Tuesday, May 12, 2009

Peluang Sultan Azlan dan Raja Nazrin pulihkan integriti


Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dalam web blognya mencatatkan bahawa:

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meletakkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah mengejutkan.

Mengejutkan bukan kerana point undang-undang tidak menyebelahi Nizar, tetapi mengejutkan kerana keberanian Hakim Abdul Aziz Rahim membawa Mahkamah Malaysia keluar sebagai institusi yang bebas dan berintegriti. Beliau adalah seorang hero baru.

Keputusan apa pun oleh Mahkamah Tinggi memang boleh dirayu. Tetapi, jika bagi orang awam biasa sekalipun boleh mengerti bahawa pemecatan Nizar adalah tidak sah, dan itu telah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sepatutnya tidak lagi menggunakan saluran undang-undang untuk menyelesaikan krisis Perak yang beliau sendiri mulakan.

Keberanian menerima realiti dan keberanian menyelesaikan kemelut ini mengikut saluran politik adalah segala-galanya.

Jika rayuan itu nanti masih memihak kepada Nizar, Najib dan Umno akan menanggung malu yang lebih besar. Jika keputusan itu atas apa sebab pun memihak kepada BN, rasa euphoria rakyat atas bebasnya kehakiman negara ini kembali menjadi negatif.

Jika Najib berani bertindak bersama Pakatan Rakyat untuk memujuk Sultan Perak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak, BN mendapat dua markah.

Markah atas bebasnya kehakiman di bawah pentadbiran Najib dan point yang kedua, kerana berani mencari jalan penyelesaian kepada krisis atas prinsip kembalikan kuasa penentuan kepada rakyat.

Umno dan BN mungkin tewas dalam pilihanraya itu nanti, tetapi maruah politik dan integriti BN akan dapat dihindarkan dari terus koyak.

Ia telah pun koyak dengan parah sebelum ini. Umno-BN mendapat kuasa di Perak, tetapi ia meranapkan imej BN di seluruh negara, bahkan dunia. Harganya terlalu mahal.

Samada Najib ingin terus bermandi dalam lumpur politik yang tidak mungkin dibersihkan selagi ia menggonggong kuasa di Perak melalui jalan di luar batas undang-undang dan amalan demokrasi yang terpuji atau kembali ke pangkal jalan.

Institusi Di Raja Perak yang amat dihormati sebelum ini juga, mempunyai peluang tersendiri menunjukkan kesaksamaannya.

Institusi ini tidak harus dilihat bertindak memihak kepada satu golongan tetapi bertindak berteraskan peraturan dan undang-undang. Prinsip-prinsip demokrasi harus dihormati.

Peluang institusi Diraja Perak keluar dari kemelut ini dengan tahap imej yang lebih tinggi adalah terbuka luas. Bubarkan saja DUN Perak dan biarkan rakyat memutuskan penghakiman mereka.

Bagi PAS dan Pakatan Rakyat, bukan bermakna pembubaran itu akan menguntungkan mereka. Rakyat Perak mungkin mengundi tidak seperti yang PR harapkan. Apa pun, pembubaran DUN tetap langkah terpuji yang membuktikan PAS dan PR adalah pemain demokrasi yang jujur dan pruden serta berani meletakkan rakyat di tempat teratas. Kuasa bukan segala-galanya tetapi prinsip-prinsip utama lebih didahulukan.

Doakan pembubaran!


Inilah harapan rakyat sebenarnya. Rakyat tidak mahu Sultan Azlan Shah dan Raja Nazrin dilihat cenderung kepada BN. Sukarnya bagi Sultan dan anakanda baginda mengetepikan persepsi yang telah wujud sejak Februari lepas.

Saya merasakan, inilah peluang terbaik buat kedua baginda untuk memulihkan integriti baginda berdua, yang tercemar sekian bulan akibat kerakusan Umno-BN yang kemaruk kuasa.

No comments: