Friday, February 12, 2010

Pakatan Rakyat tekad tumbangkan BN di Perak pada PRU ke-13


TIGA tahun menunggu sehingga menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangkakan diadakan sekitar tahun 2012 atau 2013 tidak lama bagi Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat yang mempunyai 28 Anggota Dewan Undangan Negeri, harus memainkan peranan yang efektif untuk mengekang kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk bermaharajalela sesuka hati. BN juga ada 28 Adun dengan sokongan tiga Adun 'katak', dua bekas KeADILan, seorang bekas DAP.

Bagi Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepada Dato' Seri Zambry Abdul Kadir, namun kedudukan Menteri Besar Perak itu ternyata goyah.

Zambry masih bergantung kepada tiga bekas Adun Pakatan Rakyat yang berpaling tadah dan mendakwa mereka mesra dengan BN.

BN dan Pakatan Rakyat masing-masing mempunyai 28 kerusi di Dun Perak manakala tiga lagi diduduki oleh tiga wakil 'bebas' berkenaan.

"Kedudukan Zambry ternyata goyah dan dia terpaksa menari mengikut rentak dan irama serta tuntutan daripada tiga 'katak' berkenaan, jika ingin meneruskan kuasa sehingga pilihan raya diadakan," kata Nizar.

"Pilihan terbaik bagi beliau ialah mengumumkan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga kerusi berkenaan (Jelapang, Changkat Jering dan Behrang) untuk memperkuatkan pegangan politiknya bagi mentadbir Perak," tegasnya.

Namun, mengikut laporan Bernama, Nizar berkata, Pakatan Rakyat sedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) demi kepentingan rakyat sekiranya syarat yang mereka tetapkan dipenuhi.

Katanya, Adun Pakatan Rakyat tidak harus disekat daripada menggunakan kemudahan dewan orang ramai di Perak untuk menjalankan aktivitinya.

Selain tidak disekat daripada menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah bagi membolehkan mereka memberikan input bagi kepentingan rakyat Perak, katanya.

Beliau juga berkata: "Kami merayu Adun pembangkang dibekalkan dengan sedikit peruntukan kewangan supaya kita dapat melancarkan kerja-kerja berkaitan kebajikan rakyat."

Mohammad Nizar berkata walaupun beliau menerima keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak, tetap menganggap ia merupakan sesuatu yang menyedihkan dan akan meneliti keputusan penghakiman itu sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

Bagi Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, keputusan Hakim Mahkamah Persekutuan tidak mengejutkan.

Katanya, Umno sedang kuat mencengkam segala institusi agar memenuhi hasrat mereka untuk terus kekal berkuasa.

Malah katanya, pemimpin Umno sanggup melenyapkan siapa dan apa sahaja yang menghalang mereka, tetapi yang pasti mereka tidak berani berhadapan dengan rakyat.

Tegas beliau, hanya mereka yang sudah usang dan sebati dengan kezaliman sahaja menyanggupi serta gembira dengan tindak tanduk kerajaan sekarang.

"Kepada mereka yang mahu terus hidup mengabdi kepada kekuasaan, silakan, nikmatilah segala laba yang dihamburkan selagi masih berpeluang.

"Tunggulah saatnya nanti apabila laungan Rakyat Hakim Negara bergema menggegar bongkah-bongkah keangkuhan yang dibina dari darah dan air mata rakyat," tegas beliau.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mahu rakyat tidak berputus harap dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan Nizar masih lagi menjadi Menteri Besar Perak sehinggalah beliau meletakkan jawata atas kerelaannya sendiri, atau disingkirkan melalui usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

"Usul pada Dun sahaja yang boleh menyingkirkan Nizar daripada jawatan itu, selain itu tak kiralah berapa banyak majlis angkat sumpah, lompat-melompat, sidang akhbar dan perisytiharan, atau apa jua iklan, paparan, sogokan atau tindakan dibuat ke atas persoalan ini tidak terpakai,” katanya dalam satu kenyataan.

"Perlembagaan tiada memperuntukkan kuasa untuk menyingkirkan Nizar dengan apa cara
sekalipun, termasuk petisyen atau arahan daripada sesiapa juapun."

Beliau juga berkata, sebuah kerajaan yang sah daripada segi perlembagaan adalah yang diberi mandat oleh rakyat dan hanya mandat itu yang menentukannya. Mandat rakyat kerana kerajaan yang ditubuhkan adalah berasaskan perlembagaan, yang mana ia dipilih melalui pilihan raya yang adil dan saksama.

"Untuk menguji mandat berkenaan maka kerajaan yang memerintah, mesti sama ada menyerahkan kembali kepada rakyat untuk menentukannya melalui pilihan raya negeri ataupun melalui usul undi tidak percaya pada persidangan dewan undangan negeri," kata Tengku Razaleigh.

Beliau berkata, untuk menyingkirkan dan menubuhkan kerajaan baru dengan kaedah ataupun cara selain itu adalah bererti melanggar Perlembagaan, melanggari undang-undang dan risiko menubuhkan sebuah kerajaan haram.

Manakala Profesor Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan keputusan mahkamah persekutuan mengenai isu siapa Menteri Besar yang berpihak kepada Umno-BN, membangkitkan persoalan mengenai kedudukan kerajaan dalam sistem demokrasi dari sisi perundangan.

Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa itu berkata perkara ini serius kerana Menteri Besar sepatutnya hanya boleh disingkir melalui Dewan Undangan Negeri.

"Pada hakikatnya kalau di negeri Perak itu Sultan boleh menyingkirkan Menteri Besar tanpa melalui undi tidak percaya dalam dewan secara formal, maka di peringkat pusat juga peringkat persekutuan boleh menyingkirkan perdana menteri tanpa melalui undi tidak percaya," katanya.

Aziz berkata demikian ketika ditemubual TVSelangor.com

Beliau percaya kepada amalan yang dipraktik selama ini iaitu melalui undi tidak percaya secara formal di Dewan Undangan Negeri bagi menentukan siapa Menteri Besar.

"Jadi, itu yang menyebabkan timbulnya persepsi ataupun tanggapan bahawa apa yang berlaku itu boleh memberi kesan kepada perlembagaan dan ini semakin boleh mengkompromikan sistem Raja itu sendiri," katanya.

Kes ini akan menjadi rujukan tetapi malangnya ia perkembangan yang tidak sihat kerana undang-undang pada masa ini boleh menyingkirkan pemimpin dengan mudah, tanpa mematuhi prosedur yang betul.

"Dengan keputusan yang terbaru itu, mengatakan bahawa Menteri Besar ataupun Perdana Menteri boleh disingkir tanpa melalui undi tidak percaya, ini merupakan kesanlangsung, dengan kata lain undang-undang yang dihuraikan yang diputuskan mahkamah semalam adalah perkembangan yang tidak sihat pada kes-kes akan datang," katanya.

Bagi, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, Umno-BN kini berusaha menumbangkan beberapa kerajaan Pakatan Rakyat setelah berjaya mengambil Perak melalui rampasan kuasa.

"Pakatan Rakyat sedang mengalami serangan paling hebat mutakhir ini. Setelah berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Perak di negeri Perak, kerajaan bersekutu Umno-BN mendapat suntikan semangat untuk menjayakan cita-cita seterusnya.

"Sedikit waktu lalu kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pula menjadi sasarannya jahat mereka," katanya mengulas serangan bertubi-tubi Umno melaui media arus perdana mutakhir ini terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Ujar Dr Dzulkefly, sebelum ini bedilan bertubi-tubi dihala ke arah Selangor dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merupakan sasaran utama dengan ahli Exconya pun tidak kurang diterjah pelbagai tohmahan dan dakwaan.

Umno kini dilihat sedang menjalankan strategi kejutan bagi mencetuskan destabilisasi dan kekecewaan dengan harapan mahu rakyat keluh-kesah, lemas, rimas dan naik marah.

"Mereka masih mencuba dan tidak mahu berhenti menyerang. Mereka memunggah kesemua ruang dan peluang termasuk unsur-unsur dalam Pakatan yang lemah iltizamnya," katanya.

Ramai yang mengecam bahawa Ketua Menterinya anti-Melayu dan anti-Islam, dan kini, beliau berdepan dengan asakan dan kritikan dari 'kawan' dalam Pakatan Rakyat yang cukup tajam dan amat ganas, katanya.

Dr Dzulkefly menasihatkan agar kelompok Melayu membaca penjelasan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu wawancara Eksklusif bersama Harakah keluaran 1512.

No comments: