Tuesday, June 07, 2011

Muktamar Tahunan PAS Pusat: Sesak, santai dan meriah

RAMAI yang mengeluh Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar tidak cukup besar untuk menampung kehadiran puluhan ribu penyokong PAS pada Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-57, 3 hingga 5 Jun lepas.

PAS sebuah parti yang besar, dengan ahli dan penyokong yang semakin ramai, tidak mungkin Dewan Dato' Fadzil Noor mampu untuk menampung kehadiran sebegitu ramai umat.

Walaupun Markaz Tarbiyah sudah dinaiktarafkan dengan bangunan baru dan serba canggih, namun dah namanya Muktamar, begitu ramai penyokong PAS datang dari seluruh pelusuk negara, memenuhi keseluruhan kawasan Taman Melewar. Sehinggakan hendak mencari tempat letak kereta pun agak sukar.

Malah kami yang bertugas di bahagian media juga agak tersekat kelancarannya. Pada asalnya diberi hanya satu bilik media, namun akibat kehadiran petugas media yang begitu ramai, maka pihak urusetia menempatkan media di dua buah bilik. Itu pun masih tidak mencukupi.

Kesesakan akibat ramainya pengunjung mengakibatkan kelancaran bertugas menjadi terbantut. Bagaimana hendak bergerak jika seluruh pelusuk Markaz Tarbiyah dipenuhi penyokong yang datang berduyun-duyun.

Sebelum ini beberapa kali muktamar PAS sebelum ini dibuat di luar Kuala Lumpur. Misalnya di Stadium Malawati, Shah Alam dan di Putik, Pengkalan Chepa.

Sudah tentu dengan kawasan persidangan yang besar dan kawasan meletak kereta yang luas, memberikan keselesaan.

Apa pun, kecil atau besar tempat berhimpun, bagi orang PAS kesesakan tidak menjadi masalah. Mereka sanggup duduk di tepi tangga dan di merata ceruk, asalkan amanat pemimpin wajah pemimpin dapat didengar dan ditatapi.

Muktamar PAS merupakan hari kebesaran PAS. Walau sesusah bagaimanapun, ia seolah-olah menjadi suatu kewajipan bagi mereka untuk hadir

Selain daripada bermuktamar, kebiasaannya, gerai-gerai di tapak Muktamar Tahunan PAS Pusat hanya menjual barangan, tanpa sebarang kelainan lain.

Namun, ada sebuah gerai yang menempatkan pelbagai produk keluaran Tok Guru menjadi perhatian kanak-kanak apabila penjaga gerai berkenaan membuat kuiz atau mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan bahasa Arab.

Memandangkan gerai tersebut turut menjual CD nasyid yang mengajak kanak-kanak belajar berbahasa Arab, kanak-kanak yang hadir ke gerai berkenaan akan diberikan soalan. Sekiranya berjaya, mereka akan diberikan belon dan sejenis produk Tok Guru seperti Jus Kurma, Jus Kismis dan sebagainya.

Ada juga menu kambing bakar yang memang digemari pemimpin dan ahli-ahli PAS menjadi pilihan PAS kawasan Lembah Pantai untuk membuka gerai.

Selain kambing bakar yang dibakar di hadapan gerainya sebagai menu utama, menu lain yang turut disajikan ialah makanan panas seperti mi goreng dan sebagainya.

Di sebelah atas bangunan dewan, di tempatkan sebuah bilik rawatan percuma untuk pengunjung Markaz Tarbiyah. Nampaknya ramai yang mengambil kesempatan membuat rawatan kesihatan percuma di situ. Terima kasih kepada para doktor dan jururawat yang bertugas.

Kakitangan media yang membuat liputan muktamar dihidangkan sarapan pagi oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Timbalannya Dr Siti Mariah Mahmud dan Naib Ketua, Mumtaz Mohd Nawi.

1 comment:

azmihb2010 said...

Assalamualaikum. Syabas.