Wednesday, April 15, 2009

BN makin tidak relevan dalam soal ekonomi, politik

Bukan soal politik sahaja, dalam soal ekonomi terutamanya juga, Barisan Nasional seolah-olahnya tidak tahu mengutamakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan seluruh anggota Kabinet Kerajaan BN tidak bertanggungjawab kerana gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik.

Di sebalik kekangan ekonomi yang semakin menguncup pemimpin Umno/BN terus mengagihkan peruntukan besar dan mengaut hasil sedangkan rakyat semakin terhimpit derita.

Dalam perbahasan Bajet 2009 di Parlimen, Anwar mendesak Kerajaan BN membentangkan Belanjawan 2009 yang baru kerana semua unjuran kewangan yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 29 Ogos lepas sudah tidak lagi relevan kerana negara sedang menuju kepada kemelesetan dan muflis.

Sekurang-kurangnya kata beliau, Menteri Kewangan yang baru, Dato' Seri Najib Abdul Razak sepatutnya mengemukakan angka-angka baru di Parlimen akibat krisis ekonomi yang melanda dunia ketika ini.

Anwar yang juga Ketua De Facto KeADILan kesal kerana PM dan anggota pentadbirannya enggan mengakui bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat dan negara ketika mana dunia sedang menghadapi krisis ekonomi.

Katanya, tatkala pemimpin-pemimpin negara jiran seperti Singapura mengakui akan mengalami recession selama dua tahun dengan mengambil langkah-langkah perlu, malangnya pemimpin Umno/BN sentiasa berpegang kepada sindrom penafian bahawa ekonomi negara akan terjejas.

Bekas TPM itu, mengambil masa lebih lima jam berucap pada 13 dan 14 Oktober lepas, mempersoalkan, bagaimana Parlimen boleh membahaskan bajet apabila semua angka dan fakta yang dikemukakan semuanya sudah meleset.

"Tidak mungkin kita membahaskan belanjawan yang fakta dan angka yang sudah tidak relevan, bagaimana kita boleh membahaskan bajet yang sudah jadi sejarah" ujarnya.

Anwar turut menempelak BN, kerana tidak seorangpun anggota Kabinet Abdullah yang hadir untuk mendengar pembentang hujah-hujah dari pembangkang.

Katanya, sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan, beliau akan berada dalam dewan untuk mendengar ucapan Ketua Pembangkang.

"Ketika itu saya akan memastikan sekurang-kurangnya Timbalan Menteri Kewangan akan duduk dalam dewan untuk mendengar perbahasan ahli-ahli Parlimen," katanya.

Sekarang ini katanya, semua pemimpin BN dan Menteri Kewangan khususnya, tidak langsung mempunyai tanggungjawab untuk hadir kerana mereka terlalu sibuk dengan urusan Umno.

Katanya, rakyat tidak boleh menerima sifat bongkak pemimpin Umno/BN yang semata-mata bergantung kepada maklumat yang diperolehi daripada pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas.

"Tiada seorangpun 'hantu' di sini (merujuk kepada kehadiran anggota Kabinet," celah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, disambut sorakan gemuruh anggota Parlimen Pakatan Rakyat.

"Saya minta mereka (Umno/BN) bertanggungjawab, ini bukan soal politik, bukan soal Pakatan Rakyat atau BN, ini soal negara, kita sedia berbincang untuk kebaikan negara," katanya.

Menyambung perbahasannya Anwar berkata, berdasarkan fakta, sumber pendapatan negara yang terjejas antaranya ialah dari hasil penjualan minyak oleh Petronas dan minyak sawit mentah (CPO), serta potensi import eksport produk yang semakin mengalami kemelesetan.

Dalam unjuran bajet kerajaan katanya, mencatatkan 44 peratus hasil negara, bergantung kepada pendapatan dari penjualan minyak, yang 'volatile' (tidak stabil dan berubah-rubah).

Katanya, sewaktu Abdullah, yang ketika itu Menteri Kewangan membentangkan bajet, harga minyak berada di sekitar USD125 setong, berbanding harga kini sekitar USD77 setong.

Ketika itu katanya, kerajaan menaikkan harga petrol secara mendadak dengan pertambahan RM0.70 sen seliter, tetapi ketika harga minyak sudah jatuh ke paras di bawah USD80 setong, kerajaan menurunkan secara berperingkat, 15 sen dan 10 sen.

Langkah ini katanya, tidak memberi kesan ekonomi, harga barang tidak turun dan kehidupan rakyat terus terjejas.

"Untuk menampung ini, daripada kajian penganalisis kewangan, kerajaan terpaksa mengeluarkan bon baru RM60 bilion," tegas bekas Menteri Kewangan itu.

Menurut Anwar lagi pendapat dari sumber sawit, harga CPO ketika bajet dibentangkan adalah di sekitar RM4486, manakala harga yang dicatat pada 8 Oktober lepas adalah sebanyak RM1773.

"Malaysia masih bergantung kepada eksport. 26 peratus eksport kepada AS. Selain daripada AS yang mengimport, 13 peratus, 13.2 peratus Singapura.

"Tekanan aliran wang keluar meningkat RM125 bilion. 4 bilion keluar pada Bulan Ogos sahaja," ujarnya.

Berdasarkan kekangan ini katanya, pendapatan negara akan terjejas teruk dan peruntukan yang diagih-agihkan kepada kementerian berdasarkan unjuran pendapatan Ogos lepas, harus dirombak semula.

"Defisit semakin besar dan tidak dapat dipertahankan, menteri semakin sombong dan sentiasa dalam penafian, rasuah semakin berleluasa.

"Semua ini adalah jalan kepada kemuflisan dan mala petaka, maka saya menyeru semua ahli dewan untuk menolak belanjawan ini," tegasnya.

(Harakahdaily, 16 Oktober 2008)

No comments: