Wednesday, April 15, 2009

Kelantan, hadiah persaraan Tan Sri Rashid kepada BN?

Apakah Pilihan Raya Umum ke-12 yang berlangsung sekarang ini akan menyaksikan kejutan besar dengan kemenangan besar Barisan Nasional akibat penipuan yang dilakukan, hasil usahasama Suruhanjaya Pilihan Raya yang diketuai Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman?

Untuk rekod, Parlimen beberapa bulan lepas baru sahaja meluluskan had persaraan umur kakitangan kerajaan termasuk badan yang dikuasai kerajaan, sekaligus BN menyambung khidmat Rashid di SPR.

Sumber yang boleh dipercayai mendakwa, Rashid ada memberitahu rakan-rakan rapatnya di SPR bahawa beliau yakin kali ini BN akan menang dengan kelebihan tiga atau empat kerusi iaitu sekitar 26 kerusi dari keseluruhan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Spekulasi ini dikuatkan dengan perancangan jahat BN yang diketuai oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang memberitahu juak-juaknya bahawa beliau akan 'membuat apa sahaja' untuk memastikan BN menguasai Kelantan.

Usaha ini dilakukan dengan begitu agresif walaupun terpaksa dibayar dengan harga yang mahal, semata-mata untuk menyelamatkan maruah bapa mertuanya yang semakin tercalar.

Dengan angkuh dan bongkaknya juak-juak Khairy memberitahu wartawan dalam dan luar negeri bahawa kali ini mereka akan 'menawan' Kelantan.

Hakikat sebenarnya, Khairy mahu membuktikan kepada penentangnya, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa di zaman Mahathir Kelantan terlepas, di zaman Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Kelantan dikembalikan kepada BN.

Anggota tentera digunakan untuk mengundi BN?

Isu yang paling hangat diperkatakan di Kelantan ialah sebagaimana dakwaan Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa bahawa anggota tentera digunakan untuk mengundi BN dengan SPR memasukkan senarai nama mereka sebagai pengundi awam.

"Pada masa yang sama nama mereka ada dalam dua buku daftar pemilih, saudara bayangkan sendiri apa akan berlaku apabila seseorang pengundi diberi peluang untuk mengundi dua kali," ujarnya.

Sebagai Pengerusi SPR, Rashid terus membisu terhadap dakwaan ini!

Seolah-olahnya mengiyakan wujudnya peranan beliau, peranan yang disembunyikan tetapi menjadi 'open secret' di sebalik perancangan kotor BN.

Sejak puluhan tahun pilihan raya diperkenalkan dalam negara, BN begitu 'enjoy' dengan kelebihan undi pos dari kalangan anggota tentera dan polis.

Parti-parti pembangkang tidak dibenarkan memasuki premis pengundian pos yang dibuat di kem-kem tertera atau premis polis.

Keadilan memang tidak wujud dalam sistem pilihan raya kita. Tidak dapat dipastikan sama ada benar-benar anggota berpakaian seragam ini mengundi atau undi mereka ditandakan oleh pegawai atasan yang bertugas untuk BN.

Tambahan pula terdapat dakwaan SPR memasuk nama isteri-isteri atau anak-anak anggota yang tinggal di premis atau kem berkenaan menjadi pengundi pos.

Sebelum ini, Husam turut mendedahkan pengundi yang berusia 100 hingga 128 tahun terdapat dalam buku daftar pemilih di seluruh negara sekarang berjumlah lebih 1,000 orang.

Menurutnya, PAS begitu sangsi terhadap fakta itu memandangkan umur mereka sudah begitu lanjut yang begitu ramai.

"Kalau benar mereka masih wujud, kita telah berjaya mencipta rekod dunia iaitu mempunyai jumlah orang tua yang begitu ramai," ujarnya.

Sebahagian nama pengundi berkenaan tertera dengan nama, alamat dan usia masing-masing dalam buku daftar pemilih.

Usaha terancang SPR jatuhkan PAS di Kelantan

Pada waktu ini kedudukan kerusi Dun sangat 'marginal' iaitu PAS memerintah hanya dengan kelebihan dua kerusi sahaja.

Keadaan genting ini wujud dan menyaksikan terdapat 24 kawasan 'runcing' iaitu 10 kerusi Dun dimenangi BN manakala 14 dimenangi PAS semuanya berada di bawah majoriti 10 peratus.

Keadaan ini berlaku bukan kerana kekuatan BN! Barangkali wujud 'feel good factor' dengan pemilihan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri yang baru.

Kenaikan mendadak undi yang diperolehi calon BN hingga melebihi 50 peratus di seluruh Kelantan pada pilihan raya 2004 berbanding 1999 sememangnya meragukan.

PAS Kelantan dapat mengesan terdapat 'usaha penipuan' dengan kemasukan mendadak pengundi-pengundi menjelang pilihan raya 2004.

Kemenangan PAS di Kelantan pada waktu itu antaranya hasil bantahan PAS terhadap daftar pemilih yang amat diragukan.

Dalam hal sama PAS Terengganu tidak sempat membuat bantahan, menyebabkan kerajaan negeri terlepas ke tangan BN. Tindakan jahat ini dilakukan SPR dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara.

Pada waktu ini wujud dakwaan SPR membenarkan pemindahan lebih 85 ribu 'pengundi
hantu' ke dalam senarai daftar pemilih di Kelantan.

Usaha ini dilakukan secara berterusan demi untuk memastikan kerajaan pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dijatuhkan.

PAS yakin akan kekal memerintah Kelantan

Apapun Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan bagaimana pun yakin PAS akan terus memerintah negeri Serambi Mekah itu.

Antara faktor yang melemahkan semangat orang-orang Umno sendiri antaranya ialah kemenangan tanpa bertanding calon PAS Dun Kijang, Wan Ubaidah Wan Omar dan penarikan diri dua orang calon BN di Pengkalan Chepa dan di Pasir Mas.

"Ini adalah 'morale booster' kepada kita, sekaligus melemahkan semangat orang-orang Umno, yang kecewa dengan 'bad start' BN di Kelantan," ujarnya.

Takiyuddin yang bertanding untuk mempertahankan kerusi Dun Bunut Payong berkata, dalam kempen-kempen BN kali ini, mereka tidak lagi mendakwa Kelantan tiada pembangunan, sebaliknya mereka mendakwa jika mereka memerintah, mereka akan membawa lebih banyak pembangunan.

Sementara Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dipetik sebagai berkata, PAS akan terus menguasai Kelantan selepas pilihan umum ke 12 ini.

Beliau yang dikenali dengan nama 'Cikgu Rahim' bertanding di Parlimen Kota Bharu menjangkakan, PAS setakat ini memperolehi 29 kerusi Dun berbanding BN.

Rakyat harus sekat karenah SPR

Hakikatnya apa yang dilakukan oleh Rashid dan Khairy sebenarnya adalah ancaman yang paling bahaya kepada keselamatan negara.

Sebagaimana tuntutan Bersih baru-baru ini, rakyat harus memikirkan apakah suasana yang bakal berlaku dalam negara selepas pilihan raya, sekiranya ia dikendalikan tidak bersih dan adil.

"Ini tentunya akan menggugat kestabilan negara yang telah dibentuk oleh kerajaan sebelum ini," kata Husam.

Rashid harus berfikir panjang, mungkin khidmat beliau akan dipuji pemimpin BN kerana membantu BN menawan Kelantan. Mungkin beliau akan diberi gelaran Tun selepas bersara, mungkin pelbagai 'reward' akan diberikan.

Pada rakyat, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebenarnya hampas. Tindakan mengoyak gambar beliau baru-baru ini hanyalah suatu manifestasi daripada kekecewaan di atas sikap 'bias' beliau.

Ingatlah, di belakang PAS, KeADILan, DAP dan pembangkang lain, terdapat berjuta-juta pengundi yang akan membuang undi menentang BN sekaligus tidak mempercayai kepimpinan beliau sebagai Pengerusi SPR yang tidak bebas.

Apakah Rashid mahu mencacatkan perjalanan akhir hidupnya, dipenuhi dengan najis kehinaan?

(Harakahdaily, 29 Februari 2008)

No comments: