Himpunan Kebangkitan Rakyat di Negeri Sembilan,3 Nov 2012. |
Puluhan ribu rakyat, terdiri dari kalangan bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain, bersatu tenaga membuktikan bahawa, front yang mereka dokongi, iaitu Pakatan Rakyat, mendapat sokongan rakyat pelbagai lapisan tanpa mengira fahaman agama, bangsa, mahu pun had umur.
Malangnya media pro Umno-BN, cuba untuk menipu rakyat dengan 'lawak bodoh' memaparkan gambar pada waktu petang sebelum majlis sebenar bermula. Itu pun mereka meletakkan kehadiran ke Himpunan Kebangkitan Rakyat sekitar 10,000 orang.
Mereka sebenarnya hanya boleh menipu orang-orang Umno dan segelintir anggota komponen BN yang tidak ada access dengan internet. Menerusi internet dengan jelas kita boleh lihat dengan jelas foto-foto yang menggambarkan betapa 'genuine'nya himpunan puluhan ribu rakyat.
Atau pun barangkali media massa pro Umno ini, cuba untuk memastikan pendokong mereka berada dalam tahap minda yang dogmatik seperti 'katak di bawah tempurung'. Kerana jika ada kalangan ahli mereka yang terbuka minda, yang boleh access kepada internet, mungkin mereka akan beralih arah untuk menyokong Pakatan Rakyat.
Apa pun, yang jelas di sini adalah gambaran sebenar betapa kuatnya kuasa rakyat yang mahukan arus perubahan berlaku dalam negara.
Pada tahap ini kita tidak harus bicara tentang apa kehendak PAS, apa kehendak PKR atau apa kehendak DAP dalam menentukan arah mana rakyat hendak dibawa.
Hakikatnya gabungan PAS, PKR dan DAP sebenarnya memimpin politik mengikut arus kehendak rakyat.
Selepas 12 kali Pilihan Raya Umum dilaksanakan dalam negara kita, rakyat sudah mulai sedar bahawa, mereka perlu mendokong sebuah pakatan yang kuat untuk menggantikan Barisan Nasional.
Pakatan yang didokong oleh kuasa rakyat, mulai dikesan pada PRU ke-12 yang berlangsung pada tahun 2008, iaitu 51 tahun selepas Malaya merdeka.
Sejak merdeka, parti Perikatan yang dijenamakan sebagai BN, terus berkuasa sehingga sekarang. Tempoh kuasa mereka sudah mencapai 55 tahun.
Dalam sistem demokrasi moden, tiada parti yang benar-benar boleh bertahan sebegini lama. Jika kita melihat sistem demokrasi secara bebas yang diamalkan negara-negara membangun, kerajaan mereka sering bertukar.
Pertukaran ini tidak banyak mengubah dasar pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Semua parti yang berusaha memegang tampuk kuasa, sudah pasti akan mengutamakan kepentingan rakyat.
Parti yang didapati mementing dan mengamalkan korupsi, kronisme dan nepotisme akan dijatuhkan oleh rakyat.
Rakyat di mana-mana negara sudah semakin cerdik dan matang. Mereka tidak lagi dibelengu oleh sistem feudalisme dan kapitalisme.
Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang adil dan saksama kepada semua pihak, tanpa dibatasi ideologi politik, pegangan keagamaan, mahu pun warna kulit.
Jika sesebuah kerajaan, dipimpin secara tidak amanah, pemimpin mengkayakan diri, anak-beranak dan kroni, rakyat akan bangkit membuang undi untuk menolak mereka dari tampuk kuasa.
Itulah nasib yang dialami bekas Presiden Filipina dan bekas PM Itali yang kini berhadapan dengan tuduhan rasuah, selepas mereka tidak berkuasa lagi.
Ramai lagi diktator, khususnya di negara-negara Teluk yang tumbang seorang demi seorang oleh kekuatan kuasa rakyat.
Inilah juga fenomena yang ditakuti pemimpin Umno, MCA, MIC, Gerakan, PBB dan seluruh anggota komponen BN.
Wajah pemimpin-pemimpin mereka sudah terpalit dengan gejala salahguna kuasa dan rasuah, daripada sekecil-kecil projek, sehinggalah sebesar NFC, Perwaja, PKFZ dan banyak lagi, semuanya bersifat skandal.
Inilah realiti yang kita hadapi di Malaysia hari ini. Kuasa yang dinikmati BN selama 55 tahun menyebabkan mereka sudah menjadi 'kebal' dan angkuh. Kuasa yang mereka nikmati sudah terlalu lama dan tidak harus lagi diberi ruang untuk berkuasa lagi.
Dengan sebab itu, rakyat Malaysia sudah mempunyai alternatif kepada BN. Rakyat menyukai perjuangan Pakatan Rakyat kerana ia terbukti membawa kesejahteraan ekonomi, keamanan sosial dan menyuburkan demokrasi di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.
Justeru, selepas rakyat dapat menilai model pemerintahan yang baik, maka pada PRU ke 13 nanti, memilih Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN, Insya Allah akan menjamin masa depan yang lebih baik buat rakyat.
No comments:
Post a Comment