Saturday, May 09, 2009

Pengajaran buat Nik Abduh


Harakahdaily melaporkan:

KOTA BHARU, 9 Mei (Hrkh) - Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman yang baru seminggu menang jawatan Yang Dipertua PAS Kuala Krai, hari ini dinobat pula sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Beliau mengatasi Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz pada pertandingan dua penjuru sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Kelantan kali ke-50 di Perdana Resort.

Manakala Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah pula menang tanpa bertanding Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Seorang peguam, Hisham Fauzi pula menang jawatan naib ketua. Jawatan itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru kesemua dari golongan profesional.

Berdasarkan hierarki tersebut jelas golongan profesional semakin mendapat tempat memandangkan pada penggal lalu, kesemua tiga jawatan utama dewan pemuda negeri diterajui ulama muda.

Pengumuman keputusan tersebut dibuat pengerusi urusetia pemilih, Haji Samsuddin Mat Daud mewakili PAS Kota Bharu yang dilantik sebagai pengendali pemilihan, kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Saya tidak dapat pastikan secara jelas mengapa Nik Abduh tewas dalam merebut jawatan Ketua Pemuda PAS Kelantan.

Yang pasti bukan golongan profesional atau golongan 'mi celup' yang menentang beliau. Beliau ditewaskan oleh ustaz juga.

Pertandingan merebut sesebuah jawatan, tidak seharusnya dikaitkan dengan baik atau buruk, kebenaran atau palsu.

Ianya lebih berkait dengan soal merit dan persepsi perwakilan terhadap seseorang. Justeru ada kemungkinan jika Nik Abduh tidak mendedahkan keburukan pemimpin PAS tertentu yang didakwanya sebagai membuat kerja bodoh dalam blog beliau, lebih baik buatnya.

Seseorang pemimpin sama ada ulama atau bukan ulama, tidak seharusnya memikirkan bahawa dengan mendedahkan apa sahaja yang berlaku sama ada dalam rumahnya atau dalam partinya, suatu tindakan yang betul.

Kadang-kadang berdiam diri lebih baik dari banyak bercakap.

No comments: