Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim menyanggah Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan mendakwa apa yang dikatakan sebagai 'senario ekonomi terburuk negara' telah berakhir sebagai kenyataan yang tidak bertanggungjawab.
Anwar menegaskan petunjuk ekonomi mengenai kenaikan kadar KDNK kepada 4.5 peratus dalam suku terakhir 2009 sebenarnya dipacu oleh perbelanjaan besar-besaran oleh kerajaan sejak setahun lepas.
"Suntikan pakej rangsangan, seperti yang diketahui oleh mana-mana ahli ekonomi, sebaiknya adalah langkah sementara dan tidak boleh dilakukan secara berterusan.
"Saya amat khuatir kerana kaedah pergantungan yang berterusan kepada perbelanjaan kerajaan secara besar-besaran seperti yang diamalkan Barisan Nasional, akan membawa kita ke kancah permasalahan ekonomi yang sangat serius," tegas beliau.
Menurut Anwar, hakikat sebenarnya ialah, saat apabila ekonomi negara yang kini retak akan terbelah dan berkecai sebenarnya sudah hampir tiba.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, Pakatan Rakyat tidak akan membuat pengisytiharan yang cuai seperti Perdana Menteri bahawa ekonomi kita sudah pulih.
"Kerana masih terlalu banyak masalah pokok yang perlu diselesaikan dengan segera sekiranya kita tidak mahu Malaysia terus tertinggal di belakang.
"Tindakan PM merwar-warkan anggaran pertumbuhan 5 peratus bagi 2010 sebagai sangat baik sebenarnya kurang berhemah," ujarnya.
Kata Anwar, apa yang tidak diwar-warkan oleh PM disebalik anggaran pertumbuhan 5 peratus itu adalah hakikat bahawa pada kadar tersebut, Malaysia ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Indonesia, Thailand, Filipina malahan juga Vietnam dalam tahun 2010 kelak.
Menurutnya, Malaysia pada suatu ketika adalah setanding dengan Korea Selatan dan Singapura dan jauh lebih maju dari negara-negara yang lain.
Anggaran terbaru yang dikeluarkan oleh IMF pada Oktober 2009 menunjukkan bagi tahun 2010, Malaysia dijangkakan akan tumbuh pada kadar yang paling lembap berbanding kumpulan negara-negara tadi, walaupun ekonomi dunia dijangka akan mula pulih.
Vietnam dijangka akan tumbuh pada kadar dua kali ganda lebih baik dari Malaysia dan negara-negara lain akan berkembang pada kadar yang secara puratanya 50 peratuslebih pesat dari Malaysia.
Tegas Anwar, Kerajaan BN perlu bertanggungjawab dan menerima hakikat bahawa ekonomi kita tersangkut di dalam perangkap seperti yang diumumkan Menteri Kewangan Kedua suatu masa dahulu; adalah disebabkan oleh salahguna kuasa dan rasuah oleh mereka yang berkuasa sejak sekian lama.
"Kemakmuran negara pada masa hadapan hanya boleh dijamin oleh sebuah kerajaan yang memikul amanah yang diberikan oleh rakyat dengan rasa tanggungjawab yang tinggi. Maka, persoalan ketelusan dan amalan pentadbiran yang baik adalah prasyarat untuk memulihkan ekonomi negara.
"Oleh sebab itu, Pakatan Rakyat akan terus bekerja keras untuk menawarkan kepada rakyat pentadbiran ekonomi yang telus, tulus dan berkembang secara sihat bagi jangkamasa yang panjang demi generasi akan datang," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment