Sambutan kemerdekaan negara Malaysia kali ke-53 tahun ini dicemari dengan pelbagai insiden yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian di kalangan masyarakat majmuk dalam negara.
Media arus perdana, khususnya yang didalangi oleh Umno-Barisan Nasional, secara terus-menerus meniupkan sentimen keagamaan dan perkauman dengan mensensasikan sesuatu isu demi kepentingan politik mereka.
Insiden -insiden kecil diperbesar-besarkan dan dimainkan dengan berlakunya berbalas kenyataan dan dikeluarkan amaran terhadap pihak-pihak tertentu, sehingga menimbulkan ketidakselesaan di kalangan rakyat.
Bukan Islam dilarang memasuki masjid dan surau. Ketua Menteri Pulau Pinang dikecam kerana didakwa menindas bangsa Melayu Pelbagai insiden mengheret kepada tajamnya persepsi rakyat terhadap bukan Islam, khususnya dari kalangan DAP.
Fokus Umno-BN untuk membunuh kredibiliti dan karektor kepimpinan DAP amat bahaya. Ia bukan hanya dilihat untuk menghapuskan sebuah parti yang mendukung Pakatan Rakyat.
Malah ia dibawa Umno begitu jauh, sehingga boleh mencetuskan pertelingkahan di antara orang Melayu dengan orang Cina. Ini adalah permainan sentimen yang boleh membahayakan keselamatan negara.
Umno sebagai sebuah parti yang mendakwa didukungi majoriti orang Islam, seolah-olah hilang pertimbangan dengan permusuhan terhadap DAP yang dianggotai kebanyakan orang bukan Melayu.
Umno yang menerajui pemerintahan negara, menunjukkan dengan jelas, seolah-olah sifat toleransi di kalangan agama dan rakyat yang berbilang kaum sudah tidak wujud dalam negara.
Bagi PAS, masalah besar dalam negara akan wujud, jika Umno-BN terus meniupkan dan memainkan sentimen sebegini.
Dalam apa juga keadaan, bagi PAS, seharusnya sesuatu perkara dinilai menurut perspektif Islam dan dihakimi dengan seadil-adilnya.
Malaysia, sebagai sebuah negara yang dicanangkan sebagai 'Negara Islam' oleh pemerintah, wajar ditadbir menurut acuan Islam. Dalam konteks masyarakat majmuk, Malaysia harus mengamalkan sistem demokrasi yang mengikut prinsip-prinsip Islam yang amat toleran.
Firman Allah SWT (mafhumnya):
"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbiya, ayat 107).
Firman Allah SWT (mafhumnya):
"Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)." (Surah Saba', ayat 28)
Merujuk kepada dua ayat ini, dengan jelasnya Islam adalah agama yang sikap fanatisme yang membeza-bezakan fahaman, bangsa dan warna kulit.
Islam menghidupkan hati dan memakmurkannya dengan iman yang benar dan menjurus kepada dakwah, kebajikan, petunjuk dan keadilan.
Islam menghapuskan sebarang perbezaan jenis, bahasa, ras, nasab dan harta benda.
Firman Allah SWT (mafhumnya):
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat ayat 13)
Oleh itu maka, amat wajar diseru kepada semua pihak dalam negara ini supaya mengambil semangat Ramadan dan Syawal yang bakal tiba ini untuk lebih rasional.
Sesiapa pun yang menerajui negara sama ada sekarang, mahupun akan datang, menjadi tanggungjawab mereka, agar keharmonian agama dan rakyat, terus terpelihara.
No comments:
Post a Comment