BN Pulau Pinang menggunakan penyanyi Psy, akhirnya memalukan Najib. |
Menurut rakan tersebut, beliau berjumpa dengan seorang bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian di negeri tersebut, antara lain menyebutkan;
"BN kantoi lagi Penang nampaknya lepas ni..Najib marah teruk kes Psy ..depa siap askar (anggota upahan) untuk sambut apa yang dia akan ucap...Najib marah sebab depa tak sorak kata 'yes' kepada BN."
Jika kita duduk pada tempat Najib, kita pun akan marah. Belanja program bukannya sedikit, ianya menelan belanja berjuta-juta, sebaliknya penyokong-penyokong yang diupah untuk bersorak, duduk ternganga menunggu persembahan Psy Gangnam Style.
Tindakan pengunjung menjerit 'No' (tidak) apabila PM menyebut BN, bukan sahaja memalukan PM, malah seluruh anggota Umno-BN seluruh negara terpaksa menanggung malu.
Masalahnya kini adalah, apa yang dilakukan oleh Gerakan dan MCA di Pulau Pinang, termasuk menjemput Psy, lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.
Tambah-tambah lagi Umno Pulau Pinang, yang masih belum hilang bengang mereka minggu lepas, apabila TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow sebagai ketua menteri jika BN menang Pilihan Raya Umum.
Sedangkan Umno yang mendominasi politik di Pulau Pinang, selepas Gerakan dan MCA kalah di semua kerusi, diketepikan begitu sahaja.
Sekali gus dengan pengumuman Muhyiddin, usaha Umno menggembar-gemburkan semangat Melayu dan Bumiputera untuk menentang kerajaan Pakatan Rakyat selama bertahun-tahun, sudah tidak relevan sama sekali.
Malah, apabila klip video Najib dimalukan di Pulau Pinang tersebar di internet, seluruh warga bloggers dan facebookers Umno-BN menjadi terkedu. Dalam tempoh yang agak lama, mereka mendiamkan diri, tidak mampu bersuara.
Mereka terkedu kerana seminggu sebelum itu, dengan bongkaknya PM memberi amaran kepada pembangkang, bahawa jangan sesekali membuat kacau jika kalah pilihan raya.
Ketika membuat kenyataan tersebut, Najib berada dalam posisi yang terlalu yakin dan keyakinan beliau disambut dengan tepuk sorak juak mereka di laman sesawang.
Namun, keyakinan tinggi untuk memenangi PRU13 yang dibina Najib, runtuh berkecai akibat daripada ungkapan tiga kali 'Ya' untuk Psy dan tiga kali 'Tidak' untuk BN sejurus sebelum persembahan Psy yang menelan belanja jutaan ringgit di Pulau Pinang.
Persoalan siapa yang menaja persembahan Psy tidak berbangkit. Ada yang kata RM2 juta, ada yang kata USD2juta yang bersamaan RM6.2 juta. Tetapi yang dipersoalkan adalah matlamat program tersebut dianjurkan. Ia menunjukkan, betapa BN dan kroni mereka, sanggup menggunakan wang berjuta-juta ringgit, atau dalam istilah politiknya, menggunakan 'kuasa wang' untuk membina imej BN dan PM.
Malangnya hajat mereka tidak kesampaian. 'Kuasa wang" sudah menjadi pembaziran berjuta-juta akibat ditolak rakyat. Rakyat mungkin tidak peduli siapa yang menaja Psy, tetapi terpahat difikiran rakyat, bahawa nilai tiga kali perkataan 'Tidak" kepada Najib dan BN, nilainya adalah berjuta-juta.
Betapa besarnya nilai yang memalukan Najib itu disambut dengan kemarahan blogger dan facebookers Umno kepada Gerakan, MCA dan Umno Pulau Pinang sendiri.
Pada mereka, Pengerusi Umno Pulau Pinang, Dato' Zainal Abidin Osman gagal memainkan peranan untuk memastikan Najib tidak dimalukan.
Kata mereka, Zainal nampaknya hanya pandai mengatur projek, padahal beliau sepatutnya mengatur 10,000 'askar upahan' Umno untuk berteleku di hadapan pentas bagi mengiyakan apa sahaja kata Presiden mereka.
Malah kemarahan yang dihamburkan terhadap Gerakan dan MCA Pulau Pinang lebih dahsyat. Bagi mereka Gerakan dan MCA sudah 'hancur' dan tidak terpakai lagi kerana ditolak kaum Cina.
Sehingga ada yang menggesa supaya Gerakan dan MCA dibubarkan sahaja, bagi membolehkan ahli-ahli mereka masuk dalam parti-parti komponen lain.
Apa yang berlaku sebenarnya adalah manifestasi kepada kegagalan idealisme BN yang berjuang berasaskan kaum. Idealisme ini sudah tidak 'valid' dan tidak diterima lagi oleh rakyat.
BN cuba untuk mengkesampingkan hakikat bahawa mereka adalah gabungan yang 'rotten dan perish'. Yang tinggal hanyalah Umno. Gerakan, MCA, MIC sudah tidak relevan kerana ditolak rakyat.
Perjuangan BN yang berasaskan kaum sudah terkubur kerana kerusi majoriti kaum Cina sudah tidak mampu dimenangi MCA dan Gerakan. Mereka terpaksa bergantung kepada Umno, menerusi kerusi campuran yang diperuntukkan kepada MCA atau Gerakan.
Oleh kerana tiada kerusi majoriti kaum India, maka calon BN dari MIC juga bergantung kepada Umno.
Misalnya di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju. MCA tidak ada kekuatan, cawangan tidak banyak, yang banyaknya adalah cawangan Umno. Tetapi Umno Bahagian rela menjadi 'kuda tunggangan' MCA kerana kouta kerusi itu diberikan kepada MCA.
Hari ini Umno di kedua-dua bahagian tersebut sudah 'naik angin'. Mereka menghantar memorandum dan bantahan kepada pucuk pimpinan. Kata mereka, jika letak calon Cina sama ada dari MCA atau Gerakan, sudah pasti akan kalah, kerana majoriti pengundi adalah kaum Melayu.
Percakaran yang berlaku ini menunjukkan bahawa Umno sudah tidak yakin dan meragui kemampuan rakan komponennya. Kerana bagi Umno, jika MCA dan Gerakan sudah tewas di lubuk mereka, iaitu kawasan majoriti kaum Cina, maka mereka tidak akan mampu menyumbang kerusi bagi memastikan kerajaan BN kekal memerintah.
Sehingga kini, lubuk Gerakan dan MCA, khususnya di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masih belum ada tanda-tanda positif untuk menyumbangkan kerusi buat BN.
Usaha terakhir di Pulau Pinang untuk menggunakan pentas penyanyi popular Psy, untuk menarik skongan kepada BN, turut gagal.
Tarian kuda yang dipertaruhkan sudah menjadi 'feng shui' buruk buat Najib dan isterinya yang turut berada di situ. Tarian kuda membuktikan bahawa Umno sebenarnya menjadi kuda tunggangan Gerakan dan MCA di Pulau Pinang selama bertahun-tahun.
Tarian 'Gangnam style' yang ditunggu-tunggu sudah menjadi 'ganyang style' sesama komponen BN.
Moga-moga ianya mempercepatkan kejatuhan mereka pada PRU akan datang.
No comments:
Post a Comment