Wednesday, January 09, 2013

Sabah pencetus gelombang kejatuhan Umno-BN


Tanya sama Najib apa sebab goyang
Najib nanti jawab Sabah nak hilang
Najib sangat takut Sabah akan tumbang
Kerna dia jadi Ketua Pembangkang


Inilah antara bait-bait lagu yang dinyanyikan beramai-ramai rakyat Sabah yang berhimpun di setiap program anjuran Pakatan Rakyat.

Penulis bersama Dato' Yahya Lampong di Kota Kinabalu.
Lagu ini dikumandangkan dengan penuh semangat, beserta dengan slogan 'Ini kalilah', secara terbuka dan lantang, lambang kesungguhan rakyat Sabah yang tidak mahu lagi menjadi 'fix deposit' BN.

Kesungguhan ini dicernakan dengan kesepaduan kerjasama di antara PAS, KeADILan dan DAP. Ditambah dengan dua orang tokoh politik utama di Sabah iaitu Dato' Seri Lajim Ukin dan Dato Seri Wilfred Bumburing.

Umno Sabah bertambah parah apabila bekas bendaharinya, Tan Sri Ibrahim Menudin dan tokoh veteran Dato' Yahya Lampong tekad keluar Umno, malah berkerja keras untuk menumbangkan Umno-BN di Sabah.

Pada kesempatan yang terhad dalam kunjungan ke Sabah Sabtu lepas, penulis berjumpa seberapa ramai pemimpin Sabah, yang semuanya bekas pemimpin Umno, bekas PBS yang kesemuanya di dalam BN suatu ketika dahulu.

Selain bertemu dengan kepimpinan PAS Sabah, yang diketuai Pesuruhjayanya Mohd Aminudin Aling, penulis berkesempatan menemuramah Lajim, Yahya, Ibrahim dan Wilfred.

Dengan masa yang sangat terhad tidak mungkin kita dapat menjelajah ke seluruh negeri kerana Sabah merupakan negeri yang kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak dan terletak di utara pulau Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia.

Sabah juga dikenali sebagai 'Negeri Di Bawah Bayu' kerana kedudukan negeri tersebut yang berada hanya di bawah laluan monsun.

Jumlah pendudduk Negeri Sabah kini dianggarkan sebanyak 3,206,742 orang dan Negeri Sabah merupakan Negeri yang paling berbilang Kaum di Malaysia. Antara Kaum-kaum yang terdapat di Negeri ini ialah Kaum Kadazan-Dusun, Murut, Lun Bawang/Lun Dayeh , Bajau, Melayu-Brunei, Rungus, Orang Sungei, Idahan, Illanun (Iranun), Kedayan, Bisaya, Bonggi, bumiputera Sabah yang lain serta masyarakat minoriti yang lain seperti pendatang daripada Filipina seperti Suluk ( Tausug ) dan Yakan dari selatan Filipina, serta masyarakat Jawa, Bugis dan Timor dari Indonesia yang telah hidup aman dan makmur sejak sekian lama.

Justeru, bagi orang Sabah, mereka percaya pengaruh pemimpin pada sesebuah suku kaum, dapat mempengaruhi pola pemikiran pengundi. Tiga tokoh etnik Melayu digelar 'Raja' dari kalangan kaum mereka. Bukan Raja seperti Sultan. Kesultanan Sulu di Sabah sudah tidak dominan dalam pemerintahan.

Lajim dianggap sebagai 'Raja Bisaya'. Yahya digelar 'Raja Bajau'. Manakala Ibrahim dianggap 'Raja Brunei'. Suku kaum Melayu Brunei lebih ramai di Sabah berbanding di Negara Brunei Darussalam.

Sementara bagi kaum bukan Islam dari kalangan Dusun, Wilfred dianggap sebagai ikon dalam suku kaum mereka. Jika dahulu Dato' Seri Pairin Kitingan yang mengetuai PBS dianggap ketua, namun sejak kesungguhan kaum Dusun menolak BN, pengaruh Pairin sudah semakin terhakis.

Sejak tahun 1960-an, politik Sabah dicorakkan dengan pengaruh etnik dan kecenderungan sesebuah kaum. Sabah mempunyai 60 kawasan Dewan Undangan Negeri. 30 kerusi majoriti Islam, 22 kawasan majoriti Kadazan-Dusun-Murut, manakala 8 Dun majoriti kaum Cina.

Di Sabah Kadazan-Dusun-Murut atau KDM ini memainkan peranan yang amat penting daam mencorakkan trend politik. Kaum Cina Sabah sudah solid menolak BN. Justeru lapan kawasan Dun, dilihat tidak bermasalah untuk dikuasai Pakatan Rakyat.

Manakala sekarang ini, KDM sudah bijak berpolitik. Dalam sembang-sembang penulis Wilfred berpendapat, majoriti kaum Bumiputera bukan Islam, sudah semakin berani dan lantang menolak Umno-BN.

Apa yang penting, bagi rakyat Sabah, pembangkang kini sudah mempunyai platform yang kuat bagi menggantikan Umno-BN.

Apabila mengunjungi kawasan pedalaman khususnya kampung-kampung yang mempunyai ramai penduduk beragama Kristian, penulis mendapati mereka tidak lagi segan silu memakai baju-bajum menggantungkan banner dan poster yang tertera lambang PAS, bersama KeADILan dan DAP.

Hakikat ini diakui sendiri Pesuruhjaya PAS Sabah.

"Kalau dahulu rakyat Sabah lebih takutkan PAS daripada harimau. Tetapi hari ini, mereka sangat menerima kita dan mengalu-alukan kita.

"Di Kota Belud, kami mengadakan dialog dan pertemuan dengan masyarakat Kristian, mereka secara terbuka mahu mendengar daripada PAS, mahu tahu mengenai hudud dan sebagainya," kata Aminudin.

Apa yang dikatakan Aminudin ini diperakui pengasas APS, Wilfred Bumburing.

"Baru-baru ini saya hadir dalam satu majlis di Sabah bersama Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam), setelah mendengar tentang isu hudud dan isu salun di Kelantan, masyarakat Dusun tidak punyai apa-apa masalah dengan PAS, mereka boleh menerima PAS.

"Saya cadangkan agar pemimpin PAS kerap berkunjung dan mengadakan dialog dengan rakyat Sabah," ujarnya.

Dari sudut persepsi terhadap PAS, hasil kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat, rakyat Sabah sudah semakin mengenali PAS dan menerima PAS sebagai salah sebuah parti Islam yang mempunyai pengaruh yang besar dalam negara.

Propaganda musuh, yang cuba menjauhkan PAS dengan orang Melayu dan golongan bukan Islam semakin hari semakin menemui kegagalan.

Sewaktu berucap merasmikan NGO baru, PPPS, di hadapan lebih 3000 perwakilan, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mempertegaskan nilai-nilai bersih rasuah dalam pemerintahan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat selama lebih 22 tahun harus dijadikan contoh terbaik.

Anwar turut membidas kedangkalan Umno-BN, yang menghentam dan memfitnah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam isu 'Amanat Haji Hadi'.

"Tuan Guru Hadi meminta ruang untuk menjawab isu tersebut di dalam televisyen, mengapa Umno takut hendak berikan ruang kepada beliau, sedang beliau dikecam dan difitnah siang malam oleh Umno," tegas Anwar.

Yang penting pada waktu ini, segala propaganda Umno-BN sudah tidak berjaya mengelirukan persepsi rakyat Sabah.

Dari sudut politik, rakyat Sabahlah di antara yang paling cergas menukar kerajaan. Mereka pernah dipimpin USNO, kemudian Berjaya, PBS, gabungan PBS & USNO dan kemudiannya Umno-BN berkuasa dalam peristiwa Adun lompat parti.

Jika dahulu rakyat Sabah dianggap mudah dirasuah oleh Umno. Tetapi tidak lagi kali ini.

"Rakyat Sabah akan ikut seperti rakyat Kelantan, kalau Umno-BN bagi duit, mereka akan ambil, tetapi tidak akan beri undi.

"Apa rasuah pun sudah tidak boleh jalan," tegas Lajim kepada penulis.

Kita boleh lihat sendiri dengan jelas di Sabah, jentera Umno-BN kelihatan sudah tidak bermaya menghadapi gelombang rakyat.

Mereka sudah semakin marah dengan Umno, khususnya Ketua Menteri, Dato' Musa Aman yang didakwa hanya mementingkan segelintir kroni di sekelilingnya.

Isu wang RM40 juta juga turut memberi tekanan kepada dalaman Umno. Mereka sudah tidak mempercayai Musa Aman, malah kedudukan abangnya, Dato' Seri Anifah Aman di Kimanis juga dilaporkan sudah goyang.

Rakyat Sabah sudah membulatkan tekad. Ini kalilah! Mereka mahu jatuhkan Umno-BN, bukan sahaja di Sabah, malah bertekad menjadikan PM Najib sebagai Ketua Pembangkang selepas PRU ke-13 nanti.

No comments: