SEKITAR tujuh abad yang lalu, orang-orang Melayu di Nusantara, termasuk Semenanjung Tanah Melayu, majoritinya beragama Hindu.
Selepas itu Islam mula tersebar dengan kunjungan Laksamana Cheng Ho di Kelantan dan Terengganu. Parameswara di Melaka turut memeluk agama Islam.
Walaupun Melayu itu bangsa dan Islam agama, tetapi sejak kedatangan Islam, secara umumnya identiti orang-orang Melayu sangat sinonim dengan Islam.
Sehingga dikatakan Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Begitu kuatnya jalinan dan gabungan Melayu-Islam, sehingga ia berjaya membentuk suatu identiti yang tersendiri.
Sebelum kedatangan Islam, orang Melayu berpaksi budaya dan bahasa, selain menjadi rakyat yang setia kepada Raja yang memerintah.
Kehadiran Islam di Nusantara mengangkat martabat bangsa Melayu. Menjadikan mereka bangsa yang mulia dan disegani. Sinonimnya Islam dengan Melayu bak kata pepatah 'irama dan lagu terpisah tiada.'
Namun bangsa Melayu, sama juga bangsa-bangsa yang lain. Ia mempunyai kepimpinan dan kepimpinan itulah yang mencorakkan hala tuju sesuatu bangsa.
Era bangsa Melayu yang bangkit menentang penjajah British untuk memerdekakan Malaya kebanyakannya dipelopori oleh ilmuan agama dan golongan bangsawan yang kuat berpegang kepada ajaran Islam.
Ilmuan dan bangsawan inilah sebenarnya yang benar-benar memperjuangan masa depan agama, bangsa dan negara.
Namun, amat malang bagi orang Melayu, apabila atas nama nasionalisme, British menaja sebuah parti yang kononnya memperjuangkan masa depan orang Melayu.
Penjajah menganiaya, menangkap, membunuh dan membuang daerah ulama-ulama yang bangkit menentang penjajahan, manakala golongan berpendidikan Barat ditabalkan menjadi peneraju dalam negara.
Umno yang diberi mandat meneraju negara mula melaksanakan dasar-dasar yang menuruti kehendak penjajah. Mereka menggubal Perlembagaan yang mengetepikan kepentingan bangsa Melayu dari sudut Islam. Umno menghapuskan sistem pembelajaran jawi yang menjadi asas pendidikan Melayu sejak ratusan tahun kepada ejaan rumi.
Umno mengubah sejarah di sekolah-sekolah, bahawa kononnya mereka adalah pejuang tulen nasionalis Melayu yang membebaskan negara dari penjajahan British. Walhal tercatat pada sejarah dunia, bahawa Umno mendapat tampuk kuasa dalam negara secara red-carpet.
Akibat dari penipuan dan pemesongan sejarah di peringkat awal inilah yang sebenarnya berjaya membentuk minda orang-orang Melayu, bahawa Umnolah pejuang tulen Melayu, jika tiada Umno, tiadalah Melayu akan berjaya.
Fahaman khurafat ini seharusnya dihapuskan. Lihatlah apa pencapaian Melayu selepas lima puluh tahun Umno berkuasa? Yang kaya raya dan mendapat laba besar adalah segelintir orang Melayu yang akrab dengan Umno.
Pemimpin-pemimpin Umno hidup mewah kaya raya kerana apa? Kerana mereka mengamalkan rasuah, mengamalkan nepotisme dan kronisme.
Mereka memperkayakan diri dan keluaga dengan meratah 'titik peluh rakyat'. Wang rakyat dan kekayaan ekonomi negara dimilik peribadikan pemimpin-pemimpin Umno.
Justeru akibat laba dan lalai, mereka mengetepikan kemuliaan agama Islam, memperjudikan nasib bangsa, malah sampai ke peringkat menggadai kedaulatan negara.
Maka, pada Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Umno sudah tidak layak lagi menjadi payung kepada orang-orang Melayu.
PAS sedia menampilkan diri menjadi pengganti Umno di kalangan orang-orang Melayu. Betapa PAS yang ditunjangi majoriti Melayu yang istiqamah dengan Islam, begitu yakin ianya mampu memberikan jaminan terbaik kepada orang-orang Melayu.
Pada Konvensyen Pengupayaan Bangsa 19 Februari 2011 di Shah Alam, PAS menggariskan 12 jaminan yang ditawarkan kepada orang-orang Melayu, mudah-mudahan Melayu yang peka akan berfikir untuk menolak Umno dan menggantikannya dengan PAS. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment