Tuesday, April 26, 2011

PAS disaran letak tokoh besar lawan BN di Putrajaya


PUTRAJAYA: PAS seharusnya meletakkan tokoh besar untuk bertanding di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti kata AJK PAS Pusat, Dato' Husam Musa.

Menurut beliau, kerusi Parlimen Putrajaya yang diperuntukkan untuk ditandingi PAS oleh Pakatan Rakyat merupakan kerusi yang paling strategik untuk dirampas daripada Umno-BN.

"Jika pun kita tidak memenangi keseluruhan negara, namun jika kita menang di Putrajaya, ia merupakan suatu kemenangan yang besar kerana kita berjaya menawan pusat pentadbiran negara," kata beliau ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-7, PAS Kawasan Putrajaya yang diadakan di Pusat Kejiranan Presint 16 dekat sini, 24 April lepas.

Untuk menggambarkan keseriusan itu katanya, PAS harus membuat persiapan segera dengan menamakan seorang tokoh utama untuk bertanding di Putrajaya.

"Dengan ini kita boleh beritahu rakyat, bahawa kita amat serius untuk menerajui negara selepas PRU akan datang," kata beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Dalam ucapan perasmiannya, Husam menegaskan kesungguhan untuk menawan Putrajaya bersama Pakatan Rakyat harus dijadikan azam dan kesungguhan semua pihak dalam PAS.

Dalam hal ini katanya, PAS tidak harus berundur ke belakang dan ia harus menjadi memainkan peranan utama dalam Pakatan Rakyat untuk menumbangkan BN pada PRU akan datang.

Tegasnya, PRU 2008 merupakan mukadimah kepada transformasi landskap politik negara di mana rakyat sudah mula menerima hakikat bahawa sudah ada gabungan parti yang boleh disandarkan untuk menggantikan Umno-BN.

Husam turut membidas slogan baru yang cuba diuar-uarkan Umno seperti slogan 1Melayu 1Bumi, selain bercanggah dengan 1Malaysia, ia bakal mencetuskan bibit negatif dalam soal hubungan kaum di Malaysia.

"Jangan salahkan pengundi Cina kerana mereka menolak BN, mereka berpegang kepada prinsip. Mereka tidak boleh menerima korupsi dan amalan kronisme yang diamalkan oleh pemimpin BN.

"Dalam hal ini bukan soal Pakatan Rakyat sahaja, mereka akan undi siapa sahaja asal bukan BN," tegasnya.

Tegas Husam, masalah besar yang dihadapi ialah kegagalan Umno-BN untuk memberikan jaminan keselamatan buat orang-orang Melayu, khususnya dari sudut politik, ekonomi dan sosial.

Masa depan Melayu akan terjamin jika pemimpin yang ada memerintah dengan adil dan saksama, menunaikan amanah dalam kepimpinan dan tidak menindas bangsa sendiri atas nama perbezaan politik.

Beliau turut membidas pihak tertentu yang mendakwa PAS menggadaikan prinsip Islam kerana berkawan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

"PAS harus kekal dalam Pakatan Rakyat. Tiada agenda Islam dalam pentadbiran Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak. Tun Abdullah Ahmad Badawi ada Islam Hadhari, zaman Tun Dr Mahathir ada Islamisasi, zaman Najib apa pun tidak ada.

"Jika Najib dan Umno hendak memperjuangkan Melayu. Mengapa Kelantan yang diduduki 95 peratus orang Melayu ditindas. Royalti minyak dinafikan, lebuhraya dinafikan, pelabuhan dinafikan, lokasi pendaratan minyak dinafikan, pelaburan disekat, permohonan untuk hud antarabangsa (lapangan terbang) juga dinafikan," bidas beliau.

Tegas Husam, rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu tidak harus tertipu dengan tipu helah pemimpin Umno yang sebenarnya mempergunakan nama Melayu untuk mengaut harta rakyat.

Perangai pemimpin Umno katanya, sama seperti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud yang kaya raya merobek harta rakyat.

1 comment:

ManaratulHuda said...

jgn bg cdgn benda yg perlu dimesyuaratkan dahulu..calon besar ? maknanya calon dulu kecil..kesian ydp yg jemput perasmi.