Tuesday, July 11, 2006

Mahathir menanti serangan balas Abdullah Ahmad Badawi

Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sepatutnya bertindak segera memberikan reaksi beliau di atas kritikan tajam dan pedas yang dilemparkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Barangkali PM berhak untuk menepis atau mengelak, jika segala kritikan terhadap kepimpinannya dilontarkan oleh pembangkang, namun Abdullah tidak seharusnya memandang sepi 'serangan' yang dibuat oleh Mahathir kerana bekas PM tersebut mempunyai 'back-up' yang mencukupi.

Dua rencana yang bertajuk 'Menanti pertembungan terbuka luar jangka' dan 'Mencari pihak ketiga jadi punca krisis Mahathir-Abdullah' dalam Harakahdaily, saya menyentuh bagaimana serangan Mahathir hingga kini tidak dapat ditangkis oleh Abdullah.

Ada pihak mengandaikan bahawa PM tidak mahu bertembung dengan bekas PM secara terbuka, lalu mengarahkan menteri dan agensi kerajaan yang terbabit menjawab segala kritikan bekas PM secara bertulis.

Ada pula pihak yang mengandaikan bahawa PM sememangnya lemah dan tidak mampu untuk berhujah dengan Mahathir!

Barangkali Abdullah sedar dan faham bahawa Mahathir melemparkan kritikan yang dahsyat, tetapi beliau cuba untuk 'cool'kan keadaan dengan tidak mahu mengambil langkah terburu-buru.

Apapun mulut 'orang tua' itu harus ditutup! Jika pembangkang yang tuduh, barangkali pembangkang tidak mempunyai fakta yang tepat. Tetapi apakah bekas PM yang memerintah paling lama dalam sejarah Malaysia membuat tuduhan yang melulu?

Mengapa Mahathir mengkritik

Dalam ucapannya Mahathir mengakui bahawa beliau memang berjanji untuk tidak menegur atau mencampuri urusan kerajaan selepas daripada bersara.

"Tapi saya ini orang politik, kalau orang politik berjanji dia hendak bersara, bukan boleh percaya," katanya disambut sorakan hadirin.

Menurut Mahathir sebelum inipun beliau tidak mengkritik, beliau hanya memberi komen sahaja, namun apabila jambatan bengkok dibatalkan, hatinya sudah tidak boleh bersabar.
Malah lebih keras daripada itu Mahathir mendakwa Abdullah memungkiri janjinya, hanya dua minggu selepas memegang jawatan sebagai Perdana Menteri!

Apa janji yang dimungkiri, Mahathir enggan mengulasnya. "Hanya saya dan dia (Abdullah) sahaja yang tahu," kata beliau dalam nada kesal.

Tidakkah ini suatu dakwaan yang amat serius?

Abdullah tiada alasan untuk mengelak

Sebelum ini PM boleh mengelak menjawab segala tuduhan Mahathir, namun, tidak kali ini!
Selepas majlis yang dinamakan 'Mencari Kebenaran' anjuran 26 NGO dengan kerjasama Malaysia-today.net di kelab eksekutif Taman Melawati (Sabtu, 24 Jun 2006), secara terang-terangan Mahathir mempertikaikan kredibiliti Abdullah sebagai Perdana Menteri ke 5 Malaysia yang beliau lantik menggantikannnya, Abdullah harus menjawabnya segera.

Sebenarnya bukan isu yang menjadi persoalan. Mahathir memang lantang pagi itu.
Beliau menyentuh tentang pembatalan jambatan, Proton, AP, MV Agusta, Khazanah Holdings, GLC, isu rasuah dan sebagainya.

Isu yang dibangkitkan ini menurut Mahathir, masih tidak dijawab! Semua jawapan yang menjadi paparan di media massa, sama ada dari Abdullah sendiri Dato' Seri Rafidah Aziz, Dato' Azlan Hashim semuanya diketepikan.

"Semuanya tidak dijawab," kata Mahathir dalam ucapan dan dialog selama lebih dua jam itu.
"La ni kita dapat PM yang tak akan jawab satu pun," kata Mahathir.

Jika Abdullah hendak mengetahui kritikan Mahathir, beliau tidak akan memperolehi maklumat yang betul jika beliau menunggu laporan dari media massa sahaja.

Persoalan yang dibangkitkan oleh media dalam laporan mereka sebenarnya tersasar, media hanya berani melaporkan Mahathir mengulangi kritikan yang sama. Tetapi intipati kritikan Mahathir tidak disiarkan.

Barangkali juga media amat takut untuk menyiarkan sedutan ucapan Mahathir kerana, nescaya jika Abdullah mendengarnya, dia akan 'bingit telinga'.

Abdullah dianggap 'menipu' rakyat dalam isu jambatan bengkok!

Abdullah memberikan jawapan yang salah

Menyentuh mengenai isu Jambatan Bengkok, Mahathir secara terang-terang menolak alasan yang diberikan Abdullah, iaitu jambatan dibatalkan kerana dalam rundingan antara Malaysia dengan Singapura sebelum ini, republik itu dikatakan meminta antara lain supaya Kuala Lumpur membenarkan pesawat pejuangnya menggunakan ruang udara negara ini dan membekalkan pasir sebagai balasan.

Abdullah juga memberikan alasan bahawa rakyat Malaysia tidak mahu jambatan.

Menurut Mahathir sebenarnya bukan Singapura, tetapi orang Malaysia yang tidak mahu jet-jet pejuang Singapura menggunakan ruang udara Johor dan menolak penjualan 50 juta cubix meter padu pasir setahun selama 20 tahun kepada Singapura.

Jika difahami secara betul dari penolakan Mahathir terhadap jawapan Abdullah, bermakna beliau mendakwa PM tidak memberikan jawapan yang sebenar kepada rakyat, atau dalam erti kata lainnya, Abdullah dianggap 'menipu' rakyat dalam isu jambatan bengkok!

Pada Mahathir beliau syak bahawa pembatalan tersebut dibuat kerana ada pihak yang tidak dapat mengaut keuntungan. "Saya syak sebab mereka tidak boleh jual pasir," tegas Mahathir, tetapi enggan menamakan pihak mana yang dimaksudkan.

Tunduk kepada Singapura

Secara lebih serius Mahathir menyifatkan pembatalan jambatan bengkok yang dibina dalam kawasan negara Malaysia seolah-olahnya Abdullah memberi kuasa kepada negara asing untuk 'dictate' hak kepunyaan negara Malaysia sendiri.

Hakikatnya kata Mahathir, apabila Singapura boleh mencampuri urusan dalam negara (seperti pembinaan jambatan dalam negara Malaysia), bermakna Abdullah telah 'memberi kuasa negara kita kepada Singapura' sehingga kita 'hilang daulat.'

Mahathir dengan tegas menasihatkan Abdullah supaya tidak terlalu baik dengan negara jiran kerana pengalamannya selama 22 tahun menjadi PM sudah cukup untuk membuktikan betapa sukarnya rundingan dua hala diadakan.

Beliau memberikan beberapa fakta termasuk rundingan menaikkan harga air dan pelbagai lagi usaha untuk berbaik-baik dengan Singapura sengaja disukarkan oleh negara jiran tersebut.

Secara sinisnya bekas PM memperli Abdullah dengan mengatakan, " Sikit-sikit nak pi (pergi) Singapura main golf, kemudian gosok bahu, apakah dengan cara itu Singapura akan baik dengan kita?"

Tegas Mahathir beliau syak pembatalan jambatan dilakukan kerana pihak tertentu tidak dapat menjual pasir dan tidak memperolehi keuntungan, malah pihak berkenaan membuat perniagaan 'joint-venture' dengan Singapura.

Tetapi Mahathir enggan menamakan siapa pihak tertentu tersebut.

Pengaruh menantu Abdullah

Namun sepanjang ucapan dan dialog selama dua jam itu, Mahathir tidak dapat lari daripada mengkritik dengan keras penglibatan anak menantu Abdullah dalam menentukan hala pentadbiran negara.

Barangkali Mahathir alergi untuk menyebut nama menantu PM iaitu Khairy Jamaludin! Tetapi Mahathir dengan tegas mengatakan bahawa orang yang duduk di tingkat empat bangunan JPM lebih berkuasa dari PM sendiri!

Mahathir menggunakan kiasan dan ungkapan amat sinis kepada Khairy dengan menyifatkannya sebagai 'budak hingus belum kering', 'spin doctor','orang mengaji Oxford sahaja yang cerdik, orang lain bodoh belaka' dan sebagainya.

Jelas kemarahan Mahathir terhadap Khairy tidak pernah pudar.

Beberapa tahun lalu semasa Abdullah menjadi TPM, Khairy mengkritik Mahathir sebagaimana yang disiarkan dalam rencana majalah asing The Economist.

Semasa pemilihan pucuk kepimpinan Umno selepas Pilihan Raya Umum ke 11 tahun 2004 yang lalu, orang Umno berpendapat, pengaruh Khairy dalam pemilihan Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu menyebabkan Mukhriz Mahathir tewas dalam pertandingan Ketua Pemuda bahagian.

Bukan setakat itu sahaja, pengaruh luar biasa Khairy yang begitu hebat sehingga beliau berjaya mengetepikan Mukhriz sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, sehingga anak Mahathir tersungkur sebelum bertanding kerana tidak cukup pencalonan!

Pertembungan Mukhriz-Khairy dua tahun lalu, sebenarnya harus dilihat sebagai titik pertembungan awal Mahathir-Abdullah.

Dendam Mahathir kepada menantu Abdullah tidak akan pudar, malahan semakin bertambah apabila bekas PM itu mengetahui bahawa Khairy mempunyai 'hubungan' dengan musuh nombor satu beliau iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Setakat ini Mahathir masih mengelak untuk menyentuh soal hubungan Khairy-Anwar.

Namun penganalisis politik percaya bahawa polemik dan krisis kepercayaan Mahathir terhadap Abdullah, sangat berkait rapat dengan Khairy Jamaludin dan Anwar Ibrahim.

Episod ini sebenarnya memberikan implikasi politik yang amat besar dalam negara. Kita harus mengikutinya dengan berhati-hati dan dengan fikiran yang terbuka bahawa serangan Mahathir terhadap Abdullah mahu tidak mahu ada kaitan dengan Anwar Ibrahim.

Mahathir sedar tiada sokongan

Namun, selepas bersara Mahathir sedar bahawa beliau sudah kehilangan sokongan mahupun dari kalangan rakan-rakan Kabinet dan pemimpin-pemimpin Umno. Media juga ditempelak kerana hanya memaparkan berita-berita beliau secara tempelan.

Mengulas mengenai sokongan padu yang diterima Abdullah sebagai PM sekarang ini, Mahathir berkata, semasa menjadi PM dan Presiden Umno, beliau mendapat sokongan yang amat luar biasa daripada anggota Kabinet dan Umno.

"Namun sekarang saya sedar bahawa sokongan itu tiada kualiti," katanya.

Malah Mahathir menempelak sokongan Menteri dan Menteri Besar terhadap Abdullah!
"Mereka sokong apa?" soalnya. "Ini tidak lebih kerana dia (Abdullah) PM, la ni (sekarang ini) 'mana titah patik junjung'," perli Mahathir.

Mahathir ternyata begitu garang sekali, beliau kini ibarat 'harimau belang yang menunjukkan taringya', sebaliknya Abdullah masih diam membisu ibarat 'tikus melihat kucing'.

Dalam usia 81 tahun, Mahathir tegas mengatakan beliau sedia 'berperang' dan ketika ditanya sejauhmana tindakan beliau jika Abdullah tidak menjawab segala kritikannya, Mahathir berkata beliau akan 'ligan' (buru) hingga ke lubang cacing!

Sekarang Abdullah memikul tanggungjawab yang sangat besar, bukan sekadar untuk menjawab segala kritikan Mahathir, tetapi beliau harus memulihkan maruahnya yang tercalar begitu teruk akibat 'serangan' bekas ketuanya sendiri.

'Bola' kini di kaki Abdullah, rakyat sedang menunggu ke arah mana beliau hendak menyepaknya!

(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 26 Jun 2006)

No comments: