KERAJAAN Umno-Barisan Nasional tidak harus mendabik dada kononnya tugas mereka berjaya dalam misi Operasi Piramid dengan memindahkan rakyat dan pelajar Malaysia yang terperangkap dalam krisis politik di Mesir.
Tugas menyelamatkan rakyat adalah tanggungjawab kerajaan. Jika kita ditunjangi oleh kerajaan yang berfahaman komunis sekalipun, kerajaan tetap bertanggungjawab ke atas rakyatnya walau di mana mereka berada.
Tugas sesebuah kerajaan, harus dibezakan dengan kepentingan parti politik yang memerintah, iaitu sebagai kerajaan, harus berkhidmat tanpa mengira fahaman politik, adil dan saksama untuk kepentingan semua rakyat.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tidak harus merasa gusar atau tertekan jika mereka melakukan tindakan yang betul dalam misi menyelamat rakyat di Mesir.
Sebaliknya menerusi media talibarut Umno-BN, PM, Timbalannya dan Menteri-menteri yang membuat kenyataan, berulangkali mengeluarkan ungkapan 'jangan memfitnah kerajaan', 'kerajaan akan tanggung kos penerbangan' dan sebagainya.
Mengapakah keadaan ini berlaku? Apakah faktor yang mendorong penafian demi penafian terpaksa dibuat kerajaan?
Kerajaan sebenarnya terpaksa membuat penafian kerana Malaysia, adalah antara negara yang paling lambat melakukan kerja-kerja menyelamatkan rakyat di Mesir.
Dilaporkan media antarabangsa, sebaik sahaja demonstrasi meletus, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jepun, Korea, Indonesia dan pelbagai negara sudah mula memindahkan rakyatnya dari Kaherah.
Setelah beberapa hari demonstrasi meletus, ramai pelajar yang terpaksa berkurung di asrama, ada antara yang menerima ancaman, Kedutaan Besar Malaysia di Mesir masih tidak berbuat apa-apa.
Paling memalukan, selepas hampir seminggu demonstrasi meletus, ada di antara pimpinan kerajaan yang memaklumkan mereka menunggu perkembangan dalam tempoh 48 jam untuk membuat keputusan.
Sedangkan keadaan pelajar di Mesir semakin terdesak. Mereka terkurung selama beberapa hari, bekalan makanan hampir kehabisan, hubungan telekomunikasi dan internet terlalu terhad.
Semua tekanan ini sudah tentu akan menyebabkan ibu bapa dan waris pelajar serta yang rakyat terbabit berada di dalam kebimbangan dan tekanan.
Apabila rakyat di Mesir terkandas dan kritikal, sementara ibu bapa dan waris di Malaysia tertekan, sudah tentu kelambatan kerajaan bertindak menimbulkan pelbagai spekulasi.
Mengapakah kerajaan lambat bertindak menyelamatkan rakyat di Mesir? Apakah kerajaan mengharapkan demonstrasi di Dataran Tahrir akan berakhir dengan segera? Apakah kerajaan Umno-BN yakin Presiden Hosni Mubarak mampu mengawal rakyatnya? Atau apakah kerajaan benar-benar tidak mempunyai wang untuk membawa pelajar pulang?
Sudah tentu dalam keadaan yang kritikal sebegini, sedikit kelewatan kerajaan, boleh mengancam keselamatan rakyat yang berada di Mesir.
Kemudiannya krisis diburukkan dengan kenyataan yang tidak konsisten dengan wakil-wakil kerajaan yang menguruskan rakyat pulang dari Mesir. Ada yang mengatakan mereka akan dibawa pulang terus, ada yang mengatakan mereka akan dipindahkan ke Jeddah, ada yang mengatakan urusan balik dari Jeddah diuruskan sendiri dan pelbagai lagi kemusykilan timbul.
Kesemua kemusykilan ini menghasilkan kekelamkabutan yang akhirnya menjejaskan nama baik kerajaan juga. Sepatutnya jika kerajaan tidak mahu dipersalahkan, tidak mahu dilihat gagal menjalankan tugas, mereka seharusnya bertindak lebih awal, bukan menunggu krisis semakin meruncing.
Kelemahan menangani tugas seperti ini hanya menunjukkan Umno-BN sudah hilang fokus dan tidak mampu menjalankan tugas dengan baik untuk kepentingan rakyat.
Jika Umno-BN sudah tidak mampu, serahkan sahaja tugas mengemudi kerajaan kepada Pakatan Rakyat.
1 comment:
masalahnya ni keje askar, bukan parti politik. askar bawah agong, bukan PM
Post a Comment