu menjadi pendamai. Beliau hanya terjumpa Mahathir semasa melawat rakan mereka di hospital. Selepas itu Mahathir mempelawanya singgah ke rumah dan berbicara.
Khalil tidak boleh jadi pendamai, Mahathir juga tidak perlukan sesiapa kerana beliau hendak handle isu ini, dengan caranya tersendiri.
Cuma yang beriya-iya sangat hendak menjadi orang tengah ialah Dato' Zainuddin Maidin yang dikenali sebagai Zam.
Khabarnya kenyataan memandai-mandai Zam untuk mencari dan menjadi orang tengah tidak direstui Abdullah. Najib juga jelas tidak menyukainya.
Zam tiada mandat dari sesiapa, dia juga bukan anggota MT Umno. Beliau hanya hendak mencari populariti, hakikatnya orang-orang Umno tidak perlukan Zam dalam isu ini.
Sebab itu, dilaporkan Najib meminta Zam diam dan tidak bercakap lagi isu ini.
Seorang lagi yang disebut sebagai orang tengah adalah tokoh korporat kroni Mahathir, Tan Sri Ananda Krishna.
Dilaporkan Mahathir dan keluarga bercuti dan menggunakan kapal mewah milik Ananda di Greece.Sebelum ini dilaporkan Ananda juga pernah bercuti bersama Abdullah Badawi.
Ananda sebenarnya tidak campur dalam isu politik. Beliau mendapat manfaat yang besar semasa Mahathir menjadi PM. Selepas Mahathir bersara, beliau dilihat berbuat baik pula dengan Abdullah.
Sehingga ramai orang korporat beranggapan bahawa Ananda sudah meninggalkan Mahathir dan menyokong Abdullah.
Ananda bimbang Mahathir juga beranggapan bahawa beliau sudah berpaling tadah. Bercuti bersama Mahathir adalah jalan yang paling baik untuk memujuk Mahathir bagi mengelakkan daripada termasuk dalam kelompok manusia yang jadi sasaran Mahathir.
Sebenarnya, pada Abdullah, buat apa dia hendak melayan orang tengah?
Masalah politik negara yang ada sekarang ini dicetuskan oleh Mahathir, bukan dia. Pada Abdullah, orang tengah tak payah jumpa dia, jumpa sahaja Mahathir dan suruh dia 'tutup mulut.'
Jika Mahathir diam, masalah akan selesai.
Khairy terpaksa mengambil alih tugas
Isu pembatalan Jambatan Bengkok dibangkitkan Mahathir sejak April lepas lagi, kemudiannya diulangi secara terbuka dan jelas pada 24 Jun lepas. Abdullah enggan menjawabnya, malah mengarahkan menteri yang bertanggungjawab.
Kabinet membuat arahan semua menteri menjawab isu dibangkitkan Mahathir. Selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Abdullah sendiri mengulanginya berkali-kali mengarahkan menteri menjawab.
Dato' Seri Rafidah Aziz, awal-awal lagi menolak arahan Abdullah dengan menyatakan beliau tidak akan menjawab atau menambah apa-apa dari isu AP yang telah dijelaskan.
Syed Hamid adalah menteri yang paling banyak dipertikaikan. Selepas lebih dua bulan Mahathir mula mengkritik isu jambatan, beliau masih gagal memberikan jawapan yang sebenar.
Syed Hamid bukan tidak tahu atau tidak faham serangan Mahathir. Beliau sendiri yang menghantar pegawainya menghadiri majlis syarahan Mahathir pada 24 Jun lepas di Taman Melawati.
Semuanya amat jelas, sudah tentu Syed Hamid merupakan antara menteri yang paling awal mendapat maklumat.
Malangnya beliau lambat bertindak seperti yang diharapkan Abdullah. Isu ini membuktikan bahawa Syed Hamid adalah menteri yang paling lemah dan tidak boleh diharapkan sama sekali.
Sehingga JPM terpaksa mengambil alih menjawab Mahathir. Kerja siapa lagi kalau bukan orang yang dituduh Mahathir (pegawai di tingkat empat JPM - dipercayai Khairy Jamaludin) yang lebih berkuasa dari PM sendiri?
Dedah dokumen hanya mendedahkan 'double-standard' BN
Dalam sejarah pentadbiran kerajaan di dunia moden ini, belum ada lagi negara-negara yang begitu desperate sehingga terpaksa 'mendiklasifikasikan' maklumat rahsia kerajaan untuk pengetahuan awam.
Dokumen yang dikawal dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) terpaksa diisytiharkan tidak rahsia semata-mata untuk menjawab pertuduhan Mahathir.
Isunya di sini bukan soal yang mana benar yang mana salah (antara dakwaan Mahathir dengan penjelasan kerajaan), tetapi bagaimana rapuhnya pentadbiran sebuah kerajaan sehingga terpaksa mengemukakan dokumen rahsia yang berkaitan dengan maruah dan hubungan diplomatik, semata-mata untuk menjawab dakwaan tuduhan seorang rakyat?
Atau apakah Kerajaan BN yang mendokong dan mempertahankan semua tindakan Mahathir semasa menjadi PM, bersedia untuk melondehkan keburukan Mahathir serta memperakui semua sokongan terhadap Mahathir dahulu sebagai suatu kesilapan?
Ingatlah, sama ada Mahathir atau Abdullah jadi PM, ini kerajaan BN juga, bukan kerajaan lain! Di mana maruah dan integriti kerajaan?
Malangnya bagi rakyat Malaysia, kita mempunyai kerajaan yang tiada integriti, tiada akauntibiliti, tiada collective responsibility dan mempunyai menteri-menteri yang bersikap double-standard!
Hakikatnya hampir 3/4 anggota Kabinet Malaysia adalah orang yang sama ketika Mahathir menjadi PM, bersuara lebih lantang mendokong dasar Mahathir dengan Singapura,kini, orang yang sama juga mengiyakan bahawa semua tindakan Mahathir (isu jambatan) suatu kesilapan?
Rakyat kini tertanya-tanya, di mana perginya maruah mereka? Apakah mereka memakan wang rakyat mendapat gaji buta semata-mata untuk menjadi pak angguk?
Rakyat juga menunggu selepas ini, untuk kerajaan diklasifikasikan dokumen-dokumen rasuah yang membabitkan 'Ratu AP' negara, jika kerajaan benar-benar telus dan benar.
Apakah Mahathir boleh diam?
Jika Abdullah menerima sambutan hangat di Lapangan Terbang TUDM Subang, sekembalinya dari Australia, maka penyokong Mahathir sudah sedia menyediakan sambutan yang lebih hangat daripada itu.
Orang Umno yang menyokong Mahathir dibantu oleh sekumpulan profesional Melayu muda bersedia menganjurkan himpunan besar-besaran menyambut kepulangan Mahathir 22 Julai ini.
Kumpulan ini menamakan diri mereka sebagai Gen M atau generasi Mahathir mempunyai lebih 500 ahli. Mereka menggerakkan laman web sendiri di alamat; http://www.tdm2020.homestead.com.
Mereka adalah generasi muda yang membesar dan mendapat pendidikan tinggi hanya di bawah seorang sahaja PM iaitu Dr Mahathir Mohamad.
Khabarnya selepas ini lebih banyak diaturkan pertemuan antara Mahathir dengan rakyat di seluruh negara. Selain Kelantan pada 28 Julai ini, Mahathir dijadualkan mempunyai road show di Perak, Pahang dan Kedah.
Sekarang ini adalah musim mesyuarat agung Umno cawangan yang diadakan. Khabarnya beberapa buah cawangan di Kubang Pasu bersedia untuk mencalonkan Mahathir menjadi perwakilan bahagian untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno dijadualkan hujung November ini.
Umno Kedah dalam keadaan yang serba salah sekarang. Pengerusi Perhubungannya yang juga Menteri Besar Dato' Seri Mahzir Khalid (bekas Setiausaha Politik Abdullah) tidak dapat berbuat apa-apa kerana beliau dikelilingi oleh orang-orang kuat bekas PM.
Jika Mahathir berjaya menempatkan diri sebagai perwakilan Kubang Pasu, jika Mahathir berucap dalam perhimpunan Umno sebagai wakil Kedah, menyerang Presiden Umno, peribadi, keluarga dan dasar kerajaan, di mana Abdullah hendak meletakkan muka?
Kebiasaannya media milik kerajaan dipergunakan sepenuhnya menyiarkan perhimpunan Umno secara langsung, apakah jika Mahathir berucap 'rancangan akan tergendala sebentar'?
(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 17 Julai 2006)
1 comment:
Bila nak perang?
Post a Comment