| |
Apabila perbicaraan pembunuhan model Aminah Abdullah @ Altantuya Shaariibuu, diawalkan sembilan bulan dari tarikh 10 Mac 2008 kepada 4 hingga 29 Jun 2007, ia dilihat sebagai suatu 'trigger' penting yang boleh mencorakkan politik Malaysia. Kes yang didengar oleh Hakim Dato' K N Segara digantikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Dato' Mohd Zaki Md Yasin, manakala tertuduh Abdul Razak Abdullah Baginda 'menukar' peguamnya daripada Tetuan Lee Hishamudin Alen & Gredhill kepada Tetuan Norendra & Yap. Pada awal kes berlaku, Razak Baginda menggunakan khidmat peguam Dato' Muhammad Shafie Abdullah, kemudiannya ditukar kepada peguam lain. Bagaimanapun alasan penukaran hakim dan penukaran peguam tidak dapat dipastikan. Apapun urusan teknikal yang berlaku berikutan kes membabitkan Razak, ianya tidak lari daripada mencetuskan suatu persepsi politik yang sudah menjalar dalam masyarakat, khususnya dalam Umno sendiri, tentang kaitan kes ini dengan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Apabila kes Razak Baginda disebut-sebut awalkan, ada kalangan rakan-rakan penganalis politik menyebut, "Jika dalam perbicaraan, disebut nama Najib atau Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor), sudah tentu ia akan lebih menyukarkan (Najib)." Tanpa menyentuh fakta kes, masalah yang besar kepada TPM adalah, umum mengetahui bahawa Razak Baginda bukan sahaja 'think tank' dan sahabat baiknya, namun sejak awal kes berlaku, sehingga hari ini, beliau enggan 'membuka mulut' walaupun ditanya oleh wartawan. Walaupun barangkali Najib enggan mencampuri urusan penyiasatan polis atau urusan mahkamah, namun beliau tidak dapat lari daripada persepsi awam bahawa, dari sudut politiknya kes pembunuhan Altantuya boleh menjejaskan masa depan politik beliau. "Cuma jalan selamat buat Najib sementara ini ialah beliau terpaksa menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahaginya kepada PM," kata seorang pemerhati. Jawatan TPM bukan jaminan jadi PM Mungkin pada saat ini, Najib seharusnya sedar dan bersedia untuk menerima hakikat bahawa kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, bukan jaminan beliau mesti menjadi Perdana Menteri. Tiga TPM pada zaman Mahathir Mohamad, iaitu Musa Hitam, Abdul Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim sudah menjadi sejarah. Selayaknya Najib yang patut dilantik sebagai TPM, sebelum Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ditunjuk oleh bekas PM, Tun Dr Mahathir sebagai penggantinya. Walaupun kemudiannya, Mahathir mengakui beliau tersilap memilih Abdullah, namun perakuannya sudah terlambat, selepas beliau melihat sendiri beberapa bukti kelemahan dan kegagalan Abdullah sebagai PM. Dari segi personaliti dan kecekapan mentadbir, Abdullah amat jauh jika dibandingkan dengan Mahathir. Malah jika hendak dibandingkan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim juga, Abdullah tidak sepadan. Walaupun Abdullah dikatakan mempunyai caranya yang tersendiri, namun persepsi ini sukar diubah. Jika pun dibandingkan dengan personaliti Najib, Abdullah belum tentu dapat menyamainya. Pada pandangan pemerhati, dalam Umno sendiri, Abdullah sukar mengatasi pengaruh besar Najib dari kalangan pemimpin negeri dan bahagian. "Menjadi PM berwajah baik, atau berwatak baik bukan alasan untuk menunjukkan seseorang itu pandai mentadbir. PM harus ada karisma yang tersendiri, pada Abdullah memang ada watak baik, tapi beliau tidak sesuai menjadi pemimpin nombor satu," komen seorang pensyarah. PM 'not in control' Banyak kes-kes yang menular dalam negara pada masa ini, seperti percambahan gejala rasuah penyalahgunaan kuasa adalah manifestasi daripada kelemahan Abdullah untuk mengawal tadbir negara. Walaupun media milik BN cuba untuk memaparkan 'kehebatan' Abdullah namun hakikatnya media menipu diri mereka sendiri kerana melaporkan sesuatu yang tidak betul. Media boleh cuba menipu rakyat dengan menggambarkan PM sebagai seorang pemimpin yang 'alert', hakikat yang berlaku sebaliknya apabila beliau sering 'pancit' dalam banyak 'event' yang disaksikan ramai tokoh ternama. Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman merakamkan kelesuan Abdullah dalam rencananya di harakahdaily yang bertajuk 'Negara tidak terurus, namun lena PM makin nyenyak'. Abdullah jelas tidak mampu mengawal negara. Di zamannya sekarang kita boleh menyaksikan menteri berbalah sesama sendiri, bukan sahaja yang membabitkan Samy Vellu dengan Chua Soi Lek, malah di kalangan menteri yang mewakili Umno juga mereka berbalah. Menteri tidak ada segan silu, malah mereka berbalah di hadapan media sehingga ada yang menganggap tindakan yang diambil menteri lain sebagai bodoh! Malah di kalangan pegawai kerajaan boleh berbalah dengan anggota pentadbir, misalnya percanggahan antara Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dengan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohd Johari Baharom. Ini belum termasuk dengan beberapa dakwaan Mahathir khususnya dalam isu pembinaan jambatan, penyelewengan AP, Proton, penjualan MV Agusta dan banyak lagi yang masih belum diselesaikan oleh Abdullah. Punya banyak kelemahan yang berlaku sudah tidak terakam. Hakikatnya, BN yang Abdullah terajui sebenarnya seumpama kapal 'Titanic'. Jika dalam filem 'Titanic' kapal tersebut tenggelam akibat cuaca yang amat buruk, bezanya 'Titanic BN' hampir karam kerana pengemudinya 'not in control'. Abdullah dilihat sebagai pemimpin yang berwatak baik, tetapi tiada kekuatan, lemah dan lesu. Kekuatan Abdullah hanya ada pada Khairy Pada pandangan orang-orang Umno khususnya, kekuatan Abdullah hanya terletak pada pundak menantunya, Khairy Jamaludin. Walaupun begitu, Abdullah sudah mencatatkan namanya sebagai PM kelima Malaysia. Jika beliau jadi PM sepenggal sekalipun, beliau tetap bekas PM. Abdullah mungkin juga boleh menakuk sepenggal lagi sebagai PM, selepas itu barangkali, usia dan kesihatannya tidak mengizinkan. Jadi untuk apakah Abdullah harus dibantu dan dikekalkan sebagai PM untuk penggal-penggal seterusnya, jika tidak untuk menyediakan 'platform' untuk menantunya? Betullah telahan Mahathir, yang menjadi tunggak kepada Abdullah, selain Khairy, hanya pegawai-pegawai di Tingkat 4 JPM dan segelintir wartawan di Kumpulan NST. Dan barangkali, Khairy sedar bahawa kedudukan Abdullah yang belum benar-benar kukuh dalam Umno untuk menjaminnya bertanding ke jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno. Khairy juga sedar betapa besarnya pengaruh Najib dan juga sepupunya Hishammuddin Hussein, di kalangan pemimpin Umno negeri dan bahagian, yang jumlahnya lebih 190 bahagian. Pengaruh kedua-dua anak bekas PM ini amat besar dalam Umno dan sukar untuk digugat. Ada orang Umno memberitahu, Khairy setakat ini, hanya baru menguasai 50 bahagian Umno. Jika hendak memastikan kedudukannya, Khairy mesti menguasai lagi 50 bahagian untuk menjamin masa depannya. Untuk menguasainya, selain daripada berkempen di kalangan pemuda bahagian, Khairy juga terpaksa mendekati Ketua Menteri, Menteri atau Menteri Besar yang menerajui Badan Perhubungan Umno negeri. Persoalannya apakah MB dari Umno boleh bekerjasama dengannya? Mungkin mudah untuk Khairy mendapat kerjasama bagi memperkukuhkan kedudukannya dari negeri seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Terengganu. Manakala lain-lain negeri, kelihatannya memang pro kepada Najib. Bagaimana untuk menghalang Najib? Di kalangan orang-orang Umno, mereka tidak lepas daripada mengosip tentang politik dalaman, khususnya tentang penglibatan Khairy dalam pencaturan politik parti. Ke mana-mana sahaja, di mana-mana sahaja mereka berlonggok, sama ada di warung kopi hinggalah ke 'coffee house' mereka tidak lekang dari membicarakan siapa orang Pak Lah siapa orang Najib. Tidak kurang juga di antara mereka yang berhati-hati mengeluarkan 'statement' kerana takut dilabel. Golongan yang bersikap 'tunggu dan lihat' dalam Umno juga ramai. Golongan yang 'makan' dari dua-dua pihak pun banyak juga. Bak kata pepatah 'hanya jauhari yang mengenal manikam', begitu juga pemimpin Umno yang memahami wujudkan golongan yang menjadi 'talam dua muka' antara penyokong Abdullah dan Najib. Namun barangkali bagi Khairy, usaha untuk menambah pengaruh lebih penting daripada segala-galanya. Tidak kisahlah sesiapa hendak 'makan suapan' sesiapa, rasuah dan politik wang bukannya perkara baru dalam Umno, banyak manapun harus dihulurkan tidak penting asalkan Najib mesti disekat! Hanya dua cara sahaja untuk mengetepikan pengaruh Najib dalam Umno. Pertama, memilih calon pilihan raya dari kalangan orang bukan pro Najib dan seterusnya melantik mereka mengganggotai jawatan dalam kerajaan. Kedua, mencari jalan untuk 'tarnish' imej Najib melalui perbicaraan kes Razak Baginda, dengan membuktikan di mahkamah kaitan beliau dalam penerimaan komisyen penjualan kapal selam, yang didakwa Altantuya menerima bayaran hasil dari 'deal' yang berkaitan. Dalam sejarah Umno bukan mustahil kes-kes jenayah yang dibabitkan terhadap orang politik walaupun secara tidak langsung, boleh membunuh masa depan politik mereka. Jika analisis ini benar-benar berlaku dan dipraktikkan, maka Najib tidak harus berdiam diri. Beliau harus bertindak segera kerana yang dipertaruhkan adalah jawatan PM! Satu jawatan yang sangat besar ertinya kepada beliau. Persoalannya apakah Najib sedia untuk memasukkan namanya pada senarai bekas TPM yang tidak berpeluang jadi PM sepertimana Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim? Jika tidak, apakah beliau harus berdiam diri dan menyerahkan nasibnya pada tangan Khairy Jamaluddin? Kita tunggu dan lihat. (Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 12 Mac 2007) |
Tuesday, March 20, 2007
Kes Razak Baginda - Peluang terbaik untuk Khairy mencantas Najib?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment