AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah adalah ahli Umno. Menang kerusi parlimen di atas tiket Umno-Barisan Nasional.
Oleh itu jika Tengku Razaleigh (Ku Li) menerima pelantikan yang ditandatangani Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, Galas, memang beliau berhak.
Malah jika pun Umno-BN hendak memilihnya sebagai calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, tiada yang boleh pertikaikan, kerana beliau adalah ahli Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang.
Sebaik mana pun pandangan kita terhadap Ku Li, beliau tetap Umno, mewakili BN yang dari segi ideologi dan politiknya, berbeza dengan PAS dan Pakatan Rakyat.
Namun, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah membuat pendirian yang jelas. Sesiapa sahaja calon BN di Galas, PAS tetap akan menentangnya.
Tegasnya, yang PAS tentang bukannya individu Ku Li, tetapi Umno-BN keseluruhannya.
Cumanya, yang menjadi musykil bagi rakyat kebanyakan adalah, mengapa baru sekarang Ku Li ada kononnya nilai dalam Umno? Mengapa Umno-BN beriya-iya menunggu Ku Li pulang dari London untuk memuktamadkan keputusannya?
Apakah Ku Li bersedia untuk menerima tugasan bak kata pepatah 'bagai mendukung biawak hidup'? Terpulang kepada Ku Li memutuskannya.
Dalam semua pilihan raya kecil yang diadakan sejak 2008, jentera pilihan raya BN diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Busuk-busuk pun, Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang menguasai jentera pilihan raya.
Mengapa dalam kes Galas ini, awal-awal lagi Muhyiddin sudah menolak jawatan ini kepada Ku Li? Apakah Muhyiddin sudah surrender (angkat tangan) kerana banyak janji beliau di Manek Urai masih belum tertunai?
Janji pembangunan atau projek-projek yang hanya akan diberikan jika calon BN dipilih sebenarnya adalah rasuah dan ugutan. Jika tidak menang pun kebanyakan janji atau projek 'instant' BN semasa pilihan raya, akan terhenti sebaik sahaja calon BN tewas.
Bila janji pilihan raya tidak ditunai, maka Umno-BN sudah membuat penipuan terhadap rakyat. Dalam konteks PRK Galas ini, apakah kerana Muhyiddin sudah penat 'menipu', maka Umno-BN mahu membawa seorang 'penipu' yang baru untuk mengelabui mata pengundi?
Ku Li adalah ahli politik veteran, anak raja yang amat dihormati dan disegani di Kelantan. Nama beliau begitu 'besar' di Kelantan. Tetapi pada Umno-BN, beliau tidak ada nilai sedikit habuk pun.
Sejak Ku Li kembali semula ke dalam Umno pada tahun 1996, beliau pernah dilantik sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan dalam waktu yang singkat. Itu pun pada zaman Tun Mahathir Mohamed jadi PM.
Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Mohd Najib Tin Razak, Ku Li 'tidak dipakai' langsung. Malah media massa yang dikuasai Umno pernah menyerangnya begitu teruk sewaktu beliau berhasrat bertanding jawatan Naib Presiden (zaman peralihan Mahathir-Abdullah) dan jawatan Presiden, untuk menentang Abdullah.
Pada waktu itu beliau tinggal satu lagi kouta pencalonan untuk melayakkannya bertanding jawatan Naib Presiden. Kouta itu datang dari Umno Gua Musang. Perwakilan Mesyuarat Umno Bahagian Gua Musang menyerahkan mandat kepada AJK Bahagian untuk membuat pencalonan. Lalu dalam pencalonan itu dipilih nama Ku Li sebagai calon Naib Presiden.
Dengan pencalonan Umno Gua Musang, maka Ku Li layak bertanding jawatan Naib Presiden. Tetapi Jawatankuasa Pemilihan Umno, membatalkan kelayakan Ku Li, atas alasan pencalonan tidak dibuat dalam mesyuarat agung.
Mengikut amalan demokrasi memang Ku Li layak. Memang biasa perwakilan serah mandat kepada AJK. Namun itulah demokrasi dalam Umno. Punya mereka bersungguh-sungguh menyekat Ku Li, sampai pencalonan yang dibuat secara demokrasi, dikatakan tidak sah.
Pada zaman Abdullah, Ku Li dihina lagi teruk. Selain hanya Gua Musang mencalonkan beliau ke jawatan Presiden, media milik Umno-BN, khususnya NST menyerang Ku Li, menghinanya lebih teruk daripada pembangkang. Buruknya Ku Li pada mata mereka sukar hendak dilakarkan di sini.
Sama juga pada zaman Najib. Soal tidak dilantik sebagai menteri atau anggota MT, itu memang hak Najib.
Tetapi rakyat tidak lupa bagaimana Ku Li diserang dan dihentam begitu teruk oleh media pro Umno semata-mata dalam perkara tertentu beliau bersependapat dengan PAS atau Pakatan Rakyat.
Ku Li juga menerima serangan yang dahsyat sewaktu beliau naik ke pentas bersama pemimpin PAS Kelantan menuntut wang royalti sebagai hak rakyat Kelantan.
Selama ini pun Ku Li bukannya 'putera idaman' Umno-BN. Bukan juga anak tiri Umno, malah dilayan sama teruk dengan Pakatan Rakyat.
Jika hendak disenaraikan kembali berita, rencana akhbar, televisyen yang menyerang Ku Li cukup banyak. Mungkin naik meluat kita membacanya.
Namun penulis percaya, Ku Li 'sedar diri'. Beliau tahu bagaimana penerimaan pemimpin Umno di peringkat Pusat terhadap beliau.
Lagi pun Umno Gua Musang yang diketuainya selama ini, bagaikan anak tiri kepada Umno Kelantan.
Wallahua'lam, barangkali tawaran sama ada pengarah atau calon PRK dibuat, beserta dengan tawaran-tawaran lumayan yang tidak didedahkan kepada umum.
Terpulang kepada Ku Li untuk menerima atau menolaknya. Sama ada Ku Li menerima atau menolak pelawaan Umno, beliau seharusnya bersedia untuk menghadapi apa jua risiko.
Sekadar lontaran buat Ku Li, apakah jika BN menang kerusi Dun Galas, adalah itu petanda Ku Li akan diterima oleh Umno-BN? Apakah keputusan itu bakal menunjukkan Umno Kelantan akan melayan Umno bahagiannya dengan baik?
Jika pun Umno-BN menang, apakah Ku Li ada kedudukan mengagihkan peruntukan untuk meneruskan janji-janji politik BN semasa PRK?
Takut-takut nanti Ku Li 'menang sorak kampung tergadai'. Usahlah Ku Li, 'tiada beban batu digalas'.
No comments:
Post a Comment