Pakatan Rakyat mengalu-alukan respon Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengatakan bahawa Umno-Barisan Nasional akan menjawab tawaran 100 hari yang dikemukakan dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat.
Ini membuktikan dalam tempoh tiga tahun penubuhannya Pakatan Rakyat berjaya mencetuskan fenomena baru dalam negara, kerana berjaya memberikan saingan yang mantap kepada Barisan Nasional yang sudah berkuasa selama lebih 50 tahun.
Belumpun PM menjawab secara rasmi, juak-juaknya yang terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri, tidak mampu menyembunyikan rasa tersentak mereka, khususnya pada 10 perkara yang terkandung dalam tawaran 100 hari, jika Pakatan Rakyat diberi peluang memenangi Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Juak-juak PM tidak mampu menjawab 10 perkara itu secara verbatim. Mereka hanya mengatakan bahawa tawaran tersebut tidak realistik dan tidak mampu dilakukan.
Ukuran tidak realistik dan tidak kemampuan itu 'diukur di atas baju mereka'. Ukuran dibuat kerana apa yang ditawar oleh Pakatan Rakyat itu, tidak mampu mereka lakukan dalam tempoh 50 tahun.
Terbukti bahawa selama lebih 50 tahun BN berkuasa, ianya bukan sebuah gabungan parti-parti yang kuat untuk merancang ekonomi dengan baik, mahupun untuk memacu pertumbuhan negara.
Misalnya, Umno-BN terlalu pelik bagaimana Pakatan Rakyat boleh membuat janji untuk mengiktiraf jasa para guru dengan menaikkan imbuhan sebanyak RM500 seorang dalam tempoh 100 hari berkuasa. Suatu peruntukan besar yang melibatkan RM2.4 ribu juta.
BN tidak mampu mengadakan peruntukan sebesar itu kerana mereka terikat dengan dasar dan pembahagian ekonomi yang tidak kepada rakyat.
Ini boleh dilihat dengan jelas berikutan perjanjian berat sebelah kerajaan Umno-BN dengan syarikat IPP dan syarikat konsesi lebuh raya. Perjanjian-perjanjian ini jelas menindas rakyat kerana mereka ini adalah kroni-kroni BN.
Kesilapan besar BN amat jelas, iaitu mereka tidak mampu memberi kebajikan kepada rakyat terbanyak, sebaliknya, menjunjung ketuanan segelintir ahli korporat yang hipokrit.
Berselindung di sebalik agenda pembangunan dan subsidi, Umno-BN telah berjaya memperkayakan kroni-kroni mereka dengan mempergunakan wang rakyat.
Selama ini rakyat tertipu dengan agenda pembangunan. Pembangunan disalahgunakan oleh Umno-BN dengan dasar korupsi, kronisme dan nepotisme.
Akhirnya di atas nama pembangunan dan projek mega ini, rakyat dibebankan dengan pelbagai masalah dan kekangan. Kenaikan gaji disekat, bonus terlalu sedikit dan pelbagai imbuhan serta insentif tidak dapat diberikan kepada kakitangan awam.
Banyak rungutan diterima di kalangan kakitangan awam, pemegang tender dan kontrak kerajaan, bahawa kerajaan tidak mempunyai wang dan membuat pembayaran tertangguh dalam masa yang amat lama.
Ini membuktikan kelemahan pemimpin kerajaan. Mereka tidak mampu menguruskan ekonomi negara dengan betul.
Ini amat berbeza Pakatan Rakyat. Belumpun menjadi kerajaan Pakatan Rakyat sudah mampu membuat tawaran yang menaikkan martabat kakitangan awam, tawaran kepada guru-guru dan sebagainya.
Tiada yang mustahilnya jika sesebuah kerajaan bersungguh-sungguh mementingkan kebajikan rakyat. Selama ini rakyat dari pelbagai lapisan dikerahkan untuk menjadi hamba kepada Umno-BN, mencari sumber kekayaan negara, untuk disalurkan kepada kroni.
Pakatan Rakyat sudah membuktikan ianya bukan kerajaan kroni, bebas dari amalan korupsi dan nepotisme.
Buktinya, sepanjang 20 tahun PAS memerintah Kelantan, empat tahun memerintah Terengganu (1999-2004) dan tiga tahun memerintah Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, tiada seorangpun pemimpinnya didapati bersalah kerana mengamalkan rasuah.
Malah kerajaan-kerajaan negeri mampu memberi elaun dan insentif dari lebih baik daripada kerajaan pimpinan Umno-BN, serta membawa faedah kebajikan untuk rakyat terbanyak.
Kejayaan inilah yang semakin membuntukan Umno-BN, mereka semakin gelabah kerana tempoh hayat mereka memerintah negara sudah berada di penghujung.
No comments:
Post a Comment