Presiden Mohammad Morsi |
Tanggal 25 Januari 2013, rakyat Mesir menyambut ulangtahun kedua 'tsaurah' (kebangkitan revolusi rakyat), tumbangnya diktator zalim Hosni Mubarak, yang ditumbangkan menerusi demonstrasi jutaan rakyat di Dataran Tahrir di tengah-tengah kota Kaherah.
Penulis yang berkesempatan berada di Kaherah sebelum berlepas ke Amman, Jordan, dapat melihat riak kegembiraan rakyat Mesir, yang merasakan kehidupan mereka jauh lebih baik daripada puluhan tahun di bawah pemerintahan diktator zalim.
Lebih-lebih lagi ialah apabila kerajaan baru yang memerintah Mesir dikuasai golongan Islam dari Parti al-Hurriyah wal-Adalah (Kebebasan dan Keadilan) atau nama ringkasnya FJP yang dinaungi gerakan Islam Ikhwan Muslimin.
Jalan-jalan di kota Kaherah pada cuti Sambutan Maulidur Rasul 24 Januari lepas, sesak dengan ribuan sukarelawan yang turun membersihkan bangunan, mencuci dan mengecat tembok, membaiki lampu jalan dan segala bentuk kerja-kerja amal.
Mesir hari ini berada di dalam suasana yang amat aman dan stabil. Dua bulan lepas, selepas Presiden Mohammad Morsi mengeluarkan Dekri Presiden, 22 November 2012, terdapat sedikit kekacauan yang dicetuskan oleh puak fulul, iaitu bekas-bekas pemimpin parti Hosni Mubarak.
Pada waktu itu tidak kurang dari kalangan pendukung Islam yang bimbang dengan tindakan Morsi. Sehingga ada yang mengatakan beliau terlalu gopoh dan tidak berhati-hati.
Namun tindakan Morsi adalah betul. Beliau ditimpa dengan tekanan yang cukup hebat, kuasa yang cukup terbatas dan berhadapan dengan pelbagai sabotaj lantaran mewarisi kerajaan dari diktator zalim.
Kuasa rakyat menumbangkan Mubarak pada 25 Januari 2011. Setahun selepas itu, pada bulan Januari 2012 diadakan Pilihan Raya Umum Mesir di mana FJP menguasai lebih 60 peratus kerusi Parlimen dalam negara.
Kemudian, pada bulan Jun 2012, diadakan Pilihan Raya Presiden, di mana kemenangan berpihak kepada Morsi.
Dua kemenangan ini, bagaimana pun tidak mencukupi kerana kekangan perlembagaan lama, kuasa Morsi masih terbatas kerana Istana Presiden dikuasai orang Mubarak, hakim orang Mubarak, tentera dan polis orang Mubarak.
Hal yang sama bakal dihadapi Pakatan Rakyat jika menguasai Putrajaya selepas PRU nanti kerana seluruh institusi utama dikuasai pengikut Umno-Barisan Nasional.
Justeru Morsi tidak ada pilihan. Sama ada beliau mesti mengikut kehendak pengikut Mubarak, menjadi Presiden 'patung' atau digulingkan dari tampuk kuasa.
Sehingga sekumpulan pihak bergabung, menggunakan hakim-hakim untuk menjatuhkan Morsi. Namun perancangan jahat mereka dapat dikesan dan Morsi bertindak melancarkan dekri.
Hasil ketegasan Morsi, menetapkan diadakan referendum rakyat 15 Disember 2013, sekali lagi memberi kemenangan kepada rakyat Mesir.
Ini bermakna rakyat Mesir memberi kepercayaan kepada Ikhwan Muslimin untuk menerajui negara. Ikhwan memenangi tiga PRU, iaitu PRU Parlimen pada bulan Januari, PRU Presiden pada bulan Jun dan PRU Perlembagaan (referendum) pada 15 Disember 2012.
Ketiga-tiga keputusan ini menjadikan pengaruh Ikhwan semakin kukuh di Mesir.
Laluan berliku buat Ikhwan dan Morsi
Laluan yang diterokai Ikhwan Muslimin bukannya mudah. Mereka ditekan, ditindas dan ramai pemimpin utamanya gugur syahid dibunuh diktator zalim, sejak 80 tahun yang lalu.
Sebahagian besar pemimpin utama Ikhwan adalah banduan politik yang disumbat dan diseksa bertahun-tahun dalam penjara Mesir, hanya kerana mereka sebuah gerakan Islam. Di zaman diktator berkuasa, Ikhwan terpaksa bergerak dan mengkaderkan anggotanya secara 'siir' (rahsia).
Beberapa tahun lepas ketika penulis mengunjungi Mesir sebelum 'tsaurah', terpaksa bersembunyi-sembunyi untuk berjumpa dengan pemimpin Ikhwan. Buku-buku dakwah yang ditulis Imam Hassan al-Banna, Sheikh Mustafa Mashur, Said Hawwa dan lain-lain terpaksa dijual secara sorok-sorok.
Hari ini, alhamdulillah, semuanya terbuka. Sabotaj masih ada, kekangan masih wujud, tetapi ia akan tenggelam sedikit demi sedikit, dimamah kuasa rakyat.
Jika kita mengungkap kembali PRU Presiden, berlaku usaha untuk mensabotaj kemenangan Morsi. Calon pro Barat iaitu Ahmad Syafiq, memang merupakan anak didik Mubarak, beliau didokong oleh tentera.
Khabarnya, pada PRU tersebut Majlis Tentera yang menguasai kerajaan sementara, merancang untuk mengisytiharkan Ahmad Syafiq sebagai pemenang dalam pilihan raya presiden lalu.
Namun, berdasarkan laporan perisikan menyatakan hura hara yang dahsyat akan berlaku jika Ahmad Syafiq diisytiharkan menang secara tipu, maka tentera terpaksa mengumumkan calon sebenar yang adalah Mohammad Morsi.
Sehingga kini, Ahmad Syafiq yang berada di UAE, berusaha menjadi 'mastermind' utama untuk menggulingkan Morsi. Ada laporan memberitahu beberapa buah negara Arab yang takut 'tsaurah' Mesir berjangkit ke negara mereka, berusaha membekalkan penentang Morsi dengan dana sebesar USD40 billion.
Mereka membeli hampir kesemua surah khabar, membeli saluran tv satelit, membeli stesyen radio, mengupah samseng-samseng untuk bertempur dgn polis dan membakar pejabat pejabat Ikhwan, hingga hampir 28 pejabat Ikhwan dibakar di seluruh Mesir.
Dalam satu pertempuran yang berlaku di Istana Ittihadiah (Istana Presiden), sepuluh orang syahid, beratus-ratus pemuda Ikhwan cedera parah, lebih seribu yang cedera sedangkan mereka tidak bersenjata. Mereka ditembak oleh puak penyangak upahan. Namun apabila desakan dibuat terhadap polis, polis mengatakan, "Mungkin orang Ikhwan sendiri yang membakar pejabat dan membuat tembakan."
Itulah tekanan berat yang dihadapi Ikhwan Muslimin. Namun Mursyidul Am Ikhwan, Dr Mohamad Badi'e dan Presiden Morsi sendiri tidak gopoh dan bersabar dengan karenah birokrasi dan sabotaj.
Selepas menang Referendum Perlembagaan, ketua-ketua golongan penyangak ini bakal berhadapan dengan hukuman rakyat.
Antara yang sedang disiasat adalah pegawai kerajaan iaitu bekas Peguam Negara, Abdul Majid Mahmoud dan Ketua Kelab Hakim, Ahmad Zind.
Ahmad Zind menjadi menjadi Ketua Kelab Hakim sejak zaman Mubarak hingga sekarang, memainkan peranan dengan menggambarkan kepada rakyat bahawa Morsi melanggar dan tidak menghormati badan kehakiman.
Seorang lagi adalah Tahani Jibali, iaitu Hakim Mahkamah Perlembagaan, yang menjadi perancang utama yang menyebabkan mahkamah perlembagaan menjatuhkan hukuman membubarkan parlimen pertama selepas revolusi yg dipilih oleh 30 juta rakyat.
Beliau juga merancang untuk membubarkan Dewan Negara, Jawatankuasa Penulisan Dustur (Perlembagaan) dan cuba membatalkan semua keputusan yang dibuat oleh Presiden.
Manakala penyangak dari golongan politik adalah Dr Mohamad al-Bardaie, yang menjadi anak didik Amerika Syarikat. Secara terbuka beliau menggesa Amerika membantunya menyekat Morsi dan Ikhwan. Beliau secara lantang mengatakan beliau mahu menghalang program Islam terlaksana di Mesir.
Bardaie bekerjasama dengan ketua Parti Tayyar Syabi, Hamdin Sobahi dan ketua Parti Muktamar, Amru Musa.
Setakat ini semua demonstrasi, fitnah media, pembunuhan dan pelbagai sabotaj dibuat terhadap kerajaan Mesir menemui kegagalan.
Mereka mendakwa memperjuangkan demokrasi sebenar, namun sebaliknya mereka cuba menyekat kemaraan agama Allah, mereka merancang, namun kita yakin Allah pasti akan memenangkan agama-Nya.
No comments:
Post a Comment