Johor memang kubu kuat Umno. Bak kata orang, kalau letak tunggul kayu yang pakai lambang dacing pun, sudah tentu Barisan Nasional akan menang.
Tetapi itu dahulu. Itu cerita lama. Rakyat Johor sudah semakin 'celik mata' sekarang, zaman menjadi 'pak angguk' Umno-BN sudah tamat.
Johor bukan lagi 'stok politik' Umno-BN. Kata orang Johor, 'Dek kerana ketaksuban mereka menyokong Umno-BN lah yang menyebabkan, Umno-BN 'beraja di mata bertakhta di hati', membuat apa sahaja untuk kepentingan mereka.
Sejak akhir-akhir ini, kedangkalan Umno-BN Johor semakin tersingkap. PAS Johor ada banyak isu untuk memecahkan tembok penguasaan Umno.
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat, tidak jemu-jemu bangkit memperjuangkan hak rakyat, khususnya nasib orang-orang Melayu di Johor.
Kata Suhaizan, rakyat Johor 'macam api dalam sekam', tidak nampak dari atas, tetapi di bawah tanah, panasnya cukup membara.
Buat masa ini, ada dua isu besar yang diperjuangkan Ketua Pemuda PAS Johor itu.
Iaitu, pertama: Projek Terbengkalai Taman Desa Kempas melibatkan tanah kerajaan negeri Johor.
Kedua, isu setinggan Kempas tidak mendapat sebarang pampasan.
Pembeli-pembeli rumah Taman Desa Kempas, Tampoi sangat kecewa dengan pemaju perumahan Maju Delima yang gagal dalam pembinaan rumah di taman ini.
Projek perumahan Taman Desa Kempas telah mula dibangunkan pada tahun 2001 dan sepatutnya siap pada tahun 2004.
Malangnya sehingga tahun 2011 rumah mereka yang berada di fasa ke tiga, empat dan lima masih gagal disiapkan.
Fasa-fasa ini meliputi dua jenis rumah iaitu pangsapuri yang berharga RM88 ribu hingga RM100 ribu dan flat kos rendah yang berharga sekitar RM22 ribu. Rumah pangsapuri hanya siap 80 peratus dan rumah kos rendah hanya siap sekitar 40 peratus sahaja.
Mereka banyak kali mengadakan pertemuan dengan pemaju tetapi malangnya setiap janji yang diberikan tidak ditunaikan oleh mereka.
Pada 2 November 2011, pihak mereka berjumpa dengan wakil Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman.
Pertemuan ini diaturkan oleh Pusat Aduan Rakyat Kempas yang dipengerusikan oleh Suhaizan.
Permasalahan ini juga sudah diajukan kepada Adun Kempas, Dato' Othman Bin Sapian tetapi setakat ini belum nampak sebarang perubahan kepada projek yang dimaksudkan.
Mereka terpaksa bertemu dengan pelbagai pihak untuk mengadu masalah yang mereka hadapi.
Mereka terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang untuk mempastikan projek ini dapat disiapkan dengan kadar segera.
Rakyat terpaksa membayar setiap bulan bayaran bulanan. Oleh kerana rumah mereka belum siap maka mereka terpaksa menyewa rumah di kawasan sekitar.
Maka, mereka yang tertindas ini, terpaksa membuat dua bayaran sekali gus iaitu bayaran bulanan rumah Taman Desa Kempas dan sewa rumah yang kami diami sekarang.
Perkara ini sangat membebankan mereka sekeluarga. Jika tiada sebarang perubahan terhadap projek ini maka sebahagian daripada mereka akan tetap berpindah ke taman ini pada tahun ini.
Mereka dalam keadaan terpaksa. Mereka juga akan membuat siri-siri tunjuk perasaan di kawasan ini bagi mendesak semua pihak menyegerakan projek ini.
Masalah ini juga sudah diajukan kepada Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Chor Chee Heung dan senaskah dokumen telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abd Razak, semasa lawatan beliau ke Johor baru-baru ini. Malangnya sampai hari ini projek ini gagal disiapkan.
Projek tersebut merupakan kerjasama antara Maju Delima Sdn Bhd dengan kerajaan Negeri Johor. Kegagalan projek ini membuktikan gagalnya kerajaan negeri Johor mencari rakan kongsi yang baik untuk rakyat. Kerajaan Johor gagal menguruskan tanahnya untuk kepentingan rakyat.
Menyedari kegagalan berterusan kerajaan negeri Johor menyelesaikan masalah rakyat, maka PAS Johor mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu Dialog Masalah Tanah Rakyat Negeri Johor akan diadakan pada Sabtu 31 Mac 2012, pada jam 2 -5 petang di Hotel Good Hope, Skudai.
Rakyat yang menjadi mangsa isu tanah di Johor dijemput hadir. Tujuan dialog adalah untuk merangka suatu tindakan untuk pihak kerajaan melaksanakan tuntutan mereka. Hadir sama dalam dialog ini adalah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Sasterawan Negara, Dato, A Samad Said.
Motif program harus diperjelaskan, iaitu PAS bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat bertekad, untuk menghentikan episod malang yang melanda rakyat Johor sekian lama.
No comments:
Post a Comment