Sunday, December 12, 2010

Umno harus berhenti peralat istana

MALAYSIA adalah sebuah negara yang aman damai, rakyat hidup bersatu padu penuh dengan toleransi dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Yang di-Pertuan Agong yang bergilir di kalangan Raja-Raja Melayu diterima sebagai Ketua Negara, dipatuhi dan didaulatkan seluruh rakyat jelata tanpa mengira bangsa dan agama.

Raja-Raja bukan sahaja payung orang-orang Melayu, malah baginda semua adalah payung kepada seluruh rakyat dalam negara.

Mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu bukan sahaja tanggungjawab di pundak bangsa Melayu. Malah seluruh kaum dan agama menerima kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.

Justeru, titah Raja-Raja Melayu dalam pelbagai perkara, sama ada yang melibatkan kepentingan kaum Melayu dan agama Islam, juga turut dihormati seluruh rakyat jelata.

Tidak seharusnya wujud sebarang penderhakaan atau pengkhianatan ke atas titah Raja selama mana ia dibuat sejajar dengan Perlembagaan negara.

Namun sejak mutakhir ini Raja-Raja Melayu dilaporkan begitu gusar dengan nasib dan masa depan orang-orang Melayu.

Raja-Raja dilaporkan sebagai murka dengan kenyataan pihak-pihak tertentu yang menyentuh persoalan hak dan keistimewaan orang Melayu dalam negara.

Isu keistimewaan Melayu merupakan suatu isu yang amat sensitif, jika tidak ditangani dengan berhemah, ia akan menjejaskan krisis perkauman. Selama lebih 40 rakyat Malaysia sudah hidup dengan aman dan damai.

Kali terakhir Malaysia mengalami krisis perkauman hanyalah pada tahun 1969, iaitu 40 tahun yang lampau.

Peristiwa 13 Mei 1969 yang mencatat sejarah buruk perkauman, bagaimana pun telah berlalu dan tidak pernah berulang selepas itu.

Apakah hak istimewa Melayu benar-benar terjejas? Apakah puncanya dan siapakah yang terbabit menjejaskannya?

Persoalannya ini harus diteliti dengan seadil-adilnya. Ada dua perkara yang harus diteliti.

Iaitu, pertama, apakah hak keistimewaan Melayu benar-benar terhakis sehingga menyentuh kemurkaan Raja-Raja, atau kedua, isu keistimewaan hanya dijadikan alat politik pihak-pihak tertentu dalam negara?

Apakah pihak istana benar-benar sensitif dengan isu orang Melayu, atau pihak istana telah dinasihati secara salah oleh Umno-Barisan Nasional?

Tidak pernah dalam sejarah Pakatan Rakyat atau parti-parti yang dianggap sebagai pembangkang, seperti PAS, DAP mahupun KeADILan, menderhaka kepada Raja atau menggesa hak istimewa Melayu dihapuskan.

Yang dipinta hanyalah keadilan dan kesamaratan, bagi semua kaum dan agama dalam negara.

Yang tercatat dalam sejarah secara jelas, bertindak menjejaskan institusi Raja-Raja Melayu ialah Umno.

Rakyat tidak akan lupa pada tahun 1993, Umno di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, bertindak meminda Perlembagaan untuk menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu.

Menjurus ke arah pindaan itu media talibarut dipergunakan sepenuhnya untuk mencaci maki Raja-Raja Melayu. Malah pada Perhimpunan Agung Umno juga disiarkan cacian terbuka terhadap Raja.

Bukti-bukti amat jelas dan boleh dikemukakan sebagai fakta yang tidak boleh dipertikaikan sama sekali.

Pada saat Umno berkuasa penuh, merekalah yang merungkaikan kedaulatan Raja, manakala pada saat terdesak, kini mereka pula mempergunakan institusi istana.

Sikap double-standard dan kebobrokan pemimpin Umno sebegini harus dihentikan seberapa segera.

Hanya kuasa rakyat dengan sokongan kepada Pakatan Rakyat, pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang dapat menghentikan keserakahan Umno-BN ini.

1 comment:

tungkaran hati.blogspot said...

Saya masih mengharapkan perjuangan PAS seperti dahulu, perjuangan yang jelas untuk diperjuangkan...tetapi kini setelah Nik Aziz menjadi penentu, dasar perjuangan PAS telah tersasar jauh....! juga jauh dihati saya.
Berdirilah PAS dengan bermaruah tanpa PKR dan DAP terutamanya, kembalilah pada perjuangan asal semoga kita rakyat Malaysia dapat
keberkatan daripada perjuangan PAS.
Kembalilah kepada perjuangan asal..!