Wednesday, June 30, 2010

Azmin tidak ghairah jadi MB

NAIB Presiden KeADILan, Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu bahawa beliau 'budak jahat' yang mahukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan.

Tegas Azmin, beliau menyokong penuh Khalid sebagai MB Selangor dan sekarang ini bukan masanya untuk Khalid diarahkan meletakkan jawatan.

"Semasa diretreat (pemukiman) KeADILan, saya duduk di sebelah Tan Sri (Khalid), saya katakan dengan jelas kepada semua yang hadir, ya memang saya ada masalah dengan Tan Sri, tetapi saya tidak sekali-kali mahu merampas jawatan beliau.

"Malah dengan jelas saya tawarkan kepada parti, saya sanggup melepaskan jawatan Adun Bukit Antarabangsa, supaya dengan itu tiada lagi spekulasi bahawa saya mahu merebut jawatan MB," tegasnya.

Begitulah penegasan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, kepada penulis ketika kami sembang-sembang di Parlimen, 29 Jun lepas.

Azmin jelas menunjukkan kekecewaan beliau, terhadap sesetengah pihak sama ada blogger dalam KeADILan dan pucuk kepimpinan tertentu yang sengaja 'mislead' dan memperbesar-besarkan isu jawatan MB.

Menurut Azmin, sebagai Naib Presiden parti, suatu jawatan kanan yang disandang, beliau berhak untuk membuat teguran dan kritikan kepada mana-mana pihak, khususnya pemegang-pemegang jawatan dalam kerajaan negeri.

"Yang saya mahu ialah mereka 'deliver' untuk kepentingan parti dan rakyat, bukan saya mengkritik kerana hendak merebut jawatan.

"Saya tidak gila kuasa, malah saya tegaskan kepada Ketua Umum (Dato' Seri Anwar Ibrahim), saya meletakkan jawatan sebagai Pengarah PKNS atas dasar prinsip, saya tidak gila kuasa, saya tidak gila untuk jadi MB," katanya bersungguh-sungguh.

Merujuk kepada jawatan Pengerusi Perhubungan KeADILan Selangor, menurut Azmin, dalam retreat tersebut beliau dengan tegas menolak jawatan itu.

"Tetapi ini arahan Ketua Umum, arahan parti, saya akur walaupun berat hati saya hendak menerimanya," ujar beliau.

Masalah yang timbul di antara Azmin dengan Khalid digembar gemburkan oleh media, sebagai menunjukkan keretakan dalaman KeADILan yang serius.

Mahupun Azmin ataupun Khalid, tidak menafikan wujudnya perbezaan dalam isu-isu tertentu, tetapi ia hanya membabitkan perbezaan pendekatan, bagaimana yang terbaik untuk memperkukuhkan imej Pakatan Rakyat di mata rakyat.

Keputusan yang dibuat oleh Anwar dengan mengkhususkan tugasan Khalid sebagai MB Selangor, Azmin sebagai pengerusi negeri dan pengerusi Wilayah Persekutuan yang disandang Azmin kepada Dato' Zaid Ibrahim sebagai suatu penyelesaian yang terbaik.

Penganalisis berpendapat isu terbabit dapat diselesaikan dengan lunak dan masing-masing yang didakwa bertelagah, mempunyai tugas dan peranan khusus dan seharusnya lebih fokus.

Dakwaan pertelagahan dalaman KeADILan ini menarik minat bekas MB Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo untuk memberi komen, kononnya ia bukanlah suatu penyelesaian kerana dakwanya, KeADILan ada tiga nakhoda di negeri tersebut.

Khir mendakwa perjalanan parti dan kerajaan tidak dapat berjalan dengan baik kerana wujud individu yang berbeza atas jawatan utama di negeri.

"Buat apa kita hendak ikut Umno, memang kerja depa (mereka) kuasai pengerusi negeri dan kerajaan negeri. Ini pemusatan kuasa yang akan melahirkan diktator sahaja," tegas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Mohd Yusof.

Tegasnya, dalam KeADILan tidak akan wujud diktator kerana mereka menjalankan pentadbiran secara pemuafakatan.

"Khir Toyo tidak payah pertikai Pakatan Rakyat, dia di Selangor pun banyak masalah dalaman Umno yang kelam-kelibut," ujarnya.

Isu ini juga menarik perhatian Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

"Apa masalahnya wujud perbezaan jawatan MB dengan pengerusi negeri? Dalam PAS pun semasa kita perintah Perak, MB Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, manakala Pengerusi Perhubungan PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang.

"Buat apa kita hendak mengikut cara Umno-BN?" ujarnya. Dengan tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu mempertegaskan sokongan PAS untuk terus memperkukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Apa pun keadaan yang berlaku, nampaknya Umno-Barisan Nasional tidak akan henti-henti membuat serangan untuk menjatuhkan kredibiliti Pakatan Rakyat, khususnya parti KeADILan.

KeADILan, khususnya yang menerajui Kerajaan Negeri Selangor, seharusnya berusaha mengelakkan isu-isu sebegini timbul kerana ianya amat merimaskan rakyat yang menyokong kita.

Abdul Khalid harus lebih fokus dan mesti melaksanakan keputusan yang diarahkan parti, supaya kerajaan negeri ditadbir mengikut acuan Pakatan Rakyat.

Azmin harus lebih berhati-hati, supaya selepas ini sebarang tindakan dan kenyataan beliau, tidak dilihat sebagai suatu penentangan ke atas kepimpinan Khalid.

Dan, terutama sekali Anwar harus melihat isu-isu yang berlaku sebegini, boleh menggugat persepsi rakyat terhadap kepimpinannya, yang mungkin menjejaskan peluang Pakatan Rakyat di peringkat Persekutuan.

Yang lebih penting, Anwar dan KeADILan sendiri, harus lebih sedar, bahawa banyak lagi 'peluru berpandu' akan dilepaskan Umno-BN menjelang PRU ke-13 nanti.

Kita seharus lebih berhati-hati, supaya hasrat kita untuk memerintah negara selepas PRU ke-13, menjadi realiti bukannya 'mimpi yang tak sudah'.

Monday, June 28, 2010

Tun M jangan tempah nama bapa judi

SETIAP insan yang bergelumang dalam dunia politik, atau mereka yang bergelar ahli politik, kebiasaannya bertekad untuk memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

Khidmat orang politik yang menjadi pemimpin dalam negara, mahu pun dalam sesebuah organisasi, kebiasaannya akan tercatat dalam sejarah, sama ada dalam bentuk simpanan atau pun dijadikan silibus pendidikan.

Untuk jangka panjang jasa-jasa pemimpin dan stail politiknya akan menjadi panduan kepada generasi yang akan datang.

Oleh sebab itu, tiada ahli politik yang mahu namanya tercemar atau dibusukkan atas sesuatu perkara, sama ada berpunca dari orang lain atau dari dirinya sendiri.

Malangnya sesetengah ahli politik, barangkali oleh kerana merasakan kedudukannya terlalu hebat, idea-ideanya bagus, maka dia sering mengeluarkan pelbagai kenyataan, tanpa menyedari akhirnya kenyataan-kenyataan tersebut akan 'memalitkan najis ke mukanya sendiri.'

Contoh klasik ialah, seorang ahli politik yang cukup ternama dalam negara, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apa pun persepsi rakyat terhadapnya, lebih 22 tahun pemerintahan Mahathir, dianggap cukup hebat, malah beliau digelar sebagai Bapa Pembangunan Malaysia Moden.

Selepas bersara dari parti dan kerajaan pada November 2003, beliau diberikan penghormatan sebagai negarawan yang banyak berjasa dalam negara.

Kebiasaannya bagi orang yang sudah bersara, mereka tidak mencampuri urusan parti dan kerajaan yang telah diwariskannya kepada orang lain.

Namun Dr Mahathir adalah spesies yang berbeza. Beliau jenis tidak duduk diam, rajin bercakap, rajin menulis, walaupun sudah bersara, tetapi beliau tetap bersuara.

Memang tiada halangan untuk beliau bersuara. Selaku negarawan, beliau berhak bercakap soal kepincangan dalam kerajaan, soal wawasan negara, soal politik, ekonomi, perpaduan dan sebagainya.

Ketepi soal politik kepartian, ketepi soal perkauman, memang pun, sebagai generasi muda, kita amat memerlukan nasihat-nasihat orang yang banyak jasa dan pengalaman seperti Dr Mahathir.

Namun kadang-kadang, terlalu banyak bersuara ada juga tidak baiknya. Tidak dalam semua perkara nasihat atau pandangan orang seperti Dr Mahathir boleh diterima.

Pada penulis kenyataan Dr Mahathir mengenai judi, amat tidak boleh diterima sama sekali, sebaliknya memalukan dirinya sendiri.

Dalam reaksi beliau mengenai judi sukan dan wujudnya banyak penentangan rakyat terhadap kelulusan judi sukan, Dr Mahathir memberikan respon, "Jika saya jadi kerajaan, saya luluskanlah."

Apakah wajar sebagai seorang Islam, Dr Mahathir mahu judi sukan dihalalkan? Tidak mengapalah penulis tidak mahu menyentuh soal hukum hakam.

Soal agama dan hukum, ramai ulama-ulama Umno yang ada di sekeliling beliau. Tanggungjawab mereka menasihatkan pemimpin Umno dalam urusan tersebut, jangan jadi ulama bisu pula.

Namun, rakyat juga bertanya, mengapa Dr Mahathir beriya-iya menyokong judi sukan atau menyokong kelulusan lesen untuk membenarkan sukan diperjudikan.

Adakah kerana beliau hendak menyatakan sokongan kepada PM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, yang menghadapi tekanan dalaman Umno yang kebanyakannya menentang kelulusan judi sukan?

Atau adakah beliau menyokong kerana tauke judi Tan Sri Vincent Tan, merupakan sahabat karib beliau dulu, kini dan selamanya?

Aktiviti perjudian yang dilesenkan dalam negara sudah cukup banyak. Berlambak-lambak dipaparkan urusan perjudian di dalam akhbar dan kedai-kedai judi tepi jalan bersepah-sepah dalam negara.

Judi sudah cukup banyak. Tidak payah dilesenkan lagi. Tidak usahlah kita beritahu kepada dunia bahawa masyarakat berbilang kaum dalam 'negara Islam' Malaysia ini, adalah masyarakat yang 'gila judi'.

Justeru dalam soal ini, penulis berpendapat, Dr Mahathir tidak payahlah cakap hal-hal judi, banyak lagi perkara yang beliau boleh suarakan. Malu pada anak cucu cicit nanti.

Pada usia extra-emas, Tun (Dr Mahathir) sudah cukup matang dan seharusnya sudah memahami akibat buruk daripada gejala perjudian.

Judi dan tabiat berjudi, memang buruk kepada masa depan anak bangsa, tanpa mengira dia Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan atau sebagainya.

Nama Tun dalam sejarah negara sudah cukup baik. Gelaran Bapa Pembangunan Malaysia Moden akan dikenang sepanjang zaman oleh generasi yang akan datang.

Justeru, oleh kerana itu, usahlah Tun calarkan sejarah peribadi Tun, dengan menerima gelaran 'Bapa Judi Negara' pula. Moga muhasabah ini memberi manfaat buat Tun.

Wednesday, June 23, 2010

Chua Jui Meng mangsa Umno?

DATO' Chua Jui Meng begitu tenang apabila diarahkan Istana Johor memulangkan tiga pingat darjah kebesaran iaitu Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ), Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) dan Pingat Sultan Ismail (PIS).

Dalam sidang medianya, bekas Menteri Kesihatan itu berkata surat rasmi mengesahkan bahawa darjah kebesarannya (DPMJ dan SPMJ) itu ditarik balik diterimanya pada 15 Jun lalu dan tiada alasan berhubung penarikan berkenaan diberikan.

Menurut bekas Naib Presiden MCA itu, beliau akan memulangkan pingat ketiga ke Istana selepas memaklumkan kepada Setiausaha Jemaah Majlis Di Raja Johor, Dato Abdul Rahim Ramli yang menghubunginya pada 10 Jun lalu.

"Saya dengan berlapang dada akan menghantar balik (pingat itu) kepada istana. Ketiga-tiga pingat itu saya akan pulangkan kepada Istana Johor," katanya yang juga Ahli MPT KeADILan.

Sebelum ini pihak Jemaah Majlis DiRaja Johor menjelaskan, penarikan pingat tersebut adalah di atas kuasa Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan baginda tidak perlu memberikan alasan mengapa tindakan tersebut dilakukan.

Alasan yang diberikan hanyalah, oleh kerana terdapat beberapa orang lain, yang turut ditarik balik pingat, maka dengan sebab itu tiada pihak yang harus mempertikaikan kuasa sultan.

Secara jelas dipertegaskan di sini, tidak ada sesiapa pun yang hendak mempertikaikan kuasa sultan, tetapi semua pihak harus beringat, bahawa kita hidup dalam sebuah negara demokratik, berperlembagaan dan menjamin hak asasi rakyat. Kita bukan hidup di zaman feudal, kita juga tidak ditadbir pemerintah secara diktator.

Apabila kita menjunjung prinsip demokrasi, maka pada setiap pertuduhan, larangan, arahan dan tindakan, seharusnya disandarkan dengan justifikasi.

Maka apakah justifikasinya, pingat yang dikurniakan kepada Jui Meng ditarik balik? Apa kesalahan beliau? Apakah beliau terbabit dengan jenayah? Apakah tindakan beliau yang boleh disabitkan sehingga kesemua pingat ditarik balik?

Apakah pingat beliau ditarik balik kerana beliau aktif dalam KeADILan dan gerak kerjanya di Johor sudah memberikan impak kepada Umno-Barisan Nasional?

Dalam hal ini, sudah tentu negeri Johor, malah di kesemua negeri, pihak istana ada mempunyai pra-syarat atau kriteria pemberian pingat, mahu pun penarikan balik pingat.

Pengurniaan darjah kebesaran sama ada oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan mahu pun Yang DiPertua Negeri, pada asasnya adalah suatu bentuk pengiktirafan kepada seseorang, sama ada ahli politik atau pegawai kerajaan, di atas jasa-jasa mereka terhadap negara dan negeri.

Justeru penarikan balik darjah kebesaran, akan dilihat oleh rakyat, sebagai suatu bentuk hukuman ke atas mereka, di atas kesalahan yang dilakukan.

Dalam konteks Jui Meng misalnya, rakyat tertanya-tanya apakah salah beliau? Takkan tanya pun tidak boleh? Jangan salahkan rakyat, apabila rakyat mempunyai persepsi yang tersendiri terhadap tindak tanduk pemerintah yang kurang jelas.

Barangkali dari sudut undang-undang, Chua Jui Meng tidak mempunyai hak untuk mempertikaikan penarikan darjah kebesaran kepadanya, tetapi beliau konsisten mendakwa, Umno berada di sebalik tindakan tersebut.

Rakyat juga beranggapan bahawa tindakan diambil ke atas Jui Meng, adalah berikutan daripada dendam politik Umno ke atas beliau.

Hari ini Jui Meng menjadi mangsa. Mana tahu selepas ini pemimpin PAS juga dimangsakan? Suara-suara yang didalangi Umno pernah menggesa Sultan Perak menarik balik darjah kebesaran yang diberikan kepada bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Barangkali Umno berfikir dengan penarikan balik pingat akan menjejaskan kredibiliti bekas Menteri Kesihatan ataupun bekas MB Perak, namun ia hanya mencetuskan lebih banyak sokongan terhadap Pakatan Rakyat dan menajamkan kebencian terhadap Umno-BN.

BN gagal urus ekonomi negara

DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda dan para sahabat.

Pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak di Parlimen minggu lepas, tidak menjanjikan apa-apa manfaat untuk rakyat.

Walaupun media tali barut Umno-Barisan Nasional mengembar gemburkan program-program ekonomi yang dikatakan mampu membawa manfaat kepada rakyat, hakikat yang berlaku di sebaliknya.

Jelas, kerajaan Umno-BN tidak mempunyai wang. Peruntukan RM230 bilion yang dibentang PM kebanyakannya diharapkan daripada pelaburan swasta, bukan daripada wang yang dijana dari pendapatan negara.

Masalahnya apakah pihak swasta begitu mudah memberikan kepercayaan kepada Umno-BN untuk menguruskan ekonomi negara?

Persoalan ekonomi negara berkait rapat dengan politik dan sebilangan besar dunia perniagaan dalam negara adalah didominasi oleh kaum Tionghoa.

Maka, apabila majoriti kaum Tionghoa sejak Pilihan Raya Umum 2008 hingga Pilihan Raya Kecil Sibu, Mei lepas, menolak Umno-BN dari sudut politik, apakah dari sudut ekonomi mereka boleh mempercayai Umno-BN?

Sudah tentu tidak. Ketidakpercayaan rakyat terhadap ahli-ahli politik dan pendekatan politik Umno-BN, turut berkait rapat dengan salah laku mereka dalam menguruskan ekonomi negara.

Kita telah disajikan dengan pelbagai skandal dan ketirisan dalam soal pengurusan kewangan yang dilakukan oleh pemimpin BN.

Selain daripada skandal-skandal yang sedia dimaklumi, terdedah pula kerugian besar dalam Sime Darby, Felda dan sebagainya.

Rakyat melihat pelbagai penyelewengan dan skandal didedahkan. Semakin banyak pendedahan mengenai penghakisan dana awam oleh 'jerung-jerung besar' yang dipercayai ada kaitannya dengan dana politik Umno-BN.

Namun sehingga kini, 'tiada seekor pun jerung-jerung besar' ini disabitkan dengan kesalahan. Seolah-olahnya kerajaan Umno-BN, menghalal dan melindungi perasuah kerana mereka terdiri daripada kelompok yang sama.

Rakyat, khususnya masyarakat perniagaan amat memerhatikan soal ini.

Asas kepada kesejahteraan ekonomi ialah kepercayaan. Bagaimana masyarakat peniaga boleh mempercayai pemerintah mampu menguruskan ekonomi dengan baik, jika sekiranya pemimpin-pemimpin BN terus menghabiskan dana rakyat untuk kepentingan politik mereka?

Bagaimana rakyat hendak mempercayai golongan yang membela dan mempertahankan perasuah dalam parti dan kerajaan?

Ketirisan dan kegagalan Umno-BN menguruskan ekonomi negara sudah berada di tahap yang amat melampau. Ia mampu menjuruskan negara ke jurang kebangkarapan.

Justeru, rakyat tidak ada pilihan lain, selain menggantikan pemimpin yang merompak harta rakyat dengan pemimpin yang amanah.

Rakyat tidak ada pilihan lain, selain menggantikan sistem pemerintahan, sistem politik, sistem ekonomi dan sistem sosial yang semakin rosak ini dengan suatu sistem yang baru.

Sistem yang baru adalah sistem yang bakal diasaskan oleh Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat menjanjikan suatu bentuk kepimpinan yang adil, berhemah dan telus kepada rakyat.

Oleh itu maka, masalah kepada ekonomi negara mesti diselesaikan dengan cara politik, iaitu menerusi undi menolak Umno-BN dalam PRU ke-13.

Friday, June 18, 2010

UG bukan agenda PAS

MUKTAMAR Tahunan PAS Pusat kali ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa melabuhkan tirainya pada 13 Jun 2010, dengan tekad PAS untuk bersama Pakatan Rakyat, menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Tekad ini bukannya retorik. Ia berasaskan fakta dan keyakinan bahawa, tahap sokongan rakyat terhadap PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, mengatasi sokongan yang diterima oleh Barisan Nasional sejak PRU ke-12, 8 Mac 2008.

PAS bersama dengan KeADILan dan DAP, merupakan suatu 'force' yang mewakili kuasa rakyat berbilang kaum dan agama. Kejayaan utama Pakatan Rakyat, ialah ia berjaya menghapuskan jurang perkauman dan mengelakkan sentimen keagamaan daripada mendominasi pemikiran pemimpin, ahli dan penyokong.

Di dalam Pakatan Rakyat, semua parti komponennya, meletakkan matlamat utama untuk menumbangkan BN pada PRU ke-13, mengatasi beberapa perbezaan yang wujud.

Ketiga-tiga parti ini, masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri, mempunyai kekuatan yang tersendiri dan saling memerlukan serta membantu antara satu sama lain.

Justeru, tekad yang dinyatakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan penangguhannya, merupakan suatu komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada Pakatan Rakyat.

PAS diakui oleh kawan dan lawan sebagai sebuah parti besar yang mewakili umat Islam, yang dianggotai oleh majoriti orang-orang Melayu dalam negara.

PAS kini mempunyai empat sayap. Terdiri dari Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai sayap terbaru.

Kesemua ini menjadikan PAS sebagai sebuah organisasi yang bersistematik, mempunyai rangkaian yang tersusun, grassroot yang kuat dan mampu memberikan impak kepada politik negara.

Namun, di sebalik kekuatan yang terbina, PAS juga tidak sunyi daripada serangan dalaman dan luaran. Pemimpin dan ahli-ahli PAS turut terdedah dengan serangan pemikiran dan persepsi negatif yang dilemparkan.

Kita tidak harus menafikan bahawa, PAS terpalit dengan agenda Kerajaan Perpaduan atau Unity Government (UG), iaitu kaitan dengan Umno untuk bergabung membentuk kerajaan sama ada di peringkat negeri atau di peringkat Persekutuan.

Seriusnya masalah UG ini menyebabkan pucuk pimpinan utama PAS, terpaksa membuat kenyataan berulangkali menolak kerjasama dengan Umno (menolak UG) dalam tiga muktamar berturut-turut.

Muktamar Tahunan PAS Pusat di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 2008, diluluskan satu usul menolak UG dan memperkasakan Pakatan Rakyat.

Usul tersebut diulangi penegasannya, pada Muktamar Tahunan PAS Pusat di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2009.

Malah pada Muktamar minggu lepas, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama dengan Presiden PAS, membuat penegasan sekali lagi bahawa tiada langsung sebarang niat atau hasrat PAS untuk bekerjasama dengan Umno atau dalam ertikata lain, membentuk UG.

Kedua-dua pemimpin utama PAS itu bertegas, bahawa agenda utama PAS ialah untuk bersama dengan Pakatan Rakyat menumbangkan Umno-BN.

Oleh kerana itu, seluruh pemimpin dan ahli PAS seharusnya mengadaptasikan serta merealisasikan komitmen ini dalam bentuk percakapan dan tindakan.

Dalam hal ini pemimpin dan ahli PAS mempunyai suatu tanggungjawab yang sama, iaitu memastikan PAS tidak lagi dipalitkan dengan UG. UG sudah tutup buku dan tidak perlu diulangi lagi dalam mana-mana seminar, konvensyen atau muktamar pada masa hadapan.

Jika pun ada pandangan berbeza di kalangan pemimpin, jika pun pemimpin ada pendirian tertentu dalam sesuatu perkara, mereka hendaklah mendisiplinkan diri dan tidak melontarkan dengan sewenang-wenangnya kepada media massa, khususnya media tali barut Umno-BN.

PAS, sebagai sebuah parti yang terbuka dan demokratik. Pemimpin dan ahli boleh menyuarakan pandangan mereka dalam parti menerusi seminar, konvensyen atau muktamar.

Jika Majlis Syura Ulama PAS atau Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mempunyai pandangan tertentu dalam sesuatu perkara, khususnya yang membabitkan soal dasar, maka mereka haruslah membentangkannya kepada ahli-ahli untuk diperhalusi dan disepakati.

PAS bergerak sebagai suatu wadah dan harus mempunyai konsensus dalam sesuatu perkara yang diperjuangkan. Pemimpin PAS tidak harus mempunyai agenda peribadi dan dalam masa yang sama ahli-ahli PAS harus memberikan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan.

Walaupun PAS, sifatnya sebagai sebuah parti Islam, seharusnya terbuka dan bersifat dakwah dalam berurusan dengan mana-mana pihak sama ada kawan dan lawan, namun pemimpin khususnya, harus berhati-hati bagi mengelakkan fitnah.

Engagement dengan Umno, MCA, MIC atau Gerakan atau mana-mana sahaja NGO, harus dibuat secara telus, terbuka dan jelas.

PAS akan menghadapi masalah jika pemimpin didapati atau dilihat mempunyai hubungan tersembunyi atau mempunyai hubungan peribadi yang lebih daripada apa yang diamanahkan oleh parti.

PAS akan menghadapi masalah, jika penyokong atau ahlinya mengetahui, wujudnya perjumpaan rahsia antara pemimpin PAS dengan pemimpin Umno, sama ada di dalam atau di luar negara.

Sebarang perjumpaan hendaklah mendapat restu Majlis Syura Ulama atau AJK PAS Pusat, dibuat secara terbuka berasaskan kepada isu yang berkait dengan kepentingan ramai.

Kita harus sedar bahawa musuh senantiasa berusaha untuk memecahbelahkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Usaha untuk melemahkan dan memomokkan PAS tidak akan berjaya, jika kita mempunyai pemimpin yang amanah dan mengetepikan kepentingan peribadi serta mempunyai ahli-ahli yang berdisplin.

Maka resolusi utama pasca Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 PAS di Kelantan ialah, semua pemimpin, ahli dan penyokong PAS, bertanggungjawab untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat, sehingga kita berjaya menumbangkan Umno-BN, sekali gus membentuk Kerajaan Pusat, selepas PRU ke-13 nanti, insya-Alah.

Pakatan Rakyat tidak mahu ambil alih negara dalam keadaan bangkrap

Tidak ramai yang memahami apakah hakikat sebenar di sebalik pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak di Parlimen 10 Jun lepas.

Apakah kelembapan dan ketirisan politik tidak meracuni perancangan ekonomi? Sudah tentu wujud. Itulah penegasan yang diperolehi daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Ikuti wawancara wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor itu di Bangunan Parlimen, 17 Jun lepas.

HARAKAH : Secara umumnya, apa pandangan saudara mengenai RMK-10 dan perancangan-perancangan kerajaan seperti yang diumumkan PM, dari segi memacu ke arah mencapai wawasan negara maju pada 2020?

DR DZULKEFLY : Saya bersedia menerima bahawa RMK-10 adalah perancangan yang menyusuli dua perancangan dalam Rancangan Jangka Panjang-3 (RJJP-3) atau OPP-3 yang merangkumi RMK-8 (2001-2005) dan RMK-9 (2006-2010). Maka RMK-10 (2011-2015) dan RMK-11(2016-2020) sepatutnya akan membawa kita ke tahun 2020.

Cuma satu hal Kabinet PM Najib tidak langsung bercakap tentang RJJP-4. Mungkin kerana terlalu banyak sangat perancangan, mereka tahu rakyat pun naik pening, jadi gugurkan sahaja RJJP-4 ini. Ini satu hal pelik.

Itu tidak termasuk yang harus saya sebut, mengenai Dasar Wawasan Negara (DWN) yang sepatutnya menggantikan Dasar Pembangunan Nasional (DPN).
DPN telah menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sekarang Najib ada Model Ekonomi Baru (MEB) dan Pelan Transformasi Kerajaan (PTK).

Semua dasar-dasar ini amat menyerabutkan. Rakyat di kampung-kampung tidak memahaminya, malah di bandar pun pening juga.

Saya tahu bahawa MP-MP (Ahli-ahli Parlimen) BN pun tidak faham. Tetapi itulah BN dan Najib menuruti sahaja tradisi ini.

Berapa jumlah peruntukan RMK-10 berbanding dengan sebelumnya? Apakah mencukupi untuk memacu pertumbuhan yang dikehendaki?

Pada RMK-7, diperuntukan RM67.5 bilion tetapi ditambah 53 peratus menjadikan akhirnya RM103 bilion.

RMK-8 mendapat RM110 bilion dan ditambah 55 peratus menjadikan RM170 bilion pada kesudahannya. RMK-9 bermula dengan RM220 bilion, tetapi mendapat suntikan fiskal semasa kemelesetan sebanyak RM67 bilion maka menjadikan ianya RM 287bilion. RM67 bilion itu pun sebenarnya hanya RM20 bilion yang dapat disuntik yang lain bukan bentuk fiskal atau kewangan.

RMK-10 ini mendapat peruntukan RM230 bilion, memang tidak banyak tambahannya berbanding dengan RMK-9 dan ternyata Najib sudah tidak mampu bermewah seperti PM-PM yang dahulu kerana Najib dihantui beban hutang Kerajaan Pusat yang telah mencecah 52.4 peratus dari KDNK atau RM362.5 bilion berakhir Oktober 2009.

Ramai ahli ekonomi telah meramalkan bahawa RMK-10 akan mengalami Zaman Kemarau atau Dry Spell. Tepat. Apakah akan ada tambahan, kita tengok sahaja dalam waktu yang terdekat, apakah Najib 'bernafsu' mengemukakan bajet tambahan.

Secara lebih terperinci lagi peruntukannya RM230 bilion itu, ke mana akan diagihkan?

Telah saya katakan awal tadi, saya mahukan RMK-10 ini berjaya. Setiap RMK telah dirancang dengan baik. Maklumlah ramai pakar-pakar yang terlibat bukan senang juga.

Najib datang dengan 10 idea baru dan 5 teras strategik. Itu berita baiknya. Saya telah membaca laporan RMK ke-10 dan mengetahui ke mana dana akan diperuntukkan.

Dari RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, sebanyak 55 peratus akan diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan 5 peratus kepada sektor pentadbiran am. Tetapi yang lebih dipertikaikan adalah dalam pelaksanaannya.

Kita sedar betapa dalam hal pengangkutan awam pun kita jauh dari tahap yang memuaskan setelah melabur besar berbilion RM sama ada LRT, RapidKL dan sebagainya. Kini kita tahu betapa syarikat Prasarana berhutang sehingga RM8.7 bilion dalam bon-bon yang diterbitkan untuk menyelamatkan pelbagai pihak pemegang konsesi pengangkutan awam. Ini satu contoh.

Begitu juga aspek bekalan utiliti seperti elektrik, air dan telekomunikasi dan lain lain.

Peruntukan untuk membangunkan IKS juga satu yang berterusan dan masih jauh dari kedudukan yang mencapai prestasi yang selesa khususnya di kalangan kelompok usahawan bumiputera Melayu atau dari Sabah dan Sarawak.

Untuk menyuntik unsur pengetahuan dan kemahiran dalam industri-industri IKS ini, banyak lagi bimbingan dan dana diperlukan dan ianya mesti dilakukan secara telus dan berdasarkan merit dan prestasi dan bukan dasar bulu atau fahaman politik.

Apakah saudara positif tentang perancangan RMK-10 ini?


Sebagai seorang warga dan rakyat Malalaysia saya mahukan RMK-10 berjaya dan dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Sebagai seorang Ahli Parlimen PAS, Pakatan dan Pembangkang saya mahukan RMK-10 berjaya.

Sebabnya, kejayaannya akan memberi menafaatkan kepada rakyat. Saya katakan sedemikian ketika membahas di parlimen semalam (16 Jun lepas). Mereka takut bila kita mengkritik dan menyangka kita mahu RMK-10 gagal.

Jangan silap, kami mahukan RMK-10 dan MEB bahkan semua perancangan kerajaan BN berjaya, meskipun kami pembangkang. Sebabnya mudah. Kalau kesemua gagal, rakyat akan menderita dan kerajaan juga didakwa Menteri di JPM, Dato' Seri Idris Jala akan bankrap dalam ramalannya tahun 2019.

Kami juga tidak mahu mengambil alih kerajaan yang bankrap dalam PRU ke-13 atau PRU ke-14 nanti. Maka kami akan terus positif untuk menyemak, mengimbang dan mengkritik dasar-dasar dan perancangan serta pelaksanaan kerajaan BN.

Itu peranan kami sebelum menjadi kerajaan.

Apa pandangan saudara tentang matlamat pertumbuhan RMK yang lalu? Telah dicapai?


Untuk ingatan semua RMK-8 dan RMK-9 kedua-dua tak capai matlamat pertumbuhan. Matlamat RMK-8 pertumbuhan disasarkan adalah sebanyak 7.5 peratus.

Di antara 2001-2005 tidak setahun pun mencecah 7.5 peratus. Akhirnya pertumbuhan purata RMK-8 hanyalah 4.7 peratus.

RMK-9 disasarkan pertumbuhan 6 peratus. Dengan Petronas menyumbang pendapatan dan membenamkan sejumlah RM235.6 bilion di antara 2006-2009, yang dicapai hanya 4.2 peratus.

Apabila dalam suku pertama tahun 2010 kita mencapai 10.1 peratus, kita berkokok sekeliling kampung. Kita tidak sedar bahawa suku pertama tahun 2009 itu paras perbandingannya rendah sebab kemelesetan, maka suku pertama tahun 2010, bila ada pertumbuhan memanglah nampak tinggi, sebab ’baseline’ atau paras mulanya rendah, tapi kita ditakuk lama juga.

Ceritanya mudah begini. Kalau kita ada RM100 pada tahun 2008 yang kita laburkan. 2009 kita kerugian RM50, tetapi kita untung pulak RM50 pada tahun 2010. Bukankah pelaburan kita balik ditakuk asal RM100. Tetapi tahun 2010, kita mendabik dada untung 100 peratus. Hakikatnya kita baru balik asal!

Secara lebih serius, apa pandangan saudara tentang penetapan matlamat pertumbuhan RMK-10 ini? Mampukah dicapai?

Secara ikhlas, saya khuatir tentang matlamat yang ditetapkan dalam RMK-10. Saya telah nyatakan dalam perbahasan saya di parlimen. Dan ada sebabnya kenapa saya nyatakan sedemikian.

Menetapkan matlamat pertumbuhan dalam perancangan pembangunan memang satu tuntutan makro ekonomi. Semua ahli ekonomi faham itu. Tetapi saya ingatkan diri saya bahawa petumbuhan bukan segala-galanya. Mereka juga tahu.

Najib meletakkan pertumbuhan purata 6 peratus KDNK untuk RMK-10 ini. Saya tidak pulak kata ianya mustahil atau tidak munasabah.

Kalau kita berani berbelanja besar dan secara mega serta sanggup berhutang, mungkin boleh dicapai.

Katalah KDNK negara RM700 bilion, maka satu projek mega RM7 bilion pun sudah 1 peratus dari KDNK. Kalau RM70 bilion, 10 peratus KDNK.

Persoalannya yang lebih mustahak bukan hanya pertumbuhan. Tetapi bagaimana untuk mendapatkan pertumbuhan dan apa ’bayaran atau price’ pertumbuhan itu?

Berapa banyak yang perlu dibuat dalam pelaburan atau ‘investment’ pembangunan untuk menjana pertumbuhan ini? Siapa yang akan memacu pertumbuhan? Sekarang Najib kata mesti dipacu oleh pihak swasta.

Ingat dalam KDNK itu ada faktor-faktornya, pelaburan, penggunaan, eksport dan import.

Yang saya maksudkan ialah faktor Pelaburan Dana atau ’Capital Investment’. Dari mana sekarang ini? Kerajaan atau Swasta? Kerajaan sudah terbeban dengan hutang, kapasiti melabur dan berbelanja sudah semakin lemah.

Sekarang Najib kata mesti dipacu oleh pihak swasta, luar atau dalaman negara. Beliau menyebutkan jumlah sebanyak RM110 bilion, peningkatan sebanyak 100 peratus dari luar (FDI) dan dalaman setahun. Munasabah ke? Jawab lah sendiri.

Sebab itu Najib akan memulakan Gelombang Kedua Penswastaan. Nah, apakah akan kita saksikan segala amalan bobrok kronisme dan nepotisme semasa zaman Tun Mahathir dahulu.

Bagaimana pula dengan segala ketirisan dan kebocoran perlaksanaan penswastaan yang berkahirnya dengan ’bailout’ syarikat-syarikat gergasi yang gagal.

Mereka bukan gergasi, mereka adalah ’kucing gemuk’ kroni, mengikut bahasa pakar ekonomi antarabangsa.

Bagi memacu pertumbuhan apakah akan berulang segala-gala kebobrokan lama dan dana rakyat akan sekali lagi hangus.

Ini yang lebih saya takuti apabila nafsu serakah pimpinan Umno-BN bersama segelintir elit bisnes tidak mengenal batas-batas moral dan agama dalam mencari kekayaan.

Sebab itu dalam perbahasan telah saya sebutkan tentang contoh cadangan Asas Serba mahu mengambil alih kesemua 23 konsesi Tol di seluruh negara dan pelbagai lagi projek pembangunan hartanah seperti 3000 ekar di Sungai Buloh yang rata-rata adalah direct nego atau runding terus oleh pihak pemaju.

Kita sekarang ini sudah terbeban dengan hartanah yang tidak dijual atau ’property overhang’ sebanyak RM5.3 bilion. Tapi masih ghairah untuk memajukan pembangunan hartanah, sebab itu yang senang, tidak banyak otak dan pengetahuan diperlukan. Siapa pun boleh!

Najib akan mengenalkan pelbagai cara pembiayaan yang kononnya nampak semacam pihak swasta yang bertanggunggjawab. Hakikatnya adalah sebaliknya.

Contohnya PFI. Memanglah bunyi perkongsian pintar. Di antara kerajaan dan pihak swasta. Sehingga kini belum ada satu contoh PFI yang berjaya yang boleh diperagakan. Yang gagalnya banyak.

Jaminan bon-bon ini kepada pihak swasta dari kerajaan Pusat akan berakhir dengan hutang iu ditanggung oleh rakyat! Ceritanya sama, sama ada PKFZ, Prasarana dan sebagainya. Berbilion RM.

Sebab itu saya memang tidak pernah ’beriman’ dan ’mendewakan’ "Pertumbuhan” seperti ini

Mungkin saudara akan didakwa hanya tahu kritik BN sahaja. Apakah Pakatan Rakyat ada alternatif? Apakah konsep pembangunan Islam dan pertumbuhan kalau dari perspektif PAS atau Islam?

Tidak juga. Dalam perbahasan saya, walaupun dikekang dengan 30 minit, sempat saya sebut asas dan kerangka pemikiran Islam.

Saya tegaskan bahawa dalam konteks Pembangunan Ekonomi Islam, matlamat terkemuncaknya adalah untuk Memakmurkan muka alam ini dengan melangsungkan pengagihan yang adil, supaya manusia sejahtera untuk hidup menjalankan kewajipan. Ia juga mesti mengelakkan kezaliman dan kerosakan.

Saya sebut ayat-ayatnya dan maksudnya. Tetapi tidak bolehlah saya berkhutbah pulak.

Mencapai kemakmuran mesti untuk seluruh makhluk Allah, manusia, binatang dan seluruh alam sekitar. Kemakmuran pula mesti membawa kepada Keadilan agihan atau ’distributive justice’.

Konsep ini pun sudah cukup untuk membeza kami PAS-Pakatan Rakyat dengan pendekatan Umno-BN.

Tengok sahaja di negeri Pakatan. Sebab itu kami angkat tema ”Merakyatkan Ekonomi”. Tapi tidak ada siapa hendak kata itu Islamik! Tidak mengapa.

Saya sebutkan tentang jurang kaya dan miskin, di antara kaum dan dalam sesuatu kaum etnik itu sendiri. Bangsa Melayu paling teruk mengalami jurang antara kaya-miskin. Masih di takuk lama, saya sebut Pengkali Gini, ukuran yang menujukkan bahawa pengagihan kekayaan negara cukup tempang. Ini berterusan sejak zaman azali lagi.

Kerana pembangunan dipacu bukan untuk pengagihan tetapi memenuhi angka pertumbuhan. Memang ada penurunan kemiskinan tegar.

Tetapi kita bercakap tentang kemakmuran sekarang, di samping mengurangkan kemiskinan relatif dan tegar.

Sebab itu saya katakan kita perlu keluar dari kerangka pertumbuhan sahaja termasuk meneliti benar-benar keseimbangan pembangunan wilayah.

Kalaupun kita capai pertumbuhan 6 peratus sekalipun, tetapi Sabah, Sarawak dan negeri pantai Timur akan tetap menjadi negeri kurang maju atau mundur dan miskin dan negeri-negeri pantai Barat Semenanjung negeri maju, maka jadi ada 2Malaysialah ketika datangnya 2020, bukan 1Malaysia.

Tambahan pula, selain dari Wilayah Iskandar, saya tidak nampak peruntukan kepada koridor-koridor lain termasuk Sabah dan Sarawak (SCORE).

Bagaimana saudara melihat matlamat mencapai ekonomi berpendapatan tinggi? Adakah ianya munasabah?

Memang ini adalah antara teras MEB dan matlamat RMK-10. Najib akui akhirnya, bahawa negara telah terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana untuk sekian dekadnya. Najib dan Umno-BN baru sedar, baru insaf.

Keinsafan satu hal. Tetapi untuk keluar dari perangkap ini bukan mudah.
Faktor kritikalnya ialah produktiviti. Ini kembali kepada persoalan tahap kemahiran, ketrampilan dan pengetahuan warga kerja dan buruh di negara.

Sekali gus ia bermula dengan aspek pendidikan dan latihan. Maka prosesnya panjang, mungkin memakan generasi untuk berubah. Tetapi Najib serta Umno-BN tidak memahami pengurusan perubahan ini.

Pada tamatnya RMK-9, pencapaian Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita (bagi setiap warga) meningkat dari RM20,000 pada tahun 2005 kepada RM26,420 pada akhir tahun 2009. Peningkatan RM5,000 dalam 5 tahun dalam RMK-9.

Dalam RMK-10, disasarkan PNK per kapita, akan dilonjakkan kepada RM38,850 dengan pertumbuhan sebanyak 6 peratus yang disebutkan tadi. Sebab itu Najib mahukan 6 peratus.

Bermakna peningkatan sebanyak RM12,000 dalam 5 tahun berbanding RM5,000 dalam RMK-9. Fikirkanlah sendiri, munasabah ke?

Sebab itu saya katakan dalam parlimen, jangan memaksa kita memandu pada gear 2 untuk 10 km, ranap kereta kita.

Tetapi itulah maksudnya dan hakikatnya, untuk memacu pertumbuhan itu, segala resources atau sumber yang perlu dipunggah. Tetapi kemakmuran rakyat satu hal lain.

Bayangkan untuk meningkatkan 40 peratus dari penduduk Malaysia yang hidup dengan pendapatan kurang dari RM1,500 dan sebahagian besar hampir 75 peratus adalah dari bumiputera Melayu, Sabah dan Sarawak. Apa strategi untuk meningkat pendapatan per kapita golongan ini.

Kalau orang lain sudah sampai RM38,000 pun, mereka tetap di takuk lama. Dalam bahasa yang mudah, apakah RMK-10 akan berjaya?

Sementara saya mahu RMK-10 berjaya terus terang saya katakan bahawa saya masih khuatir, kalau kerajaan Najib masih tidak mempunyai iltizam politik yang kuat dan gigih, maka akan berulang segala kebejatan ketirisan dan kebocoran seperti yang dialami RMK-RMK yang lalu.

Ini sungguh malang dan rakyat akan terus ternafi dari mengecapi kekayaan negara sebenarnya. Rakyat perlu menunggu perubahan atau pertukaran kerajaan di peringkat Pusat.

Tuesday, June 15, 2010

Anwar paling layak pemimpin utama PR - Nik Aziz

Harakahdaily : Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin nombor satu Pakatan Rakyat kerana beliaulah paling layak dan sudah teruji.

“Saya tak mahu jadi orang nombor satu, walaupun ada orang yang mencadangkan saya begitu. Dari dulu lagi saya sentiasa menyebut orang paling layak ialah Anwar sebab dialah orang yang telah lalui tahap peperiksaan (ujian) fizikal dan mental.

“Kalau orang lantik saya, saya akan beri pada dia," kata Nik Aziz kepada media selepas merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-11, di sini hari ini.

Nik Aziz juga berkata, Anwar juga telah lulus ujian dari segi moralnya apabila menghadapi segala cabaran dengan tabah dan penuh dedikasi.

Beliau ditanya apa komen beliau terhadap cadangan seorang perwakilan dalam muktamar PAS selepas kejayaan beliau memimpin PAS dan kerajaan negeri Kelantan selama 20 tahun.

Dalam saranannya, perwakilan dari Perlis Wan Khairizal Wan Hazim berkata gaya kepimpinan Nik Abdul Aziz juga diterima semua pihak dalam komponen pakatan pembangkang itu.

Sebelum ini, Datuk Zaid Ibrahim yang kini menyertai PKR mencadangkan agar Nik Aziz dilantik sebagai Pemimpin Spiritual (Spiritual Leader) Pakatan Rakyat.

Mengulas mengenai pandangan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menyamakan beliau dengan pemimpin ulung India Mahatma Gandhi, Nik Abdul Aziz berkata: “Tidak mengapa, saya terima daripada segi sifat orang melihat saya.”

Komitmen PAS kepada rakyat

DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w

Ucapan Dasar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 di Kelantan bertemakan 'Islam Adil Untuk Semua.'

Tema 'Islam Adil Untuk Semua' dipilih kerana dasar perjuangan PAS menuntutnya menyediakan kepimpinan yang mempunyai keperibadian unggul bagi melaksanakan amanah rakyat.

PAS komited menjadikan Islam sebagai asas keadilan untuk rakyat Malaysia, tanpa mengira batas agama dan kaum.

Justeru Presiden PAS mengambil kesempatan untuk mempertegaskan komitmen beliau, lantas mengarahkan seluruh kepimpinan dan ahli PAS, supaya menjadi pelopor keadilan Islam dalam masyarakat majmuk.

Keunikan komposisi pelbagai etnik dan agama dalam negara bukan menjadi alasan untuk perlaksanaan keadilan Islam.

PAS bertanggungjawab menunjangi keadilan Islam setelah kegagalan sistem pemerintahan cara Barat yang diamalkan dalam sistem pemerintahan negara.

Waktu ini, merupakan kesempatan terbaik buat PAS untuk mengenengahkan idealisme Islam, selepas kehancuran ideologi sekularisme dan nasionalisme.

Jelas selama ini, bahawa Umno-Barisan Nasional yang mendabik dada sebagai penyelamat orang Melayu dan pemimpin masyarakat majmuk, gagal melaksanakan tugas mereka.

Umno-BN bukan sahaja gagal, malah mengundang padah kepada agama Islam, bangsa Melayu dan juga kaum-kaum lain dalam negara serta membawa imej buruk sebuah parti mewakili orang Melayu-Islam.

Hakikatnya Umno-BN tidak mampu membawa keadilan kepada rakyat Malaysia, sama ada dalam sektor politik, ekonomi dan sosial.

Maka PAS sebagai sebuah parti teras orang Melayu-Islam sedang mempersiapkan dirinya untuk menggantikan Umno, dengan menawarkan keadilan dan peluang yang saksama kepada semua rakyat Malaysia.

Pada muktamar kali ini, PAS menyahut cabaran yang besar, iaitu ia bersedia menggalas amanah yang lebih besar, bersama Pakatan Rakyat untuk menerajui negara.

PAS amat berkeyakinan ia berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menggalas amanah ini.

Maka, menjadi tanggungjawab besar kepada seluruh perwakilan Muktamar PAS, untuk mendukung aspirasi dan komitmen yang digariskan oleh Presiden PAS.

Sebagai sebuah parti politik yang besar dan mendapat sokongan masyarakat berbilang kaum, PAS bersama Pakatan Rakyat adalah jaminan masa depan untuk rakyat Malaysia.

Tiada lagi harapan, tiada lagi sandaran yang boleh rakyat harapkan kepada Umno-BN, hanya PAS dan Pakatan Rakyat sahaja mampu membawa kemakmuran, keadilan dan kesejahteraan untuk rakyat Malaysia.

PAS yakin ke Putrajaya

Harakahdaily: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang optimis PAS dan Pakatan Rakyat mampu menawan Putrajaya suatu hari nanti.

Beliau sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) hari ini berkata, tidak mustahil suatu hari nanti Pakatan Rakyat berjaya mentadbir negara melihat kepada sokongan yang biberikan oleh rakyat termasuk orang bukan Islam terhadap PR.

"Ke Putrajaya insya Allah, kita membawa kemenangan. Orang kata kita bermimpi, tapi kta bermimpi yang soleh," katanya disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

Beliau juga berkata, sekiranya syariat Islam benar-benar diamalkan di negara ini, segala permasalahan sosial yang melanda negara dapat diselesaikan.

"Jika benar-benar kita mengamalkan syariat Allah, insya Allah segala permasalan sosial dan moral dapat diseesaikan," katanya.

Beliau berkata, PAS berada dalam bahtera yang selamat bersama rakan-rakan Pakatan yang lain.

"Yakinlah, kita sekarang ini berada dalam bahtera yang selamat. Teruslah bersama Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji mutu perbahasan seluruh perwakilan yang disifatkan sebagai matang dan menepati isu.

"Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh perwakilan yang menyampaikan perbahasan yang mutunya semakin meningkat," katanya.

PAS alternatif ganti Umno

UCAPAN dasar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-55 di Kelantan lebih memfokuskan kepada pembinaan kekuatan PAS.

Fokus ini ditekankan bukan kerana PAS tidak kuat sekarang ini. PAS diakui kawan dan lawan sebagai sebuah parti Islam yang menjadi teras dan harapan orang-orang Melayu, kuat serta dinamik.

PAS kini, berada di atas landasan yang betul iaitu PAS mesti menyediakan dirinya menjadi pengganti Umno, sebagai tonggak pemerintahan dalam negara.

Kita tidak bercakap soal rasis di sini. Soalnya ialah semua pihak harus menerima hakikat bahawa orang-orang Melayu merupakan kaum majoriti dalam negara, yang mempunyai suara yang lebih dan menjadi kaum penentu arus pemerintahan negara.

Oleh itu maka, parti yang mendapat sokongan terbesar orang-orang Melayu, maka parti itulah yang akan menjadi teras pemerintahan negara.

Sudah lebih 50 tahun Umno menjadi parti teras yang amat berkuasa dalam negara. Namun sejak Pilihan Raya Umum ke-12 2008 yang lalu, dominasi Umno sejak sekian lama sudah dihentikan rakyat.

Walaupun pentadbiran Umno bertukar Presiden, pemerintahan negara bertukar Perdana Menteri, namun sehingga kini, kedudukan Umno yang tercalar teruk masih tidak mampu dipulihkan.

Sebenarnya, Melayu sudah lama menunjukkan sikap menolak Umno. Keputusan Pilihan Raya Umum ke-10 1999 memberi petanda bahawa Melayu sudah semakin menolak Umno.

Trend penolakan terhadap Umno dari kalangan Melayu, kekal pada PRU 2004 dan 2008. Menerusi perbandingan tiga PRU iaitu 1999, 2004 dan 2008, graf turun naik pengundi Melayu hanya di sekitar 5 peratus sahaja. Ini membawa makna, majoriti Melayu yang mengundi PAS dan pembangkang pada 1999 hingga sekarang, masih kekal dan tidak berubah.

Oleh kerana itu, jikapun diadakan PRU ke-13 dalam waktu yang terdekat ini, harapan Umno untuk mendapat undi lebih dari kalangan Melayu amat terhad dan terbatas.

Sebab dan punca penolakan orang Melayu terhadap Umno begitu banyak. Hakikat daripada penolakan ini ialah, Umno tidak lagi mendapat kepercayaan orang-orang Melayu untuk menjadi parti yang boleh diharapkan. Umno tidak lagi diterima menjadi parti yang melindungi kepentingan Melayu dan Islam dalam negara.

Dalam keadaan politik Malaysia yang disusun sedemikian rupa, maka tidak ada pilihan lain bagi PAS, selain memperkukuhkan kedudukannya di kawasan majoriti Melayu atau 'Malay belt'.

Maka dengan itu, Presiden PAS dalam ucapan dasarnya, mengajak semua NGO Islam yang secara relatifnya dianggotai ramai kalangan orang Melayu, untuk bernaung di bawah PAS.

Hanya PAS yang boleh diharapkan untuk menjaga dan melindungi, bukan sahaja kepentingan Melayu-Islam, malah menjaga kepentingan semua kaum.

NGO harus sedar bahawa Umno tidak punyai masa depan dalam negara. Umno gagal bukan kerana idealismenya tidak baik untuk Melayu dan Islam, tetapi ia gagal kerana ia dianggotai oleh kalangan pemimpin dan ahli yang tidak memahami, serta tidak mengamalkan apa yang diperjuangkannya.

Umno tidak boleh diharap kerana ia ditunjangi oleh pemimpin dan ahli yang berkepentingan, korup dan rosak akhlak.

Dari sudut kepimpinan, amali perjuangan, disiplin dan akhlak, pemimpin PAS jauh mengatasi Umno. PAS berjaya melahirkan kepimpinan yang bersih dan berwibawa.

PAS harus bersyukur kerana sepanjang 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, sepenggal di Terengganu, sebelas bulan di Perak dan dua tahun di Kedah, kini, tiada pemimpin PAS yang boleh dipalitkan dengan rasuah atau salahguna kuasa.

Kualiti dan integriti ini harus dikekalkan. PAS tidak boleh menjadi seperti Umno yang penuh terpalit dengan kebusukan. PAS jangan jadi seperti Umno jika berkuasa sepenuhnya kelak.

Maka, pada Muktamar kali ini, PAS harus memperkukuhkan organisasi dan kepimpinannya. Menjadi parti teras yang menggantikan Umno.

Jauh di sudut hati kita, harus kita letakkan keyakinan bahawa PAS mampu menggantikan Umno. Jika Umno dan Barisan Nasional tewas pada PRU ke-13 nanti, Umno harus dibubarkan dan disimpan dalam muzium.

Dan jika ketika itu, jika orang-orang Umno mahu melihat Melayu terus kukuh dan menjadi tuan dalam negara, maka mereka tidak ada pilihan lain selain menyertai dan menyokong perjuangan PAS.

Maka Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-56 kali ini, merupakan platform terbaik untuk PAS membuat anjakan paradigma, menjadi parti Melayu-Islam yang terbesar dalam negara.

Moga Allah merestui Muktamar kita

Kita amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas kehendak-Nya, Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-56, dapat berlangsung mulai 9 hingga 13 Jun 2010.

Muktamar kali ini diadakan di Kota Bharu, menjelang sambutan 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pemilihan Kelantan sebagai lokasi Muktamar kali ini begitu signifikan dan amat bermakna buat PAS, kerana ia merupakan tapak kekuatan PAS yang unggul sejak 20 tahun yang lalu.

Muktamar kali ini diserikan dengan kehadiran sayap baru PAS, iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS yang mempunyai puluhan ribu ahli dari seluruh negara.

Melepasi usia setengah abad, menerajui beberapa buah kerajaan negeri, dijatuhkan, menjadi pembangkang kepada kerajaan Barisan Nasional sejak sekian lama, menjadikan PAS sebuah parti yang matang dan berdisplin.

Kini, PAS bukan sahaja dikenali sebagai sebuah parti Islam yang didominasi orang-orang Melayu, namun ia mendapat kepercayaan kalangan bukan Melayu dan bukan Islam untuk menjadi sandaran.

Keterbukaan kepimpinan PAS dan keadilan dalam pemerintahan PAS di beberapa buah negeri, menjadi asas kepercayaan ini.

Sebagai sebuah parti yang bertunjangkan Islam, memperjuangkan kepentingan Islam dan umatnya, namun PAS berjaya berlaku adil kepada semua golongan, agama dan kaum di negeri-negeri yang diterajuinya.

Keadilan inilah yang menjadi asas kepada kepercayaan. Keadilan inilah yang menjadi simbol perjuangan Islam, iaitu, jika kita mendasari pemerintahan negara dan negeri dengan asas Islam, Insya-Allah semua golongan akan menikmati keadikan yang sebaiknya.

PAS di bawah kepimpinan ulama, berusaha mengasaskan pemerintahannya dengan adil, saksama dan makmur, sebagaimana firman Allah (mafhumnya):

"....Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun!" (Surah Saba, ayat 15).

Muktamar kali ini diadakan diketika kemuncak kepercayaan rakyat terhadap PAS dalam beberapa buah negeri yang dikuasainya, beserta dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyat, direalisasikan di peringkat yang lebih tinggi.

Rakyat mahu melihat PAS dan Pakatan Rakyat terus mengungguli aspirasi rakyat, menjamin keadilan dan ketelusan, dengan terutama sekali menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Untuk itu, PAS seharusnya membuat persediaan daripada sekarang, PAS mest mempunyai kepimpinan dinamik, ahli yang mantap dan istiqamah.

PAS harus memperkukuhkan sistem tarbiyah dan memantapkan fikrah, agar segala jurang kelemahan dalaman dapat diperbaiki.

PAS juga tidak harus menoleh kebelakang. PAS harus melangkah ke hadapan. PAS harus memperkukuhkan Pakatan Rakyat, untuk bersama-sama menerajui negara.

Maka bersempena dengan Muktamar kali ini, amat diharapkan ia menjadi medan perbahasan yang menambahkan kematangan dan komitmen perjuangan.

Kepada Allah jua kita panjatkan doa agar segala usaha dan kerja-kerja Islam kita direstui dan dirahmati-Nya.

Monday, June 07, 2010

KeADILan sudah 'buang buruk'

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tian Chua amat yakin KeADILan akan tetap utuh walaupun menerima serangan hebat Umno-Barisan Nasional.

Di dalam wawancara bersama wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN, TARMIZI MOHD JAM, WAN NORDIN WAN YAACOB dan SAADON AKSAH, 27 Mei lalu, beliau menghuraikan isu-isu kritis terhadap kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan masa depan parti.

HARAKAH : Mutakhir ini kewibawaan Parti KeADILan Rakyat sering dipertikaikan. Wujud dakwaan pengaruh Dato' Seri Anwar Ibrahim semakin terhakis dengan keluarnya beberapa orang Ahli Parlimen dari KeADILan, bagaimana saudara melihat fenomena ini?

TIAN CHUA : Kita melihat dalam semua proses politik negara sepanjang lebih 50 tahun, setiap parti yang muncul yang boleh menggantikan Umno ini, akan menghadapi serangan peribadi dan serangan lompat.

Yang terakhir ialah Semangat 46 yang mana wujud pada era 90-an. Semangat 46 muncul sebagai satu kuasa yang disebut sebagai pengganti Umno dan juga mampu membawa sokongan dari DAP, PAS dan pelbagai parti pembangkang.

Semangat 46 menjadi target Umno untuk dihancurkan, dan akhirnya dengan serangan hebat hanya tinggal Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) seorang sahaja dan dia pun turut keluar dari Semangat 46 dan menyertai Umno semula.

Itu yang Umno ingin wujudkan, persepsi bahawa hanya Umnolah yang akan wujud dan cuba pastikan parti yang mencabar Umno akhirnya akan lesap.

Sekarang ini, permainan ini diulang semula bagi memugar rakyat. Perbezaan kali ini dalam Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional sangat berbeza.

Kekuatan KeADILan bukan atas kepimpinan, kita akui kita ada masalah kerana kita satu parti yang baharu dan juga dibentuk dalam keadaan tergesa-gesa dan sentiasa hadapi tekanan dan penindasan.

Kenapa ia berlaku?


Kita tak ada masa macam parti lain yang bermula dengan pembentukan secara kecil-kecilan, kemudian memperkuatkan kepimpinan dan seterusnya apabila dah mantap baru masuk pilihan raya.

Hari pertama kita wujud, hari-hari kita lawan dan kena masuk lock-up dan sebagainya, ini yang KeADILan hadapi.

Tetapi kita sebuah parti massa yang bangkit ketika krisis dalaman Umno, ini satu natural. Kekuatan kita kekuatan massa, kepimpinan kita sentiasa hadapi masalah, itu realiti.

Saya nampak dalam proses ini dengan apa yang Umno lakukan, Umno tak akan dapat hancurkan KeADILan sebagai satu tenaga mencabar BN, dan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai simbol untuk itu juga tak dapat dihapuskan.

Ini suatu yang paling memeningkan Umno-BN. Tetapi kita juga harus melihat masalah yang kita hadapi dan inilah yang KeADILAn kena buat susunan perancangan, reformasi dan transformasi dalam parti supaya kita memantapkan dan menyediakan organisasi menghadapi cabaran.

Kita perkukuhkan ciri berbilang kaum kita, pada awalnya KeADILan dahulu sukar dapatkan sokongan Cina, tetapi ia telah berlaku satu perubahan hingga kini.

Dari dulu saya seorang pemimpin Cina dalam KeADILan, tetapi kini sudah ramai, kita dapat yakinkan pengundi dan sokongan bukan Melayu. Dahulu pada tahun 1999 keputusan pilihan raya umum kita tidak dapat sokongan Cina, kerana Melayu yang ramai sokong kita pada masa itu.

Ketika itu orang Cina takut reformasi, kita pening ketika itu sebab tak dapat langsung sokongan mereka ini. Itu satu proses berlaku, hari ini bertambah baik.

Kita juga bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk menyatakan kepada rakyat kita bukan parti saki baki Umno, kita bukan satu parti yang tumpul, kita juga mewarisi sejarah perjuangan membela rakyat yang telah dibawa oleh PRM.

Sebab itu kita pinda perlembagaan gabung dengan PRM dan ubah nama dari Parti Keadilan Nasional kepada Parti Keadilan Rakyat, dan kita telah menyerap akademia, aktivis hak asasi dan peguam ke dalam parti kita.

Apa langkah yang saudara disebut sebagai reformasi dalaman?

Sekarang ini kita ambil langkah yang lagi berani iaitu pindaan kepada pemilihan pucuk kepimpinan parti yang membolehkan akar umbi memilih.

Hujung tahun ini buat pertama kali ahli akan mengundi, mereka akan pilih dari Presiden hingga kepada Ahli MT Pusat yang kita wujudkan satu budaya demokrasi dalaman yang lebih sihat.

Ini juga dari jangka masa panjang mengurangkan politiking. Ini langkah yang kita buat.

Dalam persidangan juga ada bincangkan pemilihan wakil-wakil rakyat, bagaimana kita pilihn dengan syarat dan kriteria yang lebih ketat untuk sesiapa yang wakili keadilan untik bertanding dalam pilihan raya, dan sehinggalah kepada pilihan raya Kerajaan Tempatan (PBT).

Kita juga harus perkukuhkan disiplin parti kita semua dan inilah langkah yang diambil, saya tak khuatir serangan terhadap Anwar akan gugat proses pembaharuan dalam parti.

Selain serangan difokuskan kepada Anwar, wujud beberapa Ahli Parlimen dan Adun serta pimpinan KeADILan yang keluar, mereka menyerang dan menuduh kononnya ada 'Little Napoleon' dan 'Firaun Kecil' dalam parti yang mempengaruhi keputusan dan mengawal parti, sejauhmana ia benar?

Saya nampak ini adalah satu taktik yang telah dimainkan BN mereka ini sedar dengan serangan terhadap Anwar. Ini tidak akan hancurkan parti, dan orang yang datang dari dalam KeADILan ini yang sedar yang mana kepimpinan golongan tengah yang telah memimpin sejak reformasi ini.

Mereka tahu kalau Anwar pergi pun golongan inilah yang akan pegang parti. Jadi mereka sedar ini satu kekuatan KeADILan dan mereka gunakan golongan yang lompat parti untuk menyerang golongan kepimpinan pertengahan ini, supaya orang hilang keyakinan.

Tetapi kalaupun kita sebut apa ciri-ciri yang menunjukan adanya Firaun mempengaruhi keputusan dan buat keputusan tanpa melalui proses demokrasi dalam parti boleh mereka buktikan?

Ini suatu yang salah dan propaganda yang ditanam persepsi hilang yakin terhadap KeADILan.

Adalah tidak ada faedah jika nak bahas isu ini, sebab itu kita tunjukkan dengan pemilihan kita hujung tahun ini, pemilihan dari seluruh ahli parti, jika betul adanya 'Little Napoleon' atau 'Firaun Kecil' dalam parti, pastinya Disember ini boleh kita pastikannya.

Apa sebabnya Umno guna isu ini untuk menyerang KeADILan?

Sebenarnya, serangan Umno ini untuk beri persepsi negatif, kita akan lihat hujung tahun ini semasa pemilihan kepimpinan parti, kita akan muncul dengan pemilihan dan barisan kepimpinan yang dipilih oleh ahli parti.

Justeru secara otomatik propaganda ini akan hilang. Sekarang ini biarlah mereka (Umno) mainkan isu ini, kerana bagi saya sebenarnya mereka ini takut dengan golongan pertengahan iaitu kepimpinan peringkat tengah yang ada dalam KeADILan, kerana pelapis ini yang bakal memainkan peranan yang lebih penting dalam masa akan datang.

Jika mereka rasakan bahawa jika dengan serang Anwar mereka boleh lumpuhkan KeADILan atau dengan mereka serang golongan pelapis ini akan lumpuhnya parti, ini satu pandangan yang silap.

Kita lihat dalam BN lagi teruk pemusatan kuasanya hanya berdasarkan kepada kepimpinan utama Umno sahaja, mereka yang kawal semuanya.

Kalau mereka hendak tuduh kami ada Little Napoleon ini, saya nak tanya berapa ramai, tujuh lapan atau sepuluh atau banyak mana?, kalau betullah ramai sangat little napoleon ini, ini betul menunjukkan kita amalkan collective leadership, keputusan apa-apa sahaja untuk kebaikan parti.

Apakah punca sebenar yang mendorong mereka ini melompat?


Saya lihat satunya berpunca dari pemilihan kita sebelum PRU 2008.

Kebanyakan kerusi yang KeADILan tandingi itu sepatutnya dari pandangan awam seolah-olah tidak ada rekod kemenangan, macam mana pun tidak logik boleh menang.

Dalam proses kita membina parti, kita cari dan mahu satu padukan semua 'force' yang boleh, di mana jika siapa sahaja yang lawan BN, kita ambil jadi 'force' kita.

Kita kumpul siapa sahaja sama ada Wee Choo Keong atau Dato' Zaharin Hashim, kita lihat dulu mereka ini menentang golongan elit dalam BN.

Selain itu kita juga juga mahu membina kekuatan meluas, kita nampak mereka ini ada faktor yang boleh memberi kemenangan, jika kita boleh jadi platform kepada semua pihak yang tak puas hati dengan BN kita guna ketika itu, ada baiknya.

Wee Choo Keong kita pakai kerana dia ada kepakaran dan rekod menentang BN dan membela masyarakat, apa guna kita lawan tiga penjuru dalam PRU, kita bagi peluang kepadanya untuk bertanding.

Kita kumpul banyak calon seperti itu, sewaktu itu nampak positif dan capai kemenangan besar. Tetapi selepas menang besar, kita tak ada masa dan sumber yang cukup untuk melihat kepentingan mereka ini dan selaraskan pemikiran mereka ini.

Masing-masing ini mereka ada warisi tabiat dari pengalaman politik parti mereka yang lama, jadi kita mengaku itu kelemahan kita.

Banyak tempat yang kita tak sangka menang telah menang ketika itu, dan benda itu kita terpaksa mengurus kemenangan. Saya mengaku kita kekurangan dalam menguruskan kemenangan dengan baik, dan itu sesuatu yang perlu kita belajar.

Ingat tak, pada tahun 2008 ramai yang beranggapan bahawa tahun itu adalah waktu pupusnya KeADILan, namun akhirnya kita menang besar.

Waktu saya dan semua kepimpinan utama dalam ISA, ada yang kata tidak ada harapan terhadap KeADILan, tetapi hingga kini kita bertahan dan cuma pengurusan kemenangan sahaja yang perlu kita pertingkatkan.

Belajar daripada pengalaman ini, saya yakin PRU-13 kita sangat berbeza, sekarang ini ramai aktivis yang baru yang boleh mengambil peranan ini, kita dalam proses menyerap kepimpinan muda yang ada prinsip dan etika yang lebih tinggi, itu saya rasa boleh atasi masalah ini.

Yakinkah saudara tidak akan ada lompat lagi selepas ini?

Saya yakin bersyarat kerana BN tidak akan lepaskan kita begitu sahaja, merek anggap KeADILan tunggak satu padukan Pakatan Rakyat, jadi mereka kena serang KeADILan.

Mereka anggap keADILan ini Anwar sahaja, inilah persepsi dan taktik mereka. Mereka akan serang Anwar habis-habisan, mereka akan naikkan harga untuk siapa sahaja yang nak keluar dari KeADILan.

Dari itu saya lihat saya yakin banyak benda yang kita boleh selesaikan, tetapi politik tarik orang guna wang ini satu yang sangat negatif dan menentang demokrasi.

Kita tak boleh tunggu kata tak akan ada lagi lompat parti, tetapi tugas kita sekarang ini ialah serang semula BN dan bagusnya kita kena pertingkatkan kritikan dan serangan kita kepada Umno yang mana isu koruspi BN ini lebih mungkin kita boleh pertahankan Pakatan Rakyat dengan baik.

Apakah saudara yakin masa depan KeADILan dan Pakatan Rakyat?

KeADILan ini bukan sahaja akan terus kukuh dan maju tetapi kita ingin atasi BN, kita juga adalah harapan kepada rakyat.

Saya nampak KeADILan bukan hanya bergantung kepada kekuatan kepimpinan tetapi sokongan rakyat.

Pakatan Rakyat dalam satu proses kematangan satu padukan parti politik tetapi Pakatan Rakyat juga ada tanggungjawab dan inilah forum terbaik yang wujud dalam sejarah Malaysia untuk capai muafakat masyarakat.

Isu-isu yang tidak pernah BN letak untuk bincang di meja rundingan sekali, seperti perkara menyentuh isu agama dan sebagainya, kini kita dalam Pakatan Rakyat telah memulakannya.

Kita provide satu avenue yang baik untuk bincang, dengan ini kita smeua tahu apa masyarakat Muslim inginkan, apa masyarat lain inginkan, Tiong Hua soal pendidikan.

Orang bukan Muslim juga mula faham mengapa orang Muslim memegang nilai tertentu ini dengan kuatnya, ini satu pemahaman yang baik.

Isu ini tidak pernah sekali ada di mana-mana forum parti politik lain, hanya Pakatan Rakyat sahaja yang membenarkan ini.

Kita bukan sahaja hendak tadbir negara, tetapi kita mahu mengwujudkan keharmonian antara kaum, bukan untuk kepentingan politik masing-masing tetapi untuk masa depan negara.

Wednesday, June 02, 2010

Kompleks PAS impian kita

30 Jun lepas tercipta suatu lembaran sejarah baru buat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) apabila majlis pecah tanah Kompleks PAS di Paya Indah Wetlands, Dengkil dirasmikan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kompleks baru yang dianggarkan menelan belanja RM30 juta ini merupakan satu lagi mercu tanda yang menjadi titik tolak kesinambungan perjuangan Islam, yang dipelopori PAS sejak lebih setengah abad.

Kompleks yang bakal dibina, mengandungi Pejabat Agung PAS, Pusat Konvensyen, Kompleks kediaman dan perniagaan dan sebagainya.

Di majlis tersebut, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta sebahagian besar pemimpin tertinggi PAS Pusat, hadir sama menyaksikan majlis pecah tanah.

25 tahun lalu, di Lorong Haji Hassan, Jalan Batu Geliga, Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar didirikan. Pada ketika itu seluruh kawasan tersebut di kelilingi dengan kebun getah dan kebun buah-buahan.

Mantan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri yang pada ketika itu menjadi Setiausaha Agung PAS menjadi peneraju utama atau arkitek pembinaan Markaz Tarbiyyah.

PAS tidak mempunyai sumber kewangan. Maka setiap ahli dan penyokong PAS bertungkus lumus mengumpul dana dan membantu pembinaan secara gotong-royong, termasuk membuat jalan masuk ke Markaz Tarbiyyah.

Penulis masih ingat sewaktu PAS menganjurkan ceramah kali pertama di situ. Dalam suasana gelap gelita kepekatan malam, kami bersila di celah-celah kebun getah untuk mendengar ceramah.

Dari situlah antara detik-detik mula kemanisan perjuangan dalam PAS.

Kami mengutip derma pada setiap kali ceramah. Mengumpulkan dana bagi membantu pembinaan Markaz Tarbiyyah PAS sedikit demi sedikit.

Pembinaan Markaz Tarbiyyah dimulakan dengan membina sebuah pejabat dua tingkat, sebagai pusat operasi pentadbiran PAS Pusat. Bangunan dewan yang dinamakan Dewan Dato' Fadzil Noor dan perpustakaan Ustaz Yusuf Rawa dibina kemudian.

Dalam tempoh 25 tahun Markaz Tarbiyyah PAS Pusat begitu nostalgik dan amat besar jasanya kepada pembangunan serta perkaderan aktivis PAS.

Sejurus sebelum Pilihan Raya Umum 2008, PAS membuat satu anjakan baru. Pejabat Agung PAS dipindahkan pada penghujung 2007, ke bangunan baru di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Namun bangunan 7 tingkat itu tidak mampu menampung kepesatan operasi PAS.

PAS menubuhkan sebuah jawatankuasa bangunan yang diketuai Dato' Husam Musa. Beliau beserta beberapa orang AJK bertungkus lumus mencari dana, mencari lokasi dan menyediakan pelan pembangunan Kompleks PAS.

Alhamdulillah dengan kegigihan mereka dan keprihatinan seorang usahawan, PAS memperolehi tanah seluas 20 ekar di Paya Indah Wetlands.

Namun yang ada hanya tanah, dana untuk membina bangunan masih belum ada. Maka hari ini, penulis yang juga sebagai Pemeriksa Kira-Kira PAS Pusat menyeru semua ahli, pemimpin dan penyokong PAS, agar berjihad membantu PAS merealisasikan impian besar ini.

PAS memang tiada duit. PAS selama lebih setengah abad ini, hidup dan subur dengan infak fisabilillah. Kita harus kumpulkan wang sejumlah RM30 juta, jika boleh kita kumpulkan RM50 juta.

Tiada orang kaya atau usahawan yang harus kita harapkan. Saudara saudari, semua bertanggungjawab menghulurkan RM1, RM5, RM10, RM50 atau berapa yang termampu, secara tetap setiap bulan kepada PAS sehingga tertegaknya Kompleks PAS nanti.

Marilah sama-sama kita mencatatkan sejarah, memberitahu generasi akan datang, bahawa kita turut sama membantu membina sebuah kompleks yang bakal memartabatkan perjuangan Islam di Malaysia.

Ayuh kita kumpulkan RM30 juta sebagai saham akhirat yang kekal selamanya untuk kita!

Gaza menangis lagi..

Kejam, ganas dan tidak berperikemanusiaan! Begitulah reaksi masyarakat dunia terhadap tindakan tentera rejim Zionis Israel yang telah menghalang suatu konvoi misi kemanusiaan ‘Lifeline for Gaza’ (LL4G) secara kekerasan.

Komando tentera laut Zionis bertindak menyerang kapal MV Mavi Marmara di perairan antarabangsa sehingga mengakibatkan 20 orang sukarelawan terbunuh dan puluhan lagi yang tidak bersenjata cedera terkena tembakan.

Konvoi pelayaran damai ‘Freedom Flotilla’ yang dikendalikan oleh Palestine Solidarity Campaign diwakili oleh para sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dari lebih 50 buah negara.

Ia bertujuan bagi membawa masuk bahan perubatan dan makanan kepada penduduk awam Gaza yang terkepung akibat tindakan kejam rejim Zionis.

Delegasi sukarelawan dari pelbagai negara ini berjaya mengumpulkan lebih dari 240 ambulan dan kenderaan pelbagai jenis untuk menghantar bantuan ubat-ubatan dan lain-lain barang keperluan harian kepada rakyat awam Gaza yang terkepung.

Apakah masyarakat Dunia mahu melupakan terus rintihan serta tangisan yang memilukan penduduk Gaza ini?

Pencerobohan dan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Zionis ke atas bumi Gaza adalah tanpa sebarang perikemanusiaan. Mereka menggunakan segala kelengkapan kereta kebal serta helicopter Apache buatan Amerika serta jet-jet pejuang bagi membunuh penduduk awam di Gaza.

Malah tindakan terkini menyerang kapal penumpang MV Mavi Marmara serta membunuh sukarelawan dari serata dunia ini, telah melanggar segala batasan undang-undang antarabangsa, hak asasi kemanusiaan serta melakukan suatu jenayah perang yang besar.

Sehingga kini tentera Zionis Israel dengan sokongan kuasa besar Amerika Syarikat terus melakukan kepungan di bumi Gaza yang berpenduduk 1.4 juta orang itu bagaikan penjara terbesar dunia tanpa sebarang perikemanusiaan.

Mereka terus menyekat laluan udara, laluan laut serta darat dan memutuskan bekalan letrik dan air serta menghalang sebarang bentuk bantuan makanan dan perubatan dari sampai kepada penduduk di Gaza menjadikan penduduk Gaza dilayan seperti binatang.

Malahan rejim Zionis Israel kini dihantui oleh kritikan dunia antarabangsa yang mahu mengheret pemimpin mereka ke muka keadilan Mahkamah Antarabangsa di kota Hague.

Segala kekejaman mereka telah dibongkarkan sendiri oleh “Laporan Goldstone” yang menggariskan ‘Jenayah Perang’ yang dilakukan oleh pemimpin rejim Zionis ini.

Malah Majlis Hak Asasi, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (HRC-UN) telah mengundi bagi mengiktiraf sepenuhnya Laporan Goldstone ini.

Laporan setebal 526 halaman itu merupakan hasil siasatan ke atas perang 22 hari di Semenanjung Gaza akhir tahun lalu dinamakan sempena nama mantan seorang hakim Mahkamah Persekutuan Afrika Selatan, Richard Goldstone.

Ia merumuskan bahawa serangan rejim Zionis Israel pada 2008-2009 ke atas Hamas adalah sebenarnya mensasarkan kepada seluruh penduduk awam Gaza dan merupakan suatu ‘Jenayah Perang’ yang perlu diadili oleh Mahkamah Antarabangsa.

Lebih menarik apabila Goldstone sendiri adalah seorang berketurunan Yahudi.

Begitu juga dengan laporan yang disediakan oleh lembaga kemanusiaan dunia termasuk Amnesty International dan Oxfam yang menggariskan bahawa dunia antarabangsa telah mengkhianati warga awam di Gaza kerana gagal mencegah segala kekejaman serta sekatan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.

Lembaga pertubuhan Human Rights Watch juga meletakkan kesalahan kepada Israel dan dan melaporkan bahawa pemimpin Zionis Israel telah terlibat dalan ‘Jenayah Perang’ di Gaza.

Inilah kejahatan yang dilakukan oleh mereka sehinggakan dunia antarabangsa kini bersedia mengheret pemimpin rejim zionis kemuka pengadilan.

Antara fakta kemusnahan yang di lakukan oleh Zionis Israel sepanjang perang 22 hari di Gaza adalah;

Lebih 1,400 orang awam terbunuh terbunuh
450 orang terdiri dari kanak-kanak yang terbunuh
510 terdiri dari wanita yang terbunuh
Lebih 5,600 cedera parah
Masjid-masjid yang di musnahkan
- 42 musnah terus
- 111 rosak teruk
47 institusi pengajian dan sekolah di bom
27 bangunan kerajaan yang musnah

Bagi di Malaysia, kita amat berterima kasih kepada seluruh warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama yang telah bersama-sama menyatakan bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis.

Kita terus-menerus menghulurkan bantuan bagi membantu meringankan penderitaan umat Islam Palestin.

Ini adalah sebahagian dari tuntutan dan kewajipan bersama bagi membantu saudara-saudara kita terutamanya yang sedang terkepung di Gaza sekarang ini.

Dan inilah juga pernegasan Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Mashaal sewaktu penulis bertemu beliau di Damascus baru-baru ini. Beliau menegaskan bahawa bahawa seluruh rakyat Palestin kini sedang berada di belakang pejuang suci.

“Walaupun kami sedang dikepung oleh tentera Zionis Israel di segenap sudut dan menghadapi ujian yang amat getir, namun kami amat yakin dengan janji-janji Allah SWT. terhadap mereka yang berjuang serta membela bumi suci Palestin dan Masjid al-Aqsa”.

Beliau menegaskan bahawa seluruh warga dan rakyat Malaysia hendaknya terus mendukung perjuangan rakyat Palestin dan sentiasa mendoakan kejayaan dalam mempertahankan tanah suci yang telah di rampas dan hak semua tahanan termasuk wanita dan kanak-kanak untuk dibebaskan dari penjara Zionis.

Belau sekali lagi mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah bersama-sama membantu serta membela rakyat Palestin yang tertindas.

”Doakan kejayaan kami agar kami sentiasa bersabar menghadapi ujian besar di Gaza dan seluruh Palestin. Dengan izin Allah SWT. Kita akan sama-sama bertemu di Masjid Al-Aqsa untuk bermunajat di hadapan Yang Maha Agung”.

Inilah pesanan yang disampaikan kepada kita semua di Malaysia. Sama-sama kita mengambil renungan dan berdoa agar Allah menyelamatkan semua sukarelawan yang menyertai ‘Lifeline for Gaza’ dan kejahatan Zionis Israel akan hancur jua serta saudara-saudara kita di Gaza yang diberikan kemenangan dengan ‘Intifadah’ kedua ini.

(Tulisan Dr Syed Azman Syed Ahmad di Harakah)

Melayu musnah kerana Umno

Menyalahkan orang lain di atas kelemahan orang Melayu dan ummat Islam di Malaysia adalah suatu kerja yang mudah. Ketamakan kaum dan pihak lain untuk menyekat kebangkitan Melayu (tafsiran Umno) dan Islam mungkin ada.

Tetapi kelemahan kaum Melayu dan kepimpinan yang meletakkan suku Melayu menjadi ketinggalan dalam pemahaman politik dan kesedaran keagamaan.

Saya tidak suka bercakap dan menulis berasaskan kaum, tetapi untuk menjawab nasionalis sempit Umno saya menggagahkan diri menulis dan bercakap hal Melayu.

Seperti penulisan sebelum ini, hak dan kedudukan ketamadunan Melayu dilemahkan oleh Umno paling utama dan cendekiawan Melayu yang menjadi syaitan bisu sama ada di menara gading atau di kalangan pemimpin agama.

Senarai kecil telah diutarakan pengkhianatan dilakukan terhadap ekonomi dan peradaban Melayu.

Melemahkan tamadun Melayu (Islam) melalui tulisan jawi dan bahasa dilakukan oleh pemerintah Umno sejak merdeka hingga sekarang.

Menggadaikan dan "memajukan" tanah rezab Melayu lebih dari satu juta ekar dilakukan oleh kebanyakannya oleh Melayu Umno.

Bankrapnya Bank Bumiputera yang diasaskan melalui kongres Bumiputera, dilakukan oleh pemimpin Umno yang menguasai kerajaan.

Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibuat oleh Umno, walaupun para Intelektual Melayu menentangnya sehingga lahir gerakan PPSMI.

Menyekat bantuan ke Sekolah Agama Rakyat (SAR) sedangkan pemimpin Umno tahu hampir 100 peratus penuntut dan pendidik di SAR adalah orang Melayu.

Setelah majoriti orang Melayu menolak Umno-BN dalam pilihanraya 1999 maka Umno telah mengkhianati suara Melayu di parlimen dengan tidak menambah sebarang kerusi di negeri yang ramai orang Melayu seperti di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Suara Melayu di Parlimen dikhianati oleh Umno semata-mata untuk mempertahankan kemenangan dan mengambil hati rakan kongsi mereka dalam Parlimen.

Saham Bumiputra yang diagihkan oleh kerajaan kepada bumiputera (sudah tentu pemimpin Umno dan rakan Umno yang mendapat), hampir habis dijual kepada bukan Melayu, sehingga peratus equiti bumiputera semakin kurus di bawah kerajaan Umno BN.

Lebih RM 50 Billion dijual dan digadai. Cukuplah sedikit senarai kelemahan dan pengkhianatan pemimpin Umno terhadap bangsa melayu sendiri.

Setelah BN hilang kuasa di 5 buah negeri dan Wilayah Persekutuan, Umno dan NGO pro Umno cuba menimbulkan semula semangat perkauman. Mereka ingin muncul semula sebagai juara Melayu setelah hak Melayu dikhianati akan digadai oleh mereka.

Tiba-tiba PAS dan DAP dijadikan mangsa dan dikambing hitam di atas kelemahan orang Melayu. DAP memang bising di parlimen dan di Dun.

Mereka memperjuangkan Malaysian-Malaysian, rakyat semua sama rata dan sama rasa, dan tak perlu ada perbincangan khas di atas mana-mana kaum.
Rakyat miskin dari mana-mana kaum perlu ditolong. Kita boleh terima atau menolak pandangan DAP, terutama dalam hal melindungi Melayu dan Bumiputera.

Tetapi DAP belum pernah memerintah kerajaan Kuala Lumpur, hanya menjadi pembangkang sejak lepas Merdeka hingga sekarang.

Pengkhianatan terhadap kaum Melayu dan ketamadunan Melayu yang berasaskan Islam dilingkupkan oleh Umno dan bukan DAP.

Di Pulau Pinang, hanya Ketua Menteri dari DAP, mereka DAP belum mengubah apa-apa dasar perlembagaan, hanya setakat ini kerajaan Lim Guan Eng memberi tumpuan hal perkembangan Ekonomi dan kebajikan.

Nipisnya pegangan Melayu terhadap Islam, murtad berleluasa, pelacuran, buang anak saban hari di kalangan orang Islam, rasuah (penerima dan pemberi) di kalangan orang Islam, apakah segala kelemahan itu longgokan kepada DAP atau kaum lain yang kebetulan tidak suka kepada Umno dan BN.

Marilah kita membina kekuatan Melayu dalam segala bidang dengan semua kita kembali kepada asas ajaran Islam tentang usaha, kebenaran, ketakwaan, tidak rasuah, amal makruf nahi mungkar dan kita jadikan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai uswatun hasanah.

(Tulisan Mohamad Sabu di Kolum Membedah Demokrasi, Harakah)