Sunday, August 07, 2011

Had umur Umno-BN makin pendek


MINGGU lepas saya diundang untuk mengisi program Lujnah Penerangan PAS Negeri Sembilan. Majlis diadakan di Markas PAS Kuala Pilah di bawah pimpinan Yang Dipertuanya, Zaharudin Othman.

Pada majlis tersebut saya pertegaskan kepada rakan-rakan PAS, bahawa kedudukan Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan dilihat termasuk dalam kategori 'A' untuk dimenangi Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal dipanggil pada bila-bila masa.

Dari segi faktanya, saya melihat potensi Negeri Sembilan lebih baik dari Terengganu untuk dimenangi kerana, Pakatan Rakyat hanya ketinggalan empat kerusi sahaja berbanding Barisan Nasional.

Di Negeri Sembilan, pada PRU 2008, daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri, BN menang 21 kerusi. PAS menang satu kerusi, DAP 10 kerusi dan KeADILan menang empat kerusi.

Pada PRU tersebut, PAS Negeri Sembilan bertanding 13 kerusi. BN menang hampir semua kerusi majoriti Melayu. Pakatan Rakyat menang semua kerusi majoriti Cina dan kawasan campuran.

Maka di sini, PAS menggalas cabaran yang lebih besar, bekerja keras untuk menang di kawasan Melayu, sekali gus membantu Pakatan Rakyat untuk menguasai Negeri Sembilan.

Dengan kemenangan Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan, ia bakal menyumbang undi bagi kerusi Parlimen untuk membantu Pakatan Rakyat di peringkat Nasional menguasai Putrajaya.

Maka saya pertegaskan kepada rakan-rakan PAS, bahawa menguasai kerusi Melayu di Negeri Sembilan, bukan suatu perkara yang mustahil. Mereka harus melipatgandakan usaha menawan hati pengundi. Yang penting bagi PAS ialah memperkukuhkan saf kepimpinan, supaya ia lebih mantap dan bekerjasama erat dengan DAP dan KeADILan.

Miracle di Perak, boleh berulang di Negeri Sembilan, jika pemimpin PAS Negeri Sembilan berusaha dengan gigih.

Hakikat ini diperakui oleh Umno-BN. Dalam dry run atau pilihan raya olok-olok yang dijalankan BN, mereka memperolehi dapatan yang menggerunkan iaitu mereka bakal kehilangan Perak dan Negeri Sembilan pada PRU ke-13 nanti.

Malah dalam pilihan raya latihan yang diadakan itu juga, mencatatkan BN tidak mampu merampas semula Selangor dan bakal kehilangan sehingga 15 kerusi dari 56 kerusi Dun di Johor.

Persekitaran ini memang tidak pernah diduga BN. Pada PRU 2008 di Johor, Pakatan Rakyat menang enam kerusi Dun. Empat DAP manakala dua lagi PAS.

Manakala di Perak, dry run BN menunjukkan bahawa Umno hanya boleh menang 27 daripada 59 kerusi Dun meskipun BN memerintah semula negeri itu sejak awal 2009 ekoran rampasan kuasa secara haram. Walaupun dilapor pada Jun lalu, Umno negeri itu yakin boleh menang 33 kerusi.

Hasil dapatan ini juga menunjukkan bahawa kedudukan dan populariti Menteri Besar Perak lantikan mahkamah, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir, terumbang-ambing dan semakin menjunam kerana tidak mendapat sokongan majoriti rakyat.

Pada Mac 2008, Umno bertanding di 34 darpada 59 kerusi Dun di Perak dan menang 27 kerusi manakala MCA pula satu. Pakatan Rakyat memperoleh 31 kerusi.

"Keadaan tidak berubah di Perak dan kini keadaan yang sama wujud di Negeri Sembilan memandangkan pembangkang menjadi semakin kukuh, melihat pada kemungkinan Dato' Seri Mohamad Hasan tidak akan kekal sebagai menteri besar,"kata sumber Umno yang dipetik media.

Hasil dapatan BN pada dry run yang dijalankan menunjukkan jentera BN dihambat dengan banyak kelemahan. Antaranya wujud sentimen ketua-ketua Umno yang mahukan nama mereka diletakkan sebagai calon, barulah jentera parti digerakkan.

Difahamkan beberapa pemimpin Umno bahagian di Perak keberatan untuk berkempen atau mendaftar pemilih baru melainkan mereka pasti akan menjadi calon pilihan raya umum ke-13.

"Umno Perak kuat dan boleh menang 33 kerusi negeri tetapi pemimpin-pemimpin bahagian tidak mahu bergerak kecuali mereka atau calon pilihan mereka diletakkan," kata sumber tersebut.

Masalah timbul di kalangan BN pula didapati jika parti boleh menggerakkan jenteranya, hanyalah Umno. Parti-parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan masih tidak bergerak kerana pengaruh mereka di kalangan kaum yang mereka wakili sudah semakin pupus.

Kebanyakan penganalisis menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh setahun ini tetapi ada juga mengatakan ia kemungkinan diadakan seawal November ini selepas Bajet 2012 dibentangkan di Parlimen awal 7 Oktober dan sebelum perhimpunan agung tahunan Umno.

Namun hasil dapatan dry run BN amat menggerunkan BN. Jentera Umno yang sudah digerakkan pun penuh dengan kelemahan, manakala jentera komponen lain tidak boleh diharapkan. Maka barangkali dengan sebab itu Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Dato' Seri Najib Tun Razak, masih tidak dapat memberi bayangan bila pilihan raya umum akan diadakan.

Walaupun timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu BN agar bersedia untuk menghadapi PRU dalam waktu terdekat, namun jentera BN masih berada di tahap yang pasif.

Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan, selama ini pun, dalam banyak pilihan raya, bukan jentera Umno-BN yang bergerak.

Mereka hanya berlonggok untuk 'mengabihkan beras' di markas-markas, mengupah mat rempit melalak di jalan raya sambil mengibarkan bendera BN.

Yang bergerak dan dipergunakan sepenuhnya untuk membantu BN adalah media arus perdana, institusi istana, agensi kerajaan seperti SPR, polis, tentera, mahkamah, jabatan penerangan serta kementerian-kementerian lain.

Yang digembleng untuk melawan arus Pakatan Rakyat bukannya jentera Umno, tetapi jentera kerajaan. Umno-BN tidak pernah berdepan dengan Pakatan Rakyat secara 'anak jantan' sebab mereka macam 'pondan siam'.

Jentera pilihan raya Umno-BN, tidak mampu berhadapan dengan jentera pilihan raya Pakatan Rakyat secara gentleman. Mereka akan kalah jika bertembung one-by-one. Yang mereka tegak berkuasa selama ini hanyalah kerana dibantu seratus peratus jentera kerajaan. Tanpa bantuan jentera kerajaan Umno-BN sudah lama 'bungkus'.

Umno-BN bergantung kepada kejahatan pegawai kerajaan yang berperanan di agensi tertentu, seperti memanipulasi senarai daftar pengundi, pemalsuan kad pengenalan untuk membolehkan pendatang haram menjadi penggundi dan lebih jahat lagi mereka yang bersubahat memberikan kad pengenalan kepada pendatang asing untuk menjadi warganegara. Hanya cara ini sahaja Umno-BN boleh diselamatkan.

Oleh itu pegawai kerajaan seharusnya ingat, bahawa anda bukan hanya berhadapan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atau Lim Kit Siang sahaja. Ketiga-tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat ini mewakili kuasa rakyat yang besar. Sekurang-kurangnya 48 peratus rakyat Malaysia mengundi Pakatan Rakyat pada PRU ke-12.

Ingatlah Pakatan Rakyat menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perak (sebelum dirampas) dan menang 10 daripada 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pakatan Rakyat menguasai 82 kerusi Parlimen dan hampir 200 kerusi Dun.

Kuasa rakyat yang besar ini tidak akan membenarkan kerakusan dan kemungkaran berterusan dalam negara.

Justeru, dengan kelemahan Umno-BN yang amat ketara sekarang, didorong kegagalan mereka memulihkan ekonomi negara, maka Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang amat cerah untuk menguasai Putrajaya pada PRU ke-13 nanti dan memperbetulkan segala kepincangan yang diciptakan Umno-BN.

Kepada pemimpin Umno dan pegawai kerajaan yang bersekongkol dengan mereka, terimalah hakikat bahawa usia Umno-BN sebagai peneraju negara semakin pendek. Muzium dan liang lahad sudah menggamit mereka.

Pada ketika itu mana-mana pegawai kerajaan yang bersubahat dengan pemimpin Umno-BN, melakukan kejahatan dan pemalsuan, akan menerima hukuman yang setimpal daripada rakyat Malaysia.

No comments: