Thursday, April 16, 2009

Menilai Najib dari sudut Islam

Barisan Kabinet Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, 9 April lalu, jelas tidak mendapat sambutan yang baik di kalangan rakyat, malah disangsikan di kalangan Umno-Barisan Nasional sendiri.

Kesangsian itu sedikit sebanyak mengugat kewibawaan Najib yang dipamerkan media arus perdana sebagai seorang PM yang mempunyai wawasan pembaharuan warisan Allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein.

Najib dipamerkan sebagai seorang presiden parti yang mendapat dukungan mantap Umno dan PM yang lebih baik daripada bekas bosnya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Rakyat menunggu-nunggu perubahan yang dijanjikan. Rakyat menunggu-nunggu 'saf' terbaik yang dijanjikan oleh Najib.

Setelah pengumuman penyusunan Kabinet dibuat, hasilnya menghampakan rakyat. Najib benar-benar anti klimaks.

Malangnya buat Najib rakyat tidak melihat Najib mampu berdiri sendiri seperti Allahyarham bapanya. Najib dilihat sebagai seorang pemimpin yang tidak mempunyai pendirian sendiri.

Resepsi awal rakyat terhadap Kabinet Najib begitu negatif kerana beliau kelihatan lebih cenderung menerima sogokan idea mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sekaligus kesangsian ini membunuh imej Kabinet yang diuar-uarkan sebagai Kabinet Rakyat. Ianya adalah Kabinet perogatif PM, ianya adalah Kabinet rakan taulan dan kroni.

Sebenarnya, kesangsian rakyat terhadap Najib sudah lama. Wujud dakwaan bahawa beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor terbabit dalam banyak urusan perniagaan, projek dan tender yang membabitkan ribuan juta RM.

Dakwaan ini menjadi lebih khusus, apabila kedua-duanya diketahui mempunyai hubungan yang akrab dengan penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang baru dibebaskan dari tuduhan bersubahat membunuh Altantuya Shaariibu.

Najib dan Rosmah tidak mampu menutup persepsi bahawa Abdul Razak adalah kroni dan sekutu rapat, yang menjalan urusan projek dan tender bagi pihak mereka, khususnya dalam pembelian peralatan ketenteraan, dan komisyen yang diperolehi daripada urusan perniagaan mencecah ratusan juta RM.

Jika dakwaan ini benar, PM dan isteri boleh didakwa menyalahgunakan kuasa, mengamalkan rasuah dan mengaut harta rakyat untuk kepentingan diri dan kroni.

Dakwaan-dakwaan ini sebenarnya amat serius dan bakal memberikan impak yang buruk kepada negara jika PM tidak bersih.

Pandangan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa Najib seharusnya bersih dari segala dakwaan sebelum dilantik menjadi PM, bukannya dilihat daripada sudut politik semata-mata.

Sebagai seorang ulama, Ustaz Hadi melihat isu Najib ini dari juga sudut Islam. Pada pandangan Islam, pemimpin mestilah bukan sahaja, berilmu, beriman, berakhlak mulia, berkarisme dan bertanggungjawab. Pemimpin mestilah telus dan bersih.

Bukan sahaja untuk diri seseorang pemimpin sahaja, malah isteri, anak-anak dan anggota keluarganya harus dipastikan bersih dan berakhlak mulia.

Tambahan pula negara, khususnya parti Umno yang diterajui Najib berhadapan dengan gejala keruntuhan moral yang amat teruk dan amalan politik wang dan rasuah yang menjijikkan.

Tanggungjawab Najib amat besar. Beliau harus membersihkan Umno yang kotor dan pembersihan itu harus bermula dari dirinya sendiri.

Jika Najib berterusan kelihatan tidak bersih, nescaya beliau akan terdedah kepada pelbagai fitnah dan tohmahan.

Belengu fitnah dan tohmahan akan menghalang seseorang pemimpin menjalankan pemerintahan dengan dengan adil dan saksama.

Dalam keadaan sekarang, Najib sudah pasti tidak mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat yang setia bersama Pakatan Rakyat. Malah bibit-bibit perpecahan dalaman Umno-BN sudah mulai tercetus.

Justeru pada tahap ini, amat wajar jika PAS tidak yakin Najib mampu menjadi PM yang lebih baik dari PM-PM sebelum beliau.

No comments: