Saturday, April 25, 2009

Adakah Unity Government keputusan rasmi PAS Pusat?


Sama ada betul atau tidak Ustaz Abdul Hadi memberi kenyataan mengenai Kerajaan Perpaduan atau Unity Government dengan Umno, tidak dapat dipastikan.

Bagaimanapun Malaysiakini melaporkan pada 25 April:

Hadi: Perbincangan k'jaan perpaduan ditangguhkan

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan dengan pemimpin Umno berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan terpaksa ditunda kerana beliau perlu menilai terlebih dahulu kepimpinan baru Umno dan BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, hasrat untuk membincangkan cadangan tersebut adalah dengan kepimpinan dahulu iaitu sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan kononnya beliau menarik balik cadangan itu bagi menjaga kepentingannya dalam mempertahan jawatan Presiden parti yang mungkin dicabar dalam muktamar agung parti Jun depan.

"Cadangan ini (kerajaan perpaduan) semasa Abdullah, tetapi sekarang (Umno) di bawah pimpinan baru (Datuk Seri Najib).

"Pada masa itu, pada dasarnya saya setuju, tapi sekarang lainlah ceritanya apabila Umno di bawah kepimpinan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-52 PAS kawasan Bachok, hari ini, lapor Bernama.

Berdasar kepada perkembangan masa dalam parti itu, terdapat kalangan akar umbi PAS yang tidak setuju dengan rundingan dengan Umno itu.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang melibatkan semua parti politik ditarik balik atas alasan ia tidak difahami orang ramai termasuk ahli PAS sendiri.

Hasrat Abdul Hadi berhubung cadangan itu juga dibantah oleh Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS, yang menyatakan cadangan itu bertentangan dengan keputusan Muktamar Agung Pas di Ipoh tahun lalu.

Nik Aziz berkata, sebarang keputusan mestilah berdasarkan keputusan yang diambil dalam muktamar agung parti dan keputusan lain hendaklah dibuat melalui satu mesyuarat khas yang dipersetuju oleh Pakatan Rakyat.


Secara peribadi saya bersetuju PAS sebagai sebuah parti Islam, untuk muqabalah, berbincang dan bertemu dengan mana-mana pihak, sama ada parti politik, kerajaan atau NGO yang berlainan ideologi.

Asas kepada perbincangan, sesuai dengan kehendak Islam, iaitu kita mengurangkan apa jua bentuk perbalahan atau permusuhan. Dan yang penting lagi ianya harus dilakukan dalam konteks dakwah.

Cuma, saya agak binggung dan bertanya-tanya, bilakah PAS Pusat membuat keputusan secara rasmi untuk merundingkan Unity Goverment dengan PM dan Presiden Umno sebelum ini, Abdullah Ahmad Badawi.

Bukan saya seorang, ramai ahli PAS yang agak keliru dengan urusan ini jika ia benar-benar berlaku. Setahu saya Muktamar Tahunan PAS ke 54 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, meluluskan usul untuk PAS memperkukuhkan kerjasama dengan komponen Pakatan Rakyat, selain meluluskan untuk muqabalah dengan Umno.

Tetapi adakah muqabalah itu dibenarkan sehingga merundingkan Unity Government dengan Umno? Jika Unity Government dibincang dalam PAS, bilakah Majlis Syura atau AJK PAS Pusat, meluluskannya? Jika diluluskan, mengapakah ahli-ahli PAS tidak diberitahu?

Persoalan inilah yang letih dijawab, ditanya bertalu-talu oleh sahabat, rakan dan kawan-kawan dalam parti lain.

No comments: