Berbual dengan Nizar yang ditemani Amran di Sungai Rokam. |
Banglo agam dua tingkat itu, di kelilingi dengan pagar batu, agak tersembunyi, di kawasan perumahan yang berhampiran Gunung Rapat, Rapat Setia Lama, Rapat Setia dan Taman Rapat Indah.
Kunjungan kami disambut Nizar dan isteri, Datin Seri Fatimah Taat dan pembantu khas beliau Amran Harun dengan penuh ceria.
"Apa khabar anta," tanya Nizar sejurus kami bersalaman. "Alhamdulillah baik," jawab penulis.
"Itu pun Amran tunjukkan jalan, kalau tidak pakat tak jumpa," ujar penulis kepada beliau.
"Rumah ana ini kawan-kawan yang biasa datang pun berpusing-pusing cari, hari itu Dato' Ngeh Ko Ham (Pengerusi DAP Perak) pun terpaksa telefon minta ditunjukkan jalan," ujar Nizar sambil ketawa.
Sejurus kami melabuhkan punggung, Nizar terus membuka tirai perbualan.
Hubungan erat PAS, DAP dan KeADILan di Perak menjadi asas kepada kesepaduan kerjasama Pakatan Rakyat untuk menumbangkan BN.
Bagi Nizar, tiada cara lain untuk Umno-BN mengekalkan kuasa selain memecahbelahkan PAS dengan DAP, khususnya dalam isu hudud yang dimainkan media pro Umno.
Kata Nizar beliau berpendapat sebaliknya. Malah beliau menulis twitter bahawa isu hudud akan menambah eratkan hubungan PAS dengan DAP.
"Ada orang komen twitter Dato' Seri?" tanya penulis.
"Ada. Dia tulis 'gila'," katanya sambil ketawa. Kami turut ketawa beramai-ramai.
Pada hemat penulis, apa jua tanggapan dan penentangan mana-mana pihak terhadap hukum hudud, sekurang-kurangnya ia membuka ruang untuk membincangkannya secara ilmiah.
Golongan bukan Islam yang tidak akan setuju kerana hudud adalah hukum dari agama Islam, kini boleh mengkaji keberkesanan undang-undang Islam berbanding undang-undang sivil.
Kami tinggalkan bicara tentang isu hudud seketika. Perbincangan panjang dan rancak menyentuh pelbagai isu, antaranya fitnah yang mahu melaga-lagakan beliau dengan institusi Raja, pengalaman mentadbir Perak dan sebagainya.
"Ada banyak blog, akhbar yang mengeluarkan kenyataan jauh lebih keras daripada twitter saya mengenai WWW1. Tetapi pihak berkuasa tidak mengambil tindakan.
"Mereka semua selamat kerana serangan Umno ditujukan kepada saya," kata Nizar.
Bagaimanapun bagi Nizar, semuanya itu tidak menjadi alasan untuk melemahkan gerakan politik beliau.
"Alhamdulillah sekarang orang sudah mula 'buka mata'. Hari raya ini, ada saudara mara saya yang duduk di Johor, bila kami berjumpa, mereka mengatakan orang Johor sekarang ini bukan penakut macam dulu.
"Mereka berani bangkit bersuara. Malah mereka memberikan sokongan kepada isu yang kita bangkitkan," ujar beliau.
Sedar tidak sedar masa sudah menjangkau hampir jam 12. Bersembang dengan Nizar tidak sah jika tidak menyentuh soal Perak.
Katanya apa yang didedahkan bekas Setiausaha Dewan Negeri, Abdullah Antong mengenai rampasan kuasa, menunjukkan Nizar berada di pihak yang benar dan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir tidak sah menjadi MB Perak.
Banyak tindakan yang Zambry lakukan, mencetuskan kemarahan pegawai kerajaan dan rakyat. Sebab itu katanya sehingga sekarang Zambry cukup fobia dengan gelaran 'MB haram'.
"Lihat dalam isu Teluk Rubiah, beliau dengan angkuh menyerang saya dan berikrar untuk mendedahkan semua butiran.
"Tetapi apabila beliau keluarkan nama syarikat terbabit, kemudiannya blog-blog menyiarkan bahawa syarikat tersebut ada kaitan dengan istana, Zambry terkedu malu," ujar Nizar.
Dalam tempoh hampir 11 bulan Nizar menjadi MB, begitu banyak perkara berkaitan pentadbiran negeri yang dihazaf beliau. 11 bulan Nizar, jauh lebih baik dari MB rampasan kuasa yang sudah mentadbir lebih tiga tahun.
Berbual dengan Nizar memang tidak cukup masa. Banyak perkara yang mahu disentuhnya. Insya Allah akan kami sambung pada masa akan datang.
Nizar dan rakan-rakan Pakatan Rakyat di Perak, pada tahap ini sudah selesai banyak perkara, termasuk soal pembahagian kerusi dan manifesto negeri.
"Kita tunggu masa PRU, kita akan gempur Umno-BN sampai deme (mereka) tumpo (melingkup)," katanya dalam loghat Perak.
No comments:
Post a Comment