Friday, February 26, 2010

Yusof Qaradawi gesa Malaysia gugur kes liwat terhadap Anwar


Tokoh Maal Hijrah H1431, Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi menggesa kerajaan menimbang untuk menggugurkan dakwaan liwat ke atas Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, kerana ianya menjejaskan nama baik Malaysia di kalangan dunia Islam.

Sheikh Yusof menyeru Kerajaan Malaysia supaya lebih terbuka dan lebih adil terhadap Anwar kerana beliau bukan sahaja seorang pemimpin yang dihormati, bukan sahaja dunia antarabangsa tetapi di kalangan dunia islam sendiri.

Tegasnya, apa yang berlaku, musibah yang dihadapkan ke atas Anwar ini, boleh membawa imej yang buruk terhadap negara Malaysia sendiri, kerana Malaysia adalah antara negara yang dihormati oleh negara Islam sedunia.

"Apa berlaku, pendakwaan ke atas Anwar membawa imej yang buruk kepada negara kerana membuat dakwaan dalam kes yang penuh dengan keraguan. Bagi saya, jelas Anwar dianiaya," tegasnya.

Pada pendapat ulama terkemuka itu, jika sekiranya wujud keperluan untuk membuat dakwaan, ianya hendaklah dilakukan di Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil.

Sheikh Yusof berkata demikian kepada Anwar ketika kunjungan Ketua Umum KeADILan itu, bersama AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud di Doha, Qatar baru-baru ini.

Syed Azman yang juga Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Luar PAS berkata, dalam kunjungan tersebut ulama tersohor itu menyatakan kekesalan beliau terhadap dakwaan yang dihadapkan ke atas Anwar.

Katanya, Sheikh Yusof berpendapat adalah amat patut dan wajar Anwar diadili dengan seadil-adilnya di Mahkamah Syariah, bukan dalam Mahkamah Sivil.

Sheikh Yusof yang sentiasa mengikuti perkembangan tersebut menegaskan, beliau menyokong penuh usaha Anwar upaya bawa kes tersebut dibawa ke Mahkamah Syariah.

Menurut Syed Azman, Sheikh berpendapat dakwaan yang dihadapkan ke atas Anwar adalah tuduhan yang amat erat dan kerajaan perlu telus dalam memberi keadilan kepada orang yang tertuduh.

"Islam menetapkan bahawa kes sebegini perlu diadili di Mahkamah Syariah ianya sabit dalam hukum qazaf kata Sheikh Yusof," ujar Syed Azman.

Dalam pertemuan itu ulama tersohor itu meminta supaya Anwar tidak berputus asa dalam memperjuangkan keadilan dan memintanya bersabar menghadapi ujian dan cabaran fitnah yang besar terhadap beliau dan keluarga.

Sheikh Yusof juga menyeru kepada pemimpin negara supaya kembali kepada ajaran Islam sepenuhnya.

Tunggu keputusan mahkamah rakyat


Penampilan Tengku Razaleigh Hamzah menjelaskan isu royalti minyak Kelantan memang menggerunkan kepimpinan Umno.

Fakta dan data yang dikemukakannya tidak berupaya ditangkis. Hasrat Ku Li hanya satu, agar perjanjian dipatuhi dan rakyat dapat sama-sama menikmati khazanah kekayaan negara.

Berdepan dengan wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN dan WAN NORDIN WAN YAACOB, beliau nampak bebas mengutarakan idea dan pandangan kritisnya.

Wajahnya sering ceria disulami ketawa kecil. Tanpa apa-apa jawatan penting Ku Li tetap menjadi perhatian, dalam dan luar negera. Ditanya sumbangannya kepada negara dan rakyat, selain menjelaskan isu royalti minyak, tanpa ragu-ragu bekas Menteri Kewangan ini menjawab pantas; Mahu bersama-sama membanteras rasuah.

Ikuti bahagian kedua wawancara bersama Tengku Razaleigh Hamzah yang dirakam di kediamannya di Langgak Golf pada 18 Februari 2010.


Harakah : Negara berhadapan dengan krisis kepimpinan, politik, ekonomi, sosial yang agak meuncing dewasa ini. Semasa dan selepas kepimpinan PM Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) sehingga kini, negara masih tidak stabil. Apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan hari ini?

Tengku : Saya rasa tak boleh kita lupakan sejarah pemerintahan tiga perdana menteri terdahulu. Dimulakan dengan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Mereka membangunkan sebuah negara yang kukuh dan baik yang membolehkan pelabur datang.

Apabila kita merdeka dengan kepimpinan ketika itupun berat kepada Barat dan memangpun mereka ini dapat pendidikan dari Barat.

Tiga PM terdahulu semuanya peguam yang diasuh dalam bidang undang-undang dan mereka berpegang teguh kepada prinsip 'rule of law' (keluhuran undang-undang) yang termaktub dalam perlembagaan, dan mereka ini berpegang teguh kepada constitunal.

Oleh kerana latar belakang dan pendidikan mereka ini, mereka ini barang kali bukanlah seorang yang mengambil kesempatan dari apa yang terdedah kepadanya, walaupun peluang ada di hadapan mata mereka.

Mereka ini semuanya anak-anak bangsawan yang tak akan jahanamkan negara dan apatah lagi mereka ini diasuh dengan baik oleh keluarga mereka.

Sememangnya mereka ini mesti berbudi kepada negara. Sebab itu kita tak tengok masa mereka ini memerintah, tidak ada timbul soal mereka ini rasuah atau isu rasuah atau tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan secara berleluasa ketika memegang tampuk kuasa.

Tetapi apa yang saya tahu baik Tunku, Tun Abdul Razak Hussein atau Tun Hussein Onn, apatah lagi Tun Hussein ini orang yang begitu serius dari segi peperangan anti rasuah, ini orang yang ada prinsip dan tak akan izin penyelewengan berlaku dizamannya.

Mereka menjamin kestabilan dalam negara, sebab itu penduduk tak kira kaum mana hormati dan kasih kepada pimpinan ini, baik Tunku dan Tun Razak atau Tun Hussein, walaupun Tunku dianggap agak pro-Cina dan pro-Barat sangat, kalau dibanding dnegan Tun Razak, Tun Razak ini Pro kepada Melayu dan luar bandar, bukan urban sangat, didikan orang Pekan, tetapi rakyat percaya tak boleh seseuatu yang buruk berlaku dengan pimpinan Tun Razak, atas dasar inilah kehamornian terpelihara.

Tetapi Tengku, peristiwa berdarah akibat pertelagahan kaum berlaku 13 Mei 1969...

Walaupun Mei 13 1969 berlaku, ini kerana cetusan pilihan raya tahun 1969 dan kerana perarakan yang dijolok oleh komunis dua hari sebelum tarikh pembuangan undi 1969.

Jadi ini boleh dijadikan sebab kerana kempen pilihan raya yang hangat, ada lemparan tuduhan mengenai kaum dan sebagainya yang dicampur aduk, dan selain isu berbangkit cetuskan perbalahan kaum, itupun di Kuala Lumpur sahaja dfan ia menjadi sejarah yang mengajar kita, namun ia tidak menggugat negara seluruhnya.

Kalau kita tengok selepas Mei 13, dalam masa dua tahun MAGERAN ambil alih kuasa penuh negara dengan penggantungan Parlimen misalnya, perlembagaan tidak digantung dan dapat dipulihkan keadaan, dan wujud serta merta keinginan semangata kerjasama, antara kaum parti-parti, dan Tun Razak berjaya selepas sahaja Parlimen dipulihkan dapat dia tubuhkan BN dengan dipelopori oleh PAS, Gerakan, SUPP dan beberapa parti besar yang berada di luar kerajaan ketika itu.

Ini menunjukkan kepercayaan orang kepada kepimpinan yang ada ketika itu, kalau ada perbezaan ini ialah dari segi idealogi sahajak tetapi nampaknya ada platform yang sama yang boleh hubungkan mereka ini untuk bangunkan negara.

Sebab itu kedudukan ekonomi terjamin walaupun pada tahun 1969 tidak begitu rancak pertumbuhan ekonomi kerana kekacauan dan gangguan komunis. Tetapi tetap ekonomi kita kuat dan kukuh saya rasa kerana kepimpinan yang ada.

Tungku perjuangkan aparteid, mahu orang yang tertindas dibela, memeranjatkan dunia bila Malaysia kemukakan pandangan di Komanwel kerana cadangan Tunku ini tak terfikir dek mana-mana pihak Tunku cadang bukan sahaja gantung Afrika tetapi buang terus Afrika daripada Komanwel dan PBB akhirnya. Ini satu cadangan yang dapat diterima dunia oleh Malaya ketika itu.

Sama juga dengan Tun Razak bila mainkan peranan dalam Afro-Asean Solidarity, walaupun satu ketika menubuhan Malaysia 1963 Afro Asean yang dilobi Beijing dan Pakistan dan didalangi oleh Sukarno dan Marcos dalam isu penubuhan Malaysia.

Tetapi akhirnya menerusi, Tun Rasak, Malaysia mempunyai suara dalam Afro Asean dan NAM dalam G73, Amerika Syarikat pun kadang kala berkuasa penuh biasanya bertanya khabar apakah pandangan G73 sebelum dia buat apa-apa keputusan dalam Majlis Keselamatan.

Jadi kerana penghormatan orang kepada kumpulan negara-negara sedang membangun, pada masa itu pimpinan handal belaka Jawharal Nehru (India), Kho In Lai, Sukarno, Mandela, Tito dan orang yang berjuang untuk negara yang ditindas kolonialis ketika itu.

Kita sebagai sebuah negara yang kecil yang sedang membangun. Dalam hal ini di mana-mana forum yang saya dapat ikuti dan hadir, Malaysialah selalu diajak jadi rappoteur dan drafter, kerana ayat-ayat yang diselit oleh wakil Malaysia ini biasanya mengandungi unsur kesederhanaan, tidak terlampau ekstrem dalam apa yang nak diputuskan dalam sidang-sidang yang diadakan.

Sama juga dengan Tun Hussein, walaupun dia tidak menonjol sebagai pimpinan tetapi dia boleh diterima dan dipercayai, ketika menjadi PM. Jadi kerana itu ekonomi kita ketika itu diyakini kerana kepercayaan rakyat dalam negara dan negara-negara sekeliling dengan Malaysia kerana wujudnya kestabilan rantau ini, tidak lagi menimbulkan risiko bukan-bukan.

Sebab itulah industri mula masuk apabila pelaburan datang di Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Johor Bahru, kereta Volvo dan Mercedes di pasang di sini sejak dahulu lagi.

Memang tidak mudah untuk menghadapi zaman awal untuk membangunkan negara. Keadaan nya agak runcing tetapi orang percaya kepada pimpinan ketika itu. Rakyat 'bulat' kepada kepimpinan kerajaan ketika itu.

Tetapi pembangkang juga hebat ketika itu?

Saya biasa bercakap dengan Allahyarham Dato' Asri Muda ketika itu, mereka kata kita satu dalam soal menjaga keselamatan, cuma dasar perjuangan sahaja yang berbeza.

Maknanya ada titik perjuangan yang dibawa oleh semua pihak kerana titik pertemuan mengenai penerimaan kepimpinan ketika itu 'bulat' oleh kerana itu kestabilan wujud dan kepercayaan dalam dan luar negara kuat.

Nama Tunku cukup terkenal di Timur Tengah apatah lagi dia menganjurkan penubuhan OIC untuk himpunkan negara-negara Islam dalam suatu pakatan supaya dapat kita kumpulkan kekuatan kita dari segi kekayaan dan banyak lagilah.

Saya terfikir... jika kita gunakan kekayaan negara-negara Islam ini iaitu Baitulmal, ini kita kumpul untuk seluruh umat dunia, ini amat besar.


Semua perdana menteri yang saya sebutkan tadi mati dengan tidak meninggalkan harta.

Saya sendiri boleh buktikan, sebab saya yang jaga akaun Tunku. Memang tak ada duit.

Apa yang Tengku sebutkan tadi tentunya berbeza benar dengan kepimpinan tiga perdana menteri selepas itu, kan? Ya, baru-baru ini dikeluarkan senarai orang terkaya yang mana anak menantu mereka pun turut masuk senarai itu...

(ketawa)..... Terkaya...ya terkaya..(ketawa)

Dan ini cukup tidak sihat kepada persepsi rakyat jika hendak dibandingkan dengan pemimpin terdahulu?

Memanglah, yang dahulu tidak tinggal langsung, bukan hasrat kita berjuang nak kumpulkan harta, ini memang betul.

Berbeza sungguh dengan kepimpinan hari ini, integriti mereka dipersoal secara terbuka. Mereka hanya berjuang untuk kepentingan diri dan kelompok. Orang berlumba-luma masuk politik untuk mengejar kemewahan.

Ya...tapi kalau saya bercakap banding ini orang kata kritiklah. Tapi semua nampak dan sedar hakikat ini, perjuangan terdahulu untuk kemerdekaan, membela bangsa dan membangunkan negara serta memajukan Islam.

Dengan itu, kita bukan sahaja bebas dari segala aspek ancaman komunis, dan yang lebih penting ialah dari segi kehidupan kesihatan yang diperjuang mati-matian, sekarang ini tiada merebaknya kolera, yang membawa wabak ke seleuruh masyarakat sudah tidak kedengaran. WHO iktiraf kita sebagai sebuah negara yang bebas penyakit berjangkit.

Perjuangan bidang sosial kita berjaya, namun dalam perihal jurang pendapatan ini kita jauh tertinggal. Kita negara terkaya dikurniakan tuhan dengan pelbagai sumber yang boleh membaiki negara kita berbanding negara jiran Singapura.

Tetapi pendapatan perkapita kita, dengan Singapura ini kita terkebelakang, kita mundur. Pendapatan perkapita Singapura rakyat mereka berkaliganda berbanding negara kita, saya rasa malu. Saya dijemput berucap di Singapura nak bercakap mengenai ekonomi pun saya tidak tahu nak cakap apa.

Negara kita dari segi perniagaan nombor 19 dari segi volume dan pendapatan, tetapi Singapura 26 namun mengapa taraf hidup mereka tinggi, gaji mereka tinggi. Kenapa tidak kita perbaiki tahap kehidupan rakyat kita? Kita kena samakan kedudukan dengan negara jiran dan kalau boleh melangkau kedudukan mereka, bagi saya boleh.

Kenapa saya kata boleh peperangan kita kena holistik dan total. Rasuah, pembaziran dan soal efisyen didikan, ada setengah orang kata pada saya apa yang perlu kita buat untuk capai semua ini.

Saya rasa untuk kita mahu perang kita kena ada pakatan sesama kita, sebab saya tengok orang Melayu, kalau kita lihat budak-budak kampung yang dibawa masuk ke dalam tentera, kerana rejimentasi dan disiplin yang kuat, mereka boleh ikut segala perintah dan arahan yang dikehendaki oleh komanden mereka.

Saya rasa untuk tingkatkan status ekonomi negara kita kita kena fikir untuk melakukannya, supaya rakyat kita tidak membuang masa dan tidak akan membazir kepada perkara yang tidak sepatutnya dibazirkan.

Saya rasa kalau mereka itu dididik dengan disiplin dan rejimentasi, saya rasa mereka boleh lalukan apa yang orang lain buat, ini pandangan yang boleh kita kaji.

Soalnya jika kita tengok realitinya sekarang ini, mereka yang kita bagi lesen menjual lesen, kita bagi bukan untuk jual lesen, tetapi mereka ini buat jalan mudah.

Tadi Tengku sebut seolah-olah memisahkan tiga PM awal dan PM kemudian...

Saya tak kata begitu.

Pertembungan Temgku dengan Tun Dr Mahathir sudah menjadi rakaman sejarah. Perdana Menteri bertukar. Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah bersama Tengku dalam Team B ketika menentang Dr Mahathir pada 1987. Dato' Seri Najib pula tidak mempunyai rekod pertembungan peribadi dengan Tengku. Tengku sendiri memilih untuk bersama Umno sehingga sanggup membubarkan Parti Semangat 46. Tetapi nampaknya kepimpinan Umno, selepas era Dr Mahathir, tidak memanfaatkan Tengku, dengan segala pengalaman dan kemahiran Tengku, untuk bersama-sama memajukan negara, mengapa ya?

Saya rasa soalan ini patut ditujukan kepada mereka (Abdullah dan Najib) mereka layak jawab, kerana mereka ada jawapan mengapa tidak mahu seseorang itu dalam perkhidmatan mereka. Kalau nak sembang soal latar belakangnya memanglah panjang..(ketawa)..

Jelas Dr Mahathir tidak menyenangi pemerintahan Abdullah, tetapi tidak dengan Najib. Pada pandangan Tengku, sejauh manakah pengaruh Dr Mahathir dalam pentadbiran Najib?

Kita tidak nafi bahawa manusia ini dipengaruhi orang, kecuali kita cukup yakin kepada kemampuan dan kebolehan, barulah orang tidak boleh pengaruhi dalam apa yang kita nak buat.

Jadi saya rasa barangkali ada orang bimbang-bimbang takut kerana kurang yakin dengan kemampuanny untuk memimpi. Namun bagi saya jika diberi tugas ialah keyakinan saya kepada negara, tidak kepada sesiapa. Dan kebolehan itu saya akan gunakan semua pihak.

Saya gunakan untuk kebaikan negara saya akan lakukan asalkan tidak bertentangan dengan kehendak Allah.

Jadi saya rasa tiada sebab mengapa seseorang itu tidak boleh digunakan untuk sesebuah kebaikan, bukan maksud saya dipergunakan. Maksud saya mereka ini ada tradisi masing-masing, katakanlah Najib ini tidak mahu gunakan seseorang kerana dipengaruhi Mahathir, itu kesilapan dia, ia bergantung kepada perhitungan mereka sendiri.

Adakah pembabitkan Tengku dalam isu Royalti Minyak Kelantan ini berdasarkan kepada sikap itu, yakni mahu menyumbang untuk kepentingan rakyat, walaupun dilihat bertentangan dengan partinya sendiri?

Tiada perbezaan...apa yang saya ucapkan di Kota Bharu itu adalah saya ucapkan sejarah bagaimana Petronas ditubuhkan dan apakah makna disebalik Akta Kemajuan Petroleum, saya tidak kritik kerajaan atau menyebelahi mana-mana pihak, saya punya pendapat Kelantan wajib dalam 5 peratus 'cash payment'.

Sama juga dengan Terengganu yang mana ada minyak di luar pantai Terengganu, maka dibawah Akta Kemajuan Petroleum, walaupun kawasan itu di luar kawasan 3 batu nautika, tetapi kerana akta ini berkata kalau minyak ditemui di luar pantai negeri berkenaan, maka 5 peratus tetap akan diberi kepada negeri itu sekiranya negeri berkenaan menyerahkan seluruhnya kawasan itu kepada Petronas. Ini terang dalam undang-undang.

Berdasarkan statistik berdasarkan maklumat Petronas, dari Sabah hingga Kelantan, jelas Kelantan ada hak minyak yang keluar di luar pantai Kelantan.

Saya tak kata saya sebelahi Kelantan atau sesiapa sahaja, saya sebelahi rakyat kerana akta itu dirangka atas arahan Tun Razak. Tun Raxak yang kata' 'buatlah Tengku asalkan negeri-negeri di Pantai Timur terutamanya dapat hasilnya dan faedah darinya'.

Saya memang dah tahu dalam 3 batu nautika itu berdasarkan kepada kajian saintifik sebelum Petronas ditubuh memang tiada minyak pada masa itu, dan kemudiannya dapat kajian memang tiada minyak.

Tetapi Tun Razak ada cakap carilah jalan supaya negeri-negeri dapat manfaat dengan hasil minyak. Tun Salleh Abbas lah tauke yang buat undang-undang ini, saya bagi idea sahaja macam mana nak buat supaya Kelantan, Terengganu, Pahang. Johor dapat faedah.
Berbeza dengan Sabah dan Sarawak kerana memang ada hak sebab tiada sempadan antara kerajaan pusat dan negeri kerana kita tubuh Malaysia dengan cepat kerana ancaman dari negera-negara jiran pada tahun 1983, Tunku kata pada masa itu kita buat lukis sempadan ini kemudian, tetapi sebenarnya kita tentukan garis sempadan tiap-tiap negeri apabila bergabung dalam Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan terlebih dahulu sebelum itu.

Jadi berdasarkan kepada jurisdiction dan penemuan saintifik ini, memang semua negeri tiada minyak, tetapi saya runding juga dengan negeri-negeri saya jumpa semua MB dan Exco saya terang dengan jelas, mereka tiada minyak ketika itu tetapi jika ditemui minyak saya minta mereka serah segala-galanya kepada Petronas, biar Petronas jadi agensi utama dan jika minyak ditemui di luar kawasan negeri berkenaan, 5 operatus negeri tersebut patut dapat.

Dalam perjanjian yang saya tandatangani ketika itu, perkataan 'balasan' itu ayat saya itu, kerana 'balasan' kepada negeri berkenaan. Itu ayat yang saya cadangkan.

Apakah balasan itu disebut sebagai royalti?

Kita tidak pakai perkataan royalti, tetapi 'cash payment' ini (pembayaran tunai), terus kepada kerajaan negeri. Tidak boleh dibayar kepada orang lain, ini mesti kepada kerajaan negeri, jika bayar melalui orang lain atau kepada orang lain, ini 'illegal payment'.

Duit minyak hanya boleh buat dua bayaran masa saya buat Petronas dahulu dan saya yang buat undang-undang juga, saya rasa saya lebih tahu daripada orang lain. Saya belum nyanyuk lagi, satunya 'cash payment' tadi 5 peratus kepada kerajaan negeri berkenaan dan 5 peratus kepada kerajaan pusat dan selebihnya dimiliki oleh Petronas.

Petronas ini kerana dimiliki 100 peratus oleh kerajaan pusat, boleh bayar dividen, dividen itulah yang boleh digunakan untuk apa sahaja, dan selebihnya Petronas kena simpan untuk carigali minyak dalam atau luar negara itu hak Petronas.

Tetapi jika nak bagi kepada sesiapa yang bukan hak itu tidak boleh, tetapi untuk derma itu bolehlah...

Jika diserahkan kepada pihak lain, walaupun untuk kepentingan rakyat Kelantan, bagaimana?

Mesti berbalik kepada perjanjian dan undang-undang. Apa undang-undang kata? Undang-undang kata dibayar terus kepada kerajaan negeri, satu dividen kepada kerajaan pusat dan satu lagi 'cash payment' kepada kerajaan negeri 5 peratus dan pusat 5 peratus kalau ada minyak. Itu sahaja.

Tolak dividen tolak bayaran ini maka selebihnya terpulang kepada Petronas untuk belanja dalam urusan dialah, nak carigali minyak atau sebaginya, nak beli kawasan minyak luar negara, ini kebijaksanaan merekalah.

Kenapa pihak berkenaan berkeras juga mahu berikan wang ehsan, bukan 'cash payment'?

Itu kerajaan pusat, ini Petronas perjanjian yang dibuat oleh Petronas dengan kerajaan negeri, tiada perjanjian antara negeri dan pusat, rundingan kita pada masa itu ialah saya selaku Pengerusi Petronas dan kerajaan negeri, itu sahaja..bila setuju hak minyak dalam negeri 3 batu nautika, itu okay, tetapi jika jumpa luar pantai negeri tersebut, kita bagi 5 peratuslah, kerana negeri beri segala haknya.

Nampak jelas perjuangan kepimpinan terdahulu ialah untuk rakyat berbeza dengan sekarang.


Tun Razak ketika itu cakap dekat saya carilah jalan buat undang-undang supaya negeri-negeri ini dapat, saya kata okay.

Kempen sudah dibuat, penjelasan sudah diberikan. Tengku sendiri turun padang, tetapi kerajaan pusat tidak menghiraukannya. Jika dimasukkan ke mahkamah , seperti yang berlaku kepada Kerajaan Negeri Terengganu, sampai kini tidak selesai, dan tidak boleh pula diperjuangkan di luar mahkamah. Jadi apa pilihan yang ada?


Tengok sajalah kes Nizar (Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) bawa ke mahkamah 10 kali pun dia tidak mahu bagi kepada Nizar untuk jadi Menteri Besar, dia (kerajaan) tidak akan bagi juga, sebab alasannya dia tidak mahu bagi, bukan perlembagaan kata, mereka yang suruh kata...

Begitu juga sewaktu Semangat 46 dahulu, saya banyak bawa kes ke mahkamah, sampai ke Mahkamah Persekutuan sekalipun, tidak berjaya. Sebabnya Mahkamah Boneka.

Di Kelantan apa yang boleh dibuat sekarang?

Saya rasa mahkamah yang ada adalah mahkamah rakyat...(ketawa). Bukan sahaja di Kelantan tetapi seluruh negara..

Umno-BN sudah dihukum oleh mahkamah rakyat pada pilihan raya 2008 yang lalu, tetapi mereka masih terus angkuh, tidak mahu terima dan hormati suara rakyat serta ambiul iktibar daripada...

Pendapat saya begitu juga, saya hadir beri penerangan bukan kapasiti sebagai ahli politik tetapi seorang yang penuh minat mahu melihat Kelantan ini maju tidak kira PAS atau Umno yang perintah.

Dalam kes minyak ini, sepatutnya mereka bayar sebab inilah peluang untuk kita majukan Kelantan bersama, faedahnya ialah rakyat akan rasai bersama, seterusnya biarlah rakyat nilai. Dia nak pilih siapa itu pandailah kempen..betul tak..?

Wednesday, February 24, 2010

Hikmah di sebalik perbezaan tender 8 sen


Tulisan LIM GUAN ENG diadaptasi dari sebuah akhbar Cina. Mencerminkan ketelusan dan ketulusan beliau dalam memimpin kerajaan Pulau Pinang.

Bagi kebanyakan rakyat biasa, sistem tender terbuka seolah-olah tidak ada kaitan dengan kehidupan seharian mereka. Tetapi ia telah menimbulkan kemarahan Umno dan penyokong-penyokong parti itu.

Mereka marah apabila saya membuat pengumuman bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan sistem tender terbuka bagi semua pemerolehan dan kontrak kerajaan selepas saya mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun 2008.
Mereka menuduh saya cuba menidakkan hak-hak orang Melayu, mendakwa ia satu dasar pro-Cina untuk meminggirkan orang Melayu di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, menyedari pentingnya satu dasar yang adil dan telus, sistem tender terbuka terus dilaksanakan. Sepanjang tempoh pelaksanaannya hampir dua tahun ini, bilangan syarikat yang berjaya mendapatkan tender dengan harga tawaran terendah agak banyak juga dan persaingannya begitu sengit sekali, malah melangkaui batas imaginasi saya.

Tujuan pelaksanaan sistem tender terbuka ialah untuk mengamalkan meritokrasi supaya kerajaan dapat menguruskan kewangan secara berhemah dan menghentikan budaya kronisme.
Persaingan secara terbuka membolehkan kerajaan membuat lebih banyak pilihan yang mana pada akhirnya rakyat juga yang mendapat keuntungan. Amalan ini sememangnya tidak menyenangkan kroni-kroni pihak tertentu.

Persaingan hebat tender terbuka Program Perlindungan Insurans Komprehensif untuk Bangunan dan Harta Tetap Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) baru-baru ini sememangnya menakjubkan saya dan ahli-ahli Lembaga PDC. Terbukti persaingan sihat dalam pasaran akan dapat membantu meningkatkan daya saing sektor swasta.

PDC mengadakan Program Perlindungan Insurans Komprehensif untuk Bangunan dan Harta Tetap PDC setiap tahun. Sebelum ini, Program Perlindungan Insurans Komprehensif PDC tersebut adalah dikendalikan oleh satu Konsortium di bawah Syarikat Takaful Berhad dengan jumlah premium RM821,550.88.

Memandangkan tempoh perlindungan insurans komprehensif yang sedia ada akan tamat pada 31 Januari 2010, tawaran telah dibuka kepada syarikat-syarikat insurans dan broker insurans yang mempunyai Lesen Bank Negara dan berdaftar dengan Kementerian Kewangan untuk mengemukakan tawaran.

Seebanyak 5 syarikat insurans dan broker insurans telah membeli dokumen tender melalui sistem e-perolehan.

Pada tarikh tutup tawaran iaitu pada 11 Disember 2009, tiga syarikat telah mengemukakan tawaran dengan jumlah premium masing-masing, iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad sebanyak RM777,351.40, Sterling Insurance Brokers Sdn Bhd RM777,351.48 dan Sime Darby Lockton Insurance Brokers Sdn Bhd RM816,738.96.

Tawaran yang tertinggi pun 20 peratus lebih rendah daripada peruntukan RM1,020,000.00 yang telah disediakan oleh PDC untuk tujuan tersebut.

Apa yang lebih menakjubkan ialah perbezaan tawaran terendah dan tawaran kedua terendah hanya sebanyak 8 sen sahaja.

Selepas pertimbangan, ahli-ahli Lembaga Tawaran memutuskan Program Perlindungan Insurans Komprehensif untuk Bangunan dan Harta PDC ditawarkan kepada Syarikat Takaful Malaysia Berhad yang mengemukakan tawaran terendah. Dengan kata lain, Syarikat Takaful Malaysia Berhad telah mengalahkan pesaingnya dengan perbezaan tawaran 8 sen sahaja.

Ini amat memberangsangkan kerana ia telah mencatat sejarah sistem tender terbuka. Lebih-lebih lagi syarikat yang mendapat tawaran itu merupakan sebuah syarikat yang dimiliki seratus peratus (100 peratus) oleh orang Melayu.

Siapa kata orang Melayu akan hilang daya saing kerana sistem tender terbuka?

Asyik manjakan orang Melayu, memberi "tongkat" dan meletakkan mereka di bawah payung naungan tidak akan dapat membantu dalam meningkatkan daya saing orang Melayu.
Sebaliknya, membuka pasaran, menggalakkan persaingan yang adil akan membolehkan lebih banyak syarikat Melayu berpeluang untuk menonjolkan kebolehan mereka dan membuktikan kejayaan mereka dengan mengalahkan pesaing-pesaing yang lain.

Persaingan inilah akhirnya akan menghasilkan orang Melayu yang lebih kental, lebih berdikari dan lebih berkeyakinan diri. Inilah legasi yang terunggul untuk orang Melayu.

Negara China pernah digelar "Orang Sakit Asia" (The Sick Man of Asia) kerana kelemahan ekonomi sistem komunis. Tetapi kini ia telah menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. Dasar pasaran terbukalah yang menyumbang kepada kejayaan negeri China.

Faktor penting untuk meningkatkan daya saing rakyat sesebuah negara sebenarnya terletak pada satu sistem yang tidak mengira warna kulit, bukannya payung naungan kerajaan.

Sekiranya negara China boleh berjaya, saya yakin Pulau Pinang dan Malaysia juga akan berjaya. Saya optimistik setelah melihat keputusan tender terbuka PDC tersebut.

Nilai 8 sen sahaja sudah mampu menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu tender. Iini menjelaskan betapa kuatnya kuasa pasaran.

Namun tidak perlu mana-mana pihak risau kerana pihak kerajaan akan tetap memantau untuk memastikan pihak swasta tidak mengabaikan tugas dan tanggungjawab mereka untuk rakyat.

(Lim Guan Eng adalah Ketua Menteri Pulau Pinang)

Kerajaan Umno-BN hutang RM2 billion wang rakyat Kelantan


Laporan Malaysian Insider dipetik:

Kelantan membetulkan kenyataan penjelasan dibuat kerajaan pusat kelmarin bahawa tunggakan royalti yang perlu dibayar kepada kerajaan negeri itu adalah sebanyak RM2 bilion, bukannya RM20 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Negeri, Datuk Husam Musa berkata, bayaran semasa yang sepatutnya diterima kerajaan negeri itu adalah RM600 juta iaitu mengikut hasil pengeluaran 2008.

“Royalti sebanyak RM20 juta hanya diperoleh dari telaga Bumi Selatan yang dikeluarkan sejak 2008.

“Yang kita tuntut tunggakan sahaja tidak kurang daripada RM2 bilion dan bayaran semasa tidak kurang RM600 juta.

“Kita berharap kerajaan Malaysia (kerajaan pusat) dapat memperbetulkan semula pendirian mereka secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Ahad lalu, akhbar harian Bahasa Malaysia menyiarkan iklan penjelasan isu tuntutan hasil petroleum yang ditaja Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, iklan terbabit begitu menggelirukan antaranya perkara yang dirujuk tidak ada kena mengena dengan akta atau undang-undang berkaitan petroleum.

Salah satu perkara menyentuh soalan “Mengapa wang ihsan yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk Kelantan hanya dalam jumlah RM20 juta?”

Penjelasan kerajaan negeri itu menyebut, “kami tidak dapat menjawab soalan ini kerana ini adalah jumlah yang sewenang-wenangnya dibuat oleh kerajaan persekutuan dan tanpa asas perundangan.”

“Tuntutan kami bagi bayaran tunggakan adalah melebihi RM2 bilion dan bayaran tahunan tidak kurang dari RM600 juta,” kata penjelasan itu.

Dalam senarai jawapan yang diedarkan kepada wartawan terdapat lapan perkara bagi menjelaskan mengenai tuntutan royalti.

Antaranya, mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 kesemua 13 perjanjian dan 13 geran penyerahan hak menggunakan istilah bayaran tunai kepada kerajaan negeri berkenaan.

Perkataan yang popular digunakan semua pihak ialah royalti.

Selain itu, semua negeri di Malaysia ditadbir urus mengenai petroleum di bawah akta yang sama termasuk Sabah atau Sarawak.

“Perjanjian tersebut menyebut bahawasanya kerajaan dan Petronas adalah ingin hendak membuat sesuatu perjanjian menurut Seksyen 4 Akta PDA ia tak merujuk kepada Akta Ordinan Darurat 1969 yang telah dimansuhkan,” ujarnya.

Kata Husam, adalah amat memalukan kerajaan menggunakan akta yang telah dimansuhkan.

Seksyen 4 Akta tersebut menjelaskan sebagai balasan bagi penggunaan dan hak-hak kebebasan dan keistimewaan-keistimewaan yang diletakkan hak kepadanya (Petronas).

Mengikut akta itu, Petronas hendaklah membuat bayaran wang tunai sebagaimana yang dipersetujui pihak-pihak berkenaan kepada kerajaan Persekutuan lima peratus kepada kerajaan mana-mana negeri yang berkenaan.

“Jadi akta ini dengan jelasnya menunjukkan pembayaran dibuat oleh Petronas kepada negeri dan bukan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan atau Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri,” katanya.

Beliau juga berkata, perjanjian yang dilaksanakan di antara negeri-negeri dengan Petronas pada 1975/1976 menjelaskan hak negeri di daratan dan luar pantai.

Oleh itu, katanya, tiada dinyatakan sama ada dalam PDA 1974 dan perjanjian di antara negeri, di mana setiap negeri menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantai.

Kerajaan Umno-BN cuba pesongkan fakta mengenai royalti


Laporan Malaysian Insider dipetik:

Dalam jawapan balas susulan iklan mengenai isu tuntutan royalti minyak disiarkan kerajaan pusat kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa memberitahu, penjelasan itu “amat mengelirukan” dan menggesa kerajaan pusat membetulkan pendiriannya segera.

Husam merujuk kepada Akta pembangunan Petroleum (PDA) 1974 mengenai tadbir urus petroleum terhadap negeri-negeri yang terdapat hasil pengeluaran minyak antaranya Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

“Di bawah akta inilah perjanjian dengan negeri-negeri dilakukan.

“Dan perjanjian ini adalah sama. Tidak ada akta yang berbeza. Akta tersebut ialah Akta Kemajuan Petroleum 1974,” kata beliau pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Ahad lepas kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tuntutan hasil petroleum Kelantan dengan menyasarkan pendirian Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam iklan satu halaman yang disiarkan di Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian itu, kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.

Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Iklan penjelasan itu diterbitkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menjawab lapan isu termasuk pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas itu dan Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Mengenai isu pertama “Apakah istilah yang disebut dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 mengenai pembayaran hasil minyak dan gas?”, penjelasan itu berkata:

“Istilah yang diguna pakai bagi maksud pembayaran tersebut adalah bayaran tunai sebanyak lima peratus dan perkataan royalti tidak digunakan dalam mana-mana istilah akta berkenaan,” kata kerajaan pusat dalam iklan penjelasan itu.

Oleh itu, Husam tidak bersetuju dengan jawapan yang diberikan memandangkan kesemua 13 perjanjian dan 13 Geran Penyerah Hak menggunakan istilah “bayaran tunai kepada kerajaan negeri berkenaan.”

Kata beliau, perkataan yang popular digunakan oleh semua pihak ialah “royalty”, malah tidak ada yang berubah mengenai bentuk pembayaran iaitu bayaran tunai kepada kerajaan negeri.

“Istilah-istilah yang digunakan dalam PDA, 13 perjanjian dan 13 Geran Penyerah Hak adalah merangkumi onshore (daratan) dan offshore (luar pantai) untuk maksud petroleum yang dihasilkan di daratan dan di lautan.

“Tiada dinyatakan sama sekali sama ada dalam PDA 1974, 13 perjanjian dengan negeri-negeri mahupun 13 Geran Penyerah Hak tentang sekatan hak setiap negeri untuk menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantainya berdasar kepada jarak dari pantai,” katanya.

Sehubungan itu Husam turut mempertikaikan ukuran jarak yang tidak pernah termaktub dalam PDA yang dijadikan alasan oleh kerajaan persekutuan dalam menafikan hak royalti kepada Kelantan.

“Oleh itu berdasarkan fakta tersebut maka tidak timbul sama ada jarak 12 batu, 200 batu atau jarak lain daripada pantai untuk penafian tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut hujah diguna oleh kerajaan pusat dalam iklan tersebut, Husam berkata, iklan penjelasan itu bersandarkan pada akta yang telah dimansuhkan.

“Seksyen 13 (1) Akta Darurat Kuasa-kuasa Perlu 79 telah pun memansuhkan penggunaaan pemakaian ordinan darurat kuasa-kuasa perlu 1969.

“Jadi saya hairan macam mana akta yang telah dimansuh dijadikan hujah oleh Kementerian penerangan kerajaan Malaysia.

“Kami harap kerajaan Malaysia dapat membetulkan semula pendirian mereka secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kekeliruan yang berpanjangan,” ujarnya.

Monday, February 22, 2010

Jika tidak kena 'hari bulan' BN akan tumbang

Bahagian pertama

BANYAK isu yang membelenggu negara. Sehingga kini kerajaan masih gagal memulihkan persepsi rakyat terhadap Umno-Barisan Nasional. Banyak pertikaian dalam soal keadilan politik, kestabilan ekonomi, keharmonian kaum, isu kehakiman, rasuah, royalti dan sebagainya yang masih gagal ditangani BN.

Ikuti wawancara wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB dan Jurufoto MOHD NASIR SUDIN, bersama bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga ahli Parlimen Gua Musang di kediamannya di Langgak Golf pada 18 Februari 2010.

HARAKAH : Hari ini keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara masih gagal dipulihkan. Sejarah 1988 menjadi titik bengit kepada krisis kehakiman, sejak dari itu apakah tiada pemulihan sistem kehakiman?

TENGKU RAZALEIGH : Saya ada sebut di Parlimen, sistem kehakiman kita ini perlu dibaiki. Jika tidak harapan rakyat kepada negara ini sebab di mana pembelaan bagi orang yang miskin dan susah. Cuma mahkamah sahaja yang boleh menentukan keadilan untuk mereka.

Selagi mahkamah dikawal oleh eksekutif dan diarah oleh pihak berkuasa dan yang berkepentingan, orang akan kecewa. Tidak wujud pembelaan, tiada keadilan, dan jika tiada keadilan di negara ini. Negara akan huru hara.

Kes yang berlaku di sana sini itu tak mengapa orang boleh faham lagi. Tetapi jika menyentuh hak rakyat secara keseluruhannya, ini tidak boleh dibenarkan berlaku.

Dahulu berlaku kes yang babitkan saya sendiri, saya bertanding pada pilihan raya umum (PRU) dalam tahun 1995, tiba-tiba digugurkan sebagai wakil rakyat Gua Musang, mereka adakan kes perbicaraan, sebab saya bukan pengundi di sana, saya bukan yang membantah, saya bukan terlibat, saya bukan pendudukan di Gua Musang, alamat tetap saya di Kota Bharu, saya mengundi di Kota Bharu, akhirnya dibatalkan kemenangan pilihan raya saya.

Mereka adakan pilihan raya kecil, saya bertanding semula dan saya menang lagi. Maknanya saya nak sebut ini mereka ini boleh lakukan apa sahaja semata-mata kerana nafsu, selagi mereka tidak menang mereka akan buat.

Tak boleh kerana mereka nak menang, sedangkan ini hak rakyat, yang menentukan wakil rakyat adalah rakyat, saya digugurkan jadi wakil rakyat, saya ini simbol sahaja sedangkan yang ramai yang mengundi itu itulah hak yang sebenar, kerana itu hak mereka yang dijamin dalam perlembagaan.

Di Perak bila gugur sahaja kerajaan terdahulu, gugurlah hak rakyat sebenarnya. Inilah kaedah saya baca undang-undang. Tetapi mereka tidak baca macam itu, kerana mereka baca selagi mana mereka tidak boleh menang, mereka kata tak bolehlah.

Mereka (Umno-BN) nak menang..inilah, negara menjadi tidak aman.


Adakah kes di Perak ini menggambarkan bahawa hak rakyat telah dinafikan?


Saya lihat begitulah, dalam perlembagaan jelas Raja ada kuasa dua sahaja iaitu satu melantik Menteri Besar dan ahli Exco. Kedua, membubarkan Dewan apabila dipohon oleh Menteri Besar, sama ada sebelum PRU nak tiba atau seterusnya.

Tetapi Raja ada hak untuk tidak izinkan untuk tidak mengadakan pembubaran sebelum pilihan raya diadakan, apabila genap tempoh 5 tahun, tetapi raja tiada kuasa gugurkan Menteri Besar, kecuali MB telah dikalahkan dengan undi tidak percaya dalam dewan, wakil-wakil rakyat yang boleh gugurkan, Raja tidak terlibat.

Jadi dalam kes Perak ni, nak main cari tilik dan tengok mana sub seksyen dan kutip dan campur sana sini dapatlah.....(ketawa)...betul tak?.

Ia tidak boleh, mereka hanya boleh menjatuhkan MB dengan hanya undi tidak percaya sahaja kepada MB di Dewan. Berdasarkan keputusan Nizar (Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) ini, dengan keputusan lima hakim di Mahkamah Persekutuan, jika berlaku sesuatu YDP Agong boleh buang PM berdasarkan keputusan lima hakim ini, ini kesimpulannya.

Melihat kepada zaman tiga PM terawal, tiada laporan mengenai rasuah berleluasa, bagaimana Tengku melihat keadaan hari ini?

Kita tengok, Tan Sri Nor Yakcop (Menteri di JPM) ini' yang terbabit Setiausaha Politiknya, Hasbie Satar dan sebelum ini ada seorang Setiausaha Politik lain (Dato' Norza Zakaria). Apa kerja dia, banyak betul duit dia, takkan dia (Nor Yakcop) tak tahu. Takut dia terlibat ini saya tak tahu, mewah betul, dulu dia hilang RM30 billion masa dia di Bank Negara, cuba tanya dia.

Bagaimana Abdullah (bekas PM Tun Abdullah Ahmad Badawi) pilih dia jadi Menteri Kewangan dan kini Najib (Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak) pilih dia jadi Menteri di JPM, yang jaga EPU, apa sebabnya?

Ya dia menjaga EPU, tiada kelebihan, ada orang duta luar datang kunjung hormat kepada saya, mereka cakap kepada saya bagaimana boleh dilantik orang macam Nor Yakcop ini, bukan baik punya orang maksud mereka, rekod dialah.

Imej rasuah makin teruk, bagaimana kepercayaan negara luar?

Kita tengok North South Highway hutangnya berbillion yang terpaksa kerajaan ambil alih. Ini syarikat-syarikat yang besar, ini Langkawi Cement, hutang dekat RM 8 billion tak ada siapa sebut. Ini hutang negara yang ditanggung oleh rakyat. 'Heavy industries' Hicom, dekat RM5 dan 6 billion.

Ini tak termasuk MAS yang dah beberapa kali jadi syarikat baru, kerana hutang banyak kerajaan ambil jadikan syarikat baharu dan sekarang ini kapal terbang itu semuanya dimiliki oleh sebuah syarikat kerajaan bukan milik MAS. MAS hanya kotak kosong sahaja, dah tiga kali dah tubuh syarikat baru, macam perwaja juga, Perwaja yang ada hari ini syarikat baru itu kerana nak kikis hutang, jadi mereka boleh tunjuk dalam akaun tak ada hutang, oleh kerana kerajaan yang ambil alih hutang Perwaja RM20 billion lebih.

Maknanya ini semua beban kepada rakyat?

Ya, ini adalah kerana pengurusan kerajaan pusat.

Hutang yang berjuta ini, apakah puncanya yang menyebabkan sedemikian?

Itu kita tak tahulah selain dari siasatan yang dibuat internal audit ini kita tak tahu kenapa berlaku sedemkian.

Tetapi kalau rugi biasanya kita buang pengarah atau manager, ini tak dibuang dan duduk di situ lagi, dan ada pengarah yang ada jet peribadi lah dan sebagainya. Syarikat rugi tetapi pengarah kaya raya (ketawa).

Menyebut soal rasuah ini, bolehkah Tengku huraikan lebih lanjut.

Saya rasa kita tak serius, padahal rasuah ini perkara yang serius. Kerana kos hidup rakyat akhirnya ditanggung oleh golongan bawahan ini, dan kita dengar dahulu apabila Abdullah jadi Perdana Menteri, dia kata nak baiki sistem penyampaian kerana tidak sampai kepada mereka yang dimaksudkan.

Ini soal rasuah, nak dapat satu surat pun kena rasuah RM10 untuk mencari fail, jadi semuanya dan segalanya rasuah. Apakah ini khidmat kerajaan, saya kata kepada institusi yang ada, betul lah Abdullah telah hantar pegawai untuk semak undang-undang yang dipakai di Hong Kong untuk dijadikan contoh untuk kita baiki BPR kita dahulu, tetapi pada saya tidak memuaskan.

Macam di Hong Kong satu ketika dahulu sangat teruk rasuahnya, sehingga diberi badan-badan bebas untuk menyelia BPR di sana ini barulah terkawal, sekarang ini barulah dikatakan hampir tiada rasuah di Hong Kong.

Saya suka ambil contoh yang dipakai itu digunkan sepenuhnya di sini dan perkuatkan lagi undang-undang yang sedia ada, saya suka lihat itu dilakukan. Selain itu macam yang dibuat di China sekarang, satu ketika dahulu ada sahaja orang yang melaporkan mereka buat macam Datuk Bandar di Shanghai, bila dia dibuktikan sahaja bersalah ditembak sahaja Lord Mayor ini. Dibuktikan betul-betul bersalahlah,

Tapi kita tak lah lakukan di sini nanti orang kata tidak adil. Saya cadangkan, kalau boleh kita adakan tribunal, 10 ke 20 tribunal biar Parlimen yang tentukan siapa anggotanya.

Mana-mana orang yang disyaki rasuah, mengumpul harta dilaporkan kepada beberapa tribunal dan disiasat dan jika benar orang-orang ini dapat duit ini cara yang salah atau tidak munasabah maka kita bekukan akaun dan seluruh ahli keluarganya yang terbabit.

Bank-bank diberitahu agar tidak memberi pinjaman kepada mereka yang didapati bersalah ini. Jika mereka mahukan wang, dia kena pergi ke tribunal, dia kena bagi tahu dari mana wang ini diperolehi, kalau tribunal puas hati boleh berikan wang itu.

Ini tak setakat cakap kedai kopi, jika tidak ia hanya sekadar cakap kedai kopi kata orang ini orang itu ada kekayaan, beli kereta mewah yang baharu, jadi kita rasa ia berkesan. Tidak lah timbul anak PM (bekas PM Tun Mahathir) billionaire, kita tak tahu hujung pangkal.

Kita tak mahu macam itu, kena bekukan aset dan bank akaun di mana sahaja dalam dalam luar negara. Kena siasatlah.

Jika dahulu sewaktu zaman Abdullah, anaknya Kamaluddin kaya dengan Scominya dan sebagainya, apakah ini juga boleh dipertikaikan?

Kena buat. Apa mereka nak takut jika mereka tak curi harta, dan buktikan bahawa itu adalah harta pencarian mereka secara halal. Tetapi kalau cara yang ada hari ini hanya mencari ikan bilis sahajalah.

Menyentuh mengenai masalah penghijrahan orang Melayu ke luar negara, kita tengok jika dahulu hanya bukan Melayu sahaja yang lari ke China, UK dan Australia, kini profesional Melayu pula?

Anak-anak Melayu kita ramai ke Singapura, Kanada dan Australia. Ini adalah kerana rasa tidak puas hati mereka terhadap senario di negara ini> Satunya nak kata Islam dah tak Islam sangat dan soal 'favouritesm' ini.

Kalau kita layak ada merit yang baik tak dipilih, tetapi kalau kita kenal orang atasan boleh pulak naik, ini yang menyebabkan anak-anak muda profesional Melayu mula berhijrah ke luar negara untuk mencari pekerjaan di sana.

Ini tak puaskan hati golongan profesional. mereka tak diberi peluang. Sebab itulah ramai anak Melayu dan bukan Melayu semua keluar ke negara, ini menunjukkan sistem kita tak betul.

Satu lagi kita bercakap soal perbelanjaan, langkah berjimat cermat dan mencatu kewangan negara ini, tetapi apa yang dikritik ramai hari ini adalah kenapa dicatukan perbelanjaan pendidikan yang termasuk soal elaun kursus guru dan sebagainya, apa pandangan Tengku?

Ini persoalan prioriti, kalau kerajaan tidak tahu bezakan atau menunjukkan prioriti ini, yang munasabah, ini macam mana? Ini tak adillah, saya lihat tak akan berjalan dengan baik.

Peruntukan untuk benih dan baja petani pun katanya dicatu dan peruntukan untuk minyak kereta peronda polis pun katanya dicatukan. Peruntukan untuk pegawai yang check barang dan sebagainya dipotong.

Bagaimana seriusnya kedudukan kewangan negara ini?

Saya tidak tahu ..tetapi kalau tidak serius takkan mereka potong....(ketawa). Mengapa potong?

Ini belum masuk lagi isu penyelewengan Felda.

Felda ini, anak emas Tun Razak Hussein. Tetapi anak emas Tun Razak yang telah dilonggokkan dahulunya. Tetapi hari ini, kekayaan Felda telah dilonggokan di bandar-bandar bukan lagi kepada peneroka Felda.

Hasrat Tun Razak usahakan ladang-ladang ini untuk mereka yang susah. Tetapi hasil hari ini dilonggok ke bandar ini, berapa juta beri kepada Naza, berapa juta beri kepada bangunan yang ada sebelah ini (dekat dengan rumah Tengku Razaleigh).

Apa gunanya dilaburkan untuk beli bangunan ini, mengapa tidak beri semula kepada peneroka, kenapa mereka tak beli syarikat-syarikat yang ada pada PNB Guthrie dan sebagainya.

Biarlah Felda yang miliki, Sime Darby. Tetapi sekarang ini duk labur buat bangunan, ini nak buat apa?

Dari sudut keseluruhannya, apakah formula terbaik kepada kita semua tidak kira apa latar belakang untuk sama-sama membangunkan semula negara dari sudut ekonomi dan kestabilan politik. Apakah formula Tengku?

Susah nak cakap sekarang ini, kerana kerajaan duduk dalam kebimbangan. Satunya kerana rakyat tidak menyokong dia, kalau kita tengok orang Cina tak sokong mereka sekarang.

Orang India walau diberi 'gula-gula' saya rasa masih ramai tak sokong mereka sekarang. Orang Melayu tahap sokongan 2008, saya rasa tiada perubahan sebagai contoh pilihan raya di Bukit Gantang dan di Kuala Terengganu, tiada perubahan.

Malah makin teruk kerajaan ini. Kita jangan tengok di Dun Bagan Pinang, yang Isa Samad tu sebab dia jaga kawasan itu dan dia 'gula-gulakan' orang di situ sepanjang masa, dan msa PRK baru ini pun banyak duit yang dicurahkannya.

Kalau kita tengok situasi ini keyakinan rakyat kepada kerajaan semakin kurang dan persoalan kredibiliti kepimpinan yang ada pun dipersoalkan orang. Itu masalahnya.

Oleh sebab itu keyakinan itu tidak akan balik kepada mereka. Apatah lagi mereka memikirkan, betul lah bila buat salah zaman Abdullah jadi PM, tetapi sekarang ini tak banyak berubah, rakyat boleh faham soal ekonomi ini tak berubah sebab ekonomi dunia pun lembab.

Apa yang Umno-BN fikirkan ialah mungkin rakyat akan memilih mereka kerana pembangkang kononnya tidak boleh buat apa dalam keadaan ekonomi gawat. Inilah yang jadi kesinambungan mereka dari dulu lagi yang kononnya dah buat jasa ini kesimpulan mereka.

Tetapi saya ada pandangan yang lain. Pilihan raya akan datang jika tak kena hari bulan mungkin majoriti nipis bagi yang ada atau majoriti nipis bagi pembangkang untuk memerintah.

Sunday, February 21, 2010

Hikayat terakhir Khairy dalam Umno

KATA pepatah Melayu, 'jika tiada angin masakan pohon bergoyang'. Dalam pepatah Melayu moden, ayat itu diubah sesuai dengan ungkapan 'jika tiada beruk, masakan pokok bergoncang'.

Dalam terjemahan lain pepatah ini disebut sebagai 'beruk-beruk yang menggoncangkan pokok.'

Pepatah moden ini dipinjam dari seorang tokoh politik muda, sewaktu beliau berkuasa satu ketika dahulu. Ayat ini ditujukan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang amat lantang mengkritik kepimpinan PM waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ayat 'beruk-beruk yang menggoncangkan pokok ini', merujuk kepada gangguan terhadap seseorang pemimpin atau sesebuah organisasi. Orang yang menggugat kestabilan seseorang atau sesebuah organisasi, dilabel dengan gelaran beruk.

Istilah beruk dalam politik Malaysia bukannya baru. Ia sudah lama diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, yang pernah menerbitkan cerpen satira politik bertajuk Maharaja Beruk oleh Yahaya Ismail.

Kepada siapa gelaran beruk itu dirujuk, atau mengapa beruk dijadikan modal politik bukan persoalan yang hendak dibahaskan sekarang.

Persoalan yang hendak dilontarkan penulis, dengan meminjam pepatah Melayu moden, 'beruk-beruk manakah' yang menggoncangkan pokok pemuda Umno, sehinga kedudukan ketua nya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bergoyang?

Bukan goyang sikit-sikit, tetapi bergoyang macam dipukul ribut, sehingga ada desas desus mengatakan, di kalangan exco pemuda Umno mahukan Khairy meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda, kerana didakwa tidak efektif.

Pemuda Umno menunjukkan 'jalan keluar' kepada Khairy, bukan semata-mata kerana beliau tidak efektif. Soal efektif atau efisyen seseorang dalam menjalankan tugas, tidak penting dalam Umno.

Untuk mengelak persepsi negatif terhadapnya, Khairy membuat kenyataan politik, menafikan wujudnya masalah dalam pemuda Umno.

Namun, pergeseran dengan beberapa orang exco pemuda, khususnya Hishamuddin Yahya, jelas menunjukkan beliau tidak mendapat kepercayaan dari kalangan exconya sendiri.

Lebih parah lagi mereka dikatakan memberikan tekanan hebat, dengan mendesak Khairy meletakkan jawatan ketua pemuda.

Khairy seharusnya memahami, mengapa Umno sudah tidak memerlukan khidmatnya lagi. Hakikat ini memang wujud. Bukan kerana Khairy dikecam anggota exconya. Indikator yang paling besar bahawa Umno tidak mengkehendaki beliau ialah, apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, tidak melantiknya ke sebarang jawatan dalam kerajaan.

Sebelum ini ada laporan mengatakan, Khairy tidak diberikan jawatan, kerana Najib mahu beliau menumpukan tugas mempertingkatkan sokongan golongan muda terhadap Umno.

Ini semua alasan politik semata-mata. Sengaja hendak mencari 'excuse' untuk tidak menjatuhkan 'air muka' Khairy dan bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Najib sudah menunjukkan pendiriannya dengan jelas. Dalam pertemuan pemuda Umno di Putrajaya, 18 Februari lepas. Najib enggan memberikan komitmen untuk melantik Khairy dalam kabinetnya, walaupun ada suara yang mahu beliau diberikan jawatan.

Khairy seharusnya memahami mengapa Najib enggan melantik beliau. Pertamanya, sudah tentu pelantikan Khairy akan dibidas Dr Mahathir. Semua orang tahu Mahathir memang betul-betul anti dengan Khairy. Najib tidak berani lantik Khairy kerana takut diserang Mahathir.

Faktor kedua, barangkali ada kebenarannya cakap-cakap dalam Umno, wujud kerenggangan antara Abdullah dengan Najib dahulu, antaranya berpunca daripada Khairy, dan perkara ini mendorong ramai kalangan penyokong Najib tidak menerima kehadiran Khairy.

Najib sudah menunjukkan sikapnya dengan jelas terhadap Khairy, sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai PM ke-6, beliau menamakan Naib Ketua Pemuda Umno, Dato' Razali Ibrahim sebagai Timbalan Menteri.

Lebih jelas lagi apabila beliau melantik Dato' Mukhriz Mahathir yang kalah dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan ketua pemuda Umno, sebagai Timbalan Menteri juga.

Khairy tidak dilantik apa-apa jawatan. Nasib Khairy sama dengan nasib Dato' Ahmad Zahid Hamidi yang memenangi jawatan ketua pemuda Umno pada tahun 1993 yang lalu.

Zahid tidak dilantik sebarang jawatan kerana beliau dikenali sebagai 'budak Anwar' (bekas TPM, Dato' Seri Anwar Ibrahim) yang dikatakan banyak mengkritik PM Mahathir ketika itu. Zahid tidak dilantik kerana tidak disenangi Mahathir.

Jadi dalam kes Khairy ini, apakah tidak mungkin, Najib enggan melantik Khairy dalam kabinetnya, kerana Najib tidak menyenangi Khairy? Khairy bukan setakat budak, malah menantu kepada bekas PM, Abdullah.

Soalnya, kita tidak harus lupakan sejarah politik Umno pada tahun 1998, iaitu, wujud persepsi di kalangan penyokong Najib, bahawa yang sebenarnya layak menjadi TPM selepas Anwar disingkirkan ialah Najib, kerana Najib adalah Naib Presiden Umno yang memenangi undi paling tinggi dalam pemilihan Umno.

Mereka beranggapan tindakan Mahathir melantik Abdullah, sudah melambatkan peluang Najib menjadi PM, sejak Mahathir meletakkan jawatan pada bulan November 2003 hingga April 2009.

Perkara ini diakui Mahathir sendiri. Acapkali beliau menyatakan kekesalannya melantik Abdullah menjadi PM. Kebencian Mahathir dan termasuk puak Najib, terhadap Abdullah ketika itu disekalikan dengan kebencian terhadap Khairy.

Bukan soal Khairy tidak layak menjadi ketua pemuda atau anggota kabinet. Soal yang besarnya ialah, Khairy memulakan karier politiknya dengan cara yang tidak disenangi oleh orang-orang Umno.

Apabila wujud bad background ini, laluan Khairy untuk melonjak dalam politik Umno tidak akan mudah. Khairy melalui keadaan yang amat sukar sebenarnya.

Masalahnya Khairy dilihat begitu 'arrogant' sejak bapa mertuanya menjadi TPM dan PM ke-5.

Barangkali sifat Khairy tidak begitu, tetapi kedudukannya yang dekat dengan tampuk kekuasaan, menjadikan persepsi orang Umno terhadapnya, sedemikian rupa.

Menjadi lebih bermasalah kepada Khairy, bukan sekadar puak-puak dalam Umno ini tidak menyukai Abdullah dan beliau sahaja. Malah, segala anak beranak, rakan taulan dan kroni-kroninya, semua sekali hendak 'dibakul sampahkan'.

Orang Umno sendiri yang membangkitkan betapa kemarahan mereka terhadap abang ipar Khairy, Dato' Kamaludin Abdullah, kroni-kroni di New Straits Times seperti Dato' Seri Kalimullah Masheerul Hassan dan Brendan Pereira. Turut dikaitkan ialah Dato' Patrick Lim atau Patrick Badawi.

Dari sudut sektor korporat, sebelum kejatuhan Abdullah, Khairy dan kroni dikaitkan dengan syarikat Scomi, ECM-Libra, Equine Capital dan juga penganjur pertandingan Monsoon Cup.

Itu belum masuk isu politik. Bagaimana 'geramnya' orang-orang Umno yang anti Khairy, terhadap langkah-langkah politik Khairy sebelum menang jawatan ketua pemuda. Malah semasa menjadi naib ketua, Khairy di'boo' beberapa kali dalam perhimpunan agung umno.

Jika hendak disenaraikan terlalu banyak tuduhan orang Umno terhadap Khairy. Terlalu banyak alasan untuk mereka tidak menerima Khairy dalam Umno lagi.

Penulis tidak berhasrat untuk mengkritik Khairy, tetapi fakta-fakta yang dipaparkan ini, atau yang dikatakan bad background inilah sebenarnya, yang mendorong exco pemuda Umno, berani mendesaknya meletakkan jawatan.

Bad background inilah sebenarnya yang bakal mempercepatkan kejatuhan Khairy dan susur galur politiknya tercatat dalam hikayat Melayu moden.

Untuk menyimpulkan kedudukan politik Khairy, penulis memetik perbualan telefon dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini.

"Hai, Rashidi, apa khabar," ujar Guan Eng menelefon penulis.

"Hai CM (Chief Minister), saya ok," balas penulis.

"Saya nak beritahu you, saya tengah bengang sekarang ini," katanya.

"You bengang dengan siapa pulak, Utusan (Utusan Malaysia) lagi ke?" soal penulis.

"Bukan, bukan. Itu Utusan satu hal, sekarang saya bengang dengan Khairy. Saya mahu bagi penjelasan pada dia pasal isu Maulid. Dia ada cakap dia mahu penjelasan. Jadi saya call dia. Tapi saya call dia beberapa kali, dia tidak jawab. Lepas itu saya guna satu saluran untuk reach (dapatkan) dia. Itu orang cakap, dia sudah beritahu, dia cakap Khairy tahu saya call, nanti dia akan call balik. Tapi sampai sekarang dia tiada call," ujar Guan Eng panjang lebar.

"Tak payah call dia lah, dia mesti tak mahu cakap dengan you punya," kata penulis.

"Ya lah, saya ingat pun dia tak berani mahu cakap dengan saya. Saya hanya mahu bagi penjelasan saja. Saya mahu dia faham ini semua fitnah," katanya.

"Haiya, kalau itu macam penatlah kerja CM, semua orang hantam you mahu kasi call, biarlah dia," usik penulis.

"Haiya, saya pun hairanlah, apa ini ketua pemuda. Saya ingat dia 'miskin' la. Tak faham kerja kerajaan. Ini pasal (kerana) dia belum jadi Menteri, Timbalan Menteri. Apa ini Oxford (Universiti Oxford) punya orang, saya ingat dia profesional, tapi tak profesional," rungut Guan Eng.

"Tak apalah CM, nanti dia senang-senang dia call you lah. Orang politik selalu itu macam," balas penulis.

"Ha, ha, ha," kami sama-sama ketawa.

Apa pun Khairy harus sedar bahawa sudah tiada tempatnya dalam Umno. Lambat laun, beliau terpaksa keluar juga, sama ada secara paksa atau dikalahkan dengan cara yang amat memalukan dalam perhimpunan agung Umno akan datang.

Keranda politiknya sedang dipersiapkan oleh golongan penentang, hanya menunggu ketukan paku terakhir sahaja.

Thursday, February 18, 2010

Bahaya ancaman demokrasi tempang


Dua dekad sudah terlalu. Sejak tercalarnya sistem kehakiman negara akibat daripada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada tahun 1988, rakyat Malaysia secara umumnya masih meragui ketelusan sistem demokrasi yang diamalkan.

Keraguan rakyat terhadap amalan demokrasi dalam negara akibat kerakusan pemimpin-pemimpin Umno-Barisan Nasional, yang menguasai Kerajaan Persekutuan sejak sebelum negara merdeka.

Dengan penguasaan sebegitu lama, Umno-BN menjadi sangat dominan dalam negara. Mereka menguasai ketiga-tiga elemen penting dalam sesebuah negara demokrasi, iaitu dengan memegang kuasa eksekutif (kerajaan), legislatif (Parlimen) dan judiciari (kehakiman).

Malah Umno dengan rakusnya 'menguasai' Raja-Raja Melayu dengan meminda Perlembagaan pada tahun 1993, dengan mengehadkan kuasa Raja dan menghapuskan kekebalan Raja.

Akibat kuasa politik yang amat besar ini, dalam apa jua keadaan, seolah-olahnya memberi gambaran bahawa kuasa mutlak (absolute) dalam negara ini adalah pada kuasa parti Umno-BN.

Dalam ertikata lain sesiapa yang menguasai Umno, dalam konteks sekarang Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia, beliaulah sebenarnya yang paling berkuasa dalam negara.

Sejarah politik Malaysia membuktikan, akibat daripada kuasa yang begitu besar ini, menyebabkan semua institusi sama ada, individu atau organisasi, tidak boleh mengelak daripada dimanipulasi Umno-BN.

Walaupun Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, namun akibat daripada kuasa penggubalan Perlembagaan tersebut ada pada Umno-BN, maka pihak istana 'dalam keadaan tertentu' dilihat terpaksa tunduk kepada kehendak politik mereka.

Itulah persepsi yang wujud dalam minda sebahagian besar rakyat dalam negara. Fakta ini tidak boleh dinafikan kerana sejarah membuktikan, bahawa Umno-BNlah yang meminda kuasa Raja-raja Melayu, daripada kuasa undang-undang, hanya kepada kuasa seremonial sahaja.

Sehinggakan Raja-raja Melayu tidak dapat mengelak daripada 'bersetuju atau memperkenankan' sebarang usul 'atas nasihat' Perdana Menteri, yang dilihat amat berkuasa.

Oleh sebab itu demokrasi di Malaysia sering dilabelkan demokrasi yang tempang. Demokrasi memang wujud, tetapi ditempangkan oleh penguasa yang tamak haloba dan zalim akibat kepentingan kelompok mereka.

Keraguan kepada sistem demokrasi dalam negara berterusan pada 1998, akibat daripada pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Keraguan ini mencetuskan gelombang besar dalam politik negara.

Akibat daripada gelombang yang berterusan ini, rakyat semakin berani menunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan.

Ketidakpuasan hati ini diterjemahkan oleh rakyat, pada Pilihan Raya Umum ke-12, dengan menafikan majoriti dua pertiga Umno-BN di Parlimen, yang dimonopoli sejak lebih 50 tahun.

Namun hasil kebejatan pemikiran pemimpin-pemimpinnya, Umno-BN ternyata tidak pernah serik dengan hukuman rakyat.

Mereka mencipta lagi kedangkalan baru dengan merampas kuasa secara haram di Perak, dengan mempergunakan pihak yang 'bias' dan berkepentingan, menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Konflik politik dan perundangan akibat rampasan kuasa Umno-BN di Perak berterusan selama setahun. Akhirnya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak kepada Umno-BN.

Apa yang jelas, semua fenomena ini menunjukkan kerakusan Umno-BN yang tetap mahu berkuasa secara mutlak dalam bidang eksekutif, legislatif dan judiciari.

Tetapi mereka lupa, kuasa sebenarnya ada pasa setiap rakyat dalam negara. Kuasa besar Umno-BN ini, hanya boleh disekat oleh kuasa rakyat.

Jika di lain-lain negara, isu seperti ini sudah cukup untuk mengajak rakyat bangkit menentang kerajaan di jalanan. Tetapi rakyat Malaysia begitu matang berpolitik dan bijak mengelakkan konfrontasi.

Demokrasi yang tempang ini akan diperbetulkan dengan memberikan kuasa penuh kepada Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 nanti.

Wednesday, February 17, 2010

Krisis PKR : Anwar ambil tanggungjawab penuh

Banyak persoalan dan keraguan dihadapkan kepada PKR akibat isu-isu terkini yang boleh menggugat kestabilan Pakatan Rakyat.

Antara masalah yang besar yang diperkatakan ialah apa yang didakwa sebagai kegagalan PKR mengawal selia beberapa orang wakil rakyat di peringkat Parlimen dan Negeri.

Ada yang melompat masuk Umno-BN, ada yang menjadikan diri mereka bebas. Mereka bukan sahaja keluar dari PKR, malah turut memberikan kecaman yang hebat ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim. Di lampirkan kenyataan terbaru Anwar seperti di bawah:



Saya mengambil tanggungjawab penuh berikutan keputusan individu tertentu yang bertindak keluar dari Parti Keadilan Rakyat (KeADILan). KeADILan sejak mula adalah sebuah wadah kepada mereka yang berhasrat mendukung prinsip-prinsip perjuangan demi membawa Perubahan untuk rakyat Malaysia.

Oleh itu tidak hairanlah perjuangan ini sedari mula sering diserang kelompok terdesak yang sedar hegemoni mereka kini goyah dilanda kesedaran Rakyat. Kita tidak menjanjikan imbuhan serta kedudukan kepada mereka yang mahu bersama KeADILan. Perjuangan ini menuntut kesediaan serta kesanggupan mengharungi tekanan dan cabaran.

Pada permulaannya antara cabaran yang kita hadapi adalah masalah kewangan. Kita tidak punyai banyak pilihan. Alhamdulillah pada PRU 2008 lalu kita tetap berjaya menampilkan calon-calon berwibawa dan berkelayakan.

Walaubagaimanapun sudah tentu ada di antara mereka yang alpa lalu memilih meninggalkan KeADILan sekaligus mengecewakan hasrat Rakyat untuk mengembalikan negara ke landasan yang sebenar.

Namun saya yakin kita mampu melewati titik kecil itu dalam sejarah kita yang panjang. Percayalah pastinya ada hikmah di sebalik semua ini. Kita semestinya mengambil episod ini sebagai pelajaran bermakna dan berusaha tidak mengulangi kesilapan sebegini di masa hadapan.

Kepimpinan akan menumpukan perhatian untuk memastikan bakal calon yang dikemukakan bukan sahaja berwibawa dan berkelayakan bahkan terdiri dari mereka yang tahan diuji serta setia kepada perjuangan ini.

ANWAR IBRAHIM

Tok Guru sambut Tahun Baru Cina


Berita dari Kota Bharu dilampirkan:

Bagi menzahirkan rasa hormat disamping menyemai rasa kasih pada rakyat tanpa berbilang kaum dan agama, sambutan Tahun Baru Cina kali ini disambut dengan cukup meriah oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Di KOTA BHARU, Menteri Besar Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengunjungi beberapa buah rumah pemimpin masyarakat Tionghoa.

Kunjungan bertujuannya bukan sahaja untuk menzahirkan rasa muhibbah antara kaum, sebaliknya untuk mempamerkan bagaimana Islam mengajar penganutnya menjalinkan hubungan mesra pelbagai kaum dan agama.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengunjungi kediaman Pengerusi Eksekutif SBJ, Dato' Tan Liang Chong, dekat sini pada hari pertama Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalannya, Dato' Ahmad Yaacob dan isteri, Datin Siti Zubaidah Abdul Hamid.

Menurut Tuan Guru, amalan menziarahi serta kunjung mengunjung di antara satu sama lain amat dituntut dalam Islam.

"Saya datang ke rumah Dato' Tan untuk mengucap selamat tahun baru kepada kaum Cina disamping mengucapkan selamat tahun baru ini.

"Ini ialah adat resam kaum tertentu, orang Melayu tidak ada tahun baru. Selain tahun hijrah zaman dulu peladang dan petani ada musim menabur, kini sudah tidak ada, yang ada ialah tahun hijrah," ujarnya.

Katanya, sebagai ketua kerajaan, setiap tahun beliau mengunjungi rumah golongan itu untuk mengucap tahun baru.

Menurutnya, fahaman yang mengatakan tahun ini Tahun Harimau, itu hak mereka kerana mempunyai kefahaman masing-masing.

Namun katanya, Islam tidak menghalang mana-mana penganutnya untuk mengunjungi antara satu dengan yang lain, termasuk pihak mereka untuk mengunjungi rumah terbuka orang Islam.

"Kita jangan sekali-kali terpengaruh dengan keadaan semasa kadang-kadang benda yang berlaku semasa ni tidak serupa dengan kehendak agama," ujarnya.

Monday, February 15, 2010

Bersihkan Pakatan Rakyat dari spesis yang mencemarkan

Pakatan Rakyat tidak habis-habis ditekan media talibarut Umno-Barisan Nasional, yang bertujuan memusnahkan kredibiliti dan persepsi rakyat terhadapnya.

Umno-BN terpaksa memberikan tekanan yang amat hebat kepada Pakatan Rakyat, kerana mereka menyedari hayat politik mereka, hanya ada dua atau tiga tahun sahaja lagi.

Masa untuk Umno-BN amat terhad. Perdana Menteri dan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, khabarnya menyedari sokongan rakyat terhadap mereka dalam tempoh dua tahun ini masih belum pulih.

Ada sumber-sumber memberitahu, dalam pertemuan PM dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan, terdiri dari kalangan orang-orang Melayu, untuk mencari jalan memulihkan sokongan Melayu terhadap Umno, di Putrajaya baru-baru ini, tidak memberikan hasil yang memberangsangkan.

Oleh kerana itu, Umno-BN tiada jalan lain. Mereka menyedari bahawa Pakatan Rakyat adalah 'rival' yang sangat merbahaya. Kemaraan Pakatan Rakyat harus disekat.

Cara untuk memusnahkan Pakatan Rakyat ialah dengan bantuan media talibarut, dengan memaparkan imej-imej buruk pemimpinnya dan merosakkan perpaduan antara parti-parti gabungannya.

Perpaduan gabungan PAS-KeADILan-DAP hanya dapat digoyahkan, dengan menimbulkan sentimen atau perasaan ketidakpuasan hati, iri hati, hasad dengki, prasangka di antara satu sama lain.

Propaganda media talibarut ini, ternyata berjaya memerangkap beberapa orang wakil rakyat Pakatan Rakyat sehingga bertindak di luar batasan persefahaman.

Media talibarut Umno-BN giat memainkan sentimen Melayu-Islam, kononnya akibat pemerintahan kerajaan negeri yang diketuai KeADILan dan DAP.

Propaganda ini bertujuan untuk memecahbelahkan hubungan erat antara PAS dengan kedua-dua parti tersebut. Malah ia juga bertujuan menaikkan semangat nasionalisme ala Islam orang Melayu, sehingga ada yang terpengaruh, sehingga membuat demonstrasi dan sebagainya.

Mereka yang terpengaruh ini, majoritinya dari kalangan penyokong Umno dan 'seorang dua' wakil rakyat dari kalangan Pakatan Rakyat, yang jelas menunjukkan kecetekan minda mereka, sehingga mereka yang dilihat mewakili Pakatan Rakyat sendiri, yang menyerang komponen Pakatan Rakyat dengan mendakwa, kononnya Islam dan Melayu dipinggirkan.

Pada mereka ini, seolah-olahnya Umno-BN lebih baik memperjuangkan soal Melayu-Islam. Orang -orang yang berfikiran sebegini, sebenarnya hanya menunjukkan sama ada mereka jahil dalam politik atau sengaja mencetuskan polemik, kerana mereka sudah menjadi 'agen Umno' dalam Pakatan Rakyat.

Hakikatnya, media talibarut BN tidak akan berhenti menyerang Pakatan Rakyat. Mereka akan menggunakan sepenuh tenaga dan mempergunakan apa sahaja instrumen, yang boleh mencalarkan kredibiliti Pakatan Rakyat.

Cabaran untuk Pakatan Rakyat

Justeru, Pakatan Rakyat tidak ada pilihan. Ia tidak boleh dilihat lebih buruk atau disamakan dengan Umno-BN. Jika Pakatan Rakyat hendak memenangi Pilihan Raya Umum ke-13, ia mesti membuktikan bahawa ia jauh lebih baik daripada Umno-BN.

Harus disedari, Pakatan Rakyat tidak sesekali akan berjaya memenangi keyakinan rakyat, selagi ada anasir-anasir di kalangan pemimpin atau wakil rakyatnya, yang mewarisi sindrom penyakit Umno-BN.

Oleh kerana Umno-BN bermaharajalela dalam negara selama lebih 50 tahun, ia sudah dijangkiti penyakit 'sindrom kurang daya tahan' godaan kuasa, pangkat dan harta.

Sindrom ini melanda begitu teruk dalam Umno-BN. Ia membawa kepada penyakit mengutamakan kepentingan diri dan kroni sehingga menzahirkan amalan korupsi, kronisme dan nepotisme, yang terbukti memburukkkan imej kerajaan dan parti pemerintah.

Tetapi elemen sindrom ini amat merbahaya. Kumannya bukan sahaja menjangkiti Umno-BN. Ia boleh melanda semua pemimpin dan orang politik, tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan fahaman.

Elemen ini masih sukar dihapuskan dalam Umno-BN. Malah ia boleh menggugat Pakatan Rakyat.

Walaupun beratus-ratus orang dalam Umno-BN boleh dihadapkan dengan jenayah politik wang, rasuah dan sebagainya, rakyat tidak akan mengetahui secara jelas, kerana media talibarut menyembunyikannya.

Perkara buruk ini pernah terjadi di Perak. Akibat dari 'seekor dua' wakil rakyat, sama ada mereka terbabit secara sedar rasuah, atau terjatuh dalam perangkap Umno-BN, kesilapan ini mengakibatkan Kerajaan Negeri Perak tumbang.

Selepas Perak dirampas secara haram. Mereka menghalakan serangan kepada Selangor dan Pulau Pinang pula. Umno-BN menyerang Selangor dan Pulau Pinang tanpa henti-henti. Selepas satu isu berjaya dipadamkan, dicetuskan isu lain pula.

Dalam hal ini tidak dinafikan Umno-BN bertindak bijak. Jika mereka menyerang dengan kecaman dan kritikan daripada pemimpin Umno-BN sendiri, mereka tahu serangan itu tidak akan laku. Rakyat tidak akan terima.

Maka mereka menggunakan 'beberapa ekor kera sumbang' dari dalam Pakatan Rakyat yang ditabalkan menjadi hero oleh media talibarut Umno-BN, guna untuk 'menikam Pakatan Rakyat dari hadapan.'

Bodohnya mereka ini ialah kerana mereka menyangkakan diri mereka sebagai hero. Mereka sangka merekalah 'kononnya' ahli politik yang mempunyai pendirian yang betul dan menegakkan kebenaran.

Mereka ini tanpa segan silu, begitu celupar menghentam, mengkritik dan memaki hamun pemimpin parti sendiri, parti sahabat tanpa ada sedikitpun rasa bersalah.

Hebatnya mereka ini sehingga berita kecaman mereka terhadap Pakatan Rakyat dipaparkan di muka hadapan media tali barut Umno-BN.

Mereka menganjurkan demonstrasi, membuat sidang akhbar, menyertai temuramah di televisyen dan sebagainya.

Mereka sangkakan mereka politikus yang hebat, tetapi hakikat sebenarnya, mereka alat propaganda Umno-BN untuk mencemar nama baik parti-parti komponen Pakatan Rakyat.

Mereka-mereka ini kononnya atas 'dasar prinsip' sudah tidak memperdulikan siapa kawan dan siapa lawan.

Mereka sebenarnya amat dibenci rakyat. Majoriti ahli, penyokong dan pengundi-pengundi mereka dari kalangan Pakatan Rakyat, amat membenci mereka sekarang.

Mereka dengan jelas menunjukkan kebodohan. Mereka sangkakan mereka aset kepada Umno. Umno pun tidak mahu mereka kerana mereka ini liabiliti. Mereka adalah 'duri dalam daging.' Kalau sesama Pakatan Rakyat pun mereka boleh 'kencing', apatah lagi Umno.

'Lalang-lalang' yang tidak berprinsip ini hanya dipergunakan Umno-BN dalam waktu yang singkat sahaja. Selepas 'keringat mereka diperah sehingga keluar najis', mereka akan dibakulsampahkan oleh Umno-BN.

Kita pun sakit hati dengan spesis-spesis yang mencemar Pakatan Rakyat ini. Tidak tahu hendak dilabel apa mereka ini. Katak? Mengkarung? Sesumpah? Beruk Mat Yeh? Yang pastinya mereka ini dari spesis 'lidah bercabang.'

Namun setakat ini kita amat yakin, spesis 'lidah bercabang' ini tidak akan mampu menggugat setiakawan dan keutuhan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat tertegak dengan kehendak majoriti rakyat, bukannya dengan segelintir yang berkepentingan.

Kedangkalan dan keceluparan mulut spesis-spesis ini harus dibalas. Kebiadaban mereka tidak boleh didiamkan sahaja. Mulai saat ini, kita padamkan sahaja nama mereka dari persada politik negara dan kita catatkan dalam sejarah, bahawa inilah spesis-spesis yang pernah mencemar sejarah politik negara.

Oleh itu cabaran besar yang harus diambil tindakan serius oleh pemimpin Pakatan Rakyat, ialah dengan membersihkan anasir-anasir jahat ini. Siapa yang melanggar prinsip persefahaman dan setiakawan, harus dibuka pintu untuk mereka keluar.

Biar mereka keluar dan menjadikan jadi bebas. Tetapi rakyat tidak boleh dibohongi, kerana rakyat tahu mereka ini 'bebas ada makna', nama sahaja bebas tetapi sebenarnya menyokong Umno.

Apa pun kita yakin, segelintir golongan bebas ini, sama sekali tidak akan berjaya mempengaruhi rakyat untuk meninggalkan Pakatan Rakyat.

Dengan bersihnya golongan yang berkepentingan ini dari Pakatan Rakyat, nescaya graf sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat, akan menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

Friday, February 12, 2010

Pakatan Rakyat tekad tumbangkan BN di Perak pada PRU ke-13


TIGA tahun menunggu sehingga menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangkakan diadakan sekitar tahun 2012 atau 2013 tidak lama bagi Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat yang mempunyai 28 Anggota Dewan Undangan Negeri, harus memainkan peranan yang efektif untuk mengekang kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk bermaharajalela sesuka hati. BN juga ada 28 Adun dengan sokongan tiga Adun 'katak', dua bekas KeADILan, seorang bekas DAP.

Bagi Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepada Dato' Seri Zambry Abdul Kadir, namun kedudukan Menteri Besar Perak itu ternyata goyah.

Zambry masih bergantung kepada tiga bekas Adun Pakatan Rakyat yang berpaling tadah dan mendakwa mereka mesra dengan BN.

BN dan Pakatan Rakyat masing-masing mempunyai 28 kerusi di Dun Perak manakala tiga lagi diduduki oleh tiga wakil 'bebas' berkenaan.

"Kedudukan Zambry ternyata goyah dan dia terpaksa menari mengikut rentak dan irama serta tuntutan daripada tiga 'katak' berkenaan, jika ingin meneruskan kuasa sehingga pilihan raya diadakan," kata Nizar.

"Pilihan terbaik bagi beliau ialah mengumumkan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga kerusi berkenaan (Jelapang, Changkat Jering dan Behrang) untuk memperkuatkan pegangan politiknya bagi mentadbir Perak," tegasnya.

Namun, mengikut laporan Bernama, Nizar berkata, Pakatan Rakyat sedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) demi kepentingan rakyat sekiranya syarat yang mereka tetapkan dipenuhi.

Katanya, Adun Pakatan Rakyat tidak harus disekat daripada menggunakan kemudahan dewan orang ramai di Perak untuk menjalankan aktivitinya.

Selain tidak disekat daripada menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah bagi membolehkan mereka memberikan input bagi kepentingan rakyat Perak, katanya.

Beliau juga berkata: "Kami merayu Adun pembangkang dibekalkan dengan sedikit peruntukan kewangan supaya kita dapat melancarkan kerja-kerja berkaitan kebajikan rakyat."

Mohammad Nizar berkata walaupun beliau menerima keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak, tetap menganggap ia merupakan sesuatu yang menyedihkan dan akan meneliti keputusan penghakiman itu sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

Bagi Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, keputusan Hakim Mahkamah Persekutuan tidak mengejutkan.

Katanya, Umno sedang kuat mencengkam segala institusi agar memenuhi hasrat mereka untuk terus kekal berkuasa.

Malah katanya, pemimpin Umno sanggup melenyapkan siapa dan apa sahaja yang menghalang mereka, tetapi yang pasti mereka tidak berani berhadapan dengan rakyat.

Tegas beliau, hanya mereka yang sudah usang dan sebati dengan kezaliman sahaja menyanggupi serta gembira dengan tindak tanduk kerajaan sekarang.

"Kepada mereka yang mahu terus hidup mengabdi kepada kekuasaan, silakan, nikmatilah segala laba yang dihamburkan selagi masih berpeluang.

"Tunggulah saatnya nanti apabila laungan Rakyat Hakim Negara bergema menggegar bongkah-bongkah keangkuhan yang dibina dari darah dan air mata rakyat," tegas beliau.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mahu rakyat tidak berputus harap dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan Nizar masih lagi menjadi Menteri Besar Perak sehinggalah beliau meletakkan jawata atas kerelaannya sendiri, atau disingkirkan melalui usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

"Usul pada Dun sahaja yang boleh menyingkirkan Nizar daripada jawatan itu, selain itu tak kiralah berapa banyak majlis angkat sumpah, lompat-melompat, sidang akhbar dan perisytiharan, atau apa jua iklan, paparan, sogokan atau tindakan dibuat ke atas persoalan ini tidak terpakai,” katanya dalam satu kenyataan.

"Perlembagaan tiada memperuntukkan kuasa untuk menyingkirkan Nizar dengan apa cara
sekalipun, termasuk petisyen atau arahan daripada sesiapa juapun."

Beliau juga berkata, sebuah kerajaan yang sah daripada segi perlembagaan adalah yang diberi mandat oleh rakyat dan hanya mandat itu yang menentukannya. Mandat rakyat kerana kerajaan yang ditubuhkan adalah berasaskan perlembagaan, yang mana ia dipilih melalui pilihan raya yang adil dan saksama.

"Untuk menguji mandat berkenaan maka kerajaan yang memerintah, mesti sama ada menyerahkan kembali kepada rakyat untuk menentukannya melalui pilihan raya negeri ataupun melalui usul undi tidak percaya pada persidangan dewan undangan negeri," kata Tengku Razaleigh.

Beliau berkata, untuk menyingkirkan dan menubuhkan kerajaan baru dengan kaedah ataupun cara selain itu adalah bererti melanggar Perlembagaan, melanggari undang-undang dan risiko menubuhkan sebuah kerajaan haram.

Manakala Profesor Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan keputusan mahkamah persekutuan mengenai isu siapa Menteri Besar yang berpihak kepada Umno-BN, membangkitkan persoalan mengenai kedudukan kerajaan dalam sistem demokrasi dari sisi perundangan.

Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa itu berkata perkara ini serius kerana Menteri Besar sepatutnya hanya boleh disingkir melalui Dewan Undangan Negeri.

"Pada hakikatnya kalau di negeri Perak itu Sultan boleh menyingkirkan Menteri Besar tanpa melalui undi tidak percaya dalam dewan secara formal, maka di peringkat pusat juga peringkat persekutuan boleh menyingkirkan perdana menteri tanpa melalui undi tidak percaya," katanya.

Aziz berkata demikian ketika ditemubual TVSelangor.com

Beliau percaya kepada amalan yang dipraktik selama ini iaitu melalui undi tidak percaya secara formal di Dewan Undangan Negeri bagi menentukan siapa Menteri Besar.

"Jadi, itu yang menyebabkan timbulnya persepsi ataupun tanggapan bahawa apa yang berlaku itu boleh memberi kesan kepada perlembagaan dan ini semakin boleh mengkompromikan sistem Raja itu sendiri," katanya.

Kes ini akan menjadi rujukan tetapi malangnya ia perkembangan yang tidak sihat kerana undang-undang pada masa ini boleh menyingkirkan pemimpin dengan mudah, tanpa mematuhi prosedur yang betul.

"Dengan keputusan yang terbaru itu, mengatakan bahawa Menteri Besar ataupun Perdana Menteri boleh disingkir tanpa melalui undi tidak percaya, ini merupakan kesanlangsung, dengan kata lain undang-undang yang dihuraikan yang diputuskan mahkamah semalam adalah perkembangan yang tidak sihat pada kes-kes akan datang," katanya.

Bagi, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, Umno-BN kini berusaha menumbangkan beberapa kerajaan Pakatan Rakyat setelah berjaya mengambil Perak melalui rampasan kuasa.

"Pakatan Rakyat sedang mengalami serangan paling hebat mutakhir ini. Setelah berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Perak di negeri Perak, kerajaan bersekutu Umno-BN mendapat suntikan semangat untuk menjayakan cita-cita seterusnya.

"Sedikit waktu lalu kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pula menjadi sasarannya jahat mereka," katanya mengulas serangan bertubi-tubi Umno melaui media arus perdana mutakhir ini terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Ujar Dr Dzulkefly, sebelum ini bedilan bertubi-tubi dihala ke arah Selangor dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merupakan sasaran utama dengan ahli Exconya pun tidak kurang diterjah pelbagai tohmahan dan dakwaan.

Umno kini dilihat sedang menjalankan strategi kejutan bagi mencetuskan destabilisasi dan kekecewaan dengan harapan mahu rakyat keluh-kesah, lemas, rimas dan naik marah.

"Mereka masih mencuba dan tidak mahu berhenti menyerang. Mereka memunggah kesemua ruang dan peluang termasuk unsur-unsur dalam Pakatan yang lemah iltizamnya," katanya.

Ramai yang mengecam bahawa Ketua Menterinya anti-Melayu dan anti-Islam, dan kini, beliau berdepan dengan asakan dan kritikan dari 'kawan' dalam Pakatan Rakyat yang cukup tajam dan amat ganas, katanya.

Dr Dzulkefly menasihatkan agar kelompok Melayu membaca penjelasan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu wawancara Eksklusif bersama Harakah keluaran 1512.

Tuesday, February 09, 2010

Lim Guan Eng pembela Melayu Pulau Pinang


PESURUHJAYA PAS Pulau Pinang yang juga Adun Permatang Pasir, Ustaz Salleh Man tampil mempertahankan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Bagi beliau, banyak perkara yang dilakukan oleh Setiausaha Agung DAP itu, untuk membantu orang-orang Melayu yang jauh terpinggir sejak zaman kepimpinan Barisan Nasional.

Ustaz Salleh lebih berbangga dengan Guan Eng, yang ternyata mampu memartabatkan Islam, jauh lebih baik dari kerajaan yang dipimpin Gerakan-Umno dahulu.

Untuk lebih memahami senario yang berlaku, ikuti temubual wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN, dan WAN NORDIN WAN YAACOB menemui Ustaz Salleh di Tapak Expo sempena Karnival Penang Harmoni di Seberang Jaya, 3 Februari lepas.



HARAKAH : Bagaimana kerjasama yang dibuat PAS kepada pentadbiran kerajaan Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri, Lim Guan Eng?


USTAZ SALLEH MAN : Kita sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Misi kita, kita mahu membantu kerajaan yang boleh kita ketengahkan. Setakat ini kita banyak diberi ruang dan kesempatan dan beberapa kepentingan yang diisi oleh kepimpinan PAS yang mana beberapa jawatan-jawatan tertentu diberikan kepada kita untuk kita laksanakan tugas kita mengikut saluran yang telah diberikan. Jadi nampak kita diberi kepercayaan untuk meningkatkan diri dalam melaksanakan agenda Kerajaan Pulau Pinang.

Bagaimana PAS berperanan dalam memastikan orang Melayu di sini memberi keyakinan kepada kerajaan yang dipimpin oleh Guan Eng?

Kita sedari bahawa Umno memiliki kelebihan dalam kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang ini.

Sebab itu walaupun saya nampak penukaran kerajaan Umno-Gerakan, walaupun kini Umno masih nak kekalkan kerusinya. Mereka ada 11 kerusi.

Tetapi dalam meletakkan keyakinan dan harapan masyarakat Melayu umumnya di Pulau Pinang, sudah pun ada gambaran apa yang dilaksana oleh Umno sebelum ini memberi hanyalah untuk kepercayaan kepada Gerakan, bukan Melayu, ini kalau nak disebut persoalan konteks Melayu.

Namun kita dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, dalam mendapatkan keyakinan dan harapan penyokong Melayu dengan strategi dan pendekatan.

Apa yang kita nampak dasar-dasar yang dijalankan oleh kerajaan pimpinan Lim Guan Eng hari ini di Pulau Pinang, jelas memberi keyakinan bahawa hak Melayu terjaga dan orang Melayu mula yakin dan memberi sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat.

Umumnya di kalangan rakyat memanglah memberi sokongan kepada dasar-dasar pakatan rakyat. Dalam pilihan raya akan datang mereka akan tolak BN.

Mutakhir ini serangan dikenakan ke atas Guan Eng, apa sebabnya?

Memang itu berlaku. Sebenarnya dalam situasi sekarang ini Umno hadapi tekanan yang kuat dalam kepimpinan mereka.

Imej mereka mutakhir ini di seluruh negara diperlihatkan mereka ini Kerajaan Persekutuan telah nampak kegagalan yang akibatkan keputusan-keputusan diambil untuk menyerang semula kerajaan Pakatan Rakyat dengan isu sentimen Melayu. Matlamat untuk menarik semula sokongan Melayu, yang mana Umno memang mengharapkan dapat mereka pulihkan sokongan Melayu ini kerana Umno-BN hilang keyakinan mereka ini. Saya yakin usaha mereka akan gagal.

Serangan terhadap Guan Eng oleh Dato' Seri Zahrain Hashim sangat hebat, apa sebabnya?

Dia (Zahrain) lebih tumpukan secara peribadi dan bukan atas dasar kepimpinan Guan Eng sendiri. Sebab rakyat memahami di atas tindakan dan pelaksamaan kerajaan Pakatan Rakyat kini yang telah pun dilakukan berdasarkan apa yang disebut dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimana dengan isu perobohan gerai Melayu?

Telah dibuat penjelasan terbuka oleh pimpinan negeri, sebab sebelum ini maklumat sebenar tak diberikan sebelum ini.

Setelah timbul isu ini, kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah pun hari ini kemukakan penjelasan yang memperlihatkan apa yang berlaku mutakhir ini ialah fitnah yang dilontarkan untuk tarik perhatian masyarakat Pulau Pinang.

Apa yang dijelaskan dalam tohmahan itu mereka (Umno) gawat untuk menandingi ketelusan dasar yang dijalankan kerajaan pimpinan Guan Eng.

Kita yakin situasi ini berlaku hanya serpihan, di mana ada suara-suara yang kononnya tak dapat letak keyakinan kepada kerajaan yang ada tertapis sebenarnya apa yang berlaku ini ialah mainan yang dijalankan Umno-BN.

Kita bimbang, peluru yang dilontar ini kesannya kepada kita dan mencabar. Namun PAS yakin kita akan terus bersama-sama dengan pakatan dan bekerjasama dengan kerajaan negeri yang ada hari ini. Kita akan menjelaskan apa yang dialami hari ini.

Zahrain serang peribadi, apa penyebabnya? Mengapa tidak beliau guna majlis Pakatan Rakyat untuk menyuarakan pandangan?

Ia lebih kepada serangan peribadi, bukan pentadbiran. Ini satu tohmahan yang seolah-olah diadakan bagi menarik perhatian, dan dengan isu ini Umno-BN mengambil kesempatan.

Ia sebenarnya menunjukkan tidak bijaknya sebahagian pimpinan atau wakil rakyat KeADILan dalam mengetengahkan isu berhubung tidak puas hati mengenai soal peribadi.

Kita ada sekretariat Majlis Pakatan Rakyat untuk meluahkan isu ini, sepatutnya tidak perlu didedahkan kepada pihak lawan. Majlis pakatan ini wujud di Pulau Pinang, dah dua tiga kali kita berbincang dan tiada isu besar yang memisahkan kita.

Sekarang ini telah timbul isu ini kita akan bermesyuarat untuk membincangkan hal tersebut.

Apa yang digambarkan media Umno-BN ialah teruknya krisis yang berlaku di Pulau Pinang, apa situasi sebenar?

Di Pulau Pinang ini walaupun media main begitu panas tetapi kita rasa masyarakat tidak terkesan atau termakan dengan isu ini. Ini mainan media untuk kepentingan politik sahaja. Saya harap selepas ini kita tidak melayan fitnah-fitnah sebegini lagi.

Dalam soal memartabatkan keadilan Islam, apa peranan PAS?

Sebab itu kekuatan kita berada di situ, sebelum ini walaupun kita sebut sebagai pemerintahan Islam, tetapi Guan Eng telah pun mengguna pakai konsep pemerintahan cara Khalifah Umar Abdul Aziz.

Ini satu kebanggaan kita di Pulau Pinang, kita harap ia bukan setakat slogan tetapi penghayatan itu yang penting.

Kita mahu ia terus dilaksanakan di bawah kerajaan Guan Eng ini. Sebab itu oleh kerana kita di Pulau Pinang sama dengan orang lain, kita akan terus berfungsi untuk membantu kerajaan yang ada.

Dalam soal memartabatkan Islam pula, baru-baru ini Ketua Menteri sendiri telah melancarkan Majlis Syura yang telah ditubuhkan sebelum ini.

Peranan Majlis ini ialah banyak membantu untuk menaikkan lagi majlis agama Islam ini ke martabat yang tinggi. Sebelum ini ada penganugerahan atau bantuan kepada golongan Huffaz yang sangat tinggi oleh Ketua Menteri sebab dia menyanjung tinggi golongan Huffaz ini yang berjaya melancar dan menghafaz ayat al-Quran yang berjumlah 6666 ayat ini.

Ini mendapat perhatian beliau sendiri yang kagum umat Islam boleh hafal Quran. Beliau juga mengharapkan agar sebuah rumah ada seorang Huffaz. Dan baru-baru ini, mereka beri RM500 kepada setiap Huffaz yang bejumlah lebih 100 orang yang telah menerima anugerah ini. Semua anak-anak Pulau Pinang.

Kita akan terus berperanan dalam hal ini.Kita akan bantu lebih untuk imarahkan Majlis Agama Islam ini, Umno-BN yang mentadbir majlis ini sebelum ini dalam keadaan layulah.

Apabila kita buat perubahan-perubahan ini, yang kita rasa perlu dibuat untuk manfaat selain apa yang telah dilakukan untuk membentuk atau membentuk masyarakat yang baik.

Kita telah bentuk satu portfolio baru, Pembangunan Generasi Pewaris ini diwujudkan dengan kerjasama anggota keselamatan bagi tangani masalah sosial remaja Pulau Pinang ini dalam kes jenayah dan lain-lain.

Dari sudut PAS sendiri, bagaimana PAS memberikan pandangan dan idea kepada kerajaan negeri?

Kita sentiasa adakan perbincangan walaupun tidak tetap atau formal tetapi oleh kerana kita telah ada tempat kita sering bertemu walaupun tak secara formal, saya selalu jumpa dengan pentadbiran kerajaan negeri, selain itu kita juga menyantuni kakitangan di peringkat jabatan kerajaan negeri.

Sebelum ini ada suara pemuda PAS yang mengkritik kerajaan negeri, bagaimana sekarang ini?

Sudah berubah. Oleh kerana sikap dan hubungan yang telah ditunjukkan kepimpinan Guan Eng hari ini,

Hubungan ini sangat baik,kerajaan negeri selalu minta pandangan dan kerjasama kita, untuk mana-mana kepincangan dan boleh bantu bagaimana nak dekati Melayu di Pulau Pinang.

Ini mereka beri satu harapan di mana kitalah yang akan membantu dan bagaimana kita boleh buat membabitkan banyak persoalan.

Mereka memahami. Dalam soal agama, ada benda yang boleh kita bersama kita bersama dan ada yang tak boleh kita bersama, mereka (DAP) akan fahamlah.

Di peringkat pemuda pula, kita telah ada kerjasama yang baik dengan adanya sekretariat pemuda PAS, DAP dan KeADILan. Mereka telah duduk semeja dah dua kali memulakan perbincangan.Ini kita harapkan agar terus dipulihkan hubungan ini.

Apa-apa pun kita ada pimpinan, kita mesti hormati pimpinan yang ada hari ini barulah stabil. Jika kita tidak hormati pimpinan atasan ini sukarlah.