RAKYAT negeri Sarawak berpeluang menentukan kerajaan baru pada 16 April ini berikutan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri selaras dengan kehendak Perlembagaan Negara.
Keadaan di Sarawak, hampir sama dengan Semenanjung. Iaitu negeri dikuasai oleh Barisan Nasional sejak merdeka lagi. Jika ada pun suara pembangkang di dalam Dun, ia masih belum mampu untuk mengugat kerajaan negeri.
Namun pada tahun 2008, di mana berlakunya tsunami politik di Semenanjung, sedikit sebanyak menggusarkan pemimpin BN Sarawak, khususnya Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud yang sudah berkuasa terlalu lama.
Pada 2008 kerusi Dun masih belum dipertandingkan. Namun, pembangkang, khususnya parti DAP, KeADILan dan PAS sudah menunjukkan kemajuan dari sudut sokongan rakyat.
Atas nama Pakatan Rakyat, kuasa alternatif dibentuk berjaya merampas kerusi Parlimen Sibu dari tangan BN. Kemenangan di Sibu menunjukkan kawasan yang majoriti kaum Tiong Hoa, sudah tekad menolak BN.
Episod ini menunjukkan bahawa, rakyat Sarawak yang dianggap terasing dari Kuala Lumpur, sudah berani menunjukkan signal bahawa mereka sudah tidak menerima dominasi mutlak BN.
Pada saat ini, kita berbangga dengan kaum Tionghoa yang kelihatan berani melawan arus. Sikap penolakan mereka terhadap BN diharap akan menjadi pendokong kepada kaum-kaum lain seperti Melayu, Iban dan sebagainya untuk turut sama membuat perubahan.
Pakatan Rakyat sudah membulatkan tekad, bekerjasama dengan parti-parti pembangkang dan lain-lainnya untuk meletakkan calon satu lawan satu dengan BN.
Pilihan Raya Sarawak merupakan penanda aras yang paling penting buat kedua-dua gabungan, sama ada Pakatan Rakyat, mahupun BN.
Keputusan di Sarawak dijangka akan menjadi penentu Pilihan Raya Umum yang dijadualkan selewat-lewatnya 2013 nanti.
Justeru parti-parti komponen Pakatan Rakyat, harus bekerja keras untuk memenangi seberapa banyak kerusi Dun, yang selama ini dilihat sukar ditembusi pembangkang.
Sama ada Pakatan Rakyat dan parti gabungannya berjaya menewaskan BN, ataupun berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Sarawak, maka sudah tentunya ianya akan menjadi petanda awal BN akan tewas di peringkat Persekutuan.
Kepada rakyat Sarawak, Pakatan Rakyat mengharapkan anda membuat perhitungan yang sewajarnya untuk masa depan anak cucu anda.
Apakah negeri Sarawak hendak terus anda serahkan kepada pemimpin PBB-BN yang korup dan kaya raya? Apakah anda mengizinkan Tanah Adat dan segala hasil mahsul milik rakyat dipindah milikkan kepada BN sesukahati? Andalah yang bakal menentukannya nanti.
Justeru kita amat mengharapkan, kerjasama semua pihak, semua kaum, agama dan bangsa untuk berdiri teguh bersama Pakatan Rakyat, bukan sekadar hanya untuk menjadi pembangkang yang kuat, malah jika boleh menjadi peneraju kerajaan negeri.
Rakyat Sarawak harus bersama-sama dengan rakan-rakan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berani menolak BN.
Rakyat di negeri-negeri ini hidup dengan aman dan harmoni, menikmati nikmat ekonomi yang sama rata, serta mendapat kelebihan dari sudut kebajikan.
Mereka hidup dengan selesa walaupun mereka menolak BN. Maka dengan itu adalah diharapkan, demi masa depan yang lebih baik, marilah bersama Pakatan Rakyat memacu negeri ke arah yang lebih baik daripada BN.
Selamatkan Sarawak dari kerakusan BN!
No comments:
Post a Comment