Wednesday, November 21, 2012

Isu jawatan PM, jangan terpengaruh dakyah Umno

Mohd Sabu & Salahuddin senyum melihat gelagat perwakilan.
Sewaktu berucap di Muktamar PAS di Kelantan,Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menggesa seluruh ahli dan pemimpin PAS supaya bekerja keras untuk menang seberapa banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Tegas beliau, dengan mempunyai kerusi Parlimen dan Dun yang banyak, barulah PAS boleh 'demand' beberapa jawatan penting dalam negara jika Pakatan Rakyat memerintah kelak.

Mohamad berkata, beliau tidak mahu anggota PAS terlalu memfokuskan untuk meminta jawatan tertentu, sebelum mereka bekerja keras untuk memenangi setiap kerusi yang ditandingi PAS.

Timbalan Presiden PAS tersebut menegaskan, beliau yakin jika demokrasi sebenar dilaksanakan, PAS dan Pakatan Rakyat boleh menguasai negara.

Sementara itu, isu siapa menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti tidak perlu dijadikan polemik di kalangan pemimpin dan penyokong PR, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Menjawab polemik isu jawatan Perdana Menteri yang ditimbulkan sejak tamatnya Muktamar Tahunan PAS ke-58, Mustafa mengingatkan semua pihak bahawa perkara tersebut hanya satu perbahasan di dalam muktamar.

"Maka tiada keperluan sebenarnya untuk media memainkan perkara ini kerana ia bukan sebahagian daripada usul muktamar," kata beliau kepada Harakahdaily.

"Tegasnya, cadangan supaya Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri hanyalah luahan sayang para pewakilan PAS kepada Abdul Hadi, yang dianggap bapa yang dihormati dan disanjungi ketika perbahasan di muktamar PAS.

"Ahli-ahli PAS hanya mengharapkan yang terbaik untuk ayah mereka, sebagaimana anak-anak lain mendoakan yang terbaik untuk ibu bapa sendiri. Walaubagaimanapun, harapan anak tidak semestinya sama dengan hasrat ayah," katanya.
Sidang media Presiden PAS bersama Timbalan & SU Agung.

Selain itu, Mustafa juga berkata tidak berbangkit soal jumlah kerusi di dalam Pakatan Rakyat.

"Selain di Kelantan, negeri-negeri yang dimenangi PR seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor semua memerlukan ketiga-tiga parti komponen untuk bersama, baru boleh membentuk kerajaan.

" Selain PAS di Kelantan, PKR di Selangor, DAP di Penang dan PAS di Kedah, semuanya tiada majoriti untuk memerintah sendiri jika tidak bersama-sama dengan rakannya dalam PR. Walaupun mendapat kerusi terkecil, Adun PAS dipilih menjadi Menteri Besar di Perak," katanya lagi.

Oleh yang demikian, beliau menasihatkan para pemimpin dan penyokong PR berwaspada dengan media yang cuba melaga-lagakan parti-parti komponen PR.

"Fokuskan kepada kerja untuk memenangkan PR. Dan yakinlah dengan track record PR dalam kerjasama, kematangan dan muafakatnya selama ini dalam membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat bila tiba masanya nanti," tambahnya lagi.

No comments: