"DUIT judi haram...pulang balik kepada kerajaan DAP Pulau Pinang," pekik pemimpin Umno kepada beberapa kerat pecacai yang diupah berlakon untuk membuat kecoh.
Mereka yang membuat kecoh ini mempunyai akal yang singkat. Membuat hiruk pikuk tanpa ada sebab-sebab yang rasional macam 'orang mabuk todi.'
Mereka tidak fikir, kalau duit yang diperolehi kerajaan Pulau Pinang dari sumber haram seperti judi, haram diberikan kepada orang miskin atau haram untuk diterima sebagai upah.
Bagaimana pula dengan kakitangan kerajaan negeri yang mendapat upah? Bagaimana dengan elaun wakil rakyat yang terdiri dari ahli Umno-Barisan Nasional sendiri yang selama ini?
Ok, jika kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng haram menerima derma RM500 ribu dari syarikat lumba kuda, bagaimana dengan Kerajaan Pusat yang menerima hasil cukai judi, arak dan sumber-sumber haram yang lain?
Kalau macam itu, berapa ramai kakitangan Kerajaan Pusat yang mendapat gaji atau upah dari hasil yang haram? Berapa banyak punya haram? Umno tidak fikirkah?
Oleh kerana itu, jikapun Umno Pulau Pinang hendak menegakkan Islam yang sebenar, hendak menjaga umat Islam supaya tidak terjebak sesuatu yang haram, Umno patut muhasabah diri mereka sendiri.
Bagaimana dengan Kerajaan Pusat yang mereka terajui? Bagaimana dengan kerajaan-kerajaan negeri yang mereka terajui selama ini? Adakah benar-benar bersih dan tidak pernah menerima wang dari hasil judi atau aktiviti yang haram?
Jika mereka hendak bahas dalam soal halal haram. Jangan lihat kepada wang dari judi sahaja. Cuba fikir mengenai kewangan negeri atau negara yang selama ini disimpan dalam bank-bank yang mengamalkan sistem riba. Sistem riba jelas haram dalam Islam.
Oleh itu, bagaimana selama ini mereka (Umno-BN) yang menerajui kerajaan, membayar gaji, upah atau elaun kepada kakitangan kerajaan dan juga untuk makan minum mereka sendiri, dari hasil riba yang jelas haram?
Dalam kes spesifik seperti di Pulau Pinang, katalah kita terimalah fakta, kononnya ada golongan miskin yang tidak puashati kerana dalam wang judi RM100 seorang. Yang berkumpul dalam majlis pemulangan wang itu siapa? Bukankah mereka penyokong Umno-BN? Kesiannya mereka masihberada di tahap kemiskinan.
Maka kita pun akan terfikir ramainya penyokong Umno yang miskin. Mengapa mereka ini begitu bodoh, selepas duduk dalam zon kemiskinan lebih 50 tahun di bawah BN, masih hendak percaya BN lagi?
Kalau kehidupan mereka miskin selama ditadbir Umno-Gerakan-BN Pulau Pinang, apa perlunya mereka hendak menyokong Umno? Mereka-mereka ini hanyalah umpama 'lembu yang menyerahkan leher untuk disembelih' sahaja.
Apa pun kita lihat, gelagat Reezal Merican Naina Merican beserta beberapa orang pemimpin Umno, nampaknya semacam berjaya menghiruk pikukkan Pulau Pinang, menjadi macam 'keling karam'.
Istilah 'keling karam' tidak ditujukan kepada mana-mana kaum secara spesifik. Ia adalah salah satu perumpamaan dalam peribahasa Melayu, yang menggambarkan kekecohan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu di atas sesuatu yang tidak berasas.
Selain istilah 'keling karam' ada juga peribahasa seperti 'janji keling' misalnya digunakan oleh masyarakat berbahasa Melayu untuk merujuk kepada orang yang suka berbohong, memberi kenyataan yang bercanggah dan mereka yang tidak tetap pendirian. Spesies ini banyak dalam Umno.
Jangan pula pihak-pihak tertentu di Pulau Pinang marah penulis menggunakan istilah keling kerana, pada 14 Mei 2009, Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memutuskan istilah 'keling' dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga Dewan Bahasa dan Pustaka, dibenarkan kerana ia untuk tujuan pembelajaran. Tiada mala fide' (niat jahat) kepada mana-mana pihak.
Justeru dalam isu yang berkaitan dengan judi ini, mereka yang diistilahkan bagai 'keling karam' ini menggelejat macam 'kera kena belacan' apabila dalam rencana lepas, penulis menggambarkan betapa Umno mempunyai minda yang dogmatik dan jumud dalam menangani isu judi ini.
Mereka tidak ada hujah dari sudut agama. Mereka juga tidak ada hujah dari segi fakta. Yang mereka hanya boleh 'bikin' kecoh, ialah hanya dengan mendakwa Harakah atau PAS menjadi alat DAP.
Habis-habis tinggi pun mereka mendakwa kononnya PAS tersasar dari landasan perjuangan Islam dan kurang membela orang Melayu.
Kepada pecacai Umno ini, kita mengharapkan supaya mereka bersikap lebih rasional dan matang. Jika mereka ada hujah, ada fakta atau ada butiran mengenai apa yang didakwa sebagai salah laku Pakatan Rakyat, sila kemukakan.
Ayuh kita berdialog, berbahas dan bertukar info secara gentleman, secara anak jantan. Jika anda betul, kami akan terima dan jika kami betul, maka anda juga harus menerimanya.
Jangan berlagak macam 'pondan siam'. Hanya berani lempar 'bom asap'. Upah beberapa orang pecacai untuk buat havoc, selepas itu panggil media cetak dan elektronik untuk siarkan kekecohan sumpama 'keling karam.' Riuh kononnya macam esok Kerajaan Pakatan Rakyat akan tumbang.
Jika Umno-BN benar-benar mempraktikkan sistem demokrasi, mereka harus menghormati Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Sedarlah bahawa kerajaan negeri ini tertegak bukan di atas rampasan kuasa. Ianya tertegak dengan kuasa majoriti rakyat yang mengundi parti-parti pembangkang untuk dijadikan kerajaan.
Sekarang ini parti pembangkang sudah menjadi kerajaan yang sah di sisi undang-undang. Dan parti kerajaan seperti Umno, Gerakan, MCA dan MIC di Pulau Pinang, sudah jadi pembangkang.
Pada penulis, Umno-BN Pulau Pinang memainkan sentimen dan provokasi yang amat berbahaya, yang barangkali boleh menjurus ke arah sesuatu yang tidak diingini.
Bukan mereka tidak boleh membangkang. Kita bukannya menyuruh mereka menyokong dasar Pakatan Rakyat. Tetapi, jadilah pembangkang yang berhemah dan menghormati demokrasi.
Takkan dah hendak masuk tiga tahun, Umno-BN masih 'meroyan' akibat kehilangan kuasa? Belajarlah jadi pembangkang yang baik, selepas menjadi pembangkang di negeri, Umno-BN akan menjadi pembangkang di Pusat pula.
1 comment:
hehe..keling karam...aku suka.. comel bunyinya.. :)
Post a Comment