Thursday, July 05, 2012

Adili Uncle Seekers di mahkamah terbuka

Adili Syed Abdullah sebaik-baiknya
Saya tidak begitu mengenali Syed Abdullah. Tetapi saya mengenali agak rapat dengan ayahanda beliau, SH Alattas atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Habib. Satu waktu dahulu saya sering berkunjung ke teratak Pak Habib di Kg Janda Baik, tetapi tidak pernah bersemuka dengan Syed Abdullah. Malah saya pernah membawa puluhan pimpinan PAS Wilayah Persekutuan, untuk qiamullail di atas padang rumput di tepi alur sungai teratak mereka.

Syed Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Uncle Seekers, barangkali sudah mengetahui apa risiko yang bakal beliau lalui ketika 'membikin' blog yang begitu lantang mengkritik Sultan Johor dan Kerabatnya.

Blog beliau ternyata amat hebat. Dikunjungi puluhan pelayar internet dalam masa beberapa saat. Apa jua isi kandungan yang ditulis beliau, apa sebabnya, hanya Syed Abdullah sahaja yang mengetahuinya.

Kita faham, budaya orang Melayu di Malaysia yang cukup menghormati Raja atau Sultan. Tetapi kita mahukan keadilan. Kita amat kesal, apabila pemimpin Umno, khususnya di Terengganu yang mengadakan demonstrasi dan menggelar Sultan mereka sebagai binatang, tidak diapa-apakan, malah dibiar bebas.

Tetapi apabila rakyat biasa seperti Syed Abdullah mengemukakan pandangan kritisnya, beliau diambil tindakan.

Kita tidak tahu apakah yang akan terjadi kepada Syed Abdullah, tetapi kita mahukan keadilan dan jika kerajaan mahu mengambil tindakan ke atas beliau, bicarakanlah di mahkamah terbuka, supaya tiada apa yang tersembunyi.

Disertakan laporan Malaysiakini

Polis tahan Uncle Seekers mengikut OSA

Penulis blog Syed Abdullah Syed Husein Al-Attas yang lebih dikenali dengan nama Uncle Seekers ditahan polis di plaza tol Senawang, Negeri Sembilan pada malam tadi.

Timbalan ketua jabatan siasatan jenayah Johor ACP Mohd Akhir Ishak berkata, lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Kami menahan seorang lelaki dipercayai pemilik laman blog Uncle Seekers (www.uncleseekers.blogspot.com). Dia ditahan pada pukul 9.45 malam, 4 Julai.

Katanya lagi, polis akan mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berkenaan pada petang ini.

Anak kepada penulis buku politik popular Syed Hussein Alattas itu kini ditahan di lokap polis Air Molek, Johor, katanya.

Dalam operasi di Senawang pada malam tadi, polis turut menahan seorang wanita berusia 26 yang berada bersama lelaki berkenaan, tambahnya.

Tiga puluh individu pada Ahad lalu dilaporkan menuntut supaya siasatan dijalankan ke atas pengamal paranormal itu supaya berhubung penyiaran tulisan kontroversi dalam blog tersebut.

Kumpulan itu mendakwa, tulisan dalam blog berkenaan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Tunku Mahkota Johor, Sultan Johor serta penjawat awam kerajaan Johor.

Kumpulan itu juga meminta pihak berkuasa supaya menutup blog yang didakwa menyiarkan "dokumen sulit" itu.

Laporan berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan dakwaan yang ditimbulkan Syed Abdullah.

Pada Selasa lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengulas mengenai tuduhan yang ditimbulkan Syed Abdullah itu berkata: "Biarlah anjing itu menyalak semahunya. Saya tahu kebenarannya, rakyat Johor juga tahu kebenarannya.

No comments: