Thursday, September 08, 2011
Isu Mat Indera, media arus perdana kuda tungggangan Umno
MEDIA arus perdana didakwa menjadi 'kuda tunggangan' Umno-BN dalam memainkan isu kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengenai perjuangan Mat Indera pada era penjajahan British dahulu.
Demikian Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar, apabila mengulas isu tuduhan terhadap Mohamad Sabu yang kononnya dilabel pro komunis apabila menyebut perjuangan Mat Indera menentang British.
"Mat Sabu di’hentam’ disetiap waktu kononnya beliau dalam satu ceramahnya menyokong pergerakan komunis di dalam peristiwa Bukit Kepong.
"Media arus perdana terus memainkan isu tersebut dengan serangan bertali arus terhadap beliau sedangkan dalam masa yang sama mulut,tangan dan kaki beliau ‘diikat’," katanya lagi.
Mat Sabu tidak diberi peluang untuk beliau muncul di media arus perdana untuk membela diri daripada serangan bertubi-tubi sedangkan media ‘berfoya-foya’ dalam ‘menjaja’ berita berkaitan isu ini, kata Firdaus.
Mat Sabu hanya berpeluang menjawab kembali serangan terhadap beliau hanya di dalam portal-portal berita di internet yang mana liputannya amat terhad, ujarnya lagi.
Media seharusnya menjadi medan kepada rakyat untuk mengetahui isu-isu semasa, katanya.
Media sepatutnya menjadi tempat rujukan bagi mendapatkan berita-berita terkini yang dapat membuka minda rakyat, katanya lagi.
"Rakyat yang dahagakan infomasi serta maklumat terkini yang lengkap serta adil sepatutnya dihidangkan dengan sesuatu yang mana akan membuka ruang fikiran rakyat dengan lebih luas dan membolehkan rakyat bertindak mengikut akal bukannya nafsu semata-mata," katanya.
Begitupun kata Firdaus, Utusan Malaysia dan TV3 dilihat lebih terkehadapan dalam mengeluarkan berita walaupun kadang-kadang berita yang disiarkan itu belum tentu sahih.
Begitulah yang terjadi dalam isu yang dikaitkan dengan Mohd Sabu, ujarnya.
"Ada kalanya mereka hanya bersandarkan berita yang dikutip daripada blog-blog ‘picisan’ penulis upahan Umno/BN lalu di war-warkan sehingga menjadi tajuk utama media mereka," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment