Tuesday, July 11, 2006

Menanti pertembungan terbuka luar jangka

Implikasinya amat besar kepada politik negara. Pertelagahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hakikatnya mencetuskan suatu polemik yang lebih besar dari apa yang dijangkakan.

Secara terbuka Mahathir menuduh Abdullah mengkhianati kepercayaannya dengan membatalkan banyak keputusannya, malah menyifatkan yang beliau memilih orang yang salah untuk menerajui Malaysia.

Mahathir menunjukkan sikap tidak senangnya terhadap kepimpinan Abdullah dalam beberapa siri kenyataannya kepada media masa dalam dan luar negara dengan mengkritik serta mempertikaikan polisi pentadbiran negara.

Kritikan tajam Mahathir disusuli dengan dakwaan keras seperti 'Abdullah bukan pilihan utama saya', 'janji teruskan dasar dan projek saya tidak ditunaikan', 'saya ditikam dari belakang', 'saya tidak memperoleh jawapan, sebaliknya diminta diam', 'saya dituduh belanja duit kerajaan berlebihan untuk projek mega' dan lain-lain lagi.

"Saya tidak faham, saya bangkitkan soalan mengenai Proton, tentang AP, Agusta, tapi tidak satupun dijelaskan.

"Mungkin mereka tidak punyai jawapan, itu sebabnya mereka cuba memburuk-burukkan saya," kata Mahathir.

Apa yang dialami oleh bekas PM begitu dirasai anaknya, Dato' Mukhriz Mahathir yang turut menyuarakan rasa kecewa kerana ada di kalangan kepimpinan Umno cepat dan mudah emosi mengecam bapanya dari memberikan jawapan kepada isu-isu yang dibangkitkan.

"Kalau dijawab dengan baik, isu-isu ini lambat laun akan tertutup... apa yang beliau (Mahathir) utarakan pun rasional, jawablah (dengan) rasional," kata Mukhriz.

Mahathir-Abdullah sudah menjadi persengketaan lebih besar. Ternyata Abdullah tidak berkemampuan menjawabnya hingga terpaksa mengheret seluruh anggota Kabinet , Menteri Besar, 78 Ahli Parlimen Umno termasuk kelab Setiausaha Politik pun digerakkan untuk berhadapan dengan Mahathir.

Persoalannya, mampukah Menteri Besar, mahupun Menteri yang kebanyakkannya dipercayai mempunyai 'fail BPR' (dalam tangan Mahathir), sanggup bertembung dengan bekas mentor mereka? Cukupkah perisai mereka jika bekas PM yang terkenal dengan 'mulut celuparnya' menyerang balas?

Apakah kelemahan Abdullah hendak dipertahankan sehingga terpaksa membongkar 'tahi-tahi' mereka? Ini persoalan yang mereka harus pertimbangkan.

Apapun, Abdullah bukan merupakan 'regu tinju' buat Mahathir. Pertarungan tercetus di gelanggang terbuka, isu ini sukar untuk dileraikan. Cuma yang harus dicongak ialah sejauhmana isu ini memberi kesan kepada Umno dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 12 akan datang.

'Perang' Mahathir-Abdullah ternyata membabitkan banyak pihak, selain media NST yang konsisten menyerang Mahathir, bekas TPM, Tun Musa Hitam juga turut terbabit.

Mahathir menyelar Musa yang dilaporkan akhbar sebagai berkata, bahawa Mahathir amat keras dalam kritikannya dan bertindak membelakangi 'tradisi dan protokol'.

"Tun yang baru tidak ikut tradisi Umno. Dia (Musa) seharusnya sedia maklum kerana dialah orangnya yang menuruti tradisi Umno seperti berundur dari kerajaan dan menyerang saya serta menggesa Tengku Razaleigh (Hamzah) menentang saya," katanya.

Mahathir punyai strateginya sendiri. Saya percaya kalaupun mungkin dia tidak membuat 'political comeback', dia masih menyimpan semua fail-fail peribadi menteri.

Ada rakan-rakan memberitahu, setahun sebelum Mahathir bersara (2003) beliau sudah meneliti dan menghimpunkan maklumat yang perlu sebagai perisai.

Politik 'blackmail' ini bukan perkara baru dalam arena politik negara kita.

Sejak beberapa tahun lepas difahamkan Mahathir begitu ligat mengadakan pertemuan secara senyap-senyap dengan ketua-ketua bahagian Umno tertentu sama ada bertemu di pejabatnya di KLCC ataupun Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Malah, baru-baru inipun semasa di Sabah, bekas PM itu dilaporkan membuat pertemuan dengan ketua-ketua bahagian Umno sehingga menyebabkan Ketua Menteri, Dato' Musa Aman melenting.

Umumnya orang-orang Umno tahu Mahathir bukannya jenis duduk diam, sebab itu pada saya, ramai yang tidak berani bertembung secara terbuka dengan Mahathir.

Walaupun Abdullah hingga kini masih membisu di atas cabaran Mahathir, beliau seolah-olahnya sengaja membiarkan juak-juaknya ligat mengatur strategi .

Yang paling menariknya sehari dua ni, media massa tempatan seolah-olahnya begitu 'terbuka' memuatkan berita mengenai bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Jika dibaca secara mendatar Anwar tidak ada kena mengena dengan pertelagahan Mahathir-Abdullah.

Sebenarnya ada 'udang di sebalik batu.'

Selama ini, Anwar merupakan 'kambing hitam' politik media massa sama ada menyiarkan berita buruk mengenai beliau ataupun menggelapkan terus sebarang berita yang bersumberkan bekas banduan politik tersebut.

Kelmarin media massa menyiarkan mengenai mengenai Cherie Blair (isteri PM Britain, Tony Blair) sebagai Queen's Counsel mewakili Fawziah Holdings dalam kes kontroversi seperti Metramac.

Kemudiannya menyiarkan secara positif pertemuan Cherie dengan Anwar (yang menghadiri kes berlainan) di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Hari ini akhbar The Star pula menyiarkan keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman terhadap adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang didakwa terbabit dalam kes sodomi dan sekaligus mengarahkan perbicaraan diadakan semula kerana terdapat bukti bahawa Sukma tidak bersalah.

Gambar besar Sukma diletak di muka hadapan, manakala gambar Anwar diletak di muka surat tiga. Apabila meneliti akhbar The Star saya turut pelik kerana cara pembawaan pemimpin akhbar tersebut terhadap Anwar sama seperti NST.

Kedua-dua kes Metramac dan Sukma ini secara tidak langsungnya membabitkan Mahathir!
Metramac dikaitkan dengan Tun Daim Zainuddin iaitu orang yang terbabit menjadi konspirator Mahathir menjatuhkan Anwar. Kejayaan mengheret Daim ke mahkamah, seolah-olahnya memecahkan tembelang Mahathir.

Kes Metramac harus dilihat sebagai salah satu usaha Abdullah untuk mencantas 'pillars' Mahathir yang terdiri dari kalangan orang-orang korporat. Siapa lagi kalau bukan Daim dan juak-juaknya yang menjadi antara punca perbalahan Mahathir-Anwar.

Syed Mokhtar al Bukhari, Vincent Tan dan Ananda Krishna yang amat terkenal rapat dengan Mahathir bagaimana? Episod ini masih banyak yang harus dicaturkan.

Kes Sukma, adalah berpunca daripada tindakan Mahathir ketika itu untuk menghukum dan menjatuhkan maruah Anwar pada mata rakyat dengan mendakwa bekas TPM itu sebagai pelaku sodomi yang menjijikkan.

Ramai yang tahu berapa marahnya Mahathir terhadap Anwar. Begitu juga kemarahan beliau kepada Abdullah, sehingga ada yang mendengar Mahathir mendakwa sebenarnya Abdullah yang membebaskan Anwar.

Dan di dalam kotak pemikiran ahli-ahli Umno, sehingga kini mereka tidak boleh melupakan bagaimana menantu PM, Khairy Jamaludin boleh berkunjung ke rumah Anwar sejurus dibebaskan September 2004 yang lalu. Persoalan ini sering bermain di fikiran mereka bahawa Abdullah ada peranan membebaskan Anwar.

Justeru, Abdullah tidak perlu berlaga dengan Mahathir. Guna sahaja isu Anwar, biar Anwar yang lawan. Lagi pun Anwar selalu kata, dia boleh maafkan Mahathir, tetapi dia tidak akan lupa apa yang Mahathir buat kepadanya. Lawan tetap lawan!

Oleh itu, pendedahan positif kes membabitkan Anwar dalam media massa (selalunya negatif sebelum ini) harus dilihat sebagai suatu bentuk 'tempelak' terhadap Mahathir!

Apabila Abdullah tidak mampu bertembung secara berdepan dengan Mahathir, maka jalan terbaik untuk 'menekan perasaan' Mahathir adalah dengan membongkarkan kes-kes lama. Ini boleh menyebabkan Mahathir terseksa.

Selama ini sejak 1998, Mahathir dan orang-orang Umno begitu bangga dengan kejayaan Mahathir membunuh karier politik Anwar dan melondehkan maruah bekas timbalannya dengan pelbagai dakwaan salah laku sehingga ramai rakyat yang terpedaya dengan fitnah tersebut.

Tidak hairanlah jika hari ini, sebagai balasan pertembungannya dengan Abdullah, maka rakyat akan diberitahu pula bahawa segala tuduhan Mahathir terhadap Anwar adalah palsu dan Anwar akan dibersihkan daripada segala tuduhan.

Anwar akan bebas untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Di mana posisi Anwar, bagaimana beliau hendak 'placing' dirinya, harus diperhatikan mulai sekarang. Apapun sekarang Najib harus mula menghitung harinya.

Malah dikatakan, inilah waktu yang terbaik buat Abdullah 'mengusahakan' kes saman RM100 juta Anwar terhadap Mahathir. Abdullah boleh mencuci tangannya dengan berkata, " ini semua kerja Mahathir, biar dia jawab sendiri di mahkamah."

Jika ini berlaku, bukan sahaja tuduhan Mahathir terhadap Anwar dibuktikan sebagai palsu, malah segala serangan Mahathir terhadap Abdullah juga akan dimusnahkan. Bila-bila masa Mahathir akan dirudumkan.

Hakikatnya, Mahathir terpaksa berperang sendirian, beliau tiada jentera, tiada media. Tidak ada siapa orang Umno yang duduk dalam kerajaan berani menyokong Mahathir.

Walaupun seluruh anggota Kabinet dan pemimpin Umno 'naik' dengan jasa Mahathir, kedudukan, semuanya ini tidak akan merubah takdir bahawa BN/Umno sudah tidak diperlukan Mahathir lagi.

Sudah tentu orang yang paling gusar sekarang bukannya Abdullah, bukan Mahathir, bukan Anwar, tetapi Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak!

Apabila Abdullah pilihan kedua, sudah tentu Najib pilihan pertama Mahathir. Najib ternyata amat gusar, bagaimana dia hendak 'position'kan diri amat diperhatikan oleh Abdullah dan juak-juaknya. Setidak-tidaknya, jika Najib tersilap langkah, Khairy ada ruang mencantasnya.

Kedudukan Najib dalam bahaya. Tambahan pula dia anak didik Mahathir yang amat rapat dengan bekas PM itu. Walaupun Najib mengeluarkan kenyataan menyokong Abdullah, apakah juak-juak Abdullah akan mempercayai beliau?

Ataupun untuk selamatkan kedudukan, tak apalah tidak jadi PM pun, asalkan tetap duduk dalam kerajaan dan bekerjasama dengan Abdullah? Ataupun 'reconcile' dengan Anwar?
Saya percaya dalam keadaan sekarang Anwar juga terbuka untuk menerima kembali Najib sebagai rakannya.

Apapun Mahathir harus sedar bahawa Umno dan kerajaan tidak memerlukannya. Mereka harus patuh kepada Abdullah yang menerajui kerajaan hari ini. Sewaktu Mahathir berkuasa, dia juga mahu 'authority' , dia mahu seluruh anggota kerajaan, BN dan Umno mematuhinya.

Sama juga dengan Abdullah sekarang, 'authority' itu haknya kerana dia berkuasa pada waktu ini, soal bagaimana Mahathir hendak 'manoeuvre' dan hendak membuat 'political comeback' itu beliau harus hadapi seluruh jentera BN dan kerajaan.

Yang diperhatikan rakyat sekarang ini, apakah Mahathir kini, terpaksa 'menjilat ludahnya sendiri'?

Apakah Mahathir akan sedar bahawa, apa juga bentuk salah laku kepimpinan, pengkhianatan janji, pembatalan projek dan pelbagai kepincangan pengurusan ekonomi, dilakukan oleh anak didiknya yang diasuh dengan 'tangan kotor'nya sendiri selama lebih 22 tahun pemerintahan?

Episod seterusnya amat ditunggu-tunggu.

(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 15 Jun 2006)

No comments: