Thursday, July 13, 2006

Singapura kuasai syarikat strategik negara

Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak mesti dipertanggungjawabkan jika syarikat-syarikat berkepentingan strategik negara terlepas ke tangan Singapura.

Selepas kepimpinan negara diheret dengan krisis kepercayaan akibat dakwaan menjual maruah negara kepada kuasa asing oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, kali ini rakyat tertanya-tanya mengapa kerajaan gagal memantau dan memelihara syarikat Malaysia dari pembelian entiti asing terutamanya Singapura.

Dari sudut undang-undang, barangkali tiada halangan mana-mana pihak asing untuk mencebur diri dalam negara melalui pelaburan dan pegangan saham ke atas syarikat yang berpotensi untuk berkembang.

Sekaligus, ianya dilihat sebagai pelaburan asing yang boleh menjana dan membantu pertumbuhan ekonomi dalam negara.

Namun, pembelian kepentingan syarikat-syarikat tempatan dalam industri pengangkutan,
telekomunikasi, perbankan dan kejuruteraan oleh pelabur asing terutamanya Singapura yang agak ketara sebaik sahaja Abdullah mengambil alih tampuk kuasa daripada Dr Mahathir.

Ada sumber yang rapat dengan kerajaan mendakwa, salah seorang pengurus yang bertugas di Khazanah Holding (syarikat utama milik negara) dipercayai sahabat baik menantu PM, Khairy Jamaludin yang dikatakan berasal dari Singapura.

Persoalan yang ditimbulkan di kalangan orang-orang Melayu yang berkepentingan dalam Khazanah ialah bagaimana selepas Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Arif dipecat Temasek Holdings (milik Singapura) begitu pantas membeli saham syarikat yang strategik seperti Proton?

Mereka juga dikatakan, mempersoalkan hubungan Khairy dengan warga Singapura tersebut kerana apa yang dilakukan oleh menantu PM tersebut dikhuatiri bercanggah dengan agenda nasional negara dan Umno sendiri untuk memelihara kuasa ekonomi dan politik negara daripada kuasa asing.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini begitu lantang mempersoalkan jualan saham Pantai Holdings kepada syarikat asing dan menyifatkannya sebagai penjajahan baru dalam negara.

Namun, apakah selepas menyedari bahawa Naib Ketuanya terbabit dalam urusniaga penjualan saham melalui Khazanah, Hishammuddin seolah-olahnya membisu?

Utusan Malaysia edisi 7 Julai lepas melaporkan tentang penguasaan ekuiti asing dalam syarikat berkepentingan strategik dalam negara.

Ini termasuk pengambilalihan Pantai Holdings Bhd. oleh syarikat Singapura, Parkway Holdings; pembelian sebahagian kepentingan Proton Holdings Bhd. oleh GSIC; pemilikan ekuiti Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan Malaysian Plantations Bhd. oleh Temasek Holdings dan pemilikan saham-saham pelabuhan tempatan, Westports, oleh pengendali pelabuhan Singapura, PSA, melalui Hutchison Ports Holdings.

Selain Proton, TM dan Westport yang disenaraikan sebagai peserta strategik dalam ekonomi Malaysia, Pantai Holdings turut dianggap penting dengan pemilikannya terhadap Fomema, pemegang konsesi pemeriksaan kesihatan pekerja asing yang memonopoli proses kemasukan tenaga buruh ke negara ini.

PSA pada bulan lalu memuktamadkan pembelian 20 peratus kepentingan Hutchison, syarikat Hong Kong yang memiliki 30 peratus kepentingan Westport sejak 2000. Pelabuhan itu bersama-sama Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Northport merupakan kepentingan yang amat strategik dalam usaha Malaysia menyaingi Singapura sebagai pusat perkapalan global.

Terbaru, Temasek dipercayai sedang berusaha meningkatkan pegangannya dalam syarikat
penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. (AirAsia), yang akan mengambil alih laluan domestik daripada syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysian Airline System Bhd (MAS) mulai 1 Ogos ini.

Temasek memiliki kira-kira enam peratus kepentingan AirAsia yang dianggap sebagai antara syarikat strategik Malaysia berikutan pengambilalihan 99 buah laluan penerbangan dalam negeri seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pemilikan kepentingan AirAsia oleh Temasek itu dibuat melalui sebuah firma pengurus dana asing di pasaran terbuka.

Presiden Transparency International of Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, sebarang pembelian strategik syarikat Malaysia mesti dibuat secara telus terutamanya yang melibatkan aset-aset negara.

Justeru, jika pun kritikan Mahathir tidak wujud, jika tidak mahu dilabel 'traitor', Umno dan Barisan Nasional bertanggungjawab memperjelaskan kepada rakyat dalam isu yang amat serius ini secara telus dan jujur.

(Artikel ini disiarkan dalam Akhbar Harakah bilangan 1315 edisi 16 - 31 Julai 2006)

No comments: