Thursday, October 29, 2009

Yeop Adlan Rose, bagai 'bangau pulang ke sawah'


Dato' Yeop Adlan Rose merupakan bekas Duta Besar Malaysia ke luar negara. Sekembalinya dari tugasan di luar negara, beliau bersara dan bergiat aktif dalam PAS. Namun, pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, beliau yang juga bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 'dipinjamkan' untuk membantu Parti KeADILan Rakyat.

Selepas setahun dipinjamkan, beliau merasakan dirinya kehilangan sesuatu yang amat berharga dalam hidupnya. Mengapa berlaku sedemikian? Ikuti pengakuan tulus beliau kepada MOHD RASHIDI HASSAN di Pejabat Harakah, 26 Oktober lalu.

Harakah : Difahamkan Dato' tidak lagi aktif dalam Parti KeDILan rakyat, boleh beritahu status diri Dato' di waktu ini?

Yeop Adlan Rose : Saya ahli seumur hidup PAS. Saya dipinjamkan ke Parti KeADILan Rakyat dalam konteks perjuangan. Apa sahaja usaha menentang Umno-Barisan Nasional akan saya lakukan. Saya mahu mendedahkan bahawa Umno selama 50 tahun memegang teraju kuasa kerajaan telah membawa kepada kehancuran kedudukan Islam, Melayu dan negara.
Kemuncak usaha-usaha dan khidmat 'dipinjamkan' adalah dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lepas. Saya kini mahu meneruskan perjuangan saya dengan kembali sepenuhnya ke dalam PAS.

Mengapa PAS?

PAS sebenar memperjuangkan Islam, jelas termaktub dalam perlembagaannya. Doa saya setiap solatpun, yang akhir, adalah "semoga diberi bimbingan dapat menghabiskan sisa-sisa hidupku dalam perjuangan Islam seperti sunnah Rasulullah s.a.w, dan agar isteri dan anak-anak, mendapat tempat yang mulia bukan tempat yang hina di sisi Mu, Ya Allah."
Di negara kita perjuangan Islam yang sebenar dan semata-mata Islam adalah perjuangan yang dibawa oleh PAS.

Ada dorongan tertentu lain?

Tiga hari menghadiri Muktamar PAS ke 55, di Shah Alam. Setiap kali ke Muktamar, malah bila saya berada di kalangan rakan-rakan PAS, dengan sendiri didatangi perasaan senang, bebas, tak payah nak berlapik, berselindung atau bersimpan buah fikiran dan rasahati, selagi kita sendiri ikhlas dan jujur.
Hasil daripada suasana di mana kita semua tahu dengan sendiri bahawa, khidmat bakti dan perjuangan kita beri, adalah demi Allah dan untuk Allah sahaja, tiada lain. Maka mudahlah pergaulan kita. Cukup kalau saya sebut bahawa pengalaman singkat saya di tempat lain, mashallah, amat jauh bezanya.

Tujuan Dato' kembali dalam PAS?

Mudah. Saya tidak berhasrat hendak merebut jawatan atau kedudukan. Saya amat bebas dari perangai orang Melayu ramai itu. Saya berserah dan bersedia memberi sumbangan, apa sahaja yang difikir layak oleh pimpinan berasaskan ilmu pengalaman yang ada dan yang difikir bermanafaat kepada perjuangan PAS. Hendak diletak di depan, di tengah, di bawah, di mana sahaja saya tidak kisah.S

Apa aktiviti yang Dato' lalukan?

Pada PRU-12 pun saya berkempen di ceramah PAS. Saya ke Baling, Kulim-Bandar Baru, Permatang Pauh, Hulu Langat, Dusun Tua, Shah Alam. Dalam pilihan raya kecil, saya ke Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan di Bagan Pinang.
Saya cenderung memberi ceramah politik dari pespektif Islam dalam dan luar negeri. Saya mahu kongsikan pengalaman politik antarabangsa kepada rakyat supaya mereka dapat melihat 'the big picture'.
Saya bersedia diundang ke mana sahaja untuk membantu perjuangan PAS.

Pada pandangan Dato' apakah cabaran yang PAS harus hadapi?

Ianya harus dihuraikan dengan panjang lebar. Ringkasnya masalah utama, lagi pokok, jelas perjuangan PAS adalah masalah yang sama yang dipikul oleh umat Islam sama ada di Malaysia atau di dunia Islam keseluruhannya,
Iaitu, mesti menyingkirkan beban sekularisme dan 'mechanical Islam' hasil daripada pendidikan Islam cetek, diracun dengan pengaruh pendidikan fahaman Barat akibat pendidikan kolonialisme.
Begitu ramai umat Islam yang tidak, atau lupa menghayati Islam sebagai ad-Din, mereka hanya mengamal Islam ritual sahaja.
Umat Islam berbelah bahagi tentang apa perjuangan Islam, malah apa Islam itu sendiri? Samalah seperti yang kita lihat perjuangan berbalah yang dibawa dua pihak antara Hamas dan Fatah (di Palestin) misalnya, keseluruhan dunia Arab demikian juga.
Antara Islam sebenar dan Islam sekularisme. Selagi umat Islam tidak sehati dengan 'pandangan alam' sebenar Islam, selama itulah umat Islam tidak akan bersependapat tentang perjuangan Islam.
Walhal perjuangan begitu mudah kalau umat Islam di mana-manapun menghayati dan bersehati dengan Islam sebenar serta perjuangan sebenar yang dibawa Islam.
Itu sebab Islam itu ilmu. Maka itulah perjuangan Islam yang utama lagi besar sekali,ia itu pendidikan Islam dan dakwah Islam.
Dilihat dari sudut lain, yang merosakan Islam dan perjuangan Islam adalah kehancuran pendidikan dan ilmu Islam itu sendiri.
Punca utama dalam hal ini adalah, racun pengaruh kolonialisme (sekularisme) Barat. Amat susah hendak dikikiskan.
Pada saya inilah cabaran kepada perjuangan PAS. Bagaimana hendak memperbetulkan umat yang terpesong dari pengaruh sekularisme.
Ini memerlukan kebijaksanaan. Tidak guna misalnya memperjuangkan unsur-unsur Islam harian jika sebilangan besar umat Islam sendiri tidak menyokong langkah-langkah yang diusahakan PAS, kerana mereka tidak faham dan tidak mengerti Islam sebenar.
Di sini memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan. Biar seratus tahun sampai sekalipun, asalkan sampai, asalkan nawaitu kita betul.

Dato' yakin dengan keputusan yang diambil?

Ya, saya mahu bersama PAS yang memperjuangkan Islam untuk semua. Perjuangan yang lain-lainnya saya tidak yakin.
Sikap saya ialah, untuk meneruskan segala usaha dan tugas demi Allah, atas nama Allah, untuk Allah.
Kerana yang akan menjawab kepada Allah, bukan orang lain, bukan Raja, bukan Perdana Menteri, hanya Allah sahaja akhirnya.
Saya mahu mengikut sunnah Rasulullah dalam perjuangan, jika baginda berhenti mengalah, tidak adalah Islam, sesatlah kita semua. Baginda tidak pernah 'give up' walaupun bapa saudaranya tidak menerima Islam.
Oleh itu saya mahu melakukan semuanya untuk Islam kerana saya takut dipersoalkan Allah di akhirat kelak.

Monday, October 26, 2009

Bajet yang mengelabui mata rakyat

Apakah persepsi rakyat terhadap Umno-Barisan Nasional, yang selama ini gagal menguruskan ekonomi negara, boleh dipulihkan hanya dengan pembentangan Bajet 2010 oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak?

Bagaimana rakyat boleh mempercayai ketulusan dan ketelusan semua janji yang dikemukakan dalam Bajet 2010, jika kerajaan tidak mempunyai asas bagaimana hendak menjana pendapatan negara?

Jika kita melihat kepada laporan Ketua Audit Negara bagi tahun kewangan yang 2008, hampir kesemua negeri-negeri yang ditadbir oleh BN hasil gabungan Umno, MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya, dipertikaikan dengan begitu teruk sekali.

Asas yang paling besar akibat daripada kelemahan negeri-negeri di bawah pentadbiran BN ialah, kegagalan menambahkan hasil negeri, sebaliknya membuat perbelanjaan luar jangka dan pembaziran, sehingga melebihi pendapatan.

Di kebanyakan negeri di bawah pentadbiran BN, semuanya menanggung hutang yang besar kepada Kerajaan Persekutuan, di samping mempunyai belanjawan atau bajet yang tidak seimbang atau defisit.

Akibatnya, BN yang mencanang kehebatan pemerintahan selama 50 tahun, semakin tidak dipercayai rakyat, kerana sebagai besar daripada Menteri Besar atau Ketua Menteri mereka, gagal menguruskan negeri dengan baik.

Perkara ini sama seperti di peringkat Pusat, jika kerajaan PM Najib tidak mampu menjana pendapatan, bagaimana kerajaan mahu melunaskan janji-janji pelbagai peruntukan dan insentif kepada rakyat?

Yang paling jelas data-data menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan yang tidak stabil sebenarnya.

Selain daripada hasil minyak yang menguncup akibat kejatuhan ekonomi dunia, kadar eksport barangan keluar negara yang terjejas akibat kejatuhan Dollar Amerika Syarikat, pelabur-pelabur asing juga enggan memasuki pasaran Malaysia.

Dalam sesebuah negara yang demokratik dan berdaulat, pengaliran masuk pelaburan asing atau Foreign Direct Investment (FDI) amat penting, kerana ia melambangkan keyakinan pelabur ke atas sistem dan ketelusan kerajaan yang memerintah.

Sebaliknya di Malaysia, FDI terus menjunam. Data-data menunjukkan pelabur asing masih tidak mempunyai kepercayaan terhadap kerajaan BN walaupun PM sudah bertukar.

Berpunca daripada kegagalan menjana pendapatan negara, maka pendapatan negara semakin merosot. Akibatnya kerajaan terpaksa mengurangkan belanjawan pembangunan, yang terpaksa diturunkan sebanyak 11.2 peratus.

Situasi ini sebenarnya, harus diperhatikan kerana ia amat membimbangkan. Jika pendapatan negara merosot, belanjawan tidak meningkat, ini bermakna kerajaan tidak dapat mempertahankan pertumbuhan pembangunan.

Justeru janji-janji pembangunan koridor, insentif dan sebagainya, masih lagi bersifat kosmetik, yang digunakan hanya untuk mencetuskan persepsi baik rakyat terhadap pemerintahan Kerajaan BN.

Salah satu aspek yang dicurigai rakyat ialah, bagaimana pemimpin-pemimpin Umno-BN, menggunakan kesempatan hasil daripada bajet yang memberi peruntukan kepada projek pembangunan, digunakan untuk diagihkan kepada kroni dan anak-beranak mereka.

Itulah yang berlaku sebenarnya. Di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, anak beranak beliau mempunyai beratus-ratus syarikat seperti yang tertera pada rekod Pendaftar Syarikat.

Di zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, syarikat milik anak menantunya dan adik beradiknya, mendapat laba yang cukup besar daripada hasil kekayaan negara, sehingga anaknya Kamaludin Abdullah tersenarai antara bumiputera yang kaya di Malaysia.

Juga sekarang ini Najib memerintah, rakyat melihat syarikat yang dimiliki adik beradik dan sanak saudara beliau, sedang mengulangi apa yang berlaku di zaman Mahathir dan Abdullah.

Pada waktu ini, agak mustahil bagi Najib, untuk memastikan slogan 1Malaysia dapat terlaksana dengan baik, jika kerajaan pimpinannya masih bergelamang dengan elemen rasuah, mengekalkan perasuah sebagai pemimpin parti dan negara serta menyalahgunakan jentera kerajaan untuk pendakwaan terpilih?

Oleh itu jika pelabur enggan memasuki pasaran negara kerana tidak yakin ekonomi Malaysia akan dipulihkan oleh kepimpinan yang korup, maka rakyat juga harus berfikir banyak kali sama ada hendak mempercayai BN atau tidak.

Jawapannya, tinggalkan sahaja BN, pilihlah Pakatan Rakyat!

Friday, October 23, 2009

Bukti Pakatan Rakyat lebih baik dari BN

Tidak dinafikan, wujud persepsi negatif terhadap Pakatan Rakyat, khususnya natijah daripada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang yang memihak kepada Barisan Nasional.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail membuat kupasan yang jujur terhadap persoalan yang berlaku, sekaligus memberi jawapan yang meyakinkan bahawa kerjasama dan keutuhan Pakatan Rakyat tidak pernah goyah.

Ikuti wawancara ekslusif wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB dan IRWAN MUHAMMAD ZAIN bersama Pengarah Pilihan Raya KeADILan itu, di Parlimen 22 Oktober lalu.

Harakah : Melihat kepada keputusan Bagan Pinang, Pakatan Rakyat menerima satu tamparan hebat, seolah-olahnya ia petanda permulaan penolakan rakyat dan menjejaskan kredibilitinya, apa pandangan saudara?

Saifuddin : Saya melihat keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang ini, dari dua kerangka. Satu kerangka Pakatan Rakyat dan satu lagi kerangka Barisan Nasional.

Dalam konteks Pakatan Rakyat, kita anggap ini satu 'wake-up call' yang cukup tepat pada masanya, yang seharusnya disusuli dengan beberapa tindakan, untuk memperbaiki dan perkemaskinikan, bagi mengukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja, strategi dan pendekatan politik pakatan rakyat.

Termasuklah persoalan membina satu imej yang lebih baik. Akhirnya kita akan lihat politik satu permainan anggapan, persepsi dan saat ini saya lihat Pakatan Rakyat sedang menguruskan persepsi.

Pada masa yang sama banyak perkara yang sebenarnya boleh dijalankan dalam lingkungan tanggungawab Pakatan Rakyat, yang sebenarnya tidak membabitkan aspek luaran.

Perkara-perkara asas yang kita boleh selesaikan dalam persoalan pilihan raya khasnya proses pendaftaran pemilihan baru, persiapkan organisasi parti, tenaga kerja dana perhebatkan gerak kerja dan program bersama.

Aspek yang ini tiada siapa boleh sekat kita, dalam kerangka Pakatan Rakyat keputusan Bagan Pinang itu saya istilahkan sebagai suatu signal yang cukup jelas kita guna untuk diteliti balik.

Itulah yang saya perhatikan, berlaku selepas PRK Bagan Pinang di mana kepimpinan Pakatan Rakyat, segera melakukan post-mortem di peringkat Majlis Presiden yang dibuat 20 Oktober lalu.

Saya sendiri anggota mesyuaratnya, mengikuti perbincangan itu, objektif perjalanan mesyuarat cukup terbuka, satu pentanda baik maknanya Pakatan Rakyat segera respons terhadap keputusan PRK Bagan Pinang dan segera pula putuskan hal-hal yang saya sebutkan tadi.


Bagaimana pula keputusan PRK Bagan Pinang dalam konteks BN?

Saifuddin : Melihat kepada kerangka BN, kita harus akui jujur walaupun gelanggang permainan tidak sama, seperti biasa penggunaan jentera kerajaan dan penggunaan media dan segala macam itu.

Tetapi saya lihat bahawa itu merupaka satu suntikan semangat yang sangat luar biasa yang sedang dinikmati oleh Umno-BN.

Setelah tujuh PRK berturut-turut, tiba-tiba di Bagan Pinang mereka mendapat kemenangan yang luar biasa, sudah tentu ini semangat kepada Umno-BN.

Bagan Pinang juga memberi isyarat Najib (Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak) secara sendirian, dilihat berupaya kembalikan semula sokongan bukan Melayu khususnya Cina dan India kepada BN.

Ini berlaku di sebalik malapetaka MCA, dan ketakstabilan MIC, PPP dan Gerakan yang mana empat parti ini sebagai penyumbang kepada sokongan bukan Melayu kepada BN sebelum ini, empat parti ini bergelut.

Tetapi BN mampu dapat kemenangan besar di Bagan Pinang di bawah 'leadership' Najib. Inilah 'spin' yang dibuat oleh BN, tanpa komponen BN yang diwakili Cina India sekalipun Najib boleh capai kemenangan.

Sama ada ia bertahan lama atau tidak ini soalan lain, sebab ini satu suntikan semangat kepada Najib dan BN.

Saya juga melihat bahawa Bagan Pinang juga saksikan politik di Malaysia ini sangat bersifat tempatan, iaitu pemilihan berkaitan populariti calon, kekemasan jentera PRK, dana yang mencukupi, justeru mana parti yang berjaya menguruskan hal ini dengan baik sudah tentu boleh menang.

Dalam kes ini walaupun gelanggang permainan tidak sama, tetapi di Bagan Pinang BN berjaya uruskan dengan baik.

Wujud kekangan antaranya, andaian umum bahawa ketidakstabilan antara parti di Kedah, Selangor dan sebagainya, apakah ini diambil kira oleh pimpinan Pakatan Rakyat dan adakah ini mengwujudkan situasi kurang senang rakyat terhadap Pakatan Rakyat?

Politik adalah satu seni uruskan tanggapan, apa yang ditanggap oleh rakyat itu yang penting berbanding realiti, hal yang dibangkitkan soal kebelakangan ini iaitu wajah Pakatan Rakyat.

Dilihat persepsi rakyat, sebagai satu pakatan yang tidak dapat menguruskan masalah dalaman, hal-hal yang dipalitkan disiplin anggota parti dan kepimpinan, hal kejayaan uruskan perjalanan pemerintahan kerajaan yang dikuasai, hal-hal berkaitan hak agama, kaum dan bahasa.

Hal-hal seperti inilah yang kemudiannya, dikorekkan oleh jentera media BN, dengan memberikan wajah hodoh kepada Pakatan Rakyat.

Saya harus mengakui bahawa proses membina kerjasama pakatan ini satu proses yang panjang. Jika dibandingkan pada bulan Mac 2008, kemudian berakhir dengan adanya Pakatan Rakyat, dengan keadaan sekarang ternyata Pakatan Rakyat melalui proses yang menarik dan peningkatan ketara.

Awal Mac 2008 ianya cuma satu kerjasama yang sangat longgar, cuma ditahap kita ketika itu, bersama sahaja, tetapi kali ini kita dah ada struktrur teras iaitu struktur Majlis Presiden, sekretariat PR dan beberapa sub-commitee pilihan raya, sub-comitee penerangan dan sub-comitee dasar yang Azmin Ali, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Dr Tan Seng Giaw kendalikan.

Diwujudkan omitee pemuda dan wanita, dari segi organisasi dan struktur kita dah semakin mantap, namun ini satu proses yang panjang yang kita kena lalui.

Seterusnya bagaimana kerjasama diperkukuhkan?

Kita (Pakatan Rakyat) telahpun ada Majlis Presiden, yang mana pada 20 Oktober lepas, diterima cadangan satu kerangka polisi yang akan mengikat Pakatan Rakyat. Kerangka ini jadi acuan bagaimana kerjasama diteruskan.

Kemudian di negeri Pakatan Rakyat yang kita jadi kerajaan, commitee seperti di Kedah selepas isu kandang babi, Menteri Besar telah umumkan penubuhan comitee ini.

Di Selangor ianya juga dibentuk dengan pertemuan yang lebih kerap, begitu juga di Pulau Pinang dan Perak dan Kelantan, ini satu proses membina pakatan yang memakan masa,

Tetapi jika dibandingkan dengan Mac 2008, sejurus Pilihan Raya Umum ke-12, ternyata kemajuan itu dari segi organisasi dan kerangka dasar bersama dan sub-commitee negeri yang uruskan perjalanan dasar negeri itu.

Ini satu pencapaian baik jauh lebih baik berbanding kerjasama dengan Barisan Alternatif pada PRU 1999, itu saya anggap satu permulaan yang baik, cuma cabaran ialah untuk Pakatan Rakyat uruskan kerjasama dengan lebih baik, disiplin harus jadi ukuran utama.

Maknanya masalah yang timbul ialah Pakatan Rakyat dilihat tidak mampu disiplinkan pimimpin, wakil rakyat di peringkat negeri untuk jadi orang yang berkualiti dan pentingkan pakatan, bagaimana saudara melihat aspek ini?

Secara jujurnya saya tidak ambil sikap 'denial syndrom' dalam akui bahawa wujudnya beberapa halangan dalam kita membina kekuatan pakatan terutamanya dari sudut disiplin.

Namun kerjasama Pakatan Rakyat sekarang ini, buat masa ini, lebih berteraskan pendekatan saling hormat, mengambil hati dan pendekatan tidak mahu dilihat campur tangan dalam parti sahabat.

Kerana pendekatan ini, satukan kita buat masa ini. Tetapi tahap seterusnya kita harus atasi tahap ini. Tahap politik ini kita mesti dilepasi jika tidak ia tiada peningkatan, satu keberanian uruskan soal pelanggaran disiplin.

Apa yang kita sepakati jika ada pelanggaran disiplin, walaupun dalam pakatan ada uruskan aspek ini, tetapi aspek itu diuruskan oleh parti di mana ahli tebabit dalam parti itu akan diuruskan oleh parti itu sendiri, apabila ada ahlinya melanggar disiplin.

Hal ini kita buat kerana kita tak mahu dilihat bahawa Pakatan Rakyat sebagai satu coalition yang memasuki wilayah parti sahabat yang lain, jadi keputusan yang kita buat serahkan keputusan disiplin kepada parti berkenaan.

Ini penyelesaian yang unik tetapi jangka masa panjang kena ada keberanian ubah, jika ianya satu pelanggaran disiplin, hasil kenyataan itu memperhodohkan lagi persepsi kepada wajah Pakatan Rakyat.

Kenapa kita kena menyumbang kepada propaganda memburukkan wajah kita melalui kenyataan dan tindak-tanduk kita, hanya kerana kita mahu tarik perhatian atau kelompok kita sahaja? Saya rasa sikap yang ada di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat,harus merasai akibat daripada perbuatan dan kenyataannya itu sebenarnya beri kesan kepada kerjasama Pakatan Rakyat yang sekarang ini sedang diberi harapan besar oleh rakyat.

Tidak mungkin pemimpin yang waras boleh hakiskan kepercayaan rakyat ini hanya kerana hendak pastikan kepentingan kelompoknya berjaya diuruskan. Atas apa sebab sekalipun saya lihat misi pakatan yang lebih besar ialah uruskan BN, untuk bersedia gantikan kerajaan.

Bukan memperuntukkan masa yang banyak uruskan hal-hal yang menjadi titik bengit antara parti, kerana akibatnya mahu tidak mahu Majlis Presiden terpaksa atasi hal ini.

Terpaksa memperuntukkan masa itu kepada soal itu, sedangkan sepatutnya masa digunakan untuk memupuk kerjasama adalah penting. Ia tidak membantu imej baik kepada Pakatan Rakyat.

Saya harap hal ini boleh menjadi satu perkara yang boleh dihayati oleh pimpinan Pakatan Rakyat di segenap peringkat dari pusat ke peringkat negeri

Adakah tindak-tanduk ini akan hanya merugikan pakatan dan memberi kesan kepada kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat?

Tidak syak lagi tindak-tanduk sedemikian tidak langsung, memberikan sumbangan negatif kepada pertumbuhan pakatan. Apakah tindak-tanduk sedemikian satu tindakan yang hanya boleh membina sokongan kita sahaja bukan Pakatan Rakyat.

Namun saya membicarakan kebijaksanaan kepimpinan yang mampu melihat perkara pokok, itu satu perkara yang patut menjadi keutamaan, cuma mereka istilahkan, hak ini bila berlaku ia melambatkan perjalanan pakatan, sedangkan sokongan rakyat semakin baik kepada Pakatan Rakyat.

Masuk fasa kedua, bagaimana pula saudara melihat perjalanan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang cuba dinegatifkan oleh media, kononnya BN lebih baik apakah unsur yang ada baik kepada PR yang boleh menjadi sandaran kepada rakyat untuk melihat Pakatan Rakyat lebih baik sebenarnya?

Dalam sidang parlimen kali ini, kita dibekalkan dengan dokumen Ketua Audit Negara yang melaporkan prestasi jabatan kerajaan pusat dan prestasi kerajaan negeri, laporan Audit badan berkanun, GLC dan Menteri Kewangan Yang Diperbadanakan dan agensi berkaitan.

Laporan ini secara keseluruhannya ada kredibiliti dan sesuai dengan fungsi ketua audit negara yang lakukan kerja yang berasaskan kepada arahan Yang di-Pertuan Agong secara prinsipnya.

Laporan terbaru ini menilai pretasi kerajaan negeri dari segi laporan kewangan, kecekapan pentadbiran, menguruskan hasil negeri, kawalan perbelanjaan. ternyata dalam laporan audit negara itu mereka memuji pentadbiran negeri Pakatan Rakyat antaranya Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Kerajaan Kedah misalnya,berjaya meningkatkan hasil kepada 205.5 peratus, selepas hanya setahun memerintah. Peningkatan ini dipuji, dan keduanya polisi penjimatan dua komponen ini secara terang-terang diberi pujian dan penghargaan oleh Ketua Audit Negara dalam menilai prestasi Kerajaan Negeri Kedah.

Inilah jawapan terhadap serangan propaganda jahat BN yang cuba menggambarkan, Kedah kita (Pakatan Rakyat) tidak mampu jadi kerajaan bersih, ini dinilai oleh jabatan kerajaan iaitu audit secara profesional.

Mereka tidak dapat elak iktiraf dua perkara yang sangat positif dan rakyat Kedah bijak dalam menilainya.

Membicarakan pula kerajaan Kelantan. Kelantan kekal sebagai kawasan yang mana satu-satunya negeri dilindungi hutan yang paling luas sekali di Malaysia. Sebanyak 51 peratus berbanding negeri lain seperti Johor hanya tinggal 18 peratus dalam laporan audit, Melaka hanya tinggal 4 peratus sahaja.

Yang sudah 52 tahun Umno-BN perintah, Johor dengan hanya tinggal 18 peratus sahaja kawasan yang diliputi hutan mengakibatkan kemusnahan kepada hidupan laut, menjejaskan pendapatan nelayan cemar alam sekitar, jerebu hakisan semua ini di negeri BN.

Tetapi seperti yang disebut tadi media kerajaan tidak akan ketengahkan. Mereka hanya 'zoom-in' kepada Kelatan dalam aspek yang tiada asas sebenarnya untuk dikritik.

Sejak 19 tahuh PAS memerintah Kelantan, kerajaan negeri berjaya mempertahankan 51 peratus kawasan hijau ini, selepas 50 tahun memerintah Kelantan mempunyai hutan paling luas di Malaysia berbanding negeri BN.

Ini pencapaian tinggi nilai, di sebalik serangan tanpa asas dan propaganda kononnya Kelantan gunakan balak semborono, tidak cekap gunakan hasil hutan, tetapi hakikatnya Kelantan masih luar lagi bumi hijaunya.

Turut mendapat pujian Selangor iaitu dari segi ketelusan yang dimodelkan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku MB, dengan seluruh pimpinan Selangor yang menggabungkan tiga parti KeADILan, DAP dan PAS yang dianggap dari kaca mata Audit Negara dinilai negeri yang dapat uruskan kecekapan perbelanjaan, kawalan ketirisan, dan juga memastikan perbelanjaan itu sampai kepada kumpulan sasaran.

Ini benar dalam pakej merakyatkan ekonomi, soal bantuan 'one off ' kepada pelajar yang masuk universiti, bantuan khairat kematian dan sebagainya, ini sebagai pro kebajikan rakyat.

Saya berpandangan ini satu jawapan kepada propaganda jentera media BN yang memperlekehkan keupayaan negeri-negeri Pakatan Rakyat dalam urusan kerajaan negeri.

Bagaimana kita boleh mengenengahkan hasil laporan audit yang membuktikan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat, jauh lebih baik berbanding BN, untuk dinilai dan disokong rakyat?

Saya setuju laporan audit kekal sebgaia audit, sebab persepsi rakyat ialah jika ianya bersifar teguran kepada agensi kerajaan ianya sekadar dilakukan oleh kementerian dan pegawai kerajaan.

Kononnya ini tiada tindakan oleh pihak yang berkaitan, SPRM sebagai, contoh tidak akan terliur untuk mengambil siasatan walaupun faktanya jabatan yang terlibat angka yang disebutkan kebocoran, tetapi tidak pernah ada satu hasil siasatan yang dibuat bagi mengheret pihak bertanggungjawab.

Ini yang mengakibatkan rakyat ada tanggapan bahawa laporan ketua audit sebagai lengkapkan rangka tugasan mereka.

Bagi Pakatan Rakyat, kita kena ambil kebanggaan kepada pandangan ketua audit yang berikan kredit kepada kita sepanjang setahun, isunya mudah 50 tahun BN perintah terbukti banyak penyelewengan dan juga ketirisan, tetapi setahun kita perintah, kita dapat tingkatkan hasil negeri dan menguruskan perbelanjaan dengan cekap hingga dipuji Ketua Audit.

Saya berpandangan sukses kualiti ini, kita harus rayakan sebab inilah kejayaan kita sebenarnya.

Justeru, kini peranan kita adakah untuk menerangkan kepada rakyat kejayaan ini yang mana tentunya akan digelapkan oleh media propaganda BN.

Apa rumusan saudara perihal kejayaan Pakatan Rakyat ini?

Apa yang penting secara rumusannya, ialah kejayaan kita di negeri yang kita perintah ialah, pertama; Kita berjaya menguruskan perbelanjaan dengan baik. Kedua; memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira sempadan warna, agama dan fahaman. Ketiganya; diketiga-tiga negeri yang kita jadi kerajaan, kita berupaya mempertingkatkan polisi penjimatan, ini sukses kepada kita, ini menusuk ke dalam hati rakyat.

Justeru saya amat meyakini, walaupun kita sering ditohmah tidak mempunyai kesepakatan, tetapiianya hanyalah propaganda BN semata-mata.

Kita telah membuktikan kepada rakyat bahawa kita boleh memerintah negeri dan negara suatu hari nanti, jauh lebih baik daripada BN.

Saya yakin, Pakatan Rakyat mempunyai masa depan yang cerah dan cemerlang. Terima kasih.

Amaran keras Tok Guru Nik Aziz terhadap PAS

Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa?

Latarbelakang:
Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.


Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan

Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

Tuesday, October 20, 2009

Umno di persimpangan berbahaya

Ada beberapa petunjuk yang boleh dikutip daripada Perhimpunan Agung Umno minggu ini, yang diharapkan mampu mencetuskan lonjakan perubahan dalam Umno, sekaligus bertujuan untuk meneruskan pengekalan kuasa mereka.

Selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang memihak kepada Barisan Nasional, nampaknya Umno tidak henti-henti menjaja, kononnya orang-orang Melayu dan India sudah kembali kepangkuan mereka.

Dari segi faktanya memang berlaku peningkatan kecenderungan beberapa peratus pengundi Melayu dan India kepada calon BN, tetapi jika ditanya secara jujur, apakah jika benar mereka kembali menyokong, ianya dibuat di atas dasar kesedaran atau suapan?

Jika orang-orang Melayu benar-benar dianggap sudah 'insaf' kerana kembali memihak kepada Umno, mungkin ianya suatu petanda yang tidak baik buat Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, jika orang Melayu kembali kepada Umno secara peras ugut, tipu helah atau disogok dengan wang dalam PRK Bagan Pinang, maka mustahil Umno-BN akan mendapat sokongan yang sama dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Berbalik kepada perhimpunan Umno, untungnya bagi mereka ialah kerana dalam waktu yang singkat ini, mereka menyedari bahawa Umno sedang berada di persimpangan yang amatmerbahaya.

Namun, Umno tidak dirombak secara total, hanya beberapa perkara selektif dalam soal pemilihan yang 'dihighlightkan', kononnya buat mengekang gejala politik wang, mahupun rasuah politik wang tidak dianggap suatu kesalahan dalam Umno.

Perubahan yang harus dicanang di sini ialah, bukan dalam soal pemilihan semata-mata. Jika Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak mahu membuat islah (reform), beliau harus merubah seluruh sistem Umno.

Apakah Najib mampu untuk mengubah 'lifestyle' orang-orang Umno, khususnya di kalangan pemimpin yang bersifat bourjois, eletis, hartawan dan sebagainya?

Asas kepada penguasaan seseorang dalam Umno ialah dengan menggunakan pengaruh wang. Ianya bukan lagi rahsia tersembunyi dalam Umno. Jika ditanya kepada pemimpin dan perwakilan Umno, mereka akan berkata, "Semua orang guna wang (untuk menang dalam pemilihan)."

Persoalan yang harus ditanya ialah, bagaimana pemimpin berkenaan memperolehi wang yang sebegitu banyak. Jutaan ringgit ditaburkan setiap menjelang pemilihan. Bukan sahaja perwakilan, juak-juak, kroni, agen-agen kempen, semuanya ditaja pemimpin yang bertanding.

Mereka yang ditaja, bukan sekadar duit poket ketika perhimpunan berlangsung, duit makan, hotel, hiburan dan sebagainya turut ditanggung.

Malah akibat daripada kemaruk pemimpin Umno untuk memenangi sesuatu jawatan yang ditandinginya, beliau akan menaja dan menghulurkan wang bulanan kepada juak-juaknya di peringkat bahagian, untuk memastikan sokongan kepadanya kekal.

Persoalan yang sama harus ditanya berulang kali, bagaimana mereka ini dapat wang sebegini banyak? Cukupkah semua ini ditaja dengan gaji Menteri, Menteri Besar, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen dan sebagainya?

Keadaan sebegini menyukarkan untuk Umno direform, hanya sekadar dengan meminda beberapa peraturan berkait soal pemilihan.

Yang paling besar ialah soal integriti. Iaitu bagaimana untuk Umno melahirkan suatu bentuk kepimpinan yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat, tanpa mementingkan diri sendiri, tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan, tanpa merasuah rakyat dengan wang, tanah, jalan, letrik dan sebagainya.

Cabaran yang paling besar untuk Najib ialah, bagaimana melahirkan suatu bentuk kepimpinan yang bersih daripada memfaraid dan merompak harta rakyat untuk kepentingan kelompok mereka.

Soalnya mampukan pemimpin-pemimpin Umno untuk 'survive' tanpa menyalahgunakan kuasa, tanpa mengambil sesen pun wang rakyat? Soalnya mampukah Umno diurustadbir tanpa menggunakan wang kerajaan, komisyen projek, tender dan sebagainya? Ini dilema sebenar dihadapi Umno masakini.

Masalah yang dihadapi Umno ini begitu kronik sebenarnya. Kuasa, wang, pangkat dan kedudukan sudah menjadi 'makanan rasmi' mereka. Kebanyakannya memang menjadikan Umno sebagai tempat untuk 'cari makan'.

Secara tradisinya, orang-orang Umno seperti kata istilah, memang tidak mampu berjuang dengan 'qulhuallah' atau secara ikhlas, tanpa sebarang upah atau tanpa ganjaran.

Jika mereka tidak dapat 'mencari makan' dalam Umno, nescaya mereka akan meninggalkan Umno.

Masalahnya di sini, jika pemimpin tertinggi melarang orang-orang bawahan menjadikan Umno sebagai tempat 'cari makan' atau dalam erti kata lain memasuki dan berjuang dalam Umno dengan ikhlas, pemimpin itu sendiri yang harus memulakannya.

Banyak rungutan orang-orang bawahan Umno terhadap pemimpin atau individu tertentu yang melonjak kaya raya sejak bergelar pemimpin atau mendapat jawatan tertinggi dalam parti dan kerajaan.

Mereka sering mendakwa orang atasan 'makan besar' mereka hanya dapat 'sisa' sahaja. Orang atasan makan 'lauk', mereka hanya dapat 'kuah'nya sahaja.
Mereka juga sering kedengaran berkata, jika orang atasan 'sapu banyak', apa salahnya jika mereka 'sapu sedikit'.

Istilah-istilah sebegini memang popular dalam Umno, kebanyakan mereka amat memahami apa yang penulis maksudkan.

Ianya mencetuskan persepsi bahawa, Umno dan rasuah terlalu amat sukar untuk dipisahkan. Ibarat kata, jika tidak rasuah itu bukan Umno, jika Umno mesti kena amal rasuah untuk 'survive'.

Ini yang Najib serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus hadapi sebenarnya. Mereka harus berusaha membunuh persepsi bahawa Umno sudah sebati dengan rasuah!

Tetapi pada waktu ini, jelasnya Najib dan Muhyiddin gagal untuk mereform Umno. Ikon-ikon perasuah dalam Umno, yang sudah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplinnya sendiri seperti Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, terus dijulang dalam parti.

Jika pemimpin-pemimpin Umno seperti Najib, Muhyiddin dan ikon-ikon perasuah ini kekal dengan persepsi sebagai perasuah, bagaimana Umno hendak direform?

Apakah Najib lupa pepatah Cina yang mengatakan, 'ikan busuk bermula di kepala'?

Apakah Umno boleh direform hanya dengan menjerit-jerit memaki Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat?

Hakikatnya Umno tidak mampu berubah dalam waktu yang terdekat ini. Mereka hanya kuat dan kelihatan gagah dengan provokasi media.

Pemimpin-pemimpin Umno hanyalah juara berkokok seumpama 'mulut si murai, tidak sedar kampung tergadai.'

Wednesday, October 14, 2009

Amaran buat Pakatan Rakyat

Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Teluk Kemang, Negeri Sembilan seharusnya diberikan perhatian yang sangat serius di kalangan pemimpin dan ahli-ahli Pakatan Rakyat.

Penelitian yang serius harus dibuat, bukan kerana calon Pakatan Rakyat tewas' atau calon Barisan Nasional menang di situ.

Pakatan Rakyat sudah menang tujuh kali pilihan raya kecil di Semenanjung. BN baru menang satu. Dari segi nisbahnya amat jauh. Keputusan Bagan Pinang bukan kayu pengukur untuk mengatakan Pakatan Rakyat semakin lemah atau BN semakin kuat.

Walau apapun keputusannya, post-mortem harus dibuat bagi mengenalpasti apakah wujud kelemahan untuk diperhalusi dan diatasi.

Namun, Pakatan Rakyat harus membuat pemerhatian yang serius, kerana kebarangkalian besar pendekatan 'ala Bagan Pinang' akan diadaptasikan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Sudah tentu hasil pemerhatian tujuh kali kalah dalam PRK, menjadikan BN cukup matang dan cukup bersedia menghadapi Pakatan Rakyat dengan segala taktik yang terancang.

Justeru, BN selaku parti pemerintah yang sudah berkuasa selama lebih 50 tahun, sudah tentu tidak akan sewenang-wenangnya, mahu 'menyerahkan tengkuknya' untuk disembelih Pakatan Rakyat.

Sudah tentu mereka akan bertungkus lumus bagi menghadapi kemaraan Pakatan Rakyat setelah kehilangan kuasa di lima negeri dan hilang dua pertiga majoriti di Parlimen.

Pendekatan di Bagan Pinang akan dijadikan model utama memanipulasi sokongan rakyat dengan memaksimumkan penyalahgunaan kuasa, memanipulasi media, menyalahgunakan jentera kerajaan, berkempen secara peras ugut dan merasuah rakyat sebagai usaha untuk mengekalkan kuasa pemerintahan BN.

Bagi Umno, keputusan PRK Bagan Pinang amat menggembirakan. Ia seolah-olah memberi signal kepada Umno bahawa, rakyat masih termakan janji dan umpan mereka.

Umno kini merasakan bahawa mereka boleh kekal dan akan kekal di tampuk kuasa kerana rakyat, khususnya kaum Melayu dan India memang boleh dibeli.

Umno-BN harus membiarkan Melayu, India dan sebagainya berada dalam keadaan miskin. Dengan kemiskinan inilah menyebabkan mereka mudah diumpan. Beri sahaja dua tiga ratus, mereka akan menjual undi kepada BN.

Akibat kemiskinan dan kehidupan yang melarat, menyebabkan rasuah berleluasa. Umno-BN merasuah kerana hendak mengekalkan kuasa, manakala rakyat yang menerima rasuah, mengambilnya atas kepentingan tertentu.

Rasuah sudah menjadi amalan yang sebati dalam Umno. Bagi mereka rasuah tidak haram kerana 'yang memberi' dan 'yang menerima', sama-sama melakukannya di atas kerelaan sendiri.

Masalah yang dihadapi Pakatan Rakyat, bukan sekadar rasuah wang ringgit. Menyalahgunakan kuasa juga satu rasuah. Secara tradisinya pemimpin-pemimpin Umno, nampaknya sudah mangli melakukan 'rasuah salahgunakuasa'.

Mengunakan kuasa Umno-BN, selaku penguatkuasa undang-undang dengan mengerahkan polis dan tentera undi mengundi BN. Mengerahkan segala inteligen bekerja keras membuat risikan untuk memenangkan calon BN.

Lebih buruk daripada itu, dengan kuasa kerajaan dan kewangan yang ada, Umno-BN mula melakukan siri kempen yang ganas, dengan mengupah samseng-samseng jalanan mengkasari, memukul dan mencederakan petugas Pakatan Rakyat.

Selain itu, Pakatan Rakyat menghadapi masalah besar akibat ketidaktelusan Suruhanjaya Pilihan Raya mengendalikan pilihan raya secara adil, saksama dan bebas.

Oleh kerana perlantikan peneraju SPR terdiri daripada orang yang dicadang dan disokong oleh Umno, atas jawatan Perdana Menteri dan sebagainya, SPR dilihat tidak bebas kerana berkhidmat untuk kepentingan Umno-BN.

SPR membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya di atas kehendak Umno, SPR dikatakan pernah mengunakan khidmat Puteri Umno untuk membantu tugasnya, SPR menguatkuasakan peraturan-peraturan yang mengawal perjalanan kempen di atas tekanan Umno. SPR sering mengeluarkan senarai pengundi yang berbeza dan meragukan.

Tidak mustahil SPR akan digemblengkan dengan lebih dahsyat lagi pada PRU ke-13, demi untuk melindungi kepentingan Umno.

Semua 'trend' yang dicatatkan di atas, amat merbahaya sebenarnya. Ianya adalah loceng amaran buat Pakatan Rakyat, bahawa demi mempertahankan kuasa Umno-BN sama sekali tidak akan mempedulikan tata etika, peraturan, undang-undang dan kesaksamaan.

Jelas, dengan apa cara sekalipun, Umno-BN mahu terus merajai pentadbiran negara. Maka kepimpinan Pakatan Rakyat tidak harus berdiam diri. Pakatan Rakyat harus segera memperhalusi strategi dan mencari jalan keluar.

Kebobrokan dan keegoan Umno-BN ini, harus dihentikan serta merta.

Monday, October 12, 2009

Tekad tumbangkan BN

Walau apapun keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang 11 Oktober ini, rakyat tetap membulatkan tekad untuk menumbangkan Barisan Nasional.

Tekad ini harus diperkukuhkan, demi untuk membersihkan negara dari sebarang gejala yang merosakkan negara.

Negara hampir menjadi muflis akibat diratah oleh kerasukan dan ketamakan kuasa Umno-BN, yang memfaraidkan harta rakyat kepada pemimpin, sanak saudara dan kroni-kroni mereka sahaja.

Penguasaan mutlak selama 52 tahun menjadikan Umno-BN begitu dominan dan angkuh, sehingga pemimpinnya membidak-bidak harta negara sesukahati mereka.

Lihatlah mereka yang berjawatan dalam Umno, hampir kesemua mereka kaya raya dan hidup serba kemewahan. Ibaratnya mereka tidurpun di atas duit.

Dari mana semua ini perolehi jika tidak merompak harta rakyat, Bagi mereka mengambil harta rakyat tidak salah. Mereka kayakan diri dan kroni tidak salah.

Tidak salah kerana bagi mereka, mereka mengambilnya dengan kuasa yang ada pada mereka selaku kerajaan yang memerintah.

Mereka sama sekali tidak akan rasa bersalah kerana mereka terus diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui negara.

Mereka tidak akan punyai rasa bersalah kerana mereka akan dilindungi oleh pihak-pihak yang berkuasa yang sedia diperalatkan seperti Peguam Negara, Polis dan para Hakim serta lain-lain.

Maka atas rasa tidak bersalah itulah mereka sanggup meletakkan calon yang pernah dihukum sebagai perasuah untuk bertanding di Bagan Pinang, sekaligus ianya membuktikan bahawa mereka memandang remeh gejala rasuah.

Bagi Umno-BN, rasuah sudah menjadi amalan biasa dan ianya tidak menjadi kesalahan bagi sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Seolah-olahnya 'Umno dan rasuah' seperti ibarat 'lagu dan irama', ibarat 'nyawa dan badan' yang tidak boleh dipisahkan sama sekali.

Rasuah sudah menjadi akidah Umno. Ianya sudah berakar umbi sekian lama.

Akidah rasuah inilah yang sedang diterapkan oleh Umno-BN di Bagan Pinang sehingga rakyat tidak akan rasa bersalah atau berdosa apabila menerima rasuah wang ringgit, rasuah pembiayaan pendidikan, rasuah futsal dan sebagainya.

Apabila Umno meletakkan calon 'kaki rasuah' yang dihukum kerana rasuah, menang dalam partinya dengan cara rasuah, maka apa jaminannya dia tidak merasuah rakyat Bagan Pinang untuk memenangi kerusi Dun?

Amat malang bagi rakyat Bagan Pinang, jika hanya dengan seratus dua wang yang dihulur, sudah tergadai maruah dan harga diri.

Ingatlah wahai orang Melayu khususnya. Jangan sesekali membiarkan diri anda, bangsa dan agama anda tergadai akibat rasuah.

Orang-orang Melayu tidak harus sama sekali mengikuti jejak langkah Umno yang sudah semakin rosak dan terhakis perjuangan bangsanya akibat rasuah politik wang, demi merebut kuasa.

Dan bagi rakyat Malaysia amnya, mereka sudah tidak harus lagi membiarkan diri mereka dipermain dan diperdagangkan oleh pemimpin BN yang hanya mengkayakan diri dan kroni.

Ayuh berubah demi masa depan yang cemerlang bersama Pakatan Rakyat!

Friday, October 09, 2009

Masa untuk rakyat Bagan Pinang menangkan calon PAS

JIKA hendak dikira, barangkali jasa selama 22 tahun Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, hampir menyamai jasa-jasa Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai PM, Mahathir merupakan orang yang bertanggungjawab membangun serta mengharumkan nama negara, sehingga terkenal di mata dunia.

Jasa-jasa Mahathir kepada negara cukup besar untuk dikenang dan direkodkan dalam buku-buku sejarah. Manakala sebagai MB, Isa turut punyai tanggungjawab yang sama.

Harus diingat bahawa tugas kedua-dua Mahathir dan Isa sama sahaja. Mereka adalah orang yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan amanah rakyat, memimpin dan membangunkan negara.

Sesebuah negara menjadi maju atau membangun, bukan kerana keberkesanan atau kekuatan ideologi yang menjadi dasar pemerintahan.

Sama ada Negeri Sembilan, mahu pun Malaysia, membangun bukan kerana dasar-dasar nasionalisme Umno, MCA dan MIC dalam Barisan Nasional.

Komunis di negara China juga buat pembangunan. Malah dengan dasar komunis itulah hari ini China sudah menjadi antara kuasa ekonomi dunia yang disegani.

Walau apapun dasar sesebuah parti yang memerintah sesebuah negara, pembangunan tetap menjadi tanggungjawab utama kerajaan.

Oleh itu rakyat tidak harus termakan dengan dakyah Umno-BN yang mengatakan negara maju kerana pemerintahan mereka. Kerana jika tidak wujud BN pun negara tetap akan membangun, jika tiada Isa Samad pun, Negeri Sembilan tetap akan membangun juga.

Jasa-jasa ini tidak perlu diungkit. Jasa-jasa Mahathir selama 22 tahun bukan jaminan untuk beliau terus dihormati atau diterima sebagai pemimpin. Begitu juga dengan Isa Samad.

Cuba pembaca imbas kembali apa yang terjadi kepada Mahathir. Bayangkan betapa hebatnya beliau sebelum meletakkan jawatan pada tahun 2003. Apa yang terjadi?

Fakta membuktikan, belumpun dua minggu Mahathir digantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebahagian besar pemimpin Umno-BN sudah lari meninggalkan beliau.

Malah ketika Mahathir membuat teguran kepada Abdullah, Mahathir dimaki hamun, dihina, ditindas, dikalahkan dalam pemilihan. Siapa punya kerja semua ini? Tidak lain dan tidak bukan, semuanya ini dilakukan oleh pemimpin Umno-BN sendiri.

Mereka ini, hampir semuanya menjadi pemimpin, dilantik jawatan penting dalam kerajaan, menikmati kemudahan dan kesenangan dalam hidup, semuanya kerana jasa Mahathir.

Tetapi kerana kepentingan peribadi, perangai mereka menjadi buruk. Mereka lupa daratan dan menjadi seperti 'anjing yang menggigit tangan tuan yang memberinya makan.'

Rakyat harus berfikir, mengapa Mahathir yang banyak berjasa kepada orang-orang Umno-BN, suatu ketika disanjung dan dicium tanggannya, dilayan 'macam hampas' oleh mereka?

Sikap mereka ini hanya menunjukkan bahawa perjuangan nasionalisme dalam diri mereka sudah terhakis dan mati. Nasionalisme Umno, MCA dan MIC mati kerana pemimpin mereka sudah begitu tamak dan menganut fahaman materialistik.

Justeru, jika orang Umno-BN sendiri yang tidak tahu mengenang jasa ketua mereka yang begitu hebat seperti Mahathir, mengapa rakyat Bagan Pinang harus terpedaya untuk mengenang jasa Isa?

Mahathir sudah tidak relevan, Isa juga sudah tidak relevan dan mengenang jasa Isa juga sudah tidak relevan sama sekali.

Semuanya menjadi tidak relevan kerana dasar nasionalisme yang diamalkan Umno, MCA dan MIC, sudah lapuk dan semakin ditolak rakyat.

Usaha mempertaruhkan Isa hanya kerana populariti beliau di Bagan Pinang, hanya menunjukkan bahawa Umno-BN sudah tidak semakin yakin dengan dasar perjuangan mereka sendiri.

Bagi mereka kepentingan bangsa, agama dan negara tidak menjadi keutamaan lagi.
Tidak kisah letak siapa, penyamun ke, perompak ke, penjenayah ke, perasuah ke, asalkan yang penting Umno-BN menang.

Meletakkan Isa sebagai calon BN selepas dijatuh dan dipalitkan dengan tuduhan jenayah rasuah, adalah seumpama 'mengkitar tong najis, kemudiannya dimasukkan nasi di dalamnya' buat jamuan kepada rakyat.

Oleh itu, kita mengharapkan rakyat Bagan Pinang, supaya tidak terpedaya dengan kepalsuan yang dihidangkan di hadapan mereka oleh Umno-BN.

Mereka harus bertindak bijak mengikuti jejak langkah rakan-rakan pengundi di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Selambau, Bukit Gantang, Penanti, Manek Urai dan terakhir di Permatang Pasir.

Inilah masa terbaik untuk rakyat meninggalkan Umno-BN dan mengundi calon Pakatan Rakyat daripada PAS. Selamat mengundi!

Monday, October 05, 2009

Menolak Umno parti korup yang penuh dengan kurap

MATLAMAT Umno menamakan Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon Barisan Nasional, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang adalah untuk menang dan mengekalkan kerusi tersebut, milik BN.

Alasan yang diberikan mudah. Soal Isa pengamal rasuah dan pernah dihukum tidak penting. Yang penting Isa popular. Atas populariti itulah, beliau kononnya mahu mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih besar.

Sebenarnya tanpa Isa pun, BN boleh menang. Menang kerana undi Pos melebihi 5000. Memang menjadi tradisi, BN kalah undi rakyat, tetapi menang kerana undi Pos. Selagi mekanisme undi Pos tidak telus, selama itulah ia akan menjadi alat memenangkan BN.

Masalah yang besar di sini bukan hanya undi Pos, tetapi tindakan pucuk pimpinan Umno yang sudah tahu betapa buruknya rasuah dan politik wang, tetapi tetap memilihi Isa sebagai calon.

Jelas, Umno selaku parti utama dalam komponen BN, tidak pernah berubah dan tidak akan berubah sama sekali. Mereka adalah parti bourjois (bangsawan dan hartawan), parti golongan elitis, yang sama sekali tidak akan mendahulukan kepentingan rakyat. Bagi Umno, yang penting adalah kuasa, walaupun dengan menggunakan calon korup dan perasuah.

Menyusuri kerjaya politik Isa, beliau mula bertanding pada tahun 1978 dengan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Linggi.

Kemudian dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Sembilan sehingga PRU 1982. Selepas itu beliau dilantik menjadi Menteri Besar sehingga tahun 2004.

Tahun 1993, Isa bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno, tetapi beliau tewas kepada Rahim Thamby Chik.

Dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 2000, Isa bertanding merebut jawatan Naib Presiden Umno tetapi tewas.

Pada PRU 2004, Isa bertanding di kawasan Parlimen Jempol. Beliau kemudiannya dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan sehingga 2005.

Isa memenangi jawatan Naib Presiden Umno bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi iaitu tertinggi mengatasi Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Bagaimanapun Lembaga Disiplin Umno menggantung keahliannya selama tiga tahun (24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008) kerana didapati bersalah terbabit dalam amalan politik wang dalam Perhimpunan Agung Umno 2004.

Lembaga Disiplin Umno mendapati Isa bersalah terhadap lima daripada sembilan pertuduhan politik wang.

Akibatnya beliau digantung enam tahun, dilucut dan digantung semua jawatan dalam parti, termasuk sebagai ketua Umno bahagian.

Pada 6 Julai 2005 , Majlis Tertinggi (MT) Umno menolak rayuan Isa Samad tapi mengurangkan hukuman penggantungan dari enam tahun kepada tiga tahun sahaja.

Berikutan daripada digantung keahlian, Isa meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 17 Oktober 2005.

Kes Isa Samad ini dipercayai berkait dengan kenyataan oleh bekas Menteri Undang-Undang Rais Yatim, mengenai 18 kes berprofil tinggi yang akan ditahan untuk disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (sekarang SPRM).

Walaupun kes rasuah yang membabitkan pemimpin tertinggi Umno, Isa dan terkini Ali Rustam dilarang bertanding dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar diberi amaran, begitu menimbun dan banyak dalam Umno, tetapi tiada satupun diambil tindakan oleh kerajaan.

Apabila Umno memilih Isa sebagai calon di Bagan Pinang dan mengekalkan perasuah untuk terus menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan, bermakna rasuah dihalalkan dalam Umno. Wah seronoknya jadi Isa Samad, Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin!

Dalam erti kata lain, rasuah menjadi halal kerana mereka yang terbabit adalah pemimpin Umno. Tindakan ini hanyalah memberi persepsi buruk kepada rakyat bahawa Umno adalah sebuah parti syurga untuk para perasuah.

Rasuah dari segi bahasa didefinisikan sebagai suatu amalan busuk, rosak, menyogok secara tidak wajar dan tidak sah menurut undang-undang. Mengkaya diri atau memperkaya kerabatnya (keluarga dan sahabat handai), dengan menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan awam yang diberi kepada mereka.

Dari sudut undang-undang, perbuatan rasuah mencakupi, melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan, penyalahgunaan harta negara, merugikan negara serta memperkaya diri sendiri dan kerabat.

Dalam skop yang luas, rasuah "politik" bermaksud penyalahgunaan jawatan awam untuk kepentingan peribadi. Rasuah yang paling ringan dilakukan dalam bentuk penggunaan pengaruh dan sokongan untuk memberi dan menerima pertolongan, hingga kepada rasuah yang sudah dianggap satu prosedur rasmi.

Kemuncak segala rasuah ialah satu keadaan yang digelar kleptokrasi, yang erti harfiahnya, pemerintahan negara oleh para pencuri yang berpura-pura bertindak jujur, walaupun sebenarnya tidak.

Dalam konteks Malaysia hari ini, dengan menjadi Umno, sama ada dengan memegang jawatan dalam kerajaan seperti Menteri, Menteri Besar dan sebagainya, seolah-olahnya semua kerja-kerja rasuah, merompak wang rakyat dengan mengaut hasil mahsul negeri dan negara menjadi halal.

Patutlah mereka pakat beramai-ramai masuk Umno, boleh mereka agih-agihkan tanah, projek, tender, ambil komisyen untuk mengkayakan diri dan kroni.

Selepas itu gunakanlah wang hasil tersebut untuk merasuah ahli-ahli Umno untuk menyokong mereka bertanding merebut jawatan dalam parti, seterusnya dilantik memegang jawatan dalam kerajaan.

Mereka tidak perlu bimbang kerana rasuah adalah halal dalam Umno, mereka tidak akan berdosa. Jika diambil tindakanpun, hanyalah sementara, untuk mengelabui mata rakyat.

Maka, pada setiap pilihan raya, wang itu jugalah yang akan digunakan untuk merasuah rakyat mengundi mereka. Hakikatnya rakyat diperbodohkan dan suruh berterima kasih kepada Umno-BN yang 'menolong mereka', walaupun sebenarnya mereka adalah perasuah dan penyeleweng wang rakyat!

Oleh itu, rakyat tidak seharusnya percaya lagi terhadap Umno-BN. Semua janji-janji reform untuk menghapuskan rasuah dalam negara dan dalam Umno, sejak zaman Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Tun Razak adalah palsu belaka.

Marilah sama-sama kita hentikan kepalsuan ini dengan mengundi calon Pakatan Rakyat, menolak Isa Samad di Bagan Pinang dan seterusnya mengkuburkan Umno-BN, sekali dengan para perasuah di dalamnya pada PRU ke 13 nanti.