Monday, March 19, 2007

Krisis Mahathir - Abdullah cemar kemeriahan Aidilfitri

Bagi umat Islam setiap kali kedatangan Aidilfitri, kebiasaannya disambut dengan penuh kemeriahan, khususnya bagi mereka yang berjaya melepasi ibadah puasa dan solat sunat tarawih sepanjang sebulan di bulan ramadan.

Meriahnya sambutan Aidilfitri disulami dengan budaya bermaaf-maafan sesama insan, khususnya bagi mereka yang bersengketa sama ada sesama anggota keluarga, kelompok masyarakat dan negara.

Lebih-lebih lagi bagi orang-orang politik yang sering berseteru. Inilah masa yang terbaik untuk mereka bersemuka, bermuhasabah dan berdamai.

Khusus bagi orang-orang Umno, selama ini mereka mengharapkan ramadan dan ketibaan syawal ini sebagai masa yang terbaik untuk mendamaikan pertelagahan antara kedua tokoh mereka iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pada awalnya pertemuan yang diatur oleh Mubarak (Persatuan Bekas Wakil Rakyat) 22 Oktober (Ahad) lepas, dilihat sebagai kesempatan yang paling baik untuk dijadikan 'hadiah Aidilfitri' buat Umno selepas perbalahan terbuka tercetus sejak April lalu.

Ramai yang menduga pertemuan yang berlangsung selama dua jam di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya antara keduanya, mampu merintis jalan ke arah meleraikan ketegangan yang berlanjutan lebih enam bulan.

Malah keesokan harinya, buat julung kali, NST menyiarkan gambar Mahathir di muka hadapan akhbar itu dengan laporan yang sangat positif berbanding paparan negatif sebelum ini. Kesemua media cetak dan elektronik tempatan juga membuat laporan utama.

Walaupun harapan orang-orang Umno terhadap keduanya tinggi menggunung, namun tiada siapa yang tahu apakah keduanya, samada Mahathir atau Abdullah memang benar-benar hendak bertemu atau sebaliknya.

Tiada siapa yang tahu apakah sebenar-benarnya berlaku semasa pertemuan empat mata Mahathir - Abdullah berlangsung.

Kegembiraan, harapan serta perdamaian yang diharapkan tidak lama, tidak sampai sehari setengah, Mahathir sudah kembali mengkritik Abdullah.

Ia bagaikan kejutan kepada semua pihak. Sambutan Aidilfitri di PWTC yang dikhabarkan menerima seramai 180 ribu pengunjung menjadi hambar. Abdullah terkejut, Najib Tun Razak, Menteri Kabinet, semuanya terkejut dan terkedu dengan kritikan Mahathir.

Isu dan tekanan terhadap Mahathir

Mahathir dan Abdullah tidak bertemu sejak lama. Dalam tempoh itu juga Mahathir banyak mengkritik Abdullah, Umno dan kerajaan.

Mahathir menghentam keperibadian Abdullah yang disifatkannya sebagai PM yang lemah kerana banyak membuat keputusan yang dipengaruhi oleh menantu, Khairy Jamaludin serta membuka ruang anggota keluarganya 'mengaut rezeki' secara berleluasa dalam negara.

Mahathir mengkritik Abdullah kerana begitu lemah menangani isu jambatan, sehingga terpaksa tunduk kepada kehendak Singapura, bukan sekadar pembatalan jambatan, ia dirujuk sebagai menggadaikan maruah negara kepada negara jiran.

Mahathir mengenengahkan isu kerugian Proton, AP, Rafizah Aziz, Oil for Food dan banyak isu berkaitan mengenai kepincangan ekonomi.

Dalam tempoh itu juga kritikan Mahathir tidak dijawab secara objektif oleh kerajaan, sebaliknya dijawab dengan tindakan fizikal seperti semburan gas, serangan media dan pelbagai sekatan, ugutan polis serta pembatalan program yang membabitkan Mahathir mana-mana peringkat organisasi Umno.

Selain disekat untuk bertemu dan bercakap dengan orang-orang Umno, Mahathir dikecam oleh orang-orang Umno, termasuk Abdullah, menantunya dan Menteri-menteri Kabinet dengan pelbagai kata nista.

Mahathir dilabel sebagai iblis, beruk, orang tua nyanyuk, 'gila talak' dan dikalahkan dalam pemilihan perwakilan Umno Kubang Pasu dalam keadaan yang amat hina oleh orang-orang Umno sendiri.

Dalam kata lain, kekecohan krisis, perbalahan, kecaman dan pergaduhan politik yang berlaku khususnya di antara Mahathir dan Abdullah adalah cetusan masalah Umno yang tidak ada kena mengena dengan influence dari mana-mana kelompok pembangkang.

Amaran e-mail picisan

Namun apakah rasionalnya apabila TV3 memetik e-mail picisan yang dikatakan ditulis oleh ahli Umno bernama Shaiful Bahri yang antara lain 'memberi amaran' kepada Mahathir supaya bersedia untuk menerima 'habuan' jika tidak menutup mulutnya mengkritik Abdullah.

E-mail yang entah dari siapa itu, turut dipetik sebagai mengingatkan Mahathir bahawa pembangkang, khususnya PAS akan 'menangguk di air yang keruh' akibat perbalahan kedua-duanya.

Itulah juga antara point utama dibangkitkan oleh Abdullah dalam pertemuannya dengan Mahathir, iaitu pembangkang akan mengambil kesempatan di atas kekeruhan antara kedua mereka.

Jelasnya Umno dan TV3 seolah-olahnya tidak ada daya untuk melawan Mahathir, selain daripada mengunakan email (yang boleh direka oleh sesiapa sahaja) yang didakwa dari seorang ahli Umno sebagai senjata untuk membalas kritikan Mahathir.

Tiada jalan lain agaknya untuk memberi amaran keras terhadap Mahathir adalah dengan menggunakan e-mail yang mempersoalkan kewibawaan dakwaan bekas PM itu. E-mail tersebut juga seolah-olahnya 'mengugut' Mahathir, jangan sampai kebobrokan dan kepincangan dalam pemerintahannya diungkit kembali.

Maka antara pendekatan terbaik untuk mengetepikan Mahathir dan segala persoalan yang dibangkitkannya, adalah dengan mengaitkan beliau dengan pembangkang.

Begitu hodohnya mereka, apabila berbalah sesama sendiri, satu pihak mengunakan strategi untuk menjatuhkan seterunya dengan mengaitkan pihak yang tidak ada kena mengena dengan konflik mereka.

Rencana pengarang BH

Secara jelasnya, apa yang berlaku disimpulkan oleh rencana pengarang Berita Harian pada 26 Oktober 2006 yang mendakwa sebenarnya Mahathir memberi petunjuk jelas mengenai tujuan sebenarnya untuk menjatuhkan PM.

BH juga menyifatkan pertemuan empat mata antara Mahathir - Abdullah sebagai gagal dan menggesa supaya PM dan kerajaan selepas ini tidak mempedulikan kritikan Mahathir selepas ini.

Antara lain rencana tersebut mencatatkan "....rakyatlah yang berhak menentukan kerajaan yang mereka suka, bukan seorang individu walau sebesar mana jasa dan kebolehannya."

Apa yang jelas, orang-orang Umno sedar bahawa apa yang dibangkitkan oleh Mahathir bukan sekadar untuk mengkritik, malah mahu menjatuhkan Abdullah, oleh itu semua mereka harus menyokong PM dan Presiden Umno.

Malah dalam e-mail yang dipaparkan oleh TV3 semalam (26 Oktober) secara khusus menempelak Mahathir dan mempersoalkan sepanjang 22 tahun lebih memerintah, banyak keputusan dan tindakan beliau yang tidak betul.

Persoalannya mengapa baru sekarang perkara yang tidak betul itu hendak diungkit?

Bukankah selama Mahathir memerintah Umno dan negara, begitu banyak perbalahan dengan puak-puak dalam Umno, begitu banyak kepincangan ekonomi dan pelbagai dakwaan terhadap kepimpinan Mahathir semuanya ditelan dan dipertahankan oleh orang-orang Umno?

Pada waktu itu apa sahaja kata Mahathir disambut dengan anggukan, semuanya betul, Tengku Razaleigh salah, Anwar Ibrahim salah, PAS salah, semuanya salah, hanya Mahathir sahaja yang betul!

Sebaliknya, sekarang ini Mahathir dilihat sebagai evil, manakala Abdullah dilihat sebagai manusia yang baik. Apakah ianya kerana Abdullah sekarang ini PM dan Presiden Umno?

Apakah mungkin selepas ini, jika Abdullah tidak lagi menjadi PM dan Presiden Umno, Abdullah juga akan ditempelak dan dihina seperti Mahathir?

Maka pada ketika itu, rakyat akan menjadi hakim bahawa orang-orang Umno sudah kehilangan harga diri.

(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 27 Oktober 2006)

No comments: