Wednesday, April 29, 2009

Pendirian rasmi Husam Musa mengenai jawatan Timbalan Presiden PAS


KENYATAAN MEDIA
PENDIRIAN MENGENAI PENCALONAN TIMBALAN PRESIDEN PAS

Sehingga hari ini saya rasa sebelum saya mengumumkan secara rasmi sama ada saya bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS atau tidak. Saya perlu membuat pertimbangan terhadap beberapa perkara terlebih dahulu.

Faktor pertama ialah, saya harus meneliti harapan daripada PAS kawasan-kawasan yang mencalonkan saya ke jawatan Timbalan Presiden. Sejauh mana mereka mengharap supaya saya bertanding. Saya harus menghubungi PAS kawasan-kawasan yang telah memberikan pencalonan mereka untuk mengetahui sebab-sebab mengapa mereka merasakan saya perlu bertanding. Dan jika sebab itu valid, Insya Allah barulah saya buat keputusan secara muktamad.

Faktor kedua ialah, saya harus mempertimbangkan faktor arah tuju parti, iaitu arah tuju PAS sendiri. Adakah PAS memerlukan satu sumbangan saya untuk pengukuhan arah tujunya. Jika arah tuju PAS sudah jelas dan nyata saya tidak fikir perlu di ganggu. Tetapi sekiranya ahli-ahli parti merasakan satu pengarahan masa depan parti yang lebih terang dan tidak ada satu keraguan terhadap parti, mungkin saya akan pertimbangkan penyertaan saya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, insya Allah.

Ketiga, faktor yang saya harus pertimbangkan adalah, adakah dengan penyertaan saya itu saya boleh mengukuhkan pencapaian PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 nanti, dan bagaimana cara saya boleh berperanan untuk tujuan tersebut. Jawatan Timbalan Presiden PAS ditandingi sejak tahun 2005 dan sekali lagi pada tahun 2007. PAS tidak berpecah walaupun ada yang menang dan ada yang tewas.

Saya percaya bahawa tradisi dan nilai mulia dalam PAS masih kekal dan PAS sama sekali tidak akan menjadi seperti Umno dalam soal pemilihan ini. Cuma ada pihak-pihak tertentu yang cuba menggambarkan seolah-olah ada perebutan kuasa yang sengit dalam PAS.

Suka saya nasihatkan pimpinan dan ahli-ahli PAS supaya menjaga etika sepanjang pemilihan ini supaya tidak memenuhi agenda media memperlihatkan PAS ini sama dengan Umno. PAS sebenarnya tidak sama dengan Umno, tetapi kadang-kadang cara kita bertindak boleh jadi silap dan memenuhi agenda media arus perdana yang dikuasai Umno-BN.

Kesilapan kita menyebabkan media gembira memetik maklumat dalaman yang boleh melaga-lagakan antara sesama pemimpin, sedangkan agenda media jelas, mahu menyamakan antara PAS dengan Umno.

Bagi saya jika terdapat perkara, yang ahli-ahli ataupun mana-mana pihak dalam PAS rasa menyalahi disiplin PAS, mereka perlu memaklumkan kepada parti dan saya berharap pimpinan-pimpinan tertinggi parti tidak berdiam diri mereka mesti memperlihatkan satu tahap displin yang tinggi supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan yang boleh merosakkan imej PAS yang telah dibina selama ini termasuk termasuk perpaduan sesama ahli.

Pada pendapat saya, Pilihan Raya Umum ke 13 adalah satu pilihan raya yang kritikal kepada semua parti-parti politik utama dalam negara kita. Ianya adalah penentuan samada PAS boleh menjadi teraju utama menggantikan Umno dalam politik negara.

Ini bermakna pertandingan yang lebih kritikal adalah di antara PAS dengan Umno. Jika PAS berjaya mendapatkan kemenangan diatas kerusi-kerusi yang sekarang ini dipunyai oleh Umno, maka PAS boleh keluar sebagai the main anchor party pada masa akan datang.

Jadi tiga faktor inilah yang harus saya pertimbangkan dan rundingkan dengan PAS kawasan-kawasan, ahli-ahli, sebelum saya memberikan kata muktamad saya untuk bertanding.

Pada tahap ini, saya merasakan masih terlalu awal untuk membuat keputusan. Walaupun terdapat beberapa nama lain yang dicalonkan ke jawatan Timbalan Presiden, saya fikir tiada masalah untuk mengadakan muqabalah rakan-rakan yang dicalonkan untuk menarik diri dan memberi laluan kepada mana-mana calon yang lebih mustahak di kedepankan.

Jika PAS boleh membuat muqabalah dengan Umno, maka saya merasakan tiada sebab untuk tidak boleh berunding dengan calon-calon jawatan tertinggi dalam PAS.

Bagaimanapun setakat pemahaman saya, PAS sendiri tidak pernah secara rasmi mempunyai pendirian terhadap perkongsian kuasa dengan parti pemerintah yang sedia ada.

Oleh kerana tidak ada apa-apa ikatan rasmi maka saya fikir, jalan yang lebih munasabah bagi PAS ialah untuk memperkuatkan parti, mendapatkan sokongan di kawasan-kawasan yang sekarang ini dikuasai oleh Umno.

Bagaimanapun, iika sekiranya arah tuju PAS dapat diperjelaskan dan tidak ada keraguan tentang hubungan hubungan sulit PAS dan Umno, saya rasa tidak ada sebab besar untuk saya bertanding mencabar pemegang-pemegang jawatan yang sedia ada.
Tetapi pada pendapat saya dari trend yang berlaku sekarang ialah wujudnya keraguan terhadap arah tuju PAS, dan masa kita singkat, saya yakin Pilihan Raya Umum ini akan dipanggil lebih cepat dan mungkin dalam tempoh 6 bulan hingga 12 bulan daripada sekarang.

Jika PAS teragak-agak untuk menentukan arah tujunya, maka PAS akan kehilangan peluang persiapan yang secukupnya.

Jelas Muktamar Tahunan PAS yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak sudah membuat ketetapan untuk memperkukuhkan PAS dalam Pakatan Rakyat.Kemudian dalam pilihan raya-pilihan raya kecil pun ada kenyataan dan usaha bersama untuk berdiri atas platform Pakatan Rakyat, itu adalah yang telah dimuktamadkan dan kita kena harus bergerak di atas format yang telah dimuktamadkan bagi memenuhi agenda tersebut.

DATO' HAJI HUSAM MUSA
NAIB PRESIDEN PAS
29 April 2009
Kota Bharu, Kelantan

Husam masuk gelanggang Timbalan Presiden


Malaysiakini melaporkan:

Husam to go for No 2 in PAS?

PAS vice-president Husam Musa has given his clearest signal yet regarding his intention to challenge incumbent Nasharuddin Mat Isa for the party’s No 2 post.

“If PAS’ direction is clear and there are no doubts about Umno’s relationship with PAS, (then there will be) no reason for me to contest,” Husam told reporters after visiting the Pengkalan Chepa Industrial Area (II) in Kelantan.

“But today, I feel that this direction is not clear and there are still doubts about (the two party’s) relationship.”

Husam said he wants to determine why the grassroots have nominated him for the post and will be contacting heads of the divisions that gave him the nominations.

He has already received the minimum two nominations required to run for the post and is expected to pick up the bulk of the nominations from the 14 PAS divisions in Kelantan, where he is based.

Thus far, vice-president Mohamad Sabu had been the only one to have confirmed his intention to contest the deputy president’s post, which Nasharuddin has held for two consecutive terms.

Husam’s candidacy has generated much interest due to the so-called fight between the ‘pro-Pakatan Rakyat’ faction which Husam is aligned to, versus the ‘pro-muzakarah’ faction, linked to Nasharuddin, which wants closer ties with Umno.

Party leaders however have rubbished the existence of such factions and claimed that the labels were concocted by their political rivals to split the party.


Dengan kemasukan Husam ke gelanggang Timbalan Presiden, bermakna sudah ada tiga orang calon yang menawarkan diri selain penyandang, Nasharudin Mat Isa, Mohamad Sabu dan Husam Musa.

PAS Kawasan-kawasan masih belum habis bermesyuarat dan sedang membuat pencalonan. Kita tunggu dan lihat, banyak mana yang akan diterima oleh calon-calon yang menawarkan diri.

PAS secara tradisinya, susah hendak mencalonkan calon lain, selain penyandang. Tetapi jika penyandang sesuatu jawatan tidak dicalonkan oleh banyak kawasan, bermakna ada sesuatu yang tidak kena kepada penyandang tersebut.

Saya rasa tidak baik kalau kita membuat tuduhan atau sebagainya, tetapi lebih baik setiap penyandang jawatan harus memuhasabah diri, dimana kekurangan beliau, dan pemimpin yang dicalonkan juga harus menilai, apakah dirinya layak penyandang jawatan tersebut.

Monday, April 27, 2009

Persoalan mengenai Kerajaan Perpaduan


Ada beberapa persoalan yang timbul berikutan kenyataan Ustaz Hadi semasa Mesyuarat Agung PAS Kawasan Bachok, sebagaimana laporan Harakahdaily:

BACHOK, 26 April : Ustaz Abdul Hadi berkata, biar pun berlaku perubahan dalam kepemimpinan Umno baru-baru ini namun dasar parti itu tidak berubah.

Ditanya mengenai kerajaan perpaduan yang dicetusnya sebelum ini kata beliau pendekatan itu dicetus ketika perbincangan dalaman yang diadakan tahun lepas.

"Pendekatan muzakarah semuanya itu dibincang pada pertemuan tersebut. Perlu diketahui dibincang di peringkat tertinggi parti. Ia dibincang dahulu sebelum disebut kepada umum.

"Pada dasarnya semua pihak bersetuju. Perkara itu juga turut dibincangkan di peringkat Pakatan Rakyat tetapi sekarang Tun Abdulah Ahmad Badawi sudah tidak ada lagi di situ, maka lain pula ceritanya," katanya.

Menurutnya cadangan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan pada awalnya dicetus pada masa Abdullah mengetuai kerajaan.

"Kita kemukakan cadangan terbabit kerana kita melihat suasana masa itu ia sesuai. Jadi buat masa ini kita lihat dahulu bagaimana perjalanan kerajaan," tambahnya.

Malah katanya ada juga blogers yang menyokong cadangan unity government.

Begitu juga kata beliau ahli-ahli PAS tidak ada masalah untuk menyokong setiap keputusan dibuat pimpinan.


"Setiap keputusan mengenai sesuatu perkara yang besar perlu dibawa terlebih dahulu kepada muktamar dan tidak buat spontan," katanya.

Ditanya kewujudan kumpulan pro mukazarah dan pro pakatan menjelang muktamar tahunan Jun depan kata Ustaz Abdul Hadi tidak ada dalam PAS perkara tersebut.


Saya percaya ramai ahli parti, inginkan penjelasan daripada kepimpinan PAS Pusat, adakah perbincangan atau muzakarah dibuat oleh mesyuarat AJK PAS Pusat atau Majlis Syura Ulama, untuk PAS mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan Umno-BN pada zaman Abdullah Ahmad Badawi?

Kedua, seperti kata Ustaz Hadi, ada juga bloggers yang menyokong Kerajaan Perpaduan...blogger yang mana satu? Siapakah mereka?

Saya mencadangkan untuk lebih adil, supaya dilihat dan teliti kembali, kumpulan atau bloggers manakah yang menyokong dan bloggers manakah yang menentang.

Jika lebih ramai suara bloggers bersetuju, adakah PAS akan teruskan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya jika ramai bloggers menentang, tidakkah PAS menyedari cadangan itu suatu kesilapan dan bertentangan dengan semangat kerjasama dalam Pakatan Rakyat?

Saya fikir harus ada pertimbangan pro dan kontra, dan dikaji sedalam-dalamnya, sebelum pemimpin membuat sesuatu keputusan.

Bukan apa, saya cuma bimbang, suara-suara tidak senang hati atau bantahan, jika wujud, lebih memburukkan persepsi penyokong terhadap pemimpin itu sendiri.

Beza Muktamar PAS dengan Perhimpunan Umno


KETERBUKAAN Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam menghadapi Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke 55 yang dijadualkan berlangsung awal Jun depan di Shah Alam, amat dialu-alukan banyak pihak.

Ustaz Abdul Hadi secara terus terang membuka ruang seluas-luasnya kepada sebarang pertandingan dalam PAS. Beliau menawarkan diri untuk bertanding dan sedia dicabar.

Malah dengan rasa rendah hati beliau mengatakan, jika sekalipun beliau tewas, beliau akan tetap istiqamah dalam PAS.

Sebagai sebuah parti Islam yang menjunjung prinsip-prinsip Islam dalam perlembagaannya, sikap yang ditunjukkan Ustaz Abdul Hadi ini membuktikan bahawa, PAS parti yang mengamalkan sistem pemilihan secara demokratik, jauh lebih baik daripada Umno.

Media arus perdana cuba memalit dan memesongkan persepsi rakyat, bahawa wujudnya perpecahan yang serius, wujudnya kelompok-kelompok dan usaha jatuh menjatuh pemimpin tertentu.

Hakikatnya apa yang dipaparkan hanyalah khayalan media akibat kerosakan teruk yang berlaku dalam Umno, mahu dijangkitkan pula kepada PAS.

Dalam persoalan pemilihan pucuk pimpinan, PAS tidak akan menjadi seperti Umno dan Umno tidak mungkin akan menjadi setulus PAS.

Sesiapa yang mahu bertanding dalam PAS tidak boleh lari daripada prinsip-prinsip Islam.

Dalam PAS tidak diperlukan kuota untuk melayakkan seseorang itu bertanding mana-mana jawatan yang diminatinya. Pemimpin PAS tidak perlu turun ke kawasan-kawasan untuk melobi mendapatkan pencalonan.

Calon-calon yang bertanding juga tidak perlu pergi berkempen sama ada secara individu atau secara berkelompok untuk menemui perwakilan di seluruh negara.

Calon pemimpin dalam PAS tidak perlu membuat cabutan nombor untuk senarai nama dalam kertas undi. Mereka tidak perlu mencetak kad nama, membuat poster atau kain pemidang.

Calon tidak boleh lobi melobi, tidak boleh memburuk-burukkan calon lawan dan sama sekali tidak perlu menggunakan wang untuk berkempen.

Politik wang tidak boleh wujud dalam PAS kerana ianya bercanggah dengan Islam. Jika terdapat mana-mana pemimpin yang terkena dengan jangkitan Umno, mengamalkan politik wang, nescaya awal-awal lagi dia akan ditolak ahli-ahli PAS.

Dalam erti kata lain, ahli-ahli PAS, perwakilan PAS ke Muktamar tidak boleh disogok sama ada dengan wang, jawatan, tender atau sebagainya.

Ketulusan inilah sebenarnya yang membezakan antara PAS dengan Umno. Jurang perbezaan ini amat besar sebenarnya.

Pengamalan sistem yang berlandaskan Islam inilah sebenarnya, yang menjadi tunjang kekuatan PAS.

Jikapun berlaku pertandingan merebut jawatan tertinggi dalam PAS, jikapun pemimpin tertinggi PAS tewas dalam pertandingan, nescaya parti tidak akan pecah.

Amalan dalam PAS cukup jelas. PAS tidak menolak hasrat atau menghalang sesiapa sahaja yang layak untuk bertanding. Mereka yang bertanding bukannya hendak menonjolkan diri atau kepentingan peribadi.

Calon-calon berhak menawarkan diri dan mengemukakan hujah secara rasional, apakah manfaat yang akan diperolehi PAS, jika perwakilan memilihnya sebagai pemimpin.

Seperti amanat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada perwakilan Muktamar PAS, "pilihlah pemimpin yang berkualiti dan mereka yang menawarkan diri untuk bertanding harus tahu, mereka sebenarnya ada kualiti untuk dipilih sebagai pemimpin."

Justeru, walaupun PAS akan menghadapi pertandingan dan pemilihan dalam Muktamarnya ke 55 ini, apapun keputusan, sesiapa sahaja yang dipilih sebagai pemimpin, PAS tidak akan berpecah, PAS akan tetap utuh dan terus mendapat kepercayaan rakyat.

PAS sama sekali tidak akan menjadi seperti Umno!

Saturday, April 25, 2009

Adakah Unity Government keputusan rasmi PAS Pusat?


Sama ada betul atau tidak Ustaz Abdul Hadi memberi kenyataan mengenai Kerajaan Perpaduan atau Unity Government dengan Umno, tidak dapat dipastikan.

Bagaimanapun Malaysiakini melaporkan pada 25 April:

Hadi: Perbincangan k'jaan perpaduan ditangguhkan

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan dengan pemimpin Umno berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan terpaksa ditunda kerana beliau perlu menilai terlebih dahulu kepimpinan baru Umno dan BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, hasrat untuk membincangkan cadangan tersebut adalah dengan kepimpinan dahulu iaitu sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan kononnya beliau menarik balik cadangan itu bagi menjaga kepentingannya dalam mempertahan jawatan Presiden parti yang mungkin dicabar dalam muktamar agung parti Jun depan.

"Cadangan ini (kerajaan perpaduan) semasa Abdullah, tetapi sekarang (Umno) di bawah pimpinan baru (Datuk Seri Najib).

"Pada masa itu, pada dasarnya saya setuju, tapi sekarang lainlah ceritanya apabila Umno di bawah kepimpinan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-52 PAS kawasan Bachok, hari ini, lapor Bernama.

Berdasar kepada perkembangan masa dalam parti itu, terdapat kalangan akar umbi PAS yang tidak setuju dengan rundingan dengan Umno itu.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang melibatkan semua parti politik ditarik balik atas alasan ia tidak difahami orang ramai termasuk ahli PAS sendiri.

Hasrat Abdul Hadi berhubung cadangan itu juga dibantah oleh Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS, yang menyatakan cadangan itu bertentangan dengan keputusan Muktamar Agung Pas di Ipoh tahun lalu.

Nik Aziz berkata, sebarang keputusan mestilah berdasarkan keputusan yang diambil dalam muktamar agung parti dan keputusan lain hendaklah dibuat melalui satu mesyuarat khas yang dipersetuju oleh Pakatan Rakyat.


Secara peribadi saya bersetuju PAS sebagai sebuah parti Islam, untuk muqabalah, berbincang dan bertemu dengan mana-mana pihak, sama ada parti politik, kerajaan atau NGO yang berlainan ideologi.

Asas kepada perbincangan, sesuai dengan kehendak Islam, iaitu kita mengurangkan apa jua bentuk perbalahan atau permusuhan. Dan yang penting lagi ianya harus dilakukan dalam konteks dakwah.

Cuma, saya agak binggung dan bertanya-tanya, bilakah PAS Pusat membuat keputusan secara rasmi untuk merundingkan Unity Goverment dengan PM dan Presiden Umno sebelum ini, Abdullah Ahmad Badawi.

Bukan saya seorang, ramai ahli PAS yang agak keliru dengan urusan ini jika ia benar-benar berlaku. Setahu saya Muktamar Tahunan PAS ke 54 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, meluluskan usul untuk PAS memperkukuhkan kerjasama dengan komponen Pakatan Rakyat, selain meluluskan untuk muqabalah dengan Umno.

Tetapi adakah muqabalah itu dibenarkan sehingga merundingkan Unity Government dengan Umno? Jika Unity Government dibincang dalam PAS, bilakah Majlis Syura atau AJK PAS Pusat, meluluskannya? Jika diluluskan, mengapakah ahli-ahli PAS tidak diberitahu?

Persoalan inilah yang letih dijawab, ditanya bertalu-talu oleh sahabat, rakan dan kawan-kawan dalam parti lain.

Thursday, April 23, 2009

Mohamad Sabu tanding Timbalan Presiden PAS


Mohd Sabu sambut gelanggang yang dibuka Presiden PAS dengan membuat pengumuman, sedia untuk merebut jawatan nombor dua PAS.

Malaysiakini melaporkan:

Pemilihan pucuk pimpinan PAS Jun ini bakal menyaksikan perebutan sengit bagi jawatan timbalan presiden apabila beberapa tokoh parti itu dicalonkan bertanding jawatan tersebut.

Dan hari ini, Naib Presiden, Mohamad Sabu mengisytiharkan kesediaannya bertanding jawatan tersebut yang kini disandang oleh Nasharuddin Md Isa.

Turut dicalonkan bertanding jawatan tersebut ialah seorang lagi Naib Presiden, Datuk Husam Musa.

Husam bagaimanapun dilaporkan berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding jawatan timbalan presiden PAS pada muktamar kali ini.

Sementara itu, Mohamad Sabu memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan itu dibuat bagi memenuhi banyak permintaan akar undi PAS yang mendesaknya bertanding jawatan nombor dua PAS itu.

"Saya ingin berkhidmat membantu presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Ini berdasarkan pengalaman saya berhubung dengan masyarakat bukan Islam, kumpulan NGO berasaskan Islam dan DAP," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas bila ditanya sama ada Nasharuddin tidak cukup bagus bagi jawatan tersebut.

Cukup pencalonan

“Orang lain, saya tidak mahu komen,” katanya yang pertama kali menawarkan diri bertanding jawatan tersebut.

Pemilihan PAS tahun ini dijangka menyaksikan pertembungan hebat dua aliran utama parti itu - pro-muzakarah dengan pro-Pakatan (atau "kumpulan Erdogan") - yang mengundang perdebatan hangat sejak muktamar di Ipoh, tahun lalu.

Mohamad Sabu bagaimanapun dilihat tidak tergolong dalam mana-mana kumpulan.

Ketika ditanya sama ada beliau mampu menarik sokongan dari kedua-dua kumpulan terbabit, sambil ketawa kecil, beliau berkata: “(Saya) Jalur (aliran) PAS”.

Malaysiakini difahamkamkan, Mohamad yang sudah dua penggal menjadi naib presiden, telah mendapat cukup pencalonan untuk bertanding jawatan nombor dua itu.


Saya ada bertanya kepada abang Mat, mengapa beliau membuat pengumuman untuk bertanding.

Beliau berkata kepada saya, "Ana dapat sokongan dan janji dari penyokong-penyokong untuk calonkan ana bagi jawatan Timbalan Presiden, dan mungkin ada kawasan-kawasan lain yang mahu mencalonkan ana, ana serah kepada kebijaksanaan ahli-ahli."

Bagi saya PAS patut open minded dan membuka seluas-luasnya pintu pertandingan. Ramai yang dah dicalonkan selain Dato' Husam Musa, Ustaz Azizan Razak, Ustaz Haron Din, selain penyandang jawatan Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Lagi banyak pencalonan, lagi ramai bertanding lebih meriah. Asalkan kita tidak menjadi seperti Umno yang mencaci maki, memfitnah dan memburuk-burukkan calon-calon lawan.

Pemimpin tidak harus ada agenda belakang tabir - Husam


Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, masih belum memutuskan sama ada beliau hendak bertanding atau tidak bagi jawatan Timbalan Presiden PAS pada muktamar Jun depan.

Bernama melaporkan:

KOTA BAHARU, 22 April (Bernama) -- Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau sebaliknya bagi jawatan Timbalan Presiden PAS pada muktamar tahunan parti itu yang akan diadakan di Selangor, Jun ini.

Beliau berkata masih terlalu awal untuk memberikan sebarang kata putus walaupun namanya dikatakan telah dicalonkan untuk jawatan itu dalam beberapa mesyuarat kawasan di Kelantan.

"Saya rasa masih terlalu awal untuk buat sebarang keputusan dan biarlah saya tunggu masa yang sesuai untuk putuskan.

"Secara rasminya saya tidak tahu nama saya telah dicalonkan atau tidak pada mesyuarat PAS kawasan dan saya tahu pun melalui akhbar," katanya kepada pemberita di pejabatnya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan Husam menjadi pilihan pada mesyuarat PAS kawasan di Kelantan untuk bertanding bagi jawatan itu yang kini disandang Nasharudin Mat Isa berdasarkan ketokohan Husam yang mampu membantu presiden PAS dalam menangani isu-isu terkini.

Mengulas laporan itu, Husam turut meminta agar semua pihak tidak mudah membuat andaian kononnya wujud amalan berpuak-puak dalam parti itu.

"Saya sendiri tidak meletak sasaran untuk memegang mana-mana jawatan sejak menjadi anggota PAS dan laporan mengatakan wujud puak tertentu dalam PAS adalah tidak benar," katanya.

Beliau berkata anggota PAS bebas untuk memilih mana-mana pemimpin yang mereka rasakan jujur dan tidak mempunyai agenda "belakang tabir" sebagai pemimpin mereka pada muktamar nanti.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata Badan Perhubungan PAS negeri tidak pernah menentukan mana-mana pemimpin sebagai calon tertentu pada muktamar itu.

"PAS Kelantan sama sekali berkecuali untuk menyokong mana-mana pemimpin dan terpulang kepada kebijaksanaan PAS kawasan untuk memilih siapa yang mereka nak.

"Tidak ada konflik dalam PAS dan apa yang berlaku pada muktamar itu nanti akhirnya untuk kebaikan PAS juga," katanya.


Namun beliau menegaskan bahawa, ahli-ahli PAS tidak mahu mempunyai pemimpin yang mempunyai agenda di belakang tabir dan memimpin mesti jujur.

Saya bersependapat dengan beliau, bahawa pemimpin PAS mestilah mengutamakan perjuangan dan matlamat parti terlebih dahulu, daripada kepentingan peribadi.

Dan walaupun mereka bergelar pemimpin, tidak seharusnya mana-mana pemimpin memperjuang dan mengutarakan idea peribadi, tanpa mendapat persetujuan AJK PAS Pusat, Majlis Syura dan Muktamar PAS sendiri.

Pemimpin-pemimpin juga mestilah jujur dan telus kepada ahli-ahli parti dalam apa jua tindakan yang mereka lakukan.

Ingatlah, mana-mana pemimpin yang melakukan tindakan tanpa mengikut saluran parti yang betul akan ditolak.

Ingatlah juga, anda tidak akan duduk di jawatan pemimpin, jika tidak diberi mandat oleh ahli-ahli PAS.

Justeru ahli-ahli PAS yang matang dan bijak berfikir, akan memilih pemimpin yang betul untuk mereka.

Ustaz Hadi dah buka gelanggang


Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang membuka gelanggang pertandingan di muktamar PAS Jun ini. Laporan menyebut:

"Last night (April 18, 2009), Haji Hadi made a statement in Kota Bharu claiming he is ready to be challenged as president.

Bernama reported that Hadi as saying that he would remain with PAS whether he was re-elected president or otherwise at the general assembly, expected to be held in Shah Alam in June."


Saya fikir, dengan pengumuman Presiden PAS ini, sesiapa pun dalam PAS, yang berhasrat untuk bertanding, dialu-alukan, tawarkanlah diri, biarlah perwakilan menentukan siapa pilihan mereka secara demokratik.

Fenomena Tingkat 4 versi baru Najib

SEMENJAK beberapa tahun kebelakangan ini, orang-orang Umno begitu fobia dengan istilah Tingkat Empat (4), Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Istilah Tingkat 4, dipopularkan mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Ketika mana beliau merujuk kepada kebobrokan dan kerakusan kuasa kroni-kroni Abdullah Ahmad Badawi yang diketuai menantunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Tingkat 4 dikaitkan dengan perhimpunan suatu kuasa stail baru, orang baru dan anak-anak muda di sekeliling Abdullah (ketika itu) yang menguasai serta menentukan masa depan negara dan parti (Umno-BN).

Golongan Tingkat 4 bukan sahaja tidak disenangi Mahathir, tetapi juga oleh kebanyakan orang-orang Umno kerana, dengan kedudukan mereka sebagai kumpulan lingkaran PM (PM's circle), seolah-olahnya kuasa mutlak terletak di tangan mereka.

Mereka tidak menjalankan tugas-tugas pentadbiran (administratif), tetapi dengan kuasa yang diberikan PM, mereka adalah perangka dan pelaksana hala tuju dasar-dasar negara, kerajaan dan Umno-BN.

Mereka juga bertindak sebagai spin-doctor, mengawal dan memanipulasi media untuk kepentingan politik PM dan Umno-BN.

Besarnya kuasa mereka yang berada di Tingkat 4 ini jugalah yang menentukan apa yang patut dan apa yang tidak patut dilakukan pegawai kerajaan, orang-orang Umno dan media arus perdana.

Mereka ini sebenarnya berada di luar circle kerajaan dan parti, tetapi membuat tugasan-tugasan, yang kebanyakannya dilihat sebagai redundant atau mengambil alih tugas pegawai kerajaan dan parti.

Pegawai-pegawai yang menjadi PM's circle ini terlalu kebal kuasa mereka. Jika mahu sebarang urusan dengan PM, cadangan atau apa sahaja hajat, harus menembusi mereka terlebih dahulu.

Dengan kata lain, jika mereka tidak berjaya diyakinkan sama ada dalam bentuk pujukan atau rasuah, jangan haraplah hendak berjumpa dengan PM.

Penguasaan mutlak mereka menyebabkan Mahathir begitu marah kerana, pada zaman pemerintahannya, tidak wujud pegawai-pegawai Tingkat 4 yang berkuasa. Semua kuasa dan penentu dipusatkannya ke bilik pejabat PM, sehingga beliau dilabel sebagai diktator.

Selepas Abdullah diundurkan, Mahathir tidak berhenti-henti bersuara dan pernah menyuarakan kebimbangannya, bahawa fenomena Tingkat 4 ini, akan berulang pada zaman Mohd Najib Tun Razak.

Khabarnya fenomena ini sudah berulang. Apa yang dibimbangi dan ditakuti Mahathir dan orang-orang Umno seolah-olahnya sudah berulang kembali, sebaik sahaja Najib mula berkuasa.

Khabarnya ada 'kuasa baru' yang diwujudkan, berada disekeliling Najib sekarang ini. Kuasa baru ini bertindak sebagaimana pegawai Tingkat 4 di zaman Abdullah.

Pegawai-pegawai inilah yang mengetengahkan gagasan One Malaysia seperti yang dicanangkan Najib.

Malangnya buat Najib, ialah kerana, gagasan ini tidak disenangi kebanyakan orang Umno. Bagi mereka gagasan One Malaysia ini besar implikasinya.

Tidak jelas kata mereka. Tidak diberi penjelasan atau tidak mendapat persetujuan dari kalangan Majlis Tertinggi Umno.

Malah, tatkala akhbar Utusan Malaysia yang begitu pro Najib dan dianggap sebagai pelopor chauvanisme Melayu membuat tajuk 'Bangkitlah Melayu', khabarnya mereka dikecam hebat oleh kumpulan Tingkat 4 JPM kerana dianggap sebagai bercanggah dengan One Malaysia.

Khabarnya ramai editor-editor akhbar arus perdana diberi amaran. Malah ada yang menyiarkan temubual 'pihak-pihak tertentu', walaupun bertujuan positif untuk Najib, tetapi diberi amaran kerana tidak disenangi pihak yang rapat dengan Najib.

Malah lebih obvious (ketara) lagi apabila ada orang Umno mendakwa, khabarnya dilantik tiga orang pegawai khas untuk Rosmah Mansor. Mereka terdiri dari seorang Melayu, Cina dan India.

Perkara ini tidak pernah berlaku pada zaman Dr Mahathir atau zaman Abdullah. Tiada pegawai khas untuk Hasmah Mohd Ali atau Endon Mahmood (allahyarham) atau pun Jeanne Abdullah.

Jika dakwaan ini betul, peruntukan mana digunakan untuk membayar gaji mereka bertiga? Kenapa perlu sampai tiga orang? Jika dakwaan ini benar, ianya harus disiasat kalau-kalau wujud penyalahgunaan kuasa PM atau isteri.

Namun, untuk bersangka baik dengan Rosmah, kemungkinan ketiga-tiga pegawai ini dibayar untuk menggunakan wang poket beliau sendiri.

Namun, apa pun yang diperkatakan, baru tiga minggu Najib berkuasa, sudah macam-macam cerita negatif yang ditimbulkan oleh orang-orang Umno.

Lebih buruk lagi ialah apabila kuasa besar yang diberikan kepada PM's circle ini, telah mengetepikan peranan pegawai-pegawai yang sedia ada, yang lama bertugas dengan penuh setia terhadap Najib.

Barangkali akibat khayal di kemaruk kuasa, Najib terlepas pandang tentang hal-hal ini semua.

Harus juga diingatkan kepada Najib tentang fengshui orang-orang Cina terhadap angka 4 (empat) ini. Bagi orang-orang Cina angka 4 merupakan angka 'sial' kerana disebut sebagai 'sei' yang membawa erti mati.

Bukan apa, silap haribulan, kuasa yang terlampau diberikan kepada pegawai Tingkat 4 JPM, akan menyebabkan orang Umno-BN semakin marah dan rakyat semakin meluat dengan kerajaan.

Jika semua ini tidak dibendung dan diatasi, kebarangkalian untuk Najib menjadi penjawat jawatan PM terpendek dalam sejarah politik Malaysia, akan menjadi realiti.

(Sebagai seorang Islam, kita tidak boleh mempercayai tuah atau sial angka. Catatan penulis tentang angka 4 itu hanyalah semata-mata sindiran kerana banyak tindakan Najib akhir-akhir ini seperti One Malaysia, penghapusan Kementerian Usahawan, penghapusan kuota 30 peratus bumiputera dalam sektor perkhidmatan awam, dilihat semata-mata kerana hendak memenangi hati pengundi Cina dan bercanggah dengan perjuangan Melayu Umno.)

Monday, April 20, 2009

Rungutan orang Umno terhadap Najib

"Apa khabar saudara, bagaimana dengan Presiden Umno, PM baru, Kabinet baru," soal penulis ketika terserempak dengan sekumpulan penyokong tegar yang juga penulis pro Umno di sebuah kedai kopi di pinggir ibu kota.

"Ah...malas nak cakap, kita orang dah fed up..malas nak ambil tahu, lantak lah Umno nak jadi apa," jawab seorang yang berbadan besar.

"Apa pasal pulak bunyi lain macam je kau orang ni..bukan ke kau orang dah berjaya buang Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi)," soal penulis seperti 'menjolok sarang tebuan.'

"Apa yang korang marah sangat ni, bukankah korang yang hendak sangat Presiden baru, PM baru," jolok penulis lagi.

"Ini yang kita orang 'angin' ni, ingatkan bagus sangat daripada 'si lembik tu', tapi kita orang dapat 'si penakut'," kata seorang yang bermisai lebat 'ala-ala Sarjan Misai'.

"Aku bimbang Umno ni, dulu kerajaan tiga beranak, sekarang macam nak jadi kerajaan suami isteri," kata yang berbadan besar tadi, tanpa menjelaskan maksud di sebalik kata-kata beliau.

"Dulu kita hentam Dollah, kata beliau buat keputusan parti dan kerajaan sewaktu sarapan pagi dengan anak beranak, sekarang ini kita bimbang banyak keputusan dibuat dua orang dalam kelambu," kata seorang lain dengan nada kesal dan kecewa.

Daripada pengamatan penulis, ada antara 'geng coffee house' yang sudah turun darjat menjadi 'geng kelab kopi kedai bawah pokok', adalah antara golongan yang kecewa dengan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Walhal, merekalah antara penjaja kejatuhan Abdullah dan kroni-kroni. Ada antara mereka yang mengenali Najib dengan rapat sewaktu menjadi anggota biro-biro dalam Pergerakan Pemuda Umno lagi.

Berdialog dengan lebih lanjut, mereka menghuraikan antara sebab-sebab kekecewaan adalah kelemahan Najib yang didakwa tunduk kepada kehendak MCA, sehingga terpaksa membuat slogan One Malaysia.

"One Malaysia ni sama dengan slogan DAP Malaysian Malaysia, apa pasal pulak Najib nak ikut idea DAP.

"Aku ingat ini pasal Najib nak cuba menang balik hati Cina (pengundi), yang dah tolak BN," sampuk seorang rakan.

"Kita orang marah betul bila Najib bagi kuota Menteri banyak pada MCA, padahal dalam PRU lepas MCA yang banyak kalah, prestasi Umno lebih baik.

"MCA memang melampau, mereka tak fikir hati (orang) Umno, dah la tak mampu pertahan kerusi Cina (kawasan majoriti pengundi Cina), lepas tu tuntut pulak TPM," ujar mereka melepaskan geram.

Perbualan dengan lingkaran orang-orang Umno di kedai kopi tadi menjadi semakin panas, bergelas teh ais dan teh tarik dipesan berulang-ulang kali.

Nampaknya reform yang dicanang Najib dan penyusunan Kabinet barunya tidak diterima baik di kalangan Umno.

Sambil menghembuskan asap rokok yang berkepul-kepul dan menghela nafas yang panjang, seorang rakan berkata,"Aku cukup kecewa bila Najib mansuhkan Kementerian Usahawan. Situlah tempat nak tolong Melayu, kat situlah tempat peniaga kecil Melayu cari makan.

"Ini semua pasal nak tunjuk adil. Kononnya nak beritahu orang Cina yang kerajaan baru ini tidak pilih kasih dan beri layanan sama rata kepada semua," katanya lagi.

Sampuk seorang rakan,"Aku takut langkah Najib ini boleh bunuh bumiputera (jejas peluang berniaga)."

"Lembik-lembik Dollah pun dia cukup tegas dengan kaum Cina, tak bertolak ansur untuk pertahan hak Melayu," kata seorang rakan yang lain.

Jika hendak dicatat rungutan demi rungutan orang Umno ke atas Najib, cukup banyak. Tetapi cukuplah buat sementara ini, direkodkan betapa wujudnya kalangan orang-orang Umno yang amat kesal dengan Najib.

Ternyata Najib memulakan langkah pertama sebagai Presiden Umno dan PM dengan langkah yang amat sumbang.

Belum pun sebulan beliau menjadi Presiden Umno dan PM, orang-orang Umno sudah mula membandingkan keupayaannya dengan Abdullah Badawi.

Nampaknya walaupun peralihan kuasa sudah berlaku, tetapi segala-galanya tidak berjalan dengan lancar sebagaimana dikehendaki kumpulan yang menyokong Najib.

Ada yang kecewa tidak dilantik Menteri, ada yang kecewa tidak diberi peluang dan ada yang kononnya kecewa kerana masa depan orang Melayu tergadai akibat 'ketakutan' Najib kepada parti-parti komponen BN.

Hasrat Najib untuk menjadi PM yang lebih baik atau lebih popular dari Abdullah, nampaknya sukar menjadi kenyataan.

Beliau 'berjaya' menjadi Presiden Umno dan PM. Tetapi malang buat beliau, kerana Umno dan kerajaan yang diambil alihnya berada dalam keadaan tempang dan terumbang-ambing.

Umno-Bn kini berada dalam keadaan yang amat sensitif dan serba kekalutan kerana sokongan rakyat terhadap mereka semakin menyusut.

Rakyat sedang memerhatikan Umno dan lain-lain komponen BN. Rakyat juga sedang menunggu masa yang sesuai untuk menghukum Najib jika beliau tersilap langkah.

Kedudukan Najib sebenarnya berada dalam keadaan yang amat bahaya jika reform dan beberapa langkah yang diambilnya tidak mendapat sokongan akar umbi Umno dan tidak diterima baik oleh komponen BN.

BN menghadapi masa depan yang gelap kerana masalah dalaman yang kronik dan berterusan.

Masanya sudah tiba untuk digantikan mereka dengan Pakatan Rakyat menerajui negara dengan seberapa segera yang boleh.

Thursday, April 16, 2009

Menilai Najib dari sudut Islam

Barisan Kabinet Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, 9 April lalu, jelas tidak mendapat sambutan yang baik di kalangan rakyat, malah disangsikan di kalangan Umno-Barisan Nasional sendiri.

Kesangsian itu sedikit sebanyak mengugat kewibawaan Najib yang dipamerkan media arus perdana sebagai seorang PM yang mempunyai wawasan pembaharuan warisan Allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein.

Najib dipamerkan sebagai seorang presiden parti yang mendapat dukungan mantap Umno dan PM yang lebih baik daripada bekas bosnya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Rakyat menunggu-nunggu perubahan yang dijanjikan. Rakyat menunggu-nunggu 'saf' terbaik yang dijanjikan oleh Najib.

Setelah pengumuman penyusunan Kabinet dibuat, hasilnya menghampakan rakyat. Najib benar-benar anti klimaks.

Malangnya buat Najib rakyat tidak melihat Najib mampu berdiri sendiri seperti Allahyarham bapanya. Najib dilihat sebagai seorang pemimpin yang tidak mempunyai pendirian sendiri.

Resepsi awal rakyat terhadap Kabinet Najib begitu negatif kerana beliau kelihatan lebih cenderung menerima sogokan idea mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sekaligus kesangsian ini membunuh imej Kabinet yang diuar-uarkan sebagai Kabinet Rakyat. Ianya adalah Kabinet perogatif PM, ianya adalah Kabinet rakan taulan dan kroni.

Sebenarnya, kesangsian rakyat terhadap Najib sudah lama. Wujud dakwaan bahawa beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor terbabit dalam banyak urusan perniagaan, projek dan tender yang membabitkan ribuan juta RM.

Dakwaan ini menjadi lebih khusus, apabila kedua-duanya diketahui mempunyai hubungan yang akrab dengan penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang baru dibebaskan dari tuduhan bersubahat membunuh Altantuya Shaariibu.

Najib dan Rosmah tidak mampu menutup persepsi bahawa Abdul Razak adalah kroni dan sekutu rapat, yang menjalan urusan projek dan tender bagi pihak mereka, khususnya dalam pembelian peralatan ketenteraan, dan komisyen yang diperolehi daripada urusan perniagaan mencecah ratusan juta RM.

Jika dakwaan ini benar, PM dan isteri boleh didakwa menyalahgunakan kuasa, mengamalkan rasuah dan mengaut harta rakyat untuk kepentingan diri dan kroni.

Dakwaan-dakwaan ini sebenarnya amat serius dan bakal memberikan impak yang buruk kepada negara jika PM tidak bersih.

Pandangan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa Najib seharusnya bersih dari segala dakwaan sebelum dilantik menjadi PM, bukannya dilihat daripada sudut politik semata-mata.

Sebagai seorang ulama, Ustaz Hadi melihat isu Najib ini dari juga sudut Islam. Pada pandangan Islam, pemimpin mestilah bukan sahaja, berilmu, beriman, berakhlak mulia, berkarisme dan bertanggungjawab. Pemimpin mestilah telus dan bersih.

Bukan sahaja untuk diri seseorang pemimpin sahaja, malah isteri, anak-anak dan anggota keluarganya harus dipastikan bersih dan berakhlak mulia.

Tambahan pula negara, khususnya parti Umno yang diterajui Najib berhadapan dengan gejala keruntuhan moral yang amat teruk dan amalan politik wang dan rasuah yang menjijikkan.

Tanggungjawab Najib amat besar. Beliau harus membersihkan Umno yang kotor dan pembersihan itu harus bermula dari dirinya sendiri.

Jika Najib berterusan kelihatan tidak bersih, nescaya beliau akan terdedah kepada pelbagai fitnah dan tohmahan.

Belengu fitnah dan tohmahan akan menghalang seseorang pemimpin menjalankan pemerintahan dengan dengan adil dan saksama.

Dalam keadaan sekarang, Najib sudah pasti tidak mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat yang setia bersama Pakatan Rakyat. Malah bibit-bibit perpecahan dalaman Umno-BN sudah mulai tercetus.

Justeru pada tahap ini, amat wajar jika PAS tidak yakin Najib mampu menjadi PM yang lebih baik dari PM-PM sebelum beliau.

Wednesday, April 15, 2009

Khairy ibarat kera sumbang

SEPERTI yang dijangka, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang baru ditabalkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno 25 April lepas, tiada tempat dalam Kabinet baru pasca Abdullah Ahmad Badawi.

Khairy memberikan alasan bahawa beliau diberikan task yang amat besar untuk memulihkan Pemuda Umno, sebagai justifikasi tidak tersenarai dalam 'barisan baru' Mohd Najib Tun Razak.

Pada saat ini, nasib penentangnya Mukhriz Mahathir jauh lebih baik daripada beliau. Walaupun kalah, Mukhriz dapat juga jawatan Timbalan Menteri.

Masalahnya Khairy terlupa bahawa bukan Pemuda sahaja yang tenat dan harus diperbaiki. Wanita dan Puteri Umno juga gagal berfungsi. Tetapi Ketua Wanita dan Ketua Puteri dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.

Hakikat sebenarnya, seluruh parti Umno berada dalam keadaan tenat. Jika hendak digunakan hujah Khairy, tidak perlu dilantik Menteri-Menteri dari kalangan Umno, biar semua mereka tumpu pulihkan parti.

Tetapi tradisi Umno tidak begitu. Kebanyakan mereka bertanding merebut jawatan dalam Umno, menghabiskan wang sebegitu banyak adalah kerana mereka mahukan jawatan dalam kerajaan.

Dengan kedudukan sebagai Menteri atau Timbalan Menteri, dengan menguasai senarai peruntukan melalui kementerian tertentu, atau dalam erti kata lain, orang-orang Umno-BN mempergunakan jawatan dalam kerajaan untuk survival mereka dalam parti.

Nasib yang menimpa Khairy ini, hanya menunjukkan jawatan Ketua Pemuda Umno yang direbutnya sejak sekian lama, tidak mempunyai nilai apa-apa.

Khairy, Mukhriz dan Khir Toyo berebut 'sakan' untuk mendapatkan pencalonan jawatan ketua pemuda. Berbulan-bulan ketika mesyuarat bahagian, mereka berhempas pulas dan menghabiskan tenaga dan wang untuk berkempen.

Ketiga-tiga mereka terpaksa mengharungi empat bulan yang kritikal daripada November 2008 (selepas pencalonan ditutup) sehingga Mac 2009 untuk 'maintain supporters' dari kalangan perwakilan Pemuda Umno seluruh negara.

Beratnya serangan balas yang diterima Khairy dan Khir, sehingga mereka dihadapkan ke Lembaga Disiplin Umno atas dakwaan mengamalkan politik wang, namun nasib baik mereka dibebaskan.

Khairy harus sedar bahawa walaupun beliau menang jawatan Ketua Pemuda, ianya bukan petanda beliau diterima oleh Umno. Dua pertiga Pemuda Umno menolaknya, tetapi hanya berpecah undi kepada Khir dan Mukhriz.

Khairy harus sedar bahawa sorakan dan 'boo' dari perwakilan Pemuda dan perwakilan Perhimpunan Agung Umno, tatkala namanya disebut sebagai Ketua Pemuda yang baru, di hadapan bapa mertuanya, yang ketika itu masih Presiden Umno, sebagai penolakan secara terang-terangan.

Kedudukan Khairy dalam Umno hanya ibarat bernafas dalam lumpur. Bukan Abdullah Badawi seorang sahaja tidak dikehendaki Umno, malah Khairy dan juak-juaknya dalam Umno dan Kabinet, tidak dikehendaki dan harus dibersihkan.

Bagi orang-orang Umno yang membenci Khairy, inilah saat yang terbaik bagi mereka untuk membalas hukuman, kerana suatu ketika mereka terpaksa tunduk kepada Khairy yang berkuasa penuh menentukan perjalanan parti dan negara.

Besarnya kuasa Abdullah sebagai Presiden Umno dan PM menyebabkan, orang-orang Umno yang berkepentingan takut dan gerun kepadanya. Selama tempoh lebih lima tahun itu juga Khairy terperangkap dalam sebuah ilusi kuasa.

Kerana menatang kuasa dalam usia muda, Khairy terlupa bahawa sokongan yang diterima selama ini hanya tipu helah dan terpaksa semata-mata. Rakan , penyokong setia, kini semuanya sudah tiada dan semakin menjauhi Khairy.

Kedudukan Khairy dalam Umno yang dilihat amat berkuasa suatu ketika, kini hanya 'melukut ditepi gantang' sahaja. Lebih hodoh lagi apabila beliau kini ibarat 'kera sumbang' dalam Umno.

Orang Umno yang membenci dan menyalahkan Khairy begitu ramai. Bilangan mereka semakin bertambah ketika Najib mula berkuasa. Lalang-lalang ini memang mudah berpaling tadah mengikut angin bertiup.

Hakikatnya, Abdullah sudah tiada. Khairy tiada 'back-up'. Penentang-penentangnya dari kalangan penyokong Mukhriz begitu ramai, menanti saat yang sesuai untuk menjatuhkannya.

Ketika Khairy menang Ketua Pemuda, mereka bergaduh dan menjerit-jerit dan memaki hamunya sebagai perasuah. Meminjam kata blogger Husin Lempoyang, gelagat mereka di PWTC tempohari, tidak ubah seperti 'siamang gagap'.

Khairy sebenarnya harus sedar bahawa masa depannya dalam Umno begitu kabur dan gelap. Khairy tidak harus menjadi seperti penglipur lara Pak Pandir dengan mengiyakan sahaja, walaupun nasibnya sentiasa dirundung malang.

(Harakahdaily, 13 April 2009)

Abdullah tidak letak jawatan, tetapi diundurkan

PENGUNDURAN Tun Abdullah Ahmad Badawi dari jawatan Perdana Menteri 3 April lepas, menggambarkan seolah-olahnya beliau seorang pemimpin yang amat berjiwa besar kerana sanggup berundur dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Abdullah kononnya dipuji kerana sanggup mengorbankan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan parti dan negara, dengan memberi laluan kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai PM-ke 6

Jika ditanya hati kecil Abdullah, sudah tentu beliau mahu meneruskan tugas sebagai PM kerana masih ada banyak lagi tugas beliau yang belum selesai.

Di zamannya, banyak program Rancangan Malaysia ke 9, koridor-koridor ekonomi yang beribu bilion ringgit serta beberapa suruhanjaya yang masih belum sempurna tugasnya.

Namun, Abdullah terpaksa berundur dengan cara terhormat, jika tidak mungkin beliau akan diturunkan daripada Umno dan kerajaan dengan cara yang mengaibkan.

Turunnya Abdullah daripada jawatan PM dan Presiden Umno, dibuat genap setahun selepas akhbar Utusan Malaysia menyiarkan gesaan Naib Presiden Umno (ketika itu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Abdullah meletakkan jawatan.

Desakan terhadap Abdullah dibuat, sehari selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, mencatatkan rekod paling buruk BN dalam sejarah politik Malaysia.

PRU 8 Mac turut mencatat titik hitam pada karier politik Abdullah, kerana tidak sampai sepenggal BN menang bergaya sehingga menyapu bersih hampir 90 peratus dari kerusi Parlimen pada PRU 2004, BN telah kehilangan majoriti dua pertiga.

Pada satu ketika Abdullah dilihat terlalu berkuasa, sebagai PM dan Presiden Umno yang mencatat rekod politik paling baik bagi BN, di satu ketika yang lain selepas 8 Mac 2008 kepimpinannya tidak diperlukan lagi oleh Umno.

Memang Melayu Umno terlalu mudah lupa. Tetapi rakyat tidak pernah lupa, bagaimana Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dihina dan diherdik ahli-ahli Umno akibat kegagalan BN dalam PRU 2008.

Di antara Oktober 2003 sehingga Mac 2008, Abdullah dan Khairy adalah antara orang yang paling ditakuti dalam Umno, namun akibat prestasi paling buruk Umno-BN tahun lalu, kedua-duanya menjadi orang yang paling dibenci dalam Umno.

Sebaik Tun Dr Mahathir Mohamad mencanangkan gesaan supaya Abdullah berundur dari jawatan Presiden Umno dan PM, Muhyiddin menyambutnya.

Bukan sekadar Muhyiddin, pemimpin-pemimpin Umno di peringkat cawangan, bahagian dan negeri, tanpa segan silu, secara terbuka menggesa Abdullah berundur segera.

Dalam pertemuan sebagai post-mortem yang diketuai Najib dan Muhyiddin, Perhubungan Umno Negeri dari Perlis hingga Sabah, menggesa pengunduran Abdullah secara terbuka.

Cuma Perhubungan Umno Selangor sahaja yang 'kurang menekan' Abdullah kerana sebelum pertemuan itu, pengerusinya, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dikatakan sudah memberikan taklimat, melarang isu pengunduran disentuh.

Akibat gesaan yang maha hebat itu, grup yang menyokong Khairy mula bertindak. Mereka menghimpunkan beratus-ratus orang di Putrajaya, menjerit dan melaungkan 'Hidup Pak Lah' berpuluh-puluh kali.

Abdullah semakin bersemangat dengan sokongan sia-sia juak-juaknya. Maka Abdullah menegaskan berulangkali bahawa beliau tetap enggan berundur.

Namun desakan demi desakan berterusan, Abdullah tiada pilihan lain, selain membuat 'deal' dengan Najib. Orang-orang Najib mula berunding dengan Khairy dan mengemukakan pelbagai tuntutan berjadual bagi mempercepatkan proses pengunduran Abdullah.

Majlis Tertinggi Umno turut membuat 'retreat' di Shah Alam, dan hasil 'retreat' menunjukkan Abdullah terpaksa akur dengan kehendak majoriti anggota MT yang mahukan beliau berundur. Tersebar luas di kalangan orang media bahawa Abdullah sudah mahu berundur.

Bagaimanapun, selepas kembalinya Abdullah ke Putrajaya selepas 'retreat', Abdullah seolah-olah disuntik seseorang dengan nafas baru. Beliau terus membuat pengumuman beliau tidak akan berundur sebagai PM dan akan terus bertanding untuk mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Umno bagi penggal kedua.

Menjelang mesyuarat MT selepas itu, orang-orang Abdullah sekali lagi dikumpulkan di PWTC, membawa sepanduk dan melaungkan slogan 'Hidup Pak Lah', 'Pak Lah jangan undur' dan sebagainya.

Tidak kurang juga ada yang mencemuh beberapa orang pemimpin yang dikatakan terlalu celupar dan kurang ajar kepada Abdullah.

Bagaimana kuat pun sokongan terhadap Abdullah, tidak mampu menghalang arus dalam Umno yang tidak mahukan Abdullah dan Khairy. Abdullah terpaksa menetapkan tarikh pengundurannya.

Abdullah takut dimalukan jika tiada siapa yang mahu mencalonkannya sebagai Presiden. Maka Perhimpunan Agung Umno 2008 dianjakkan kepada Mac 2009.

Semua hakikat dan fakta ini tidak boleh ditipu. Umno tidak boleh 'menutup pekung' bahawa mereka memang menolak Abdullah, Khairy dan kroni-kroni.

Abdullah terpaksa berundur dengan cara yang terhormat, selepas menerima penghinaan yang begitu teruk dari kalangan ahli-ahli Umno. Inilah cara mereka menghormati pemimpin.

(Harakahdaily, 6 April 2009)

Motif Dr M kembali ke pangkuan Umno

PERWAKILAN Perhimpunan Agung Umno, kononnya terharu apabila pemimpin-pemimpin Umno berhimpun di pentas Dewan Merdeka PWTC, meraikan tamatnya perseteruan antara dua bekas Presiden Umno, seorang yang lama dengan seorang lagi yang baru sahaja 'dibekaskan'.

Ianya seumpama suatu kemenangan besar kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Presiden Umno yang baru, seolah-olahnya beliau berjaya memupuk rasa persahabatan kepada dua pemimpin besar Umno' yang hebat berseteru sekian lama.

Hebatnya perasaan Najib dan para perwakilan Umno, ditunjukkan media arus perdana besar-besaran, buat tatapan rakyat, supaya rakyat turut berkongsi sama dan menunjukkan bahawa Umno kini sudah kembali kukuh (consolidate) selepas berpecah sekian lama.

Usaha-usaha Umno untuk menyatupadukan barisan, bak kata Najib yang mahu kan 'saf' yang padu, merupakan suatu usaha murni bagi sebuah organisasi yang teruk berpecah akibat pelbagai faktor dalaman.

Bagi Umno, perseteruan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, sudah sampai ke tahap kritikal, yang sedikit sebanyak telah mencalarkan imej parti itu di mata rakyat.

Mahathir yang memimpin Umno lebih 22 tahun, mengisytiharkan diri keluar daripada parti itu, selepas pelbagai nasihat, teguran dan kritikan beliau sejak tahun 2005 tidak dipedulikan pengganti beliau.

Justeru, dengan pengumuman Mahathir untuk kembali kepangkuan Umno, menyebabkan perwakilan Umno di Dewan Merdeka bersorak kegembiraan.

Selama hampir lima tahun Mahathir begitu jauh dan berkecil hati dengan Umno dan pemimpin-pemimpinnya yang tidak menghormati beliau kerana takut kepada Abdullah.

Mahathir sebelum ini, cukup marah kerana Abdullah banyak membatalkan atau mengagalkan projek-projek yang diusahakannya, termasuk Jambatan Kedua, Landasan Berkembar, Proton dan banyak lagi.

Beliau cukup tersinggung apabila ahli-ahli Umno menganggap kemenangan besar Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2004 lalu di bawah kepimpinan Abdullah, dianggap sebagai satu rekod yang lebih baik daripadanya (termasuk kejayaan BN merampas Terengganu dan hampir menumbangkan PAS di Kelantan).

Mahathir juga berterus terang mengecam hebat menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin dan kroni-kroninya yang menguasai Tingkat 4 JPM serta akhbar NST, yang disifatkannya anasir-anasir yang merosakkan Umno dan negara.

Beliau juga cukup marah dengan ahli-ahli dan pemimpin Umno yang disifatkannya sebagai penakut terhadap kuasa dan pengaruh Abdullah dan Khairy, sehingga sanggup merasuah perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu untuk menghalangnya menjadi perwakilan.

Malah, secara terbuka dalam blognya Mahathir terus menerus menyerang Abdullah dan Umno dengan melemparkan pelbagai kritikan dan kecaman.

Bagaimanapun, hasil pertemuan di atas pentas Umno, Sabtu lepas, kedua-dua musuh yang berseteru itu dianggap sudah mula mahu berdamai.

Mereka bersalam-salaman dan berpelukan sehingga menyebabkan badut-badut yang berada dalam perhimpunan bersorak sehingga gegak gempita Dewan Merdeka.

Namun, lakonan di pentas Umno jelas tidak menjadi. Hanya dua hari selepas berpelukan dengan Abdullah, Mahathir terus menyerang Abdullah dan mengulangi kenyataannya dalam temuramah BBC bahawa beliau tersilap melantik Abdullah menjadi penggantinya.

Dalam temuramah itu juga Mahathir menyerang Khairy dan kroni-kroni Abdullah, yang didakwa beliau mempunyai pengaruh yang besar dalam kerajaan.

Serangan terbaru Mahathir terhadap Abdullah, hanya dua hari selepas berpelukan menyebabkan lebih 2000 perwakilan yang menghadiri perhimpunan Umno tergamam.

Perasaan keterharuan perwakilan Umno sudah menjadi tidak keruan. Jelas kepada rakyat bahawa gelagat pemimpin-pemimpin Umno yang berpelukan di Dewan Merdeka, hanyalah omong-omong kosong dan lakonan untuk mengaburi mata rakyat semata-mata.

Bagi Mahathir sendiri, beliau tidak mampu menyembunyikan kepura-puraan, motifnya adalah jelas, kemasukannya ke dalam Umno bukan lagi untuk menyerahkan 'tengkuknya untuk disembelih' oleh Abdullah dan kroni.

Mahatir mahu revenge terhadap Abdullah. Dia mahu memperbetulkan kesilapan Abdullah dengan menebus kembali kesilapannya melantik Abdullah. Dia juga mahu menghapuskan saki baki legasi Abdullah.

Abdullah kini telah pergi, yang tinggal hanya Khairy. Sebagai bapa Mukhriz, Mahathir sudah tentu tidak akan berdiam diri. Kemenangan Khairy menewaskan Mukhriz dilihatnya sebagai kemenangan Abdullah menewaskan Mahathir.

Awas Khairy, battle masih belum berakhir. Ianya hanya akan berakhir selepas Mahathir berjaya menghapuskan Khairy daripada Umno.

Perseteruan ini ternyata berterusan. Usaha untuk Umno consolidate sudah gagal, hanya dua hari selepas perhimpunan berakhir. Mereka memasuki Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai bukan sebagai sebuah pasukan yang bersatu.

(Harakahdaily, 3 April 2009)

Gantung permit Harakah - Kami tidak akan berhenti bersuara!

Rakyat dikejutkan dengan tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri untuk menggantung permit penerbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan berkuatkuasa 23 Mac baru-baru ini.

Tiada alasan kukuh untuk menyokong penggantungan yang dibuat KDN, melainkan ianya terdorong daripada sentimen kegusaran pemerintah Umno-BN terhadap keberkesanan Harakah.

Penggantungan permit ini amat tidak adil dan harus ditarik balik serta merta.

Sejak 1987 Harakah diterbitkan, sehingga kini sudah mencapai 22 tahun, tidak sekalipun permit Harakah digantung walaupun tohmahan, fitnah, kecaman dan pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Harakah.

Dalam tempoh 22 tahun, Harakah sedia ditegur, termasuk oleh KDN, dan kita melakukan perubahan jika diminta berbuat demikian.

Bagaimanapun, sebagai sebuah organ parti Harakah juga mempunyai visi dan misi yang tersendiri.

Malangnya, banyak tuduhan kepada Harakah merupakan dakwaan liar yang tidak berasas. Ia juga jarang dibuktikan.

Justeru, kebanyakannya bersifat tekanan politik Umno-BN.

Tindakan menggantung permit Harakah adalah yang julungkalinya dibuat, menunjukkan KDN tidak bertindak adil dan mengikut telunjuk pemimpin Umno-BN.KDN dipergunakan untuk kepentingan politik mereka.

Meskipun Harakah kerap dilabel sebagai 'akhbar nyamuk' yang didakwa tidak berpengaruh, dengan jumlah jualannya tidak sebesar mana, edarannya tidak meluas seperti akhbar arus perdana, tetapi yang peliknya ia begitu ditakuti dan digeruni Umno-BN.

Apalah kedudukan Harakah, jika hendak dibandingkan dengan jumlah puluhan media cetak dan elektronik yang jelas memihak kepada Umno-BN?

Tidak cukupkah lagi dengan sokongan membabi-buta media pengampu itu sehingga mereka cukup alergik untuk menerima kahadiran akhbar alternatif seperti Harakah dan Suara Keadilan?

Mengapa Umno-BN takut dengan suara kebenaran sedangkan Malaysia dicanangkan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, menerima perbezaan pandangan dan menghormati kepelbagaian?

Hakikatnya ketakutan Umno-BN kepada Harakah membuktikan bahawa Harakah merupakan akhbar alternatif yang berjaya.

Hasil sumbangan kecil Harakah, rakyat sudah semakin terbuka minda dan tidak lagi mempercayai media pengampu Umno-BN yang bersepah di pasaran.

Umno-BN menjangkakan usaha mereka melalui KDN menggantung permit Harakah, mampu untuk menyekat rakyat mendapatkan sumber berita yang benar, sahih dan berwibawa.

Sekurang-kurangnya dalam waktu terdekat ini, terutama menghadapi beberapa pilihan raya kecil yang cukup kritikal buat BN, rakyat dijangka akan kembali tertutup minda.

Ternyata sangkaan Umno-BN meleset. Rakyat Malaysia matang berfikir dan membezakan mana yang benar dan mana yang salah.

Justeru penggantungan penerbitan Harakah tidak akan mampu menghalang rakyat yang cintakan demokrasi serta dahagakan keadilan untuk terus mencari kebenaran.

Penggantungan ini juga sama sekali tidak akan mematahkan semangat warga kerja Harakah untuk terus bertungkus lumus memberikan sajian terbaik buat tatapan rakyat.

Walaupun tangan kami diikat, walaupun lidah kami dikunci, kami tetap akan berjuang untuk kebebasan bersuara, kami akan terus berjuang untuk membongkar kepincangan dan malapetaka yang dibawa Umno-BN terhadap rakyat dan negara.

Kami akan teruskan usaha mulia ini dengan beberapa penerbitan yang lain, termasuk dalam laporan harian melalui Harakahdaily.net.

Apa pun, KDN diharap dapat mengembalikan kewarasan bertindak dengan membatalkan arahan penggantungan itu, bagi memastikan imej negara tidak terus tercemar dengan sikap yang tidak demokratik itu.

Dalam suasana media baru, seperti internet, menguasai keadaan, tentulah memalukan jika kerajaan BN dilihat bertambah kerdil dan penakut untuk berdepan cabaran semasa sehingga menggunakan pendekatan primitif bagi menutup peluang buat rakyat menerima bahan-bahan berita atau maklumat alternatif.

(Harakahdaily, 25 Mac 2009)

Belajar demokrasi dari Indonesia

SAYA diberi kesempatan mengikuti rombongan Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa ke Indonesia, khususnya ke Solo (Surakarta) dan Yogyakarta pada 12 Mac lepas.

Dalam lawatan tersebut, kami turut berkunjung seketika ke kota Jakarta. Sekarang ini musim pilihan raya (pemilihan umum - pemilu) di Indonesia.

Indonesia, sebuah negara umat Islam yang terbesar di dunia, mempunyai hampir 300 juta penduduk, bakal berhadapan dengan pilihan raya umum April ini.

Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan, ada tiga peringkat pilihan raya umum memilih Presiden apabila tempoh Presiden Susilo Bambang Yudhono (SBY) dari Partai Demokrat berakhir tahun ini.

Peringkat pertama bulan April. Seterusnya pusingan ke dua bulan Jun dan peringkat akhir September depan. Difahamkan ada 44 buah parti politik yang bertanding.

Tetapi parti yang berkuasa dan dapat membentuk belum tentu akan dapat memastikan wakil mereka menjadi Presiden.

Banyak yang bertanding untuk menjadi Presiden, selain SBY, Naib Presiden sekarang Yusuf Kalla dari Golkar, Megawati Sukarnoputri (PDI-P) dan beberapa tokoh lain turut menawarkan diri menjadi calon.

Di mana-mana sahaja, setiap pelusuk terdapat poster dan kain pemidang calon-calon parti yang bertanding, dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya. Mereka memaparkannya dengan begitu kreatif.

Kemeriahan suasana pilihan raya atau pemilu disemarakkan dengan keterbukaan pemerintah. Di dalam laporan media, misalkan media penyiaran seperti RCTI, Metro TV dan sebagainya, menyiarkan wawancara, iklan serta membuat liputan secara langsung bagi parti-parti politik yang bertanding.

Presiden dan menteri-menteri boleh dikritik secara terbuka dan menjawab kritikan secara terbuka dan telus. Tanpa perlu berselindung dalam suasana kempen yang terkawal.

Keterbukaan ini ada baiknya. Media massa tidak berat sebelah, tidak memburuk-burukkan parti-parti tertentu, tidak menghentam dan menghina calon-calon yang bertanding secara sebelah pihak.

Semua pihak, semua parti mempunyai hak kempen yang sama, mempunyai hak menjawab segala tuduhan yang sama.

Jentera kerajaan juga tidak dituduh menjadi barua atau dipergunakan untuk parti yang memerintah sahaja. Mereka bekerja untuk semua parti dan rakyat Indonesia. Kakitangan kerajaan juga tidak dipaksa cenderung kepada mana-mana parti.

Terserah kepada mereka hendak menyokong siapa. Semua orang boleh membincangkan dan menyokong mana-mana parti yang sukai tanpa perlu bimbang ditarik balik projek, dibuang kerja, diturunkan pangkat atau ditukarkan kerana tidak menyokong kerajaan.

Malah secara terbuka, pihak Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (POLRI) membuat kain pemidang yang diletakkan di merata jalan memberitahu rakyat bahawa 'TNI dan POLRI berkecuali dalam Pemilu'.

Indonesia dituduh sebagai sebuah negara yang mengamalkan korupsi di tahap paling tinggi, tetapi tidak malu membicarakan Presiden, Naib Presiden, Menteri-menteri dan pegawai tinggi kerajaan secara terbuka jika terbabit dalam skandal atau rasuah.

Indonesia sering dilabel sebagai negara yang miskin, tetapi mempunyai rakyat yang kaya jiwa, terbuka dan matang. Kebanyakan mereka yang di luar bandar masih hidup dalam serba kekurangan, lantaran kemiskinan, tetapi mereka tidak pernah dijadikan alat untuk diperas undi mereka pada setiap kali pilihan raya.

Keadaan ini amat berlainan dengan Malaysia. Rakyat Malaysia sering ditipu hidup-hidup oleh kerajaan Barisan Nasional, kononnya Malaysia adalah pengamal sistem demokrasi yang terbaik di abad ini.

Saya terfikir alangkah baiknya kalau media massa kita adil, memberi ruang kepada pemimpin Pakatan Rakyat menyampaikan mesej kepada rakyat.

Saya mengimpikan alangkah baiknya jika pegawai-pegawai dan jentera kerajaan tidak diperalatkan oleh BN, tetapi bertugas secara adil dan saksama.

Alangkah baiknya jika Angkatan Tentera Malaysia dan Polis tidak dipaksakan dengan sistem undi pos, dan polis tidak dipergunakan untuk kepentingan BN semata-mata.

Namun, barangkali semua impian ini hanya sia-sia. BN tidak akan membuka demokrasi lebih luas dari apa yang ada sekarang. Sekarang ini pun, hanya beberapa peratus sahaja ruang demokrasi dibuka, mereka sudah hampir tumbang dan hampir kehilangan kuasa.

Jika demokrasi dibuka sedikit lagi, nescaya pilihan raya umum ke 13 nanti, BN akan tewas kepada Pakatan Rakyat.

(Harakahdaily, 19 Mac 2009)

Syarat damai untuk Najib

HARAPAN Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak agar pembangkang sama-sama membantu kerajaan Barisan Nasional menangani kemelut ekonomi semasa membentangkan Bajet Mini di Dewan Rakyat, Selasa lepas, disambut baik Pakatan Rakyat, tetapi dengan syarat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu Najib mempamerkan keikhlasannya terlebih dahulu sebelum tawaran bekerjasama dalam bidang ekonomi disambut Pakatan Rakyat.

Tok Guru mahu Najib, meredakan kecamukan politik di Perak dengan memohon kepada istana supaya dibubar Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak.

"Bagaimana dengan mudah beliau mahu Pakatan Rakyat mengenepikan perbezaan politik bagi memberi fokus kepada perkembangan ekonomi dan rakyat," tegas Menteri Besar Kelantan itu.

Bagi Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa, Pakatan Rakyat harus meletakkan syarat, bukan mudah-mudah untuk bekerjasama dengan BN yang telah menindas dan menzalimi pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat.

Semasa membahaskan bajet mini di Parlimen beliau berkata, pembangkang sedia beri kerjasama jika, pertama; Kerajaan mesti mengkaji semula perjanjian konsesi lebuh raya, penjana tenaga bebas (IPP) dan konsesi air.

Kedua; Kerajaan mesti menghentikan kezaliman dan fitnah yang dilakukan oleh media massa dan ketiga; Membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri itu diadakan.

Sebelum ini pun, PAS sebagai sebuah parti pembangkang yang utama dalam negara pernah terbabit dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara atau Mapen. Tetapi pandangan wakil-wakil PAS tidak diterima baik oleh kerajaan.

Justeru penegasan senada Tok Guru Nik Aziz dan Anwar, adalah mewakili pendirian sebenar sebahagian besar rakyat Malaysia, khususnya yang menyokong Pakatan Rakyat.

Rakyat tidak mahu tatkala pemimpin parti-parti politik yang bertentangan, berjabat tangan dan bekerjasama di Kuala Lumpur, dalam masa yang sama mereka 'memejamkan mata' terhadap kezaliman BN yang menggunakan jentera-jentera kerajaan dan media menindas rakyat bawahan.

Menghulurkan kerjasama adalah suatu tindakan yang baik dan wajar dipuji. Memang ia sesuai dengan kehendak Islam. Tetapi Islam juga melarang kita membuang masa untuk bekerjasama dengan orang-orang yang zalim dan penindas.

Kerjasama dalam bidang ekonomi sahaja tidak memadai dan tidak akan memberikan kesan yang positif kepada Pakatan Rakyat dan tidak memberi apa-apa keuntungan kepada rakyat.

Hakikatnya, kemakmuran ekonomi tidak akan diperolehi tanpa kestabilan politik. Dan, kestabilan politik akan wujud, hanya apabila rakyat yakin, BN telah memerintah dengan adil dan rakyat dapat merasai keberkesanan sistem demokrasi yang dilaksanakan.

Bagaimana rakyat boleh menyakini keikhlasan BN, khususnya Najib sebagai bakal PM, apabila banyak institusi dan jentera kerajaan dipergunakan untuk kepentingan politik BN buat menindas Pakatan Rakyat?

Rakyat kini tidak mempercayai institusi seperti Kehakiman, Polis, SPR, SPRM dan media yang kelihatan bertindak menekan Pakatan Rakyat dengan lagak seperti seolah-olah mereka sebahagian dari cawangan Umno.

Pada rakyat, kehilangan integriti institusi-institusi ini amat serius sebenarnya, dan pemuliharaan semula semua institusi terbabit mesti menjadi asas, sebelum kerjasama dalam bidang ekonomi dibuat.

Ekonomi hanya akan dapat dipulihkan jika Umno-BN menghentikan amalan politik kotor mereka dan membenarkan amalan demokrasi tulen terlaksana.

Mana-mana negara pun tidak akan dapat memulihkan ekonomi jika mempunyai iklim politik yang tidak stabil. Pemulihan ekonomi tidak hanya berasaskan kepada kekuatan domestik sahaja, ia juga harus mendapat sokongan daripada pelaburan asing atau FDI.

Masalahnya pada ketika ini bukan sahaja pelabur asing enggan memasuki pasaran Malaysia, yang lebih utama majoriti rakyat tidak yakin dengan keupayaan BN memulihkan ekonomi negara.

Asasnya di sini adalah keyakinan. Selagi rakyat tidak mempercayai orang-orang politik Umno-BN yang menguasai pengurusan ekonomi negara, kerana banyak terbabit dalam kes-kes salahguna kuasa dan rasuah, selagi itulah kerjasama yang ditawarkan tidak akan harus diterima.

Kerjasama dalam sudut-sudut yang khusus seperti dalam bidang ekonomi sahaja, hanya akan memberi keuntungan politik kepada Umno-BN.

Seperti kata Dato' Husam Musa, cara terbaik untuk memulihkan ekonomi, hanyalah dengan menukar kerajaan BN kepada Pakatan Rakyat.

(Harakahdaily, 17 Mac 2009)

Cabaran setahun kemenangan kuasa rakyat

8 MAC 2009. Genap setahun kuasa rakyat menghapuskan hegemoni Barisan Nasional. Keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 itu amat mengejutkan.

BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. Hilang kuasa di enam negeri, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Trend rakyat menunjukkan bahawa rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum di negara, sudah menerima gabungan pembangkang daripada PAS, KeADILan dan DAP, walaupun terdiri daripada latar belakang dan ideologi yang berbeza.

Sekaligus rakyat memberikan harapan besar kepada pemimpin ketiga-tiga parti untuk membentuk suatu front yang dinamakan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat adalah platform yang amat unik. Ia mengandungi gabungan anggota-anggota dari parti-parti politik yang tidak sehaluan ideologi pada asalnya.

Orang-orang Cina dan India sudah menerima PAS. Tiada lagi tuduhan pelampau agama, tiada lagi 'ketakutan' kepada watak dan ciri-ciri kepimpinan Islam yang cuba dilabel buruk BN sekian lama.

Pemerintahan empat penggal Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan sepenggal Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Terengganu, sudah menjadi asas yang kuat.

Orang-orang Melayu juga sudah semakin menerima DAP. Dasar, kemesraan dan keterbukaan pemerintahan Lim Guan Eng di Pulau Pinang, menunjukkan DAP lebih baik daripada Gerakan.

Pilihan raya umum 8 Mac menunjukkan rakyat sudah menolak politik perkauman yang sempit dan menolak parti perasuah dengan pelbagai gejala politik wang merosakkan masa depan rakyat dan negara.

Rakyat sudah keluar daripada kepompong eksplotasi agama, kaum, puak dan suku yang digunakan BN sebagai senjata untuk berkuasa sekian lama.

Strategi mengapi-apikan sentimen kaum dan memanaskan iklim politik dengan konflik agama sudah tidak laku lagi.

Rakyat mahukan sebuah gabungan parti politik yang boleh dipercayai untuk menyatupadukan rakyat dari pelbagai agama dan bangsa, menjamin keadilan politik dan sosial.

Justeru Pakatan Rakyat dibentuk. Dengan suatu tujuan dan matlamat, iaitu mengembalikan kuasa rakyat, memperjuangkan keadilan dan demokrasi tulen yang memberikan layanan yang saksama kepada semua rakyat dalam negara.

Keadilan, ketelusan dan keterbukaan pemerintahan Pakatan Rakyat dapat dirasai rakyat. Rakyat dari kalangan berbilang kaum, sudah dapat memahami perbezaan jurang yang amat besar hasil pemerintahan setahun Pakatan Rakyat, berbanding 50 tahun BN.

Gabungan Pakatan Rakyat, yang ditunjangi kebanyakannya anak-anak muda dari kalangan pelbagai kaum dan agama, merupakan ancaman yang paling besar buat BN.

Selepas kemenangan besar pembangkang dalam pilihan raya 8 Mac, tembelang BN mulai terbongkar satu persatu.

Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa berundur daripada kerajaan dan parti.

Umno sebagai parti teras yang menunjangi BN dilihat semakin lesu, tidak bermaya, berpecah dengan pelbagai penyakit yang amat kronik.

MCA, MIC dan Gerakan sebagai parti utama dalam BN juga semakin berpecah dan mengalami keretakan dalam yang teruk.

Kedudukan BN di mata rakyat kini terumbang ambing. Belum tentu peralihan kuasa yang dibuat Umno akan dapat memulihkan persepsi rakyat.

Pemimpin Umno dan BN menyedari dan merasai fenomena ini. Di mana-mana sahaja mereka pergi, semakin ramai rakyat, secara terbuka menunjukkan penolakan terhadap Umno-BN dan menyokong Pakatan Rakyat.

Tiada strategi lain yang mampu menyelamatkan Umno-BN selain menggunakan media untuk menyerang dan melumpuhkan keutuhan perpaduan kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.

Usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat dibuat secara berterusan. Sebaik sahaja selepas pilihan raya umum, Umno-BN yang tidak dapat menerima hakikat kekalahan di beberapa negeri, berusaha untuk membeli wakil-wakil rakyat PAS, KeADILan dan DAP.

Sebelas bulan pertama semua langkah, usaha dan tekanan yang dilakukan mereka gagal. Mereka hanya berjaya apabila berjaya memerangkap dua Ahli Dewan Undangan Negeri dan Exco dari KeADILan di Perak terbabit dalam kes jenayah dan seorang Adun DAP yang berkepentingan.

Perak berjaya dirampas mereka, kini terheret ke dalam kancah polemik yang amat kritikal. Selangor dan Kedah sedang cuba diganggu. Hanya Kelantan dan Pulau Pinang sahaja nampaknya tidak banyak gangguan.

Percayalah, BN tidak akan terus berhenti setakat itu. Rancangan mereka akan berterusan kerana kewujudan dan kesaksamaan pemerintahan Pakatan Rakyat, memberikan impak buruk kepada negeri yang mereka terajui.

Selepas ini akan lebih banyak lagi dakwaan palsu dan omong-omong kosong terpaksa diciptakan demi memburuk-burukkan parti dan pemimpin Pakatan Rakyat.

Jika mereka tidak mampu 'membunuh' parti-parti gabungan, mereka akan cuba untuk 'membunuh' personaliti (character assassination) tertentu yang ada dalam Pakatan Rakyat.

Cabaran getir menanti pemimpin Pakatan Rakyat. Mereka harus menyedari bahawa tekanan yang akan ditimpakan oleh Perdana Menteri baru selepas Abdullah, barangkali lebih hebat.

Maka pemimpin PAS, KeADILan dan DAP tiada pilihan lain selain berusaha sedaya upaya memperkukuhkan perpaduan dan menunjukkan kemampuan bekerja dengan baik sebagai satu pasukan.

Pakatan Rakyat harus sedar dan berubah! Tidak harus ada lagi pemimpin yang memperjuangkan kepentingan peribadi, satu puak atau satu parti sahaja.

Tidak harus ada lagi pemimpin yang menghentam parti kawan secara terbuka dengan menggunakan media milik BN.

Tiada harus ada pemimpin yang menegakkan ideologi atau agenda peribadi tanpa konsensus rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

PAS, KeADILan dan DAP juga harus berusaha mengelakkan pertikaman lidah sesama sendiri dan berusaha mengelakkan bibit-bibit perpecahan dalaman Pakatan Rakyat.

Demi merealisasikan impian rakyat, yang rakyat mahu Pakatan Rakyat mengganti BN pada PRU ke 13 kelak, semua pemimpin dan penyokong harus sedia berkorban demi kebaikan bersama.

(Harakahdaily, 8 Mac 2009)

Salah catur BN di Perak

APAKAH Barisan Nasional menyangka mereka akan mendapat laluan mudah untuk memerintah negeri Perak, selepas mendapat 'perkenan' istana?

Apakah BN menjangkakan dengan menabur strategi 3R (Race, Religion & Royalty - Kaum, Agama dan Raja), mereka dapat menarik sokongan rakyat kepada mereka?

BN tewas dalam Pilihan Raya Umum 2008 di Perak. BN hanya memperolehi kerajaan dengan dengan 'rampasan' yang dipaksakan kepada rakyat Perak!

Timbulnya krisis perlembagaan dan pelanggaran demokrasi, ialah kerana BN menubuhkan kerajaan secara 'haram' dan bercanggah dengan kehendak rakyat, kerana kerajaan pilihan rakyat yang sebenar adalah dari Pakatan Rakyat.

Setelah merampas kuasa dan menjatuhkan kerajaan pimpinan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, BN menggunakan strategi yang bahaya iaitu cuba menyemai bibit-bibit pertelagahan yang serius di kalangan rakyat.

Isu-isu perkauman, agama dan Raja adalah senjata membahaya mainan politik kotor BN, untuk 'menangguk di air yang keruh' bagi menjustifikasikan kerajaan haram mereka.

BN sentiasa cuba memainkan politik yang sensitif bagi mencetuskan polemik di kalangan orang-orang Melayu dengan bukan Melayu, orang Islam dengan bukan Islam dan melagakan Pakatan Rakyat dengan istana.

Taktik pecah dan perintah ini merupakan senjata ampuh BN, yang buat sekian lamanya berkuasa dengan cara mengeksplotasi sentimen dan kelemahan rakyat.

Sememangnya bagi rakyat, sukar hendak diterima jika ketuanan orang-orang Melayu dicabar kaum lain. Umat Islam juga akan menentang keras sebarang percubaan untuk menghina agamanya, manakala rakyat akan turut terpengaruh dengan sentimen anti Raja yang cuba dilabel oleh BN kepada individu tertentu.

Itu memang kerja jahat Umno-BN. Buat apa Pakatan Rakyat dengan menyahut cabaran mereka. Tetapi malangnya, cabaran BN ini disambut oleh DAP, khususnya Karpal Singh.

Penulis tidak salahkan Karpal seratus peratus. Beliau mungkin bertindak sendirian, kerana melihat kes di Perak, pada sudut undang-undang yang disifatkan sebagai tragedi yang membunuh demokrasi, bukan dari sudut politik.

Sahutan beliau kepada cabaran Umno-BN nampaknya ditambah eksploitasi dengan perbagai serangan yang boleh memalit persepsi yang lebih buruk.

Sebagai suatu teguran ikhlas, penulis mencadangkan, pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat, sama ada daripada PAS, KeADILan, khususnya DAP, tidak sepatutnya terjebak dalam perangkap perkauman, persengketaan agama dan usaha melagakan dengan istana yang cuba diracun BN.

Pemimpin Pakatan Rakyat seharusnya lebih matang dalam menangani krisis ini. Tanganinya secara berhemah dan jangan sesekali celupar mulut sebagaimana pemimpin dan wakil rakyat BN.

Memang kita amat geram dengan tipu helah, caci maki dan tohmahan BN. Namun kita masih ada ruang untuk memberikan tekanan kepada mereka, mengikut segala ruang yang dibenarkan oleh undang-undang.

Walaupun kita tahu polis, SPRM dan boleh memihak kepada BN, tetapi di pihak kita, kita ada rakyat. Mari kita tentukan sama ada kuasa orang politik yang menggunakan jentera kerajaan, media, wang dan sebagainya, mana yang lebih berkuasa daripada kuasa rakyat.

Sekarang ini pun 'kerajaan negeri' pimpinan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir, berjalan tanpa haluan atau lost direction. Jentera kerajaan negeri terbantut, pegawai-pegawai kerajaan keliru, kontraktor tidak mahu membuat projek kerana takut tidak dapat bayaran dan pelbagai masalah timbul.

Semua peruntukan tidak boleh diguna atau ditambah tanpa kelulusan Dewan Undangan Negeri. Kerajaan negeri tidak boleh berfungsi kerana Menteri Besar dan anggota Exco digantung daripada menghadiri sidang Dun.

Segala perancangan dan perbelanjaan kerajaan akan terbantut kerana status kerajaan negeri terumbang ambing.

Jika dapat dibuktikan secara undang-undang bahawa kerajaan Nizar adalah sah, maka segala arahan, perbelanjaan dan projek yang dibuat Zambry boleh dipertikaikan.

Zambry, anggota Exconya, setiausaha kerajaan negeri, penasihat undang-undang negeri, pegawai kewangan dan beberapa penjawat lain boleh disabitkan dengan kes salahguna kuasa dan subahat.

Malahan ke mana sahaja Zambry pergi beliau terpaksa berulangkali menyebut beliau adalah MB yang sah? Jelas, Zambry sedang dalam keadaan fobia. Fobia kerana rakyat tidak mahu menerima beliau.

Ke mana sahaja Zambry pergi, sama ada di masjid atau di tempat awam, beliau tidak diraikan. Bagi orang Melayu, Cina, India dan lain-lain, Nizar adalah MB mereka yang sebenar.

Sampai bila-bila pun Zambry tidak akan dapat mengatasi populariti Nizar dan tidak akan dapat menghapuskan persepsi buruk rakyat kepada beliau, walaupun beliau sebenarnya, bukan punca kepada segala krisis yang tercetus.

Jelasnya, Perak kini berada di persimpangan. Negeri kucar-kacir dan tidak ketahuan lantaran krisis demokrasi dan pelanggaran perlembagaan.

Sebenarnya majoriti rakyat amat tidak menyenangi kewujudan krisis sebegini. Krisis ini timbul akibat kerakusan kuasa BN. Rata-rata rakyat Perak berpendapat cara yang terbaik untuk dikembalikan demokrasi, ketelusan dan integriti ialah dengan mengadakan pilihan raya umum negeri.

Apa pun, akhirnya terpulang kepada Sultan Perak, kepada siapakah yang hendak diperkenan, Nizar atau Zambry? Mudah-mudahan baginda tidak membiarkan krisis ini berpanjangan.

(Harakahdaily, 4 Mac 2009)

Langkah sumbang Khir Toyo

HANYA semata-mata mahu mengaut politik murahan untuk mendapat sokongan perwakilan pemuda dalam perebutan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Seri Mohamad Khir Toyo cuba berlagak hero.

Tetapi malangnya langkahnya sumbang. Khir mahu menjadi jaguh, untuk memerangi rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Khir sebenarnya hanyalah seorang jaguh kampung yang desprado. Menghentam Pakatan Rakyat secara semberono, hasil maklumat juak-juak Umno yang masih berjawatan dalam kerajaan dan anak-anak sytarikat kerajaan negeri Selangor.

Khir tidak layak menjuarai isu-isu rasuah kerana sepanjang dua penggal pemerintahannya beliau dipalitkan dengan puluhan tuduhan kes-kes rasuah di Selangor.

Malangnya pendakwaan terpilih dibuat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, yang khabarnya akibat ketakutan mereka untuk bertindak kerana duduk di bawah telunjuk Umno.

Beberapa minggu sahaja Khir dilantik menggantikan Tan Sri Abu Hassan Omar sebagai Menteri Besar Selangor, sudah ada dakwaan rasuah terhadap beliau dikemukakan kepada BPR, khususnya dakwaan yang dikemukakan oleh wartawan Ahmad Lutfi Othman.

Khabarnya Menteri yang menjaga undang-undang ketika itu, Dato' Seri Rais Yatim sudah mengangkat fail kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad, kerana dikatakan selepas BPR membuat siasatan, wujud beberapa keraguan.

Soal kenapa tidak diambil tindakan, tanyalah kepada kerajaan dan Umno. Banyak kes-kes rasuah membabitkan pemimpin Umno ditutup dan dilindungi.

Bukan soal kes Khir Toyo sahaja. Kes Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Dato' Seri Rafidah Aziz, yang dibawa oleh Mohamed Ezam Mohd Nor, mengapa diperamkan begitu sahaja?

Kalau BPR dulu, tidak mahu mengambil tindakan kerana mereka duduk direct dibawah ketiak pemimpin Umno, sekarang ini sudah jadi suruhanjaya, bertindaklah kalau benar-benar telus.

Saya percaya Ezam pun hendak mengetahui status dakwaan rasuah yang dibuatnya sebelum ini, walaupun beliau sudah menjadi salah seorang anggota parti perasuah (politik wang dalam pemilihan).

Berbalik kepada cerita Khir Toyo, kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat bukan tidak mahu membongkar satu persatu 'tahi-tahi Khir yang bersepah-sepah' semasa menjadi MB Selangor dahulu.

Namun pada penulis, kelemahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah beliau lambat bertindak terhadap banyak dakwaan penyelewengan yang wujud di zaman Khir. Ada puluhan kes membabitkan Khir secara khusus sudah dikenalpasti.

Untuk bersikap adil kepada Menteri Besar Selangor, mungkin beliau tidak perasan kes-kes tersebut, mungkin juga beliau 'tersekat' untuk bertindak kerana ramai 'barua-barua' Khir Toyo masih duduk dalam kerajaan dan anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Penulis difahamkan kebanyakan penjawat politik dalam kerajaan dan anak-anak syarikat diisikan oleh Khir, dengan juak-juaknya yang terdiri daripada pemimpin Umno peringkat bahagian, pemuda dan puteri, masih ramai yang bertenggek di pusat pentadbiran kerajaan.

Pakatan Rakyat, secara khususnya Khalid, tidak wajar membiarkan 'anai-anai' ini terus merobek keutuhan kerajaan. Mereka adalah 'duri dalam daging' yang gunanya hanya untuk mensabotaj Pakatan Rakyat.

Semua lantikan politik harus ditapis dan dirombak segera. Mereka yang benar-benar genuine dan tidak berpihak sahaja harus menjadi pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Jika tidak mereka akan menjadi 'mata dan telinga' Umno-BN, yang dibayar gaji oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Khalid harus bertindak segera, 'jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah'. Jika wujud anggapan, selepas diserang teruk baru Khalid, tersentak dan hendak membalas 'kedurjanaan' Khir Toyo, itu kan kurang baik.

Masanya belum terlambat untuk Pakatan Rakyat retaliate. Sebelum mereka lebih rakus dengan pendekatan rough politics, kemaraan mereka harus disekat.

Pakatan Rakyat mesti terus membongkar penyelewengan Umno-BN dan Khir segera, dengan menyenaraikan dakwaan rasuah mereka untuk tatapan rakyat Selangor. Pakatan Rakyat harus pastikan senjata rasuah yang digunakan untuk menyerang Khalid dan kerajaan negeri, 'menikam' mereka kembali.

Khir Toyo tidak layak menjuarai isu rasuah. Lagi banyak dakwaan penyelewengan terhadap Pakatan Rakyat, hanya akan mendedahkan muslihat jahat Umno-BN.

Keangkuhan Khir Toyo harus disekat. Rakyat Selangor kini, patut menghadiahkan 'penyapu' kepada beliau, kerana menjadi 'tukang sapu dan tukang kaut' harta-harta rakyat di Selangor.

Akhirnya, rakyat mesti teguh berada di belakang Pakatan Rakyat dan memastikan Umno-BN, khususnya Khir, menjadi 'kera sumbang' dalam arena politik negara.

(Harakahdaily, 1 Mac 2009)

Kisah katak dan barua politik

POLITIK Malaysia memang hebat. Penuh warna-warni dengan pelbagai konflik, dramatik, sarkastik dan kontradik.

Politik Malaysia sejak akhir-akhir ini sudah memasuki fasa ala barbarian dan kemelut yang berlaku dalam negara, menunjukkan kita sedang menuju ke arah rough politics.

Rakyat sedang dihadapkan dengan tiga kes yang dilakukan secara 'rough' hasil daripada kegelojohan pemimpin Barisan Nasional.

Belum habis rakyat dikejutkan dengan rampasan kuasa di Perak, dibangkitkan pula kes gambar Elizabeth Wong, sekarang dihebohkan pula kes lembu dan kereta Tan Sri Khalid Ibrahim.

BN bukan peduli siapa salah atau siapa betul kerana mereka pun tahu, kes-kes penyelewengan, salahguna kuasa dan salahlaku moral bertimbun-timbun dalam Umno-BN.

Bagi BN, mereka tidak peduli itu semua. Tujuan mereka satu sahaja. BN menggunakan media untuk menanamkan persepsi buruk rakyat terhadap Pakatan Rakyat, bahawa kononnya pemimpin Pakatan Rakyat derhaka, mempunyai salahlaku moral dan melakukan penyelewengan.

Umno-BN beruntung kerana banyak pihak yang membantu. Selain media, propaganda BN memburuk-burukan Pakatan Rakyat dan menanamkan persepsi buruk, dibantu oleh pegawai-pegawai kerajaan yang sanggup menjadi 'barua' atau pencacai upahan.

Sama ada mereka bertaraf mufti, ketua SPRM, ketua polis, ketua hakim, setiausaha kerajaan negeri, pentadbir anak-anak syarikat kerajaan negeri mahupun para editor.

Tiap-tiap hari media pengampu cuba menggambarkan pemimpin Pakatan Rakyat sebagai golongan 'jahat' sedangkan elemen rough politics yang mengkucar-kacirkan politik negara, wujud dengan bantuan mereka-mereka ini semua.

Bukan main marah mereka jika penulis melabelkan mereka sebagai barua politik, tetapi, salah mereka juga, demi kepentingan tertentu mereka sanggup diperalatkan.

Ungkapan sekasar barua ini, harus ditujukan, sesuai dengan realiti politik negara hari ini. Malah, ungkapan-ungkapan kasar nampaknya sudah menjadi mainan orang-orang politik.

Ahli-ahli Parlimen Malaysia adalah antara penyumbang politik 'ala samseng' dengan pertuturan bahasa yang amat tidak beradab.

Menujukan perkataan 'babi', 'anjing', 'beruk' dan 'bangsat', seperti yang terpacul dari mulut Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali dalam sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini, adalah amat tidak wajar samasekali. (Rujuk Penyata Rasmi Parlimen, 19 Februari 2009)

Walaupun beliau sudah menarik balik ungkapan tersebut, namun ia sudah didengari semua yang hadir, malah rakyat yang melayari internet sudah melihat gelagat hodoh beliau.

Lebih hodoh lagi apabila beliau menujukan ungkapan buruk itu terhadap rakan-rakan dari PAS dan KeADILan dalam Pakatan Rakyat.

Bukan sekali, banyak kali tindakan Ibrahim, boleh dikatakan dilakukan secara sedar, bercanggah dengan Pakatan Rakyat, walhal beliau bertanding di Pasir Mas, atas ihsan PAS.

Maka tindakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen mesti disokong.

"Ibrahim sudah buat damage yang cukup teruk, kita tidak perlu pedulikan dia lagi," kata MP Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

"Dahulu kita boleh tolerate dengan dia, sekarang sudah cukup, beliau sendiri yang mengundang dirinya dihentam," komen MP Kuantan, Fuziah Salleh.

"Saya amat sedih cukup kecewa, pernah bergaul dengan dia, saya rapat kerana dia mewakili PAS dan saya akrab dengan pejuang PAS, tiba-tiba perangai berubah sokong Umno dan mempunyai fikiran sempit.

"Cukup tidak sopan tidak betul, apabila beliau tujukan perkataan yang buruk itu terhadap saya," ujar MP Padang Serai, N Gobalakrishnan.

Pada kedudukan sekarang, Ibrahim sukar menepis persepsi rakyat bahawa cara berpolitik beliau adalah salah. Sebelum ini pun, beliau penah dilabel sebagai 'katak' dalam arena politik negara akibat kekerapan berpindah parti.

Diakui, tiada siapa yang suka dilabel katak dalam politik, juga tiada siapa yang suka jika diberi gelaran barua orang politik.

Katak dalam istilah politik Malaysia, dirujuk kepada orang yang tidak berprinsip, sering melompat parti atau mengubah pegangan atas sebab-sebab tertentu.

Manakala barua pula dirujuk kepada orang yang membenarkan dirinya dipergunakan, sanggup menggadai maruah demi kepentingan wang, jawatan, projek, saham dan sebagainya.

Dalam ertikata lain, kedua-dua katak dan barua ini menggambarkan betapa hodohnya sifat manusia yang berkepentingan.

Sebagai muhasabah, jika tidak mahu menjadi katak dan barua, tolonglah jangan sesekali membuat tindakan seperti pesalahlaku yang dirujuk dalam catatan ini.

(Harakahdaily, 25 Februari 2009)

Risiko kerajaan 'mi segera'

WALAUPUN Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dirampas jawatannya, dihalang masuk ke pejabat, disuruh memulangkan kereta dan rumah rasmi, belum tentu Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dapat mentadbir dengan selesa.

Zambry tidak akan selesa kerana beliau sedar kerajaan pimpinannya, didirikan secara instant noodle (mi segera), tidak demokratik dengan bantuan pihak yang defect (berpaling tadah) dan bias (berpihak).

Pada kedudukan sekarang Pakatan Rakyat mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional juga ada 28. Dengan tiga orang Adun yang defect sebagai bebas tapi menyokong BN.

Media pro BN, cuba mempamerkan persepsi baik kononnya kerajaan baru yang haram itu ditegakkan secara demokratik.

Media pengampu juga memainkan isu ketuanan institusi Raja, kononnya Umno pembela ulung Raja-Raja Melayu, manakala Pakatan Rakyat cuba dilabel sebagai golongan penderhaka.

Malangnya mereka tidak boleh menipu sejarah. Banyak kes-kes penderhakaan Umno terhadap Raja. Bukan sekadar derhaka enggan meletak jawatan, malah derhaka Umno sehingga membuat pertabalan 'Raja Palsu'.

Kes-kes penderhakaan Umno ini, insya Allah jika ada masa, akan diperincikan dalam artikel yang lain.

Apapun yang berlaku, apapun tuduhan dilemparkan ke atas Pakatan Rakyat sebagai golongan yang dipersalahkan kerana enggan patuh kepada Raja, hakikat di Perak, adalah sebaliknya.

Gambaran one sided media pengampu, tidak dapat menutup fakta dan hakikat bahawa rakyat Perak sedang menghukum pihak-pihak yang defect dan bias.

Rakyat membenci dan menempelak mereka. Adun-Adun yang berpaling tadah tidak berani menzahirkan diri dikhalayak.

Mereka dibelenggu dengan rasa bersalah sendiri kerana mengkhianati amanah rakyat dan mengheret Perak ke kancah kemelut politik yang berpanjangan.

Tiada siapa yang menggangu mereka sebenarnya, tetapi rakyat menganggap mereka seperti 'anjing-anjing kurap yang memakan bangkai'.

Malah keluarga Adun DAP yang berpaling tadah turut menerima padah. Diceritakan, ketika bapa beliau ke pasar untuk membeli sayur, peniaga-peniaga enggan menjual kepadanya.

"Dia punya luit talak laku ma..kita cakap sama dia..wa tak mau BN punya luit ma..kita tau mau juai," kata seorang peniaga Cina yang ditemui penulis.

Mungkin sukar untuk membuktikan wujudnya rasuah sama ada dalam bentuk wang, jawatan, penghapusan kes atau saham kepada pihak yang defect dan bias ini.

Namun, media pengampu dan BN sendiri, gagal untuk menghapuskan persepsi bahawa wujud rasuah dalam proses pengambilan kuasa secara haram di Perak.

Kata lah apa pun, nafikan lah apa pun! Rakyat percaya bahawa mereka yang defect dan bias ini mempunyai kepentingan tertentu, demi kepentingan peribadi, sehingga sanggup menggadaikan prinsip perjuangan dan keluhuran undang-undang.

Tiada siapa yang menyuruh rakyat membenci mereka atau mempunyai persepsi yang sebegitu. Rakyat yang faham sendiri. Kesedaran rakyat adalah gelombang yang sukar dibendung.

Dalam kes rampasan kuasa di Perak, rakyat turut menempelak Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, kerana terlalu gelojoh, sehingga mencetuskan persepsi, beliau akan 'lebih rakus' jika menjadi Perdana Menteri.

Kegelojohan beliau menimbulkan amarah penyokong Pakatan Rakyat. Sehingga ada kalangan kaum Tionghua membawa 'colok Cina mati' untuk menyambut kehadiran beliau pada sambutan Tahun Baru Cina di Ipoh baru-baru ini.

"Wa..nasib baik dia talak latang wo..kita olang sikalang pakai baju hitam wo..itu serupa (sambut) mati punya olang,

"Ini semua Cina cakap talak baik oo..ini macam kasi Nizar jatuh, serupa 'najis' punya olang," getus seorang peniaga pasar besar Ipoh.

Hasil mainan politik kotor BN rakyat menganggapnya sebagai mainan politik yang amat kotor dan bahaya.

Lazimnya kekotoran dikaitkan dengan najis, sama ada ia merujuk kepada individu yang membuat onar dalam politik atau politiking menjatuhkan sesebuah kerajaan dengan cara yang tidak bermoral.

Justeru, kita orang Melayu, jangan sesekali salahkan kaum Tionghua yang pandai menggunakan istilah 'najis' dalam kegawatan politik negara.

Malah kita harus berbangga kerana merekalah yang memahami falsafah sastera dan perumpamaan Melayu seperti dalam novel SHIT, tulisan Sasterawan Negara, Dato' Shahnon Ahmad.

Tetapi bukan sahaja rakyat yang bangkit menentang BN, di kalangan Umno sendiri juga, walaupun kembali memperolehi kuasa, masih terbelengu dengan politiking dalaman parti.

Menurut sumber Umno, perlantikan Zambry sendiri sebagai Menteri Besar Perak tidak dapat 'perkenan' mudah di kalangan pemimpin-pemimpin Umno.

Najib selaku Pengerusi Umno Perak, mahukan orang lain menjadi MB kerajaan mi segera BN.

Namun, khabarnya dengan campurtangan the one and only Khairy Jamaluddin Abu Bakar, PM Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa bergegas ke istana pada petang itu untuk mengemukakan nama Zambry. Malam itu nama Zambry diumumkan.

Abdullah khabarnya berjaya memintas Najib. Calon dipilihan Najib diberikan jawatan Exco Kanan.

Zambry sendiri bukannya dari grup Umno tulen. Beliau dulunya adalah budak Anwar (Dato' Seri Anwar Ibrahim) dalam Umno.

Zambry adalah aktivis ABIM dan rakan rapat bekas Ketua AMK KeADILan, Mohamed Ezam Mohd Nor, manakala Ezam adalah sekutu rapat dan 'balaci' Khairy. Grup ini adalah grup anti Najib

Namun Najib masih tidak berputus asa. Beliau enggan berbicara walaupun kecewa dengan pintasan Abdullah.

Najib hanya perlu menunggu selepas Mac. Gilirannya menjadi PM dan Presiden Umno. Jika Zambry tidak mengikut 'line Najib' selepas ini, maka kerajaan mi segera pimpinan Zambry juga tidak lama hayatnya.

Pusing ke kiri, pusing ke kanan. Zambry akan sentiasa berada dalam keadaan tertekan kerana BN dan Umno sentiasa terbelengu dengan masalah dalaman yang kronik.

Pihak yang defect dan bias juga sedang tertekan. Ibarat 'diluah mati mak, ditelan mati bapa.' Mereka berada dalam keadaan buntu dan confuse.

Rakyat akan mengadili mereka. Penghalang kuasa rakyat ini akan tumbang dan dibalas dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau April depan.

(Harakahdaily, 23 Februari 2009)