Wednesday, April 15, 2009

Laluan getir Khairy

TUMPUAN kepada pencalonan dan pemilihan Umno kali ini ialah percaturan masa depan politik menantu Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy, selaku Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, dianggap sebagai calon favourite untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda berdasarkan overwhelming support yang diterimanya pada pemilihan Umno tahun 2005.

Pada ketika, itu calon penentangnya Mukhriz Mahathir begitu 'dibenci' orang-orang Umno, sehingga beliau tersungkur kerana tidak mendapat cukup pencalonan daripada Pemuda Umno bahagian untuk melayakkannya bertanding.

Namun kali ini semuanya sudah terbalik, Mukhriz setakat ini sudah meninggalkan Khairy jauh di belakang.

Set-back pertama yang diterima Khairy ialah apabila ketika Hishammuddin Hussein mengumumkan pengunduran, beliau tidak langsung menyebut nama Khairy sebagai calon penggantinya.

Ketika itu Khairy seharusnya sudah faham, bahawa Hishammuddin sudah memberikan signal bahawa laluannya untuk merebut jawatan ketua pemuda amat sukar.

Pada saat ini Khairy seharusnya juga sudah patut menyedari bahawa sokongan, kesetiaan dan aku janji orang-orang Umno kepada beliau selama ini sebenarnya adalah 'rotten support'.

Suatu ketika mereka menolak dan membenci Mukhriz kerana bapanya bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad diibaratkan 'beruk-beruk yang menggocangkan pohon Umno'.

Orang-orang Umno menyukai dan menyanjung Khairy kerana Abdullah Ahmad Badawi merupakan Presiden Umno dan PM yang 'terlalu berkuasa'.

Mereka 'terlalu takut' dengan kuasa Abdullah sehingga Mahathir dan anaknya dianggap seperti pecacai dalam Umno.

Kini, Khairy sudah mula merasai apa yang dirasakan oleh Mukhriz tiga tahun lepas, semata-mata kerana bapa mertuanya sudah tidak lagi popular, tiada kuasa dan ditolak oleh orang-orang Umno.

Bukan sahaja Khairy yang kena tempiasnya. Rakan-rakan rapatnya yang berada dalam gugusan media yang berkuasa, syarikat-syarikat ternama, sudah merasakan tempias daripada kehilangan kuasa Abdullah Badawi.

Khabarnya ada yang sudah membungkus fail, ada yang sudah mengemas pejabat, ada yang sudah memindahkan aset dan tidak kurang yang sedang mengintai peluang mencari penghidupan baru di luar negara.

Nama-nama 'besar' yang menjadi punca serangan Mahathir dan orang-orang Umno sudah mengundurkan diri.

Brendan Pereira sudah lama meninggalkan NST, Kalimullah Masheerul Hassan sudah meletakkan jawatan. Patrick Lim juga sudah membawa diri. Bagaimana pula dengan nasib Kamaludin Abdullah, Kamal Khalid dan 'geng' tingkat empat pejabat PM serta beberapa kroni rapat yang lain.

Mereka yang menjadi pembantu kanan Khairy semuanya sedang tertekan. Kegemilangan graduan Oxford-Cambridge dalam Umno dan kerajaan semakin hampir dikuburkan.

Mereka yang menjadi pillars Khairy sudah dicantas satu persatu. Kekuatan yang menunjangi Khairy semakin rapuh.

Namun, secara retoriknya Khairy boleh berkata, beliau bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno, adalah berdasarkan kekuatan sendiri, bukan kerana sokongan bapa mertuanya.

Tetapi dalam Umno, tiada sokongan tanpa kuasa. Tiada kesetiaan tanpa habuan dan tiada undi tanpa politik wang.

Kesukaan dan kesetiaan mereka kepada individu tertentu hanya semata-mata kerana kuasa, kebencian mereka akan timbul secara automatik apabila pemimpin yang disanjung sudah tidak lagi berkuasa.

Selepas berusia 50 tahun, Umno berjaya menghasilkan graduan-graduan politik yang berpaksikan hidup berdasarkan kepentingan tembolok, bukan pejuang nasionalisme Melayu sebenar, jauh sekali daripada mempunyai nilai dan hemah agama.

Tabiat buruk inilah sebenarnya yang merosakkan perjuangan Umno serta menghakis persepsi dan sokongan rakyat kepada mereka.

Itulah amalan Umno, mereka begitu sinonim dengan amalan 'korupsi, kronisme dan nepotisme.

Pemimpin yang berkuasa akan membawa kroninya ke jawatan-jawatan penting secara segugus dan mereka akan pergi meninggalkan jawatan secara segugus juga. 'Segugus pergi segugus baru akan menjejak masuk'

Ketika ini, belumpun selesai Persidangan Umno bahagian, tidak mustahil Khairy menerima nasib yang sama. Bukan Khairy sahaja, ada berbelas orang Ahli Parlimen penyokong tegar Abdullah Badawi sudah mula menghitung hari.

Khairy dan rakan-rakannya tidak perlu bimbang, bak kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, pintu Pakatan Rakyat sentiasa terbuka menanti mereka bila-bila masa.

(Harakahdaily, 20 Oktober 2008)

No comments: