Umat Islam baru sahaja menyambut Hari Raya Aidilfitri, yang jatuh pada 1 Syawal, Jumaat lepas. Aidilfitri disambut saban tahun sebagai bulan kemenangan bagi umat Islam.
Kemenangan disambut selepas berjaya melawan hawa nafsu, melalui ujian berpuasa selama sebulan, menunaikan solat tarawih, tadarus, qiamulaill dan sebagainya.
Kemenangan umat Islam disambut dengan membesarkan Allah, melafazkan kalimah takbir berulang-ulang kali, tanda syukur dan taat kepada perintah Allah.
Di kebanyakan tempat, takbir raya disambut dengan meriah, berkunjung dari rumah ke rumah, ke merata taman dan desa, melaung-laungkan kalimah takbir.
Namun, agak malang apabila kebanyakan umat Islam, melaung-laungkannya sekadar tradisi orang Melayu, tanpa memahami intipati kalimah takbir yang dilaung-laungkan berulang kali.
Kalimah takbir adalah zikrullah. Membacanya bukan untuk mengejar kemerduan alunan. Ianya penuh dengan makna, iaitu mengajak umat Islam berperang dan berjihad untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi.
Jihad yang dituntut dengan memerangi hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan, harus diteruskan pada hari Eid Mubarak.
Eid Mubarak atau Aidilfitri adalah hari kembalinya umat Islam kepada fitrah, iaitu suci dari noda dan dosa, serta mentaati segala perintah Allah sepenuhnya tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu.
Pada setiap lafaz takbir, kita berikrar kepada Allah bahawa kita membesarkan-Nya, tanpa mensekutukan-Nya dengan yang lain.
Ia adalah pernyataan ikrar dan taat kepada Allah, kepada syariat-Nya, kepada seluruh perintah dan larangan-Nya, kita berjanji kita akan patuhi.
Justeru, apakah kita benar-benar sudah mematuhi perintah Allah dalam kehidupan kita, dalam rumahtanga kita, dalam masyarakat dan negara kita?
Kita harus mentaati-Nya secara mutlak, iaitu menolak segala bentuk undang-undang yang tidak Islam, ideologi yang tidak Islam, ekonomi dan sistem sosial yang tidak menepati ajaran Islam yang sebenar.
Maka pada hari raya Aidilfitri, yang digalakkan kita ziarah menzarahi sesama sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga, hendaklah kita asaskan pada dasar Islam.
Iaitu dengan mempereratkan silaturrahmin, ingat mengingatkan antara satu sama lain di atas jalan kebenaran, menjauhi sebarang bentuk maksiat, serta mengelakkan hiburan yang berlebih-lebihan.
Kita harus mengelakkan amalan jahiliyah dengan memelihara adab dan kesopanan sesama keluarga mengikut ketetapan Allah SWT.
Dalam keseronokan berhari raya, jangan sesekali kita membenarkan anak isteri kita bergaul bebas tanpa dibatasi batasan aurat, jangan biarkan anak-anak muda walaupun bertahap sepupu berlonggok bersukaria, berhibur tanpa kawalan.
Ketahuilah bahawa kehadiran Aidilfitri adalah ibadah, menyambutnya adalah ibadah, ziarahi menziarahi adalah ibadah. Maka jangan sesekali mengundang maksiat ke dalam rumah kita, sewaktu kita sedang melaksanakan ibadah terhadap-Nya.
Jika kita masih terus mengamalkan amalan maksiat, bergaul bebas secara jahiliyah, maka sesia-sialah puasa kita, sia-sialah ibadah kita, tiada nilainya lafaz takbir yang kita laung-laungkan.
Oleh itu, umat Islam hari ini, yang kebanyakannya masih tidak sedar dan lalai, harus segera memperbetulkan tatacara kehidupan mereka supaya menepati ajaran Islam yang sebenar.
Pengertian kembali kepada fitrah, adalah kembali kepada Islam sepenuhnya. Moga-moga dengan istiqamah kita, Allah akan terus merahmati dan memberkati hidup kita. Amin.
No comments:
Post a Comment