Thursday, March 08, 2012

Rintihan pelajar Malaysia di Syria

Oleh ZIL WILDAD
Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS)

PANDANGAN dunia terarah ke bumi Syria ketika ini kerana keganasan dan kekejaman regim Basyar Asad menangani kebangkitan rakyat Syria yang mahukan kebebasan. Jika ingin menjelaskan isu ini dari awal hingga sekarang, ruang yang diberikan ini sudah tentu tidak mencukupi. Justeru, Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) hanya akan menjelaskan beberapa perkara yang penting dan berkaitan sahaja untuk masa ini.
Kebangkitan rakyat di Syria semakin hari semakin memuncak. Bagaikan air sungai yang mengalir, jika disekat dari satu arah, akan terus mengalir melalui arah yg berlainan. Semakin disekat, lama kelamaan akan melimpah bagaikan air bah yang mengalir deras. Konflik di Syria sudah hampir memasuki bulan ke-12 namun masih tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa konflik ini akan reda atau berakhir. Semakin hari angka kematian semakin meningkat.
Di bumi barakah ini masih terdapat ramai pelajar asing yang datang khusus untuk mendalami ilmu agama. Bilangan pelajar Malaysia yang masih berbaki seramai 167 orang, 113 lelaki dan 54 perempuan. Kebanyakannya menuntut di pusat pengajian rasmi seperti Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro dan Mujamma' Fatah Islami bagi pengajian kuliah dan pengajian bahasa, sementara Ma'ahad Dauli bagi pengajian diploma, dan Ma'ahad Lughah bagi kursus bahasa.
Pengajian berjalan seperti biasa sejak bermula kebangkitan rakyat Mac 2011 hinggalah sekarang. Apa yang berbeza adalah sistem pengambilan pelajar baru bagi kuliah, yang antaranya telah menaikkan yuran pengajian, termasuk bagi pelajar-pelajar lama. Namun bagi urusan untuk mendapatkan visa pelajar, di lihat agak mudah berbanding tahun-tahun sebelumnya tetapi tidak dinafikan disana ada juga masalah-masalah yang sulit. Ini kerana Mujamma' Syeikh Ahmad Kiftaro dan Mujamma' Fatah Islami yang kini dikenali Ma'ahad Syam 'Ali telah diiktiraf oleh kerajaan Syria dan diletakkan dibawah Kementerian Pelajaran Tinggi, juga di bawah Kementerian Wakaf.
Antara masalah yang dihadapi oleh para pelajar Malaysia di Syria ialah kesukaran untuk mengeluarkan wang melalui mesin-mesin ATM di sini. Semua bank antarabangsa disekat daripada beroperasi untuk pengambilan duit di mesin ATM. Pengambilan duit hanya melalui kerjasama PPMS dengan pihak Kedutaan Malaysia dan beberapa pelajar yang keluar ke negara jiran seperti Jordan, Lubnan dan Turki, dengan mengirimkan kad-kad ATM kepada mereka untuk dikeluarkan di sana. PPMS mewakili rakyat Malaysia di Syria, mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia yang banyak membantu kami.
Masalah lain pula ialah kos sara hidup yang makin meningkat. Harga barang-barang keperluan harian naik mendadak dan dalam masa yang sama ekonomi Syria jatuh merudum.
Keadaan keselamatan di Syria secara keseluruhannya semakin meruncing kecuali di bandar Damsyiq. Pelajar kita hanya menetap di Damsyiq dan sekarang masih berada dalam keadaan selamat. Keadaan keselamatan di Damsyiq khasnya masih lagi dalam keadaan terkawal namun sudah ada tanda-tanda menunjukkan Damsyik juga bakal meruncing kerana Damsyik satu-satunya daerah yang baru bangkit sedangkan daerah lain sudah pun bergolak teruk.
Antara daerah-daerah atau bandar-bandar yang teruk dibedil dan mengalami kemusnahan adalah Homs (150km dari bandar Damsyiq), Halab (433km), Hama (202km) dan Dara'a (101km). Kesemua bandar yang menjadi pusat pelancongan dahulu kini berubah menjadi tempat tumpuan rejim Bashar al-Assad. Namun terdapat juga bandar-bandar atau kawasan-kawasan yang terletak di pinggir Damsyiq (rif Dimasyq) seperti Zabdani, Daraya, Qodam, yang terletak tidak jauh dari bandar Damsyiq (sekitar 25-35km) telah berlaku pertempuran dan tembak-menembak antara tentera pembebasan dengan tentera kerajaan.
Kami memohon jasa baik kerajaan untuk mempertimbangkan kembali kos pembiayaan evakuasi untuk rakyat Malaysia di Syria sekiranya keadaan di Damsyiq menjadi lebih teruk kerana semua pelajar di sini tidak mendapat bantuan kewangan ataupun pinjaman pengajian dan hanya bergantung kepada sumber daripada keluarga sahaja.



Tabung bantuan Syria

Sumbangan untuk pelajar Malaysia di Syria dan rakyat Syria yang memerlukan boleh disalurkan melalui Tabung Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa PAS. Akaun Nombor 564070703248 (Maybank) atas nama Parti Islam SeMalaysia.

No comments: