Sultan dan rakyat sama-sama memohon keampunan dari Allah. |
Ribuan rakyat Kelantan membanjiri Dewan Jubli Perak, Istana Kubang Kerian untuk menunaikan qiamullail bersama Sultan Muhammad ke V pada 9 Ogos 2012. Program Qiam With Me bermula dengan Solat Isyak kemudian diteruskan dengan solat tarawih bersama Sultan Muhammad V, dihadiri Menteri Besar, Dato' Bentara Setia, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Selepas solat Isyak, program diteruskan dengan kuliah agama yang disampaikan penceramah popular dari Terengganu Ustaz Azhar Idrus. Program seterusnya dimulakan pada jam 4 pagi untuk qiamullail sehingga sahur dan kemudiannya solat Subuh secara berjemaah.
Alangkah bahagianya rakyat Malaysia, jika program sebegini dapat kita nikmati bersama-sama di negeri masing-masing. Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Negeri, menjadi peneraju utama dalam menyuburkan amalan Islam di negeri-negeri yang dinaungi mereka.
Tuanku al-Sultan Kelantan sudah mendahului, memberikan contoh terbaik, sebagai Raja yang sama-sama sujud ke hadrat Ilahi. Baginda memohon keampunan dan rahmat dari-Nya. Sesungguhnya, apa yang dilakukan oleh Sultan Muhammad ke V ini, bukan sahaja merapatkan diri baginda dengan Allah SWT, malah semakin menyuburkan kasih sayang rakyat Kelantan terhadap beliau.
Rasa seronok jika kita boleh sama-sama qiamuillail dengan Raja di Istana Selangor, Johor, Perak, Pahang dan sebagainya. Mudah-mudahan satu hari nanti, ianya akan menjadi realiti, insya Allah.
No comments:
Post a Comment