Wednesday, May 13, 2009

Mahkamah rakyat penyelesai krisis Perak


TIADA siapa yang beroleh keuntungan jika kemelut politik dibiarkan atas urusan mahkamah undang-undang tanpa mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat Perak keseluruhannya.

Pakatan Rakyat sudah membuktikan bahawa pemimpin-pemimpinnya berjiwa besar, menyerahkan kembali mandat kepada rakyat Perak untuk memilih siapa yang bakal menerajui kerajaan negeri yang baru.

Apa jua keputusan rakyat, jika pun tidak memihak kepada Pakatan Rakyat, ianya adalah lebih baik untuk memulihara sistem demokrasi yang sedang punah dimamah kerasukan kuasa Barisan Nasional.

Jika pemimpin BN berani dan berjiwa besar, mari bermuafakat dengan Pakatan Rakyat.

Kita bubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dan kita hadapi pilihan raya secara 'anak jantan.'

Nampaknya sehingga kini, pemimpin-pemimpin BN begitu kecut dengan kuasa rakyat, mereka cuba sedaya upaya untuk mengelak diadakan pilihan raya umum negeri.

Jelas, kerana mereka bimbang badi beberapa pilihan raya kecil yang baru berlaku, akan terus memusnahkan masa depan mereka.

Maka dengan sebab itu, BN menggunakan mahkamah sebagai talian hayat terakhir bagi melengah-lengahkan pengambilan kembali kuasa pemerintahan oleh Pakatan Rakyat.

Walaupun BN sudah berkuasa secara haram selama tiga bulan, namun bagi rakyat Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah mangsa kerakusan kuasa BN yang menabalkan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir menjadi Menteri Besar mereka.

Selama tiga bulan rakyat Perak terhumban di dalam kancah politik yang kemelut yang seolah-olahnya sukar dicari jalan penyelesaian.

Jalan penyelesaian memang ada, tetapi apakah penyelesai-penyelesai masalah ini cukup berjiwa besar untuk mengetepikan kepentingan peribadi mereka?

Apakah penyelesai masalah ini tidak sedar bahawa tindakan mereka selama ini sudah mencipta suatu persepsi yang kurang baik dari kalangan rakyat?

Ada dua pihak yang boleh membantu menyelesaikan masalah yang rumit ini. Pertamanya, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan kedua, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Najib harus mengetepikan ego beliau. Ternyata, beliau memulakan langkah politiknya secara salah. Beliau seolah-olah mengetuai 'rampasan kuasa' di Perak semata-mata mahu menempelak musuh tradisinya, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Akibat daripada sikap rakus dan ego beliau, dengan tidak sabar-sabar lagi membuang MB Nizar tanpa mengikut saluran undang-undang, inilah yang sebenarnya menyebabkan rakyat Perak terhumban ke kancah 'pelacuran' sistem demokrasi.

Bagaimana hendak ditumpukan kepada pemulihan ekonomi jika kerajaan tidak stabil?

Bagaimana hendak dibasmi kemiskinan, jika parti-parti politik berbalah tanpa kesudahan? Bagaimana pembangunan hendak dilaksanakan jika sesebuah kerajaan tidak dapat menyempurnakan tugasnya jika sentiasa dicabar kesahihannya di mahkamah.

Jalan terbaik ialah mengembalikan tampuk pemerintahan menerusi saluran undang-undang.

Keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lepas, bahawa penyingkiran Nizar sebagai MB dibuat secara tidak mengikut undang-undang yang berdaulat dalam negara.

Di sinilah peranan besar yang harus ditunaikan oleh Sultan Azlan Shah. Demi kebaikan rakyat Perak untuk jangka panjang, baginda yang pernah suatu ketika mengemudi sistem perundangan negara, baginda harus mengembalikan kedaulatan undang-undang dengan memperkenankan pembubaran Dun.

Kita memperakui bahawa dalam sistem demokrasi berpelembagaan yang diamalkan, Sultan atau Raja-Raja Melayu, berada di atas politik.

Namun dalam hal-hal tertentu Raja-Raja adalah juga pembuat keputusan yang menentukan masa depan negeri atau negara melalui penganugerahan kuasa politik dengan pelantikan MB atau PM.

Inilah masa yang terbaik untuk Sultan Azlan Shah memperbaiki persepsi rakyat terhadap baginda. Inilah masa terbaik buat baginda mengembalikan kemuliaan institusi Raja yang selama ini dianggap rakyat sebagai cenderung terhadap Umno-BN.

Rakyat mahukan Raja yang adil, kerana raja yang adil itulah yang berhak disembah dan disanjung.

Peranan Sultan Perak di sini amat besar. Hanya dengan perkenan baginda sistem demokrasi yang sudah kelam kabut seperti aksi badut-badut di pementasan lawak jenaka dapat dipulihkan kembali.

Sewajarnya baginda memperkenankan pembubaran Dun dan baginda harus terus menjadi hakim yang adil di mahkamah rakyat. Hanya mahkamah rakyat sahaja yang mampu menyelesaikan kemelut politik di Perak.

No comments: