Thursday, May 14, 2009

Adakah kali ini Nik Aziz dipengaruhi pembantunya?

Harakahdaily melaporkan Tuan Guru Nik Aziz tolak kerajaan perpaduan bersama Umno seperti berikut:

KOTA BHARU, 13 Mei (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS sama sekali tidak bersetuju cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Umno.

Beliau berkata, PAS sudah hilang keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana penipuan yang dilakukan semasa PAS berada dalam kerajaan Perikatan pada 1974.

"Kerajaan perpaduan di antara PAS dan BN tidak mungkin berlaku walau pun ada dakwaan kononnya saya akan bersetuju sekiranya PAS ditawarkan jawatan penting termasuk Menteri Pelajaran atau Menteri Kewangan.

"Saya sudah tidak percaya kepada keikhlasan mereka yang pernah menipu PAS. Mereka pernah menendang PAS keluar daripada kerajaan Perikatan pada 1978.

"Oleh itu sekiranya berlaku lagi kerajaan perpaduan di antara PAS dan Umno, apa jaminan Umno tidak akan menendang kami keluar lagi," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Deklarasi Perpaduan Nasional dan Keamanan Sejagat 13 Mei 2009 di Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau sekali lagi mengulangi analoginya diibarat PAS menolak kereta lama Umno-BN, setelah enjin kereta itu hidup, kereta itu berjalan meninggalkan PAS di belakang yang sudah terpalit asap dan lumpur.

Mengenai Deklarasi Perpaduan Nasional yang baru dicetusnya, beliau berkata PAS ada penawarnya bagi menjalin hubungan dengan Umno dengan syarat dasar parti itu ditukar daripada kebangsaan kepada Islam.

"Sekiranya Umno menukar dasarnya dengan persetujuan daripada cawangan dan negeri-negeri kepada Islam maka PAS akan menyokong.

"Tidak ada sebab kita hendak melawan dasar dan perjuangan Islam. Kami melawan sekarang kerana Umno membawa jalan sesat," katanya.

Beliau juga berkata, Umnolah punca kekalutan dalam politik di negara ini kerana mereka hanya mementingkan bangsa, sedangkan Islam milik sejagat.


Sebelum ini Tok Guru dituduh membuat kenyataan dan keputusan atas pengaruh pembantu-pembantunya dari spesis ulama mi celup. Yang membuat tuduhan bukan orang lain, malah anak Tok Guru sendiri, Nik Abduh.

Alasannya Tok Guru sebenarnya bersetuju dengan kerajaan perpaduan, tetapi membuat kenyataan yang sebaliknya akibat dipengaruhi pihak tertentu di sekeliling beliau.

Kali ini Tok Guru membuat penegasan dan mengulangi penegasan dengan lebih keras bahawa, tiada gunanya bekerjasama dengan Umno.

Adakah kali ini Tok Guru dipengaruhi pembantunya? Pembantu mana yang hebat sangat sampai boleh mempengaruhi Mursyidul Am membuat keputusan?

Atau adakah Tok Guru, selaku pemimpin yang banyak pengalaman dalam PAS, pernah bekerjasama dengan Umno-BN tahun 1970-an lalu, tidak boleh berfikir atau tidak pandai berpolitik sehingga terpaksa menerima bulat-bulat maklumat yang disogokkan oleh orang di sekeliling beliau?

No comments: