Peserta Himpunan Oren. |
Memorandum itu antara lain mempunyai tuntutan kepada pihak Istana agar segera campurtangan dalam isu FGVH demi masa depan peneroka Felda.
Berikut adalah sorotan memorandum GSF :
Latar Belakang Penyenaraian Felda Global Ventures
Ketika pembentangan bajet 2012 tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan untuk menyenaraikan Felda melalui anak syarikatnya Felda Global Ventures Holding Berhad di Bursa Malaysia.
Penyenaraian FGV ini melibatkan aset-aset berharga milik Felda. Antaranya tanah Felda Plantation berjumlah 360 hektar dan tanah-tanah milik Felda dan peneroka yang belum menerima hak milik.
Felda Plantation ini merupakan pendapatan utama Felda selama ini dan menyumbang sebanyak RM2 bilion purata setahun.
Selain itu, penyenaraian juga hendak dilibatkan aset-aset milik Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).
Ia disertai oleh peneroka, anak-anak peneroka dan kakitangan Felda sebagai ahlinya. Setiap tahun KPF membayar dividen sebanyak 10-16 peratus. Walaubagaimanapun, setelah melalui beberapa kali Mesyuarat Agung Khas KPF, Felda gagal mendapatkan kelulusan menyenaraikan aset KPF dan aset-asetnya dalam 10 anak syarikat Felda Holding yang dipegang KPF.
Sepanjang usaha penyenaraian ini, berlaku beberapa peristiwa kontroversi. Diantaranya, Pengarah Besar Felda, Dato' Zulkefli Abdul Wahab yang mengetuai seluruh pentadbiran dan kakitangan Felda telah diarahkan bercuti selama sembilan bulan.
Setelah melalui proses lebih setengah tahun, maka pada pada 28 Jun 2012 yang lalu, rasminya FGV disenaraikan di Bursa Malaysia.
Justifikasi Penolakan Penyenaraian
Setelah diteliti pelan penyenaraian dan rentetan peristiwa yang berlaku dalam Felda dan sepanjang proses penyenaraian ini, maka kami Gabungan Ngo-Ngo Gerakan Selamatkan Felda (GSF) dengan ini menentang penyenaraian yang telah dilakukan pada 28 Jun 2012 lalu diatas mudharat-mudharat yang telah dan akan menimpa Felda dan warganya. Berikut sebahagian sebab penentangan:
1. Penyenaraian FGVHB Menyebabkan Pemilikan dan Penguasaan Peneroka ke atas Tanah Felda dan Aset yang lain Berpindah kepada Pelabur-pelabur Bukan Peneroka
Walaupun terdapat bantahan kuat daripada peneroka-peneroka Felda dan pihak-pihak yang bersimpati dengan mereka, pihak berkuasa Felda di bawah pimpinan Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dengan restu dari Perdana Menteri yang bertanggungjawab di atas Felda, tetap juga meneruskan pelan penyenaraian syarikat FGVHB pada 28 Jun 2012.
Akibatnya, tanah Felda di bawah Felda Plantation Sdn. Bhd. dan lain-lain harta yang selama ini merupa “itek angsa yang mengeluarkan telor emas” kepada Felda dan peneroka Felda terlepas kepada orang lain.
Dari kesemua jumlah saham FGVHB yang diapongkan(2.2 bilion unit saham) hanya 2.5 peratus diperuntukkan kepada peneroka dan 97.5% saham syarikat FGVHB kini dimiliki dan dikuasai oleh pelabur-pelabur bukan peneroka.
Dengan kata lain, ladang kelapa sawit dan getah yang diletakkan di bawah Felda Plantation Sdn. Bhd. dan pelbagai lagi anak syarikat Felda yang menjana untung yang disuntikkan kepada FGVHB telah terlepas dari tangan peneroka kepada pelabur-pelabur yang tidak ada kena-mengena langsung dengan usaha membangunkan tanah dari hutan belantara sehingga menjadi ladang yang luas itu.
2. Pemajakan Tanah Felda kepada Syarikat Swasta Menyalahi Akta Penempatan Berkelompok (Group Settlement Act) 1960
Dalam hal ini, perlu diimbau kembali sejarah awal secara ringkas penubuhan Felda.
Ia bermula dengan pengenalan Akta Penempatan Berkelompok, 1960 (Group Settlement Act 1960) yang dibentangkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak Bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, di Parlimen pada 27 April 1960. Dalam pembentangan itu beliau memberitahu bahawa matlamat GSA 1960 ialah untuk memberi tanah kepada rakyat yang tidak bertanah (giving land to the landless) serta menambah pemilikan tanah yang tidak mencukupi kepada penduduk luar bandar untuk membolehkan pencarian nafkah yang sempurna.
Bahawa Felda telah menyalahgunakan tanah yang diberikan oleh kerajaan-kerajaan negeri (yang diwartakan sebagai Rancangan Tanah Berkelompok) terbukti apabila Felda sendiri mengusahakan tanah itu dengan menubuhkan Felda Plantation Sdn. Bhd. Sejak diperbadankan pada 13 Januari 1992, FPSB telah mengambilalih semua tanah Felda yang tidak diisi peneroka.
Sehingga kini, tanah Felda yang tidak berpeneroka yang telah dipungut oleh FPSB berjumlah 380,180 hektar (840,245 ekar). Kerajaan negeri tidak dibayar apa-apa dari hasil tanah ini yang keuntungan tahunannya mencecah berbilion-bilion ringgit. Tanah ini pulalah yang telah lupuskan kepada FGVHB, sebuah syarikat swasta yang kini berstatus syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mana pemiliki sahamnya akan terdiri daripada pelabur-pelabur bukan-peneroka termasuk pelabur-pelabur asing.
Jelas bahawa pemindahan milik tanah di bawah Felda Plantation Sdn. Bhd. kepada FGVHB adalah menyalahi GSA 1960 dan bertentangan sama sekali dengan syarat pemberian tanah itu kepada Felda oleh kerajaan-kerjaan negeri. Persoalannya: Apakah yang akan terjadi kepada status penyenaraian FGVHB (jika diluluskan) sekiranya ada pihak bekepentingan, misalnya peneroka sendiri atau koperasi atau kerajaan-kerajaan negeri, membawa perkara ini ke mahkamah memohon GSA 1960 dikuatkuasakan? Kami telah pun menanyakan hal ini dengan pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dalam memorandum kami bertarikh 28 Mei 2012 tetapi pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memilih untuk membisu dalam hal ini dan meluluskan penyenaraian saham FGVHB.
Pelanggaran undang-undang secara terang-terangan seperti yang dihuraikan di atas sudah cukup untuk menjadi alasan supaya penyenaraian FGVHB di Bursa Malaysia dibatalkan dengan segera.
3) Penglibatan Pengerusi Felda yang hilang integriti
Umum mengetahui, Pengerusi Felda yang dilantik oleh Perdana Menteri iaitu Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana terlibat dengan rasuah. Begitu juga dengan CEO FGVHB Dato' Sabri Ahmad yang sebelum ini mempunyai rekod buruk ketika mengetuai Golden Hope. Oleh itu, penglibatan mereka berdua dalam mengepalai penyenaraian ini mendatangkan keraguan dan kebimbangan kepada ketelusan dan integriti penyenaraian.
4) Kehilangan 75 peratus pendapatan Felda
Felda yang selama ini berbelanja sebanyak RM2 bilion untuk mengurus pentadbiran dan pengurusan ladang dan rancangan Felda akan kehilangan pendapatan sebanyak 75 peratus. Ini kerana, dengan penyenaraian yang berlaku, tanah Felda Plantation yang menyumbang RM2 bilion selama ini dipajak kepada FGVHB. Pajakan ini hanya memberi bayaran kepada Felda beserta keuntungan dijangka sebanyak RM508 juta sahaja. Bermakna, Felda kekurangan RM1.5 bilion untuk menguruskan pentadbirannya. Secara langsung ia memberi kesan kepada peneroka dan kakitangan Felda. Kehilangan pendapatan ini, jelas kesan buruk daripada penyenaraian yang dilakukan.
Daripada RM2 bilion perbelanjaan Felda ini, sebanyak RM500 juta digunakan untuk kos pengurusan dan pentadbiran Felda dan bakinya melibatkan perbelanjangan pembangunan ladang peneroka, kebajikan peneroka, pinjaman sara hidup peneroka sepanjang proses tanam semula, kos baja dan lain-lain kos berkait rapat peneroka.
Namun apabila Felda hanya menerima RM508 juta selepas penyenaraian, menyebabkan peneroka menerima kesan buruk utama.
5. Kes Terdahulu: Jutawan Gagal di Lima Buah Felda
Sudah diketahui umum kegagalan Felda dalam kes pembangunan di Felda Cahaya Baru, Masai Johor, Felda Labu Jonson dan Sendayan di Negeri Sembilan, Felda Bukit Cerakah dan Felda Sungai Buaya di Selangor. Peneroka-peneroka Felda ini dijanjikan menjadi jutawan setelah tanah mereka diambil untuk dibangunkan dengan projek perbandaran baru dan pelbagai lagi.
Namun setelah hampir 20 tahun menanti, mereka tidak mendapat bayaran penuh sebagaimana dijanjikan, malah ada diantaranya hanya menerima tidak sampai 10 peratus wang dijanjikan. Dalam masa yang sama tanah ladang mereka telah diambil.
Berdasarkan beberapa fakta keburukan penyenaraian yang berlaku dan kes-kes terdahulu, maka hari ini patik gabungan ngo-ngo Gerakan Selamatkan Felda (GSF) dengan ini menolak penyenaraian yang telah dilakukan dan memohon kepada Seri Paduka Baginda Tuanku untuk meminta kerajaan membatalkan segera penyenaraian tersebut.
No comments:
Post a Comment