DALAM negara kita, tempoh pemerintahan Umno-Barisan Nasional sudah menjangkau hampir 60 tahun. Mereka dikurniakan kuasa oleh penjajah British sejak sebelum merdeka dan menguasai negara selepas 12 kali Pilihan Raya Umum.
Dengan tempoh penguasaan sebegitu lama, Umno-BN merasakan mereka cukup kebal dan supreme. Mereka merasakan dua belas kali kuasa yang diberikan pada setiap PRU, menjadikan mereka parti yang seolah-olah tidak boleh digoyah dan digugat.
Umno-BN cuba untuk memberi rasional, bahawa kemenangan mereka selama ini adalah kerana kekuatan merekla. Mandat diterima kononnya, adalah kerana kepercayaan rakyat, hasil kewibawaan pemimpin mereka.
Namun kini segalanya sudah berubah. Pemimpin-pemimpin Umno yang dahulunya dikatakan pemimpin berjiwa rakyat, gagal mewariskan generasi kepimpinan seperti generasi awal Umno.
Umno yang mengasaskan parti mereka pada dasar kebangsaan, memperjuangan hak Melayu dan kepentingan Bumiputera, jelas selepas 50 tahun, gagal meletakkan kedudukan kaum Bumiputera, khususnya dalam bidang ekonomi, pada tahap yang boleh dibanggakan.
Umno-BN hanya berbangga dengan kekayaan segelintir ahli perniagaan Bumiputera, yang mendapat laba kerana mereka adalah anak-beranak dan kroni pemimpin Umno.
Hakikatnya, Umno bukan berjuang untuk kepentingan Melayu dan Bumiputera tetapi segelintir kecil kelompok Umnoputera dan Ali Baba.
Hidup Umno, perjuangan Umno, matlamat Umno hanyalah mengaut kuasa dan duit. Sudah beberapa kali Perhimpunan Agung Umno dibangkitkan soal gejala rasuah dan politik wang. Sudah berapa ramai pemimpin Umno yang dipecat dan digantung akibat mengamalkan budaya buruk ini?
Ini yang diakui sendiri oleh bekas Menteri, bekas Ahli MT Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Katanya, politik wang sudah jadi tabiat yang diterima dalam Umno. Jika 'irama dan lagu' tidak boleh dipisahkan, begitulah juga antara Umno dengan politik wang.
Kedua-duanya sudah sebati dengan Umno. Tiada Umno tanpa politik wang. Tiada politik wang tanpa Umno. Jika gejala rasuah dan politik wang hendak dihapuskan, maka akar umbi yang mesti dihapuskan adalah Umno itu sendiri.
Rosaknya Umno sudah tidak boleh dibaiki. Kuasa dan wang yang mereka ada bukan sahaja dengan merasuah rakyat, malah digunakan secara berleluasa untuk membayar wang kepada rakan-rakan seperjuangan untuk mendapat tempat dalam parti termasuk jawatan tertinggi. Ini diakui sendiri oleh Kadir dan ramai lagi pemimpin Umno.
Bila Umno gagal memperjuangkan hak bangsa, akibat kerakusan mereka sendiri, lalu mereka mengkambing-hitamkan bangsa lain dengan mendakwa kaum Cina misalnya, kerana menggugat kedudukan bumiputera.
Mengapa harus dipersalahkan orang Cina atau parti-parti politik Cina di atas kegagalan pemimpin Umno sendiri untuk meletakkan kedudukan sosio-ekonomi bumiputera ditempat yang adil dan sepatutnya, kata Kadir.
Bangsa lain tidak salah. Mereka ada hak memperjuangkan nasib bangsa mereka. Jika mereka berjaya, itulah kelebihan dan kesungguhan yang mereka ada. Jika bangsa Melayu gagal dan ketinggalan, bukan salah kaum Cina atau India, ianya adalah berpunca kepada kelemahan pemimpin bangsa Melayu sendiri.
Dalam kes ini, kelemahan Melayu dalam negara, adalah hasil kepincangan pemimpin-pemimpin Umno.
Pendedahan Kadir semakin mentahkiqkan (memperkuatkan) riwayat bahawa pemimpin Umno dan sebahagian besar anggotanya mempunyai tabiat buruk, iaitu mengamalkan politik wang dan rasuah. Justeru tabiat buruk ini harus dihentikan.
Tabiat buruk Umno ini tidak boleh diubah oleh Polis, SPRM, Peguam Negara, Institusi Kehakiman dan sebagainya kerana, mereka adalah agen yang menyuburkan kuasa Umno dalam negara.
Yang boleh mengubah Umno adalah kuasa rakyat. Kini, rakyat mula menyedari, bahawa setiap kali PRU, mandat yang diberikan hanyalah fatamorgana semata-mata.
Mandat yang diberikan kepada BN, bukan kerana BN kuat dan dipercayai, tetapi kerana hasil penipuan licik mereka dalam sebuah sistem demokrasi yang amat tempang.
Menjelang PRU ke-13 ini, rakyat sudah mempunyai cukup alibi untuk menolak Umno-BN. Rakyat mahu menghentikan kuasa mutlak yang menjadikan BN.
Wajah-wajah hodoh Umno-BN dan seluruh kepimpinannya semakin tersingkap. Muak dengan kedangkalan Umno, maka pada PRU ini, wajah hodoh Umno-BN akan dibungkus dengan kain kafan untuk ditanam di kuburan politik.
No comments:
Post a Comment